Monday, July 30, 2007

Salah gang di UIAM


Geng-geng salah =wrong gang =ronggeng akan mengadakan sesi jamming bersama Dr Iqbal di depan Moot Court,Kuliyyah of Laws,Universiti Islam Antarabangsa(UIAM). Program santai ini di bawah kelolaan Dr Iqbal yang mempunyai suara persis Ebiet G Ade versi garau.he he

Dewangga Sakti akan membuat preview lagu-lagu yang bakal keluar di dalam album mereka.Juga lagu yang tidak akan keluar.Ini termasuk lagu dangdut dan ethno trance cyber yang telah diharamkan pihak kesultanan.

Tarikh: 4 Ogos 2007

Masa: 9 malam

Hari Sabtu

Tuesday, July 24, 2007

Sumbangan Ziryab kepada muzik barat -bahagian 1

Suatu hari di istana Baghdad, Khalifah Harun Al Rasyid yang terkenal dengan minatnya kepada seni,budaya dan sains bertanyakan Ishaq Al Mawsili ,ketua pemuzik istana tentang Ziryab.
“Ya. Aku banyak mendengar perkara menarik tentang dia. Melodi penuh emosi yang kebanyakannya gubahan saya dan bukannya sesuatu yang luar biasa. Aku yang mengajarkan melodi ini yang bersesuaian dengan kemahirannya”,kata Ishaq yang sebenarnya tidak mengetahui betapa Ziryab,anak muridnya sudah menguasai ilmu muzik yang tinggi dan kompleks dengan segala maqam dan ragam muzik.
Abu al-Hasan 'Ali ibn Nafi' atau lebih dikenali sebagai Ziryab(789-857 Masihi) dipanggil mengadap Khalifah. Bila ditanya Khalifah, beliau menjawab dengan penuh adab sopan. Bila ditanya oleh kalifah tentang kemahirannya, beliau menjawab.
“Saya boleh menyanyi apa yang dinyanyikan oleh penyanyi lain. Tetapi kebanyakan himpunan lagu saya hanya sesuai dipersembahkan di depan Tuanku. Penyanyi lain tidak tahu tentang lagu-lagu ini. Jika Tuanku benarkan ,saya akan persembahkan apa yang tidak pernah terdengar oleh telinga manusia.”
Khalifah mengangkat keningnya dan mengarahkan oud (gambus) gurunya, Ishaq diberikan kepada beliau. Ketika itu oud hanya mempunyai empat tali - tali berkembar- dan oud adalah instrumen berbentuk separuh buah pear dan tidak mempunyai fret.
Ziryab dengan penuh kesopanan menolak untuk memainkan oud tersebut.
“Saya membawa oud saya sendiri,” kata beliau,”yang saya buatnya sendiri dan tiada instrument lain lebih memuaskan hati saya. Jika Tuanku perkenankan saya akan mengambilnya yang ditinggalkan saya di depan pintu istana.”
Khalifah memberikan kebenaran. Dilihatnya oud itu kelihatan seperti oud guru Ziryab,Ishaq Al Mawsili.
“Kenapa kamu tidak mahu memainkan oud gurumu?”, tanya khalifah.
“Hanya jika Tuanku meminta saya memainkan lagu-lagu guru saya. Jika saya ingin menyanyikan lagu sendiri, saya perlukan oud kepunyaan saya.”
“Ia kelihatan serupa kepada saya,” Khalifah berkata lagi.
“Pada pandangan pertama,ya”jawab Ziryab,”tetapi walaupun kayu dan saiznya adalah sama, beratnya tidak. Berat oud saya sepertiga ringan daripada kepunyaan dia, talinya dibuat daripada sutera yang tidak direndamkan ke dalam air panas yang akan melemahkannya. Tali ketiga dan tali bass dibuat daripada ekor singa yang lebih lembut dan merdu daripada mana-mana ekor binatang lain. Tali-tali ini lebih kuat daripada tali lain dan dapat menahan petikan daripada pemetik(pick atau plectrum).” Pemetik kepunyaan Ziryab dibuat daripada kuku helang yang ditajamkan, bukannya pemetik biasa dibuat daripada kayu. Beliau juga telah menambah tali kelima kepada oud yang dibuatnya Ini menambahkan range dan octave yang berbeza.
