Monday, November 05, 2012

Maskara Showcase @ KL Kita Punya

Slot kami pada 18hb November (Ahad).
Venue : Auditorium Perpustakaan Kuala Lumpur, Dataran Merdeka
Masa : 8-11 malam
Masuk percuma

Pelancaran buku terbaru Tan Sri Ramli Ngah Talib

Baru-baru ini kami berpeluang mengadakan persembahan sempena pelancaran buku terbaru bekas MB Perak dan bekas Yang di-Pertua Dewan Rakyat iaitu Tan Sri Ramli Ngah Talib. Buku ini di dalam dua versi (BM dan BI) -Mr. Speaker, Sir - From Kampung Boy to the Helm of Parliament yang diterjemahkan Tuan Yang di-Pertua -Daripada Seorang Budak Kampung Sehingga Menjadi Peneraju Parlimen.
Buku terbaru ini adalah kesinambungan buku beliau sebelum itu yang diterbitkan pada tahun 2010 bertajuk Meniti Zaman. Kedua-duanya diterbitkan oleh penerbit yang sama ,R A Fine Arts.
Jika kali pertama dilancarkan di PWTC, kali ini dilancarkan di Dewan Banquet,Bangunan Parlimen Malaysia pada bulan lepas.
Kami terlibat dengan kedua-dua pelancaran ini dan kali ini lebih bermakna kerana kami berkesempatan membuat persembahan di bangunan keramat Parlimen Malaysia.
Buku terbaru ini selain catatan hidup beliau (ada yang dapat dibaca di dalam Meniti Zaman) ,banyak tulisan menarik dikutip sepanjang beliau menjadi Yang di-Pertua Dewan Rakyat. 
Catatan-catatan menarik ini sangat penting untuk kita memahami proses demokrasi Malaysia dan seterusnya memperkayakan lagi khazanah dokumentasi detik-detik penting negara.
Tahniah Tan Sri!

Saturday, September 29, 2012

Angin September

September betul-betul menjadi bulan yang sibuk buat Dewangga Sakti. Jika dikira sehingga 30 September, kami membuat persembahan sebanyak lapan(8) kali. Satu jumlah yang besar dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain pada tahun ini.
Ada persembahan hari raya,persidangan, sambutan Hari Malaysia, majlis perkahwinan,makan malam korporat,samputan hari lahir Pembesar Negeri dan juga kelmarin dengan Fundamental Freedom Fringe Fest (4F) di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) anjuran Majlis Peguam sempena Konvensyen Undang-Undang Kebangsaan dan diselenggarakan oleh kolektif Frinjan yang banyak menganjurkan siri-siri kemandirian seni dalam pelbagai bentuk.
Kesibukan ini sedikit sebanyak dapat membantu pembentukan kumpulan yang sentiasa bersedia mengharu-birukan pentas dan seperti matlamat kami sejak dulu adalah memainkan muzik kami di apa jua program yang sesuai (tidak terhad kepada majlis tertentu sahaja).
Muzik tradisional perlu disuburkan tidak kira waktu dan majlis.
Hasrat kami hanya ingin bermain serta mengembangkan aliran muzik yang kami suka dan kami berharap semuanya akan terhibur.

Saturday, August 11, 2012

Ramadan

Sudah beberapa tahun kami tidak memenuhi undangan persembahan ketika majlis berbuka puasa. Di antara faktornya adalalah kebanyakan penganjur meminta kami bermain selama sebulan (20-26 hari sebulan) yang amat sukar kami penuhi disebabkan kekangan kerja dan hal-hal lain. Lagi pun kami tidak begitu cenderung mengambil tempahan pada bulan puasa.
Bagaimana pun pada edisi Ramadan kali ini, kami melapangkan diri memenuhi undangan berbuka puasa.
Yang pertama adalah undangan daripada Global Movement of Moderates Foundation (Yayasan Gerakan Wasatiyyah Sejagat) yang bertempat di Royal Chulan, Jalan Conlay.
Yang keduanya adalah undangan daripada Ibu Pejabat Polis(IPD) Petaling Jaya. Ini merupakan kali pertama kami ke IPD untuk membuat persembahan  dan merupakan cita-cita kami untuk tampil membuat persembahan di merata tempat dan institusi.
Selamat berpuasa kepada umat Islam.

Persembahan sana sini sinun

Beberapa persembahan dipenuhi sepanjang Jun dan Julai. Di antaranya penampilan di Malaysia Hari Ini(MHI) TV3 pada penghujung Jun. (Kali terakhir kami di MHI pada tahun 2008)
Seminggu selepas itu kami terlibat dengan Malam Puisi Riong Edisi Khas sempena sambutan ulang tahun ke-55 Berita Harian di Tasik Titiwangsa.
Kemudian kami juga dijemput untuk memeriahkan pertandingan lagu jalanan anjuran Roketkini di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya(MBPJ) yang mana kami bermain di sebelah petang.

Friday, June 22, 2012

Le Marche de France

Kali terakhir kami ke Alliance Francaise pada awal tahun 2009 di mana Alliance Francaise Kuala Lumpur (AFKL) berbesar hati menganjurkan ‘showcase’ Dewangga Sakti. Ketika itu kami memainkan kira-kira 14 buah lagu terdiri daripada rangkaian lagu-lagu tradisional dan lagu-lagu daripada EP kami yang keluar di tahun sebelumnya. Kemeriahan ketika showcase tersebut masih terasa walaupun penataan teknikalnya amat minima.
Alliance Francaise(http://kl.alliancefrancaise.org.my) adalah sebuah organisasi yang mempromosikan bahasa dan budaya Perancis di seluruh dunia dan ditubuhkan di Paris tanggal 21 Julai 1883. Ia diasaskan oleh saintis Louis Pasteur, diplomat Ferdinand de Lesseps, penulis seperti Jules Verne & Ernest Renan dan penerbit Armand Colin.
Setelah tiga tahun kami tidak ke sana, Sabtu lepas menjadi penampilan terbaru Dewangga Sakti memeriahkan Le Marche de France (atau French Market) di Alliance Francaise. (Nama kami juga sudah berubah di flyers menjadi De Wangga Sakti haha).
Persembahan kali ini tidak dapat dihadiri kesemua ahli. Jadi,kami perlu memaksimakan keupayaan instrument yang ada –violin, gambus dan dua perkusi. Kesudahannya lagu pertama kami hampir sepuluh minit. Lagu yang kami rasakan sesuai dipanggil proses (di dalam proses) yang sentiasa berubah-ubah. Sehinggakan pengacara majlis bertanyakan kami (setelah lima minit kami memainkan lagu tersebut) adakah kami sudah memulakan persembahan kerana beliau ingin mengumumkan nama kami di hadapan khalayak.
Dua lagi kumpulan yang membuat persembahan sebelum kami adalah Ferns dan Arabella.
Sistem bunyi yang baik disediakan oleh Mokhtar daripada I Seek Music Studio.
Terima kasih AFKL dan Mokhtar!

Saturday, May 26, 2012

Rock The Youth 2012

Dewangga Sakti akan terlibat untuk program ini pada hari Sabtu 26 Mei 2012. Kami akan bermain jam 8:30malam.
Tempatnya Komples Belia dan Kebudayaan Selangor, Seksyen 7, Shah Alam.
Ini juga adalah persembahan sulung pada tahun ini.