Showing posts with label Ziryab. Show all posts
Showing posts with label Ziryab. Show all posts

Tuesday, September 18, 2007

Sumbangan Ziryab kepada muzik barat -bahagian 2

Sambungan daripada tulisan sebelumnya

Keinginan Ziryab untuk ke Sepanyol disuarakan ke dalam sepucuk surat kepada Al Hakam, pemerintah kerajaan Al-Andalus. Al Hakam amat teruja dengan keinginan tersebut dan menjemput Ziryab untuk berhijrah ke Granada di dalam surat balasanya. Tawaran gaji yang diterima amat tinggi bersesuaian dengan status pemuzik genius seperti beliau.
Beliau bersama keluarganya bertolak melalui Selat Gibraltar dengan sebuah kapal. Setibanya beliau di sana pada tahun 822, Al Hakam malangnya sudah meninggal dunia. Dengan penuh kesedihan, Ziryab sudah membuat persiapan untuk kembali ke Afrika utara tetapi Abu Al Nasr Mansur, pemuzik Yahudi di istana mengusulkan sokongan beliau dan mencadangkan kepada pengganti khalifah, Abd al-Rahman II yang juga anak kepada Al Hakam supaya mengambil Ziryab. Dengan ini, khalifah baru membuat tawaran semula kepada beliau.
Ziryab yang ketika itu berusia 33 tahun –usia sebaya khalifah- diberikan satu tawaran yang amat menarik. Tawarannya- 200 keping wang emas setiap bulan sebagai gaji, 500 keping wang emas pertengahan musim panas dan tahun baru serta 1000 keping wang emas pada setiap dua perayaan besar umat Islam(hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha). Selain itu beliau akan diberikan 200 gantang barli dan 100 gantang gandum setiap tahun.
Beliau juga akan diberikan sebuah istana dan beberapa villa yang mempunyai tempat subur untuk bercucuk tanam di pinggir kota. Dengan sekelip mata, beliau menjadi sebahagian daripada elit di kota kosmopolitan Granada dengan kedudukan yang tinggi.
Sebenarnya, khalifah menawarkan kedudukan ini kepada Ziryab sebelum mendengar permainan oud dan nyanyian Ziryab. Bila sahaja baginda mendengar nyanyian Ziryab, baginda merasa sangat terpesona dan dikhabarkan baginda tidak lagi mendengar lagu daripada penyanyi lain setelah mendengar lagu Ziryab. Begitulah penangan genius muzik ini.
Setelah itu, baginda Sultan dan Ziryab menjadi teman rapat dan banyak menghabiskan masa berbincang tentang puisi,sejarah dan segalanya berkenaan seni dan sains. Fungsi Ziryab seperti seorang Menteri Kebudayaan dan di antara projek pertamanya adalah membuka sebuah sekolah muzik yang diiktiraf sebagai sebuah sekolah muzik pertama di bumi Eropah yang pada masa itu masih di zaman kegelapan.
Sekolah muzik ini tidak mengenal darjat –terbuka kepada semua golongan tidak kira bangsawan dan orang kebanyakan. Berbanding konservatori di Baghdad yang agak rigid pembelajarannya, sekolah muzik ini menggalakkan eksperimentasi di dalam muzik dan instrument untuk menghasilkan penciptaan baru.
Di samping lagu-lagu terkenal daripada Istana Baghdad, Ziryab dengan segera memperkenalkan inovasi beliau dan dan memperkukuhkan kedudukannya sebagai seorang pengasas tradisi muzik Andalusia yang pengaruhnya dapat dilihat sehingga ke hari ini.
Diterjemah dan diubahsuai daripada tulisan Robert W. Lebling Jr yang terbit di dalam majalah Saudi Aramco World (24/4/2005)
Catatan peribadi penterjemah:
Oh!Alangkah besar jasamu Ziryab. Sesungguhnya seluruh dunia terhutang budi kepadamu
Akan datang: Pengaruh skala (maqamat) Ziryab di dalam album Naseer Shamma,pemain oud terkemuka Iraq yang mengasaskan Baitul Oud di Mesir.