Khalifah berpuashati dengan penerangan Ziryab dan mengarahkan beliau memainkan lagu gubahannya. Khalifah amat teruja dengan lagu persembahan beliau dan berkata kepada Ishaq,” Jika aku tahu kau menyembunyikan bakat luarbiasanya,kau akan dihukum. Teruskan pembelajarannya sehingga tamat. Aku mahu menyumbangkan sesuatu kepada perkembangan bakatnya.”
Ziryab sebenarnya menyembunyikan bakatnya yang luar biasa itu daripada pengetahuan gurunya. Bila Ishaq mendapat kesempatan bersama Ziryab,dia menyuarakan kekecewaannya kerana telah ditipu. Dengan jujur,dia mengatakan cemburu dengan kemahiran muridnya dan kerisauannya bila Ziryab akan lebih mendapat perhatian khalifah.
“Aku tidak dapat maafkan perkara ini ,hatta anak aku sekalipun,”tegas Ishaq.
Ishaq memberi kata dua kepada Ziryab. Ambil wang yang diberikannya dan tinggalkan Baghdad atau bersedia untuk mati!
Ziryab tidak teragak-agak membuat keputusan. Setelah mengambil wang,dia meninggalkan Baghdad ,ibu negeri kerajaan Abbasiyah. Ishaq memberitahu Khalifah bahawa Ziryab mengalami masalah mental dan marah kerana tidak mendapat hadiah daripada khalifah. Katanya lagi kepada khalifah, “Budak muda itu dirasuk jinn. Dia percaya jinn berbicara kepadanya dan menginspirasikan muziknya.”
Rupa-rupanya berkelananya Ziryab tidak sia-sia.
Ziryab dan keluarga berpindah ke Mesir dan kemudian Kairouan (sekarang dikenali sebagai Tunisia).Di situ,beliau dialu-alukan oleh pihak istana tetapi jiwanya bukan di situ. Impiannya hanya satu- untuk ke Andalusia. Di bawah Kerajaan Umayyah 2, Cordoba berkembang menjadi pusat kebudayaan yang menjadi saingan kepada Baghdad.
Sesungguhnya tidak diketahui oleh gurunya, Ishaq Al Mawsili tindakan kejamnya telah memberikan hikmah kepada kemunculan Cordoba sebagai pusat kebudayaan dan kesenian di Eropah di atas penyeliaan Ziryab yang menubuhkan sekolah muzik terulung di bumi Eropah. Dengan kepakaran luar biasanya,dia memperkenalkan skala Arab(juga Parsi) dikenali sebagai maqamat/maqam yang mempunyai banyak ciri-ciri bukan konvensional (tidak seperti notasi barat) kepada Eropah yang akhirnya berkembang menjadi skala-skala yang digunakan di dalam muzik Eropah seperti flamenco (daripada kata Arab fillah mengu- pengembara desa) dan sebagainya.
Lebih menarik ,Ziryab bukan sahaja mahir di dalam bidang muzik tetapi mempunyai citarasa tinggi di dalam fesyen dan penyediaan makanan yang diperkenalkannya ke seluruh bumi Andalus.
Bersambung...


Diterjemah dan diubahsuai daripada tulisan Robert W. Lebling Jr yang terbit di dalam majalah Saudi Aramco World (24/4/2005)


Sambungan
-latarbelakang dan sumbangan Ziryab
-Naseer Shamma-komposer/pemain oud kelahiran Iraq (sekarang menetap di Mesir) dan inspirasi Ziryab di dalam album beliau Maqamat Ziryab.Antara pemain oud terbaik di dunia dan membuat penyelidikan manuskrip Al Farabi berkenaan oud bertali lapan, membina oud untuk orang kurang upaya dan pernah mengadakan persembahan di Kuala Lumpur pada tahun 2004.

