Wednesday, October 18, 2006

Sapporo


Sapporo Grand Hotel dibina pada tahun 1934 di tengah-tengah bandaraya Sapporo, ibu negeri kepada Hokkaido ,pulau yang terletak di utara Jepun. Hotel ini merupakan hotel pertama dibina di Hokkaido atas cadangan Putera Chichibu yang datang untuk sukan ski pada tahun 1928. Cadangan beliau supaya dibina hotel yang berkonsepkan stail barat di Sapporo.

Pembiayaan hotel ini dibahagikan kepada dua- kerajaan dan swasta. Pembinaannya menelan belanja sebanyak 800,000 yen. Corak dan penyeliaan hotel ini adalah di bawah pengawasan kerajaan tempatan Hokkaido.

Sapporo Grand Hotel dibuka secara rasmi sebagai hotel swasta pada 11 Disember 1934. Asalnya ketika dibuka hotel ini hanya lima tingkat serta satu tingkat di bawah tanah dan mempunyai menara di atasnya. Bangunan ini merupakan kebanggaan penduduk Sapporo yang berjumlah seramai 200,000 orang ketika itu. Menariknya, hotel ini merupakan bangunan tertinggi di Sapporo ketika itu. Sekarang hotel ini mempunyai 17 tingkat dan dua tingkat di bawah tanah dengan 562 unit bilik.(asalnya hanya mempunyai 51 bilik)


Ketika Sukan Olimpik Musim Sejuk dianjurkan di Sapporo daripada 3 hingga 13 Februari 1972, Sapporo Grand Hotel menjadi hotel utama yang menjaga hal ehwal pemakanan kepada perkampungan atlit yang mengambil bahagian. Hotel ini juga bertanggungjawab menjaga makanan kepada Maharaja dan Maharani yang menghadiri pembukaan sukan ini. Ketika pasangan diraja ini menghadiri acara sukan lompatan ski di Okurayama, kotak makanan mereka terus dihantar ke tempat tersebut.

Di hotel inilah ,semua delegasi negara-negara Asia Tenggara yang menyertai ASEAN Tourism Fair 2006 menginap. Delegasi Malaysia seramai lima orang ditempatkan di tingkat enam. Kami sangkakan seperti di Taiwan kami akan berkongsi bilik seramai dua orang. Rupa-rupanya setiap orang diberikan satu bilik. Penterjemah kami, Kaji Junko juga menginap di hotel yang sama.

Hotel ini memang menarik perhatian kami dengan susun atur dan corak yang agak ‘old-school’ dan perabut yang agak klasik. Bayangkan anda melihat satu perkakas lama untuk radio dan alat pengawal penghawa dingin(sila rujuk foto bertanda Sapporo 1). Hati-hati bila anda ingin ke tandas dan menggunakan ‘flush’.Bunyinya sampai ke bilik sebelah. Pernah kami diketuk pintu oleh petugas hotel kerana alunan muzik yang kami mainkan mengganggu ketenteraman penyewa di bilik