Tuesday, July 24, 2007

Sumbangan Ziryab kepada muzik barat -bahagian 1

Suatu hari di istana Baghdad, Khalifah Harun Al Rasyid yang terkenal dengan minatnya kepada seni,budaya dan sains bertanyakan Ishaq Al Mawsili ,ketua pemuzik istana tentang Ziryab.
“Ya. Aku banyak mendengar perkara menarik tentang dia. Melodi penuh emosi yang kebanyakannya gubahan saya dan bukannya sesuatu yang luar biasa. Aku yang mengajarkan melodi ini yang bersesuaian dengan kemahirannya”,kata Ishaq yang sebenarnya tidak mengetahui betapa Ziryab,anak muridnya sudah menguasai ilmu muzik yang tinggi dan kompleks dengan segala maqam dan ragam muzik.
Abu al-Hasan 'Ali ibn Nafi' atau lebih dikenali sebagai Ziryab(789-857 Masihi) dipanggil mengadap Khalifah. Bila ditanya Khalifah, beliau menjawab dengan penuh adab sopan. Bila ditanya oleh kalifah tentang kemahirannya, beliau menjawab.
“Saya boleh menyanyi apa yang dinyanyikan oleh penyanyi lain. Tetapi kebanyakan himpunan lagu saya hanya sesuai dipersembahkan di depan Tuanku. Penyanyi lain tidak tahu tentang lagu-lagu ini. Jika Tuanku benarkan ,saya akan persembahkan apa yang tidak pernah terdengar oleh telinga manusia.”
Khalifah mengangkat keningnya dan mengarahkan oud (gambus) gurunya, Ishaq diberikan kepada beliau. Ketika itu oud hanya mempunyai empat tali - tali berkembar- dan oud adalah instrumen berbentuk separuh buah pear dan tidak mempunyai fret.
Ziryab dengan penuh kesopanan menolak untuk memainkan oud tersebut.
“Saya membawa oud saya sendiri,” kata beliau,”yang saya buatnya sendiri dan tiada instrument lain lebih memuaskan hati saya. Jika Tuanku perkenankan saya akan mengambilnya yang ditinggalkan saya di depan pintu istana.”
Khalifah memberikan kebenaran. Dilihatnya oud itu kelihatan seperti oud guru Ziryab,Ishaq Al Mawsili.
“Kenapa kamu tidak mahu memainkan oud gurumu?”, tanya khalifah.
“Hanya jika Tuanku meminta saya memainkan lagu-lagu guru saya. Jika saya ingin menyanyikan lagu sendiri, saya perlukan oud kepunyaan saya.”
“Ia kelihatan serupa kepada saya,” Khalifah berkata lagi.
“Pada pandangan pertama,ya”jawab Ziryab,”tetapi walaupun kayu dan saiznya adalah sama, beratnya tidak. Berat oud saya sepertiga ringan daripada kepunyaan dia, talinya dibuat daripada sutera yang tidak direndamkan ke dalam air panas yang akan melemahkannya. Tali ketiga dan tali bass dibuat daripada ekor singa yang lebih lembut dan merdu daripada mana-mana ekor binatang lain. Tali-tali ini lebih kuat daripada tali lain dan dapat menahan petikan daripada pemetik(pick atau plectrum).” Pemetik kepunyaan Ziryab dibuat daripada kuku helang yang ditajamkan, bukannya pemetik biasa dibuat daripada kayu. Beliau juga telah menambah tali kelima kepada oud yang dibuatnya Ini menambahkan range dan octave yang berbeza.
Khalifah berpuashati dengan penerangan Ziryab dan mengarahkan beliau memainkan lagu gubahannya. Khalifah amat teruja dengan lagu persembahan beliau dan berkata kepada Ishaq,” Jika aku tahu kau menyembunyikan bakat luarbiasanya,kau akan dihukum. Teruskan pembelajarannya sehingga tamat. Aku mahu menyumbangkan sesuatu kepada perkembangan bakatnya.”
Ziryab sebenarnya menyembunyikan bakatnya yang luar biasa itu daripada pengetahuan gurunya. Bila Ishaq mendapat kesempatan bersama Ziryab,dia menyuarakan kekecewaannya kerana telah ditipu. Dengan jujur,dia mengatakan cemburu dengan kemahiran muridnya dan kerisauannya bila Ziryab akan lebih mendapat perhatian khalifah.
“Aku tidak dapat maafkan perkara ini ,hatta anak aku sekalipun,”tegas Ishaq.
Ishaq memberi kata dua kepada Ziryab. Ambil wang yang diberikannya dan tinggalkan Baghdad atau bersedia untuk mati!
Ziryab tidak teragak-agak membuat keputusan. Setelah mengambil wang,dia meninggalkan Baghdad ,ibu negeri kerajaan Abbasiyah. Ishaq memberitahu Khalifah bahawa Ziryab mengalami masalah mental dan marah kerana tidak mendapat hadiah daripada khalifah. Katanya lagi kepada khalifah, “Budak muda itu dirasuk jinn. Dia percaya jinn berbicara kepadanya dan menginspirasikan muziknya.”
Rupa-rupanya berkelananya Ziryab tidak sia-sia.
Ziryab dan keluarga berpindah ke Mesir dan kemudian Kairouan (sekarang dikenali sebagai Tunisia).Di situ,beliau dialu-alukan oleh pihak istana tetapi jiwanya bukan di situ. Impiannya hanya satu- untuk ke Andalusia. Di bawah Kerajaan Umayyah 2, Cordoba berkembang menjadi pusat kebudayaan yang menjadi saingan kepada Baghdad.
Sesungguhnya tidak diketahui oleh gurunya, Ishaq Al Mawsili tindakan kejamnya telah memberikan hikmah kepada kemunculan Cordoba sebagai pusat kebudayaan dan kesenian di Eropah di atas penyeliaan Ziryab yang menubuhkan sekolah muzik terulung di bumi Eropah. Dengan kepakaran luar biasanya,dia memperkenalkan skala Arab(juga Parsi) dikenali sebagai maqamat/maqam yang mempunyai banyak ciri-ciri bukan konvensional (tidak seperti notasi barat) kepada Eropah yang akhirnya berkembang menjadi skala-skala yang digunakan di dalam muzik Eropah seperti flamenco (daripada kata Arab fillah mengu- pengembara desa) dan sebagainya.
Lebih menarik ,Ziryab bukan sahaja mahir di dalam bidang muzik tetapi mempunyai citarasa tinggi di dalam fesyen dan penyediaan makanan yang diperkenalkannya ke seluruh bumi Andalus.
Bersambung...


Diterjemah dan diubahsuai daripada tulisan Robert W. Lebling Jr yang terbit di dalam majalah Saudi Aramco World (24/4/2005)


Sambungan
-latarbelakang dan sumbangan Ziryab
-Naseer Shamma-komposer/pemain oud kelahiran Iraq (sekarang menetap di Mesir) dan inspirasi Ziryab di dalam album beliau Maqamat Ziryab.Antara pemain oud terbaik di dunia dan membuat penyelidikan manuskrip Al Farabi berkenaan oud bertali lapan, membina oud untuk orang kurang upaya dan pernah mengadakan persembahan di Kuala Lumpur pada tahun 2004.