Monday, July 23, 2007

Mencari Cat Farish




Petang itu hujan lebat. Perancangan untuk mengadakan latihan awal sudah tergendala kerana Nahkoda Syamsul sudah terperangkap di dalam kesesakan kapal di muara Sungai Klang Gate. Setelah berkumpul di markas, mereka bertolak ke Jalan Duta pada jam 5:20 petang. Mengambil rakan mereka,Megat di Ampang Park dan bergegas ke Jalan Duta secepat mungkin.
No 3166, Lembah Ledang,Off Jalan Duta. Jalan Duta? Oh! Senang sahaja. Tetapi perjalanan mencari kediaman ini telah menemui jalan buntu kerana peta tiada dan lokasi seperti hilang. Di mana Lembah Ledang? Bukankah tadi sudah ketemu Bukit Ledang dan bermacam-macam nama Ledang lain? Kenapa tidak bertemu lagi? Ini sudah sampai ke Gunung Ledang!
Setelah beberapa panggilan telefon dibuat dan sudah tersesat ke sebuah rumah besar di sebelahnya sebuah kuil,kami akhirnya bertemu temapt yang dituju setelah melalui jalan kiri sebelah bangunan CIMB. Kalaulah ada peta! Ahh!
Akhirnya jam 7 petang kami sampai ke kediaman tersebut. Inilah lokasi majlis perkahwinan Cat Farish daripada kumpulan Fabulous Cats (sebelum ini menganggotai kumpulan Ruffedge). Bila sampai,pentas dan sistem bunyi sudah tersedia. Soundman tidak ada. Jadi,kami dipelawa tuan rumah supaya menjamu selera terlebih dahulu.
Kemudian,kami ke masjid Wilayah Persekutuan untuk menunaikan solat Maghrib dan menukar pakaian. Setelah itu kami tiba semula ke rumah pengantin pada jam 8:40 malam.
Kami tidak diberi aturcara majlis.Rupa-rupanya memang tidak ada aturcara majlis kerana ini majlis untuk keluarga terdekat dan teman-teman rapat. Majlis untuk wartawan dan jemputan telah dibuat siang hari tadi.
Kami tidak menghadapi banyak masalah untuk membuat soundcheck kerana juruteknik bunyi memahami keperluan kami. Kami bermain beberapa lagu instrumental.
“Cepat mainkan lagu pengantin. Pengantin sudah sampai!”, pengurus tidak rasmi kami,Megat memberitahu.
‘Hah! Tiada pengumuman?”
Cat Farish dan isteri tiba dan kami memainkan lagu Dia Datang (Fadzil Ahmad),diikuti lagu Gambus Jodoh dan Direnjis-renjis dipilis. Suasana memang santai sekali. Tiada protokol. Tiada ucapan panjang berjela-jela. (Cat! Kau memang sempoi!ha!ha!)
Kediaman ini pun memang besar. Kata Cat ini rumah emak saudaranya dan kena dengan konsep perkahwinan beliau. Pentas dan system bunyinya juga bagus. (Video rakaman kami juga menunjukkan bunyinya memuaskan)
Suasana amat biasa pada awalnya. Ketika memainkan lagu Tian Mi Mi ada beberapa orang ibu dan anak kecil berdansa di tepi pentas. Kemudian, bila lagu Ya Salam, DJ Sumo dan rakan-rakan menari di depan.
Suasana semakin panas. Wakil pengantin ingin menyanyi. Lagu Widuri dipilihnya. Hentam sajalah Labu!
Megat memberitahu Cat akan mengetuai sesi joget lambak! Hah? Ini baru betul-betul sporting!
Kami memainkan lagu Joget Johor Sport Club dan benar seperti diberitahu,Cat dengan selamba memulakan Joget lambak di depan pentas bersama isterinya dan lebih kurang hampir 30 orang yang lain. Nampaknya Cat sudah benar-benar naik syeikh!Lagu pun menjadi lebih panjang daripada kebiasaan. Kemudiaan,lagu Sway menyusul.
“Anda mahu lagi?’,demikian jerit Mohsen selaku penyanyi utama dan kadangkala bermain kompang. Ya! Lagu daripada filem Ahmad Albab yang sudah diubah suai senikatanya dimainkan. Kampung Pening Lalat!
‘Kita semua sepakat,di kampong hai pening lalat,mengucapkan selamat pengantin baru"
Ha!ha!ha!Suasana sudah semakin tidak terkawal.Hampir-hampir sahaja Nahkoda Syamsul membuka baju Melayunya dan terjun ke depan pentas. Cat kelihatan membuat tarian seperti di dalam filem Ahmad Albab! Mengangkat tangan ke atas dan memusingkan badannya.
Untuk meredakan keadaan,kami memainkan lagu Empat Dara yang dimainkan secara instrumental.
“Lagu-lagu ini untuk dara-dara semua”
“Woi!Lagu untuk anak teruna tak ada?”
“Anak teruna dah kahwin malam ni!”
Ha!ha!ha!
Selepas itu,kami memainkan lagu Rasa Sayang Eh yang diselang seli oleh pemantun hebat DJ Sumo (Fabulous Cats) dan seorang lagi rakannya.Rasanya acara berbalas pantun ini melebihi 10 minit. Free style!
Inilah antara pantun Mohsen: Kalau ada sumur di ladang,boleh hamba menumpang swimming,kalau ada umur yang panjang,boleh lah tengok Cat dan anak cucunya!
Apa punya pantun da! Mula-mula pantun betul.Lama-lama jadi seperti berbalas pantun kaset Ujang dahulu!ha ha!
Kami mengakhiri majlis dengan lagu Aladom. Persembahan kami selama dua jam.Banyak juga lagu didendangkan termasuk dua lagu komposisi sendiri- Selembar Kaseh dan Belayar ke Pulau Jauh.
Di tengah-tengah persembahan ,sebenarnya ada juga lagu permintaan. “Bang,lagu dangdut bang!” Argh! Nanti kita main Aku Semut Merah!
Penat tetapi puas hati. Inilah majlis perkahwinan paling meriah sepanjang sejarah kami mengadakan persembahan!Let’s ronggeng! Ini baru betul-betul salah gang!

Tuesday, July 17, 2007

Seni produk pelancongan?


1)Apa akan jadi bila kesenian masyarakat berbilang kaum dikaitkan dengan nilai pelancongan semata-mata?
2)Adakah Citrawarna menyuburkan nilai seni kepada rakyat negara ini?
3)Adakah ensemble kesenian besar-besaran ketika program Citrawarna dan sambutan Merdeka mendekatkan rakyat negara ini kepada nilai-nilai seni bangsa yang wujud di negara tercinta ini?
Anda tidak akan temui jawapannya di sini.
Untuk keterangan lanjut,tanyalah penjaga Tugu Negara bernama Sri Tribuana dan seorang panda jelmaan di Jalan Yap Kwan Seng!

Monday, July 09, 2007

Baik punya nombor!


















7 Julai 2007 (070707) tarikh keramat kepada sesiapa yang gila kepada nombor. Pada tarikh inilah ramai yang memilih untuk mendirikan rumah tangga. Memikirkan nama ini bukan datang tiap-tiap hari,maka ramailah manusia yang taksub dengan nombor akan memilih hari ini sebagai detik bersejarah untuk memulakan sesuatu yang baru.
Ini tidak terkecuali kepada kumpulan Dewangga Sakti yang membuat mesyuarat agung tergempar pada tarikh tersebut yang bermula selepas tengah malam. Sebenarnya sudah masuk tarikh 8 Julai ,tetapi menurut pengerusi majlis selagi kita tidak tidur itu kira belum masuk tarikh baru lagi.
Mesyuarat dimulakan setelah selesai persembahan di Taman Seri Ukay untuk malam pertama (majlis akad nikah). Kami dijemput untuk membuat persembahan ronggeng selama dua malam berturut-turut pada 7 dan 8 Julai 2007. Persembahan di kedua-dua malam itu amat meriah dan boleh disimpulkan bahawasanya anggota kumpulan amat gembira dengan layanan tuan rumah dan suasana di kedua-dua malam tersebut.
Sistem PA disediakan oleh pejabat Dato’ dan pada malam kedua seorang rakan yang suka ‘sound’ orang telah diamanahkan untuk menjadi ‘sound engineer’. Di kedua-dua malam tersebut, bapa pengantin perempuan telah menyerikan lagi acara dengan menyampaikan lagu Widuri dengan iringan kumpulan Dewangga Sakti. Boleh tahan juga suara beliau!
Di malam kedua,bapa pengantin sudah naik syeikh dan menyampaikan dua buah lagu lagi (juga iringan kumpulan) iaitu lagu Kisah Rumahtangga (P Ramlee) dan lagu Sway(lagu versi bahasa Inggeris kepada Quien Sera ciptaan composer Mexico Pablo Beltran Ruiz yang pernah dipopularkan Dean Martin dan terkini Michael Buble)). Selain itu,kami membawakan pilihan lagu-lagu tradisional zapin,inang,joget dan lagu ciptaan sendiri.
Kali ini kesemua tujuh anggota kumpulan terlibat dengan kedua-dua persembahan.
Berbalik kepada cerita mesyuarat tadi,inilah julung-julung kalinya setelah tujuh tahun penubuhan kami mengadakan mesyuarat agung(yang tidak didaftarkan). Sebelum ini,pada tahun 2000 dan 2001, banyak sesi memerah idea( brainstorming) dibuat dan selepas itu banyak sesi perbincangan juga dibuat.Kemudian,hampir tiap-tiap bulan perbincangan dibuat terutamanya sejak tahun lepas.Tetapi kali ini betul-betul unik kerana mesyuarat mempunyai agenda dan minit mesyuarat dicatatkan oleh Tuan Syamsul untuk tindakan yang selanjutnya.
Kali ini banyak perkara telah dikemukakan. Pelbagai agenda diketengahkan untuk kepentingan dan kelangsungan kumpulan. Mesyuarat berjalan lancar.Ada bahagian yang tegang tetapi maskot panda berjaya menceriakan keadaan. Mesyuarat ditamatkan lebih kurang jam 3 pagi setelah lebih dua jam bermesyuarat. Ada ahli yang tertidur (terlampau letih membuat persembahan kerana pulang dari tempat kerja terus ke tempat persembahan) ketika agenda mesyuarat dibentangkan. Ini tidak dapat dielakkan kerana mesyuarat mereka bermula selepas tengah malam, sesuai dengan kitaran kehidupan kelawar mereka.
Yang menarik adalah tarikh mesyuarat 070707,anggota kumpulan seramai tujuh(7) orang dan kumpulan sudah ditubuhkan selama tujuh(7) tahun. Lagu yang bakal dikeluarkan di dalam album pun sebanyak tujuh lagu (belum muktamad).
Kesimpulannya,anggota kumpulan yang bermesyuarat telah mencapai satu persetujuan yang bakal merubah perjalanan kumpulan yang akan lebih berdedikasi dan bersemangat waja (sehebat kereta Waja Dato’!).

Keterangan foto: Anggota kumpulan menerima gaji (ikut skrip cerita P Ramlee -Ali Baba Bujang Lapok ketika penyamun menerima gaji di dalam gua) .Anggota yang bayarannya dipotong boleh memohon untuk menggunakan dadu bagi urusan buat tikam tikam!

Thursday, July 05, 2007

Sebelum keluarnya ulat sutera


Ketika dua orang anak muda pertengahan 20an dan awal 20an menubuhkan kumpulan ini, tiada nama diberikan. Cuma konsep sahaja muncul. Konsep awalnya pada tahun 2000 ketika dua anak muda ini, Mohsen dan Zul berbincang adalah untuk bereksperimen dengan muzik gamelan di universiti. Memandangkan Mohsen merupakan pemain gendang kumpulan gamelan universiti, ruang untuk bereksperimen muncul dan beberapa ahli dikumpulkan.
Menurut pelan awal dan ideologi kumpulan, gamelan mesti menjadi teras dan instrument lain seperti gitar ,dram hanya menjadi perantaraan atau tempelan kepada muzik mereka. Menurut manifesto awal kumpulan tidak bernama ini yang bertempat di Mahallah Ali,(kolej kediaman mereka), mereka berhasrat ingin lari dari norma muzik semasa. Ketika itu alat muzik bertali masih diharamkan permainannya di kampus dan risiko untuk dirampas adalah tinggi.
Alangkah berbezanya muzik mereka ketika ini dengan penggunaan gambus,violin dan instrument lain (tiada gamelan lagi). Setelah menamatkan pengajian (ada yang tamat pada tahun 2000,2002 dan 2003), mereka tidak berekperimen dengan gamelan lagi kerana keterbatasan untuk menggunakan instrument berhantu itu dan ketidakfahaman pihak tertentu untuk melihat projek ini berkembang. Kali terakhir mereka bereksperimen dengan instrument ini adalah pada Januari 2004 setelah dijemput untuk membuat kolaborasi dengan pasukan gamelan universiti. Setelah itu, atas alasan tidak munasabah projek itu dihentikan. Lagipun ,mereka bukannya bayar yuran universiti!
Bercerita tentang nama, pada bulan Januari 2001,satu nama pelik telah diberikan kepada kumpulan ini. Namanya Kumpulan Kesenian Kulit Kambing dan Kerbau. Sekarang baru disedari akronimnya adalah KKKKK. Nasib baik bukan KKK! Sebulan selepas itu,mereka menamakannya sebagai Dewangga untuk persembahan pertama anjuran sendiri di tapak parking kereta CELPAD.Tempat ini mereka namakan ‘Sound Garden’. Banyak kejadian aneh berlaku ketika itu. Saron baron dan pekin kelihatan terbang ketika latihan. Kemudian,ulat sutera telah keluar daripada tangan Mohsen dan Zul ketika membuat persembahan. Beberapa penonton telah pengsan kerana merasa panas dengan persembahan mereka.
Nama itu berubah lagi pada bulan Mei 2001 ketika persembahan kedua mereka di tempat yang sama. Dewangga telah menjadi Dewangga Sakti dan dengan nama ini mereka menyertai beberapa pertandingan anjuran Majlis Kebudayaan Universiti Malaysia(MAKUM) di Memorial Tunku Abdul Rahman dan UPM. Niat mereka ketika menyertai pertandingan hanyalah untuk memporak perandakan majlis kerana menyedari kemahiran mereka yang terbatas. Ketika di UPM, mereka ditemubual oleh sebuah stesen televisyen yang agaknya keliru dengan kehadiran sebuah kumpulan daripada sebuah universiti yang terkenal hanya dengan muzik nasyid dan seangkatan dengannnya. (sebenarnya mereka tidak tahu universiti ini mempunyai pengganas yang memainkan muzik diharamkan di tivi seperti death metal,punk,hardcore dan muzik indie yang lain dengan membuat persembahan di gig seluruh pelusuk Semenanjung dan anggota kumpulan ini pun terlibat dengan kumpulan-kumpulan tersebut)

Dengan nama ini,maka bermulalah serangan ulat sutera.
Sudah tujuh tahun berlalu dan pendekatan mereka sudah berbeza. Selama tujuh tahun juga, hampir dua puluh orang telah datang dan pergi daripada kumpulan ini. Di atas ikrar yang dilafazkan, misi mesti diteruskan!
Hidup Gombak dan jajahan takluk Kesultanan ghaibnya!

Tuesday, July 03, 2007

World Music?


The term World music includes:
Traditional music (sometimes called folk music or roots music) of any culture that are created and played by indigenous musicians or that are "closely informed or guided by indigenous music of the regions of their origin",including Western music (ie. Celtic music). Most typically, the term "world music" has now replaced "folk music" as a shorthand description for the very broad range of recordings of traditional indigenous music and song from around the world
Other non-Western music (including non-Western popular music and non-Western classical music)
The term "World music" does not include:
Western popular music
Western Art music (ie. European classical music)
(Definisi di atas diambil daripada laman web Wikipedia)

Bilakah perkataan ‘World Music’ mendominasi kamus pemikiran muzik artis/pemuzik dan peminat muzik kita?
Sekarang kita dapat mendengar peminat atau pemuzik di Malaysia membicarakan ‘World Music’ dengan rujukan kepada ‘World Music’ ini tertumpu kepada muzik yang bernuansa keAraban ,sedikit irama Latin dan rentak-rentak daripada Afrika(Nah!Itulah pemahaman mereka). Jika mengikut definisi yang senang difahami, ‘World Music’ merujuk kepada muzik tradisional yang kadang kala dipanggil muzik folk atau akar daripada sebarang budaya seluruh dunia dan juga muzik non-western(bukan barat) yang lain. Dalam hal ini,muzik tradisional kita daripada pelbagai bangsa dan suku kaum(Sabah dan Sarawak) termasuk muzik daripada masyarakat Orang Asli di Malaysia juga termasuk di dalam kategori ini.
Beberapa pengkritik di barat tidak bersetuju dengan terma ini kerana berpendapat terma ini menampakkan nilai muzik bukan barat yang eksotik (aspek pamasaran komersial) dan menyarankan untuk memasukkannya ke dalam genre barat sedia ada seperti folk, pop,jazz, dll. Kewujudan kategori seperti ini mewujudkan jurang di antara muzik barat dan bukan barat,kata mereka lagi.
Negara kita juga tidak sunyi daripada perkataan ini. Rainforest World Music Festival yang diadakan di Sarawak juga memakai terma ini dan berjaya menarik pemuzik etnik/folk daripada seluruh dunia selama sepuluh tahun iaitu sejak pertama kali diadakan pada tahun 1998.Satu festival yang bernada sama juga bakal diadakan di Pulau Pinang dengan nama ‘World Music Festival’ bulan Julai ini,seminggu selepas festival di Sarawak.
Di Malaysia fikiran kita disempitkan dengan menerima genre ‘World Music ‘ bukan daripada apa yang ada di persekitaran budaya kita. Apabila artis seperti Yassin, Waheeda, Mawi memperkatakan tentang ‘World Music’ ,mereka merujuk kepada muzik Arab atau Latin. Bukannya tradisi muzik di Malaysia –muzik Melayu seperti zapin,joget,asli dan yang lain yang jatuh di dalam kategori yang sama. Atau muzik dari kaum Orang Asli seperti Semelai,Temuan dll.
Ungkapan seperti ‘saya memasukkan unsur World Music ke dalam album terbaru saya’ yang lahir daripada mulut mereka kedengaran amat gah.Kepada sebilangan peminat, itu seperti satu perkataan magis yang bakal membuahkan eksperimen melampaui batas dan menghasilkan muzik baru.
Kenapa kita tidak berkata begini, Saya memainkan ‘World Music’ iaitu muzik tradisional Melayu!’ dan memasukkan rentak tradisional kepada muzik kita dengan gendang,rebana,rebab dan pelbagai instrument tradisional yang lain.
Contoh terbaik perkara ini adalah pemuzik/artis di India yang tidak lupa akar tradisi mereka. Tabla,sitar dan instrument tradisional mereka yang lain tidak dilupakan di dalam komposisi lagu popular mereka(Cuba lihat lagu di dalam filem Bollywood). Mungkin sebab itu muzik India terkenal di seluruh dunia dan menjadi bahan kajian pemuzik ternama dunia yang begitu terpengaruh dengan muzik mereka. Buktinya pengaruh pemain sitar,Ravi Shankar dan pemain tabla, Zakir Husin yang mengangkat muzik India ke status paling tinggi.
Anda setuju dengan terma ‘World Music’?
Keterangan gambar: pemuzik etnik dari Laos di ASEAN Tourism Fair,Sapporo,Jepun (Oktober 2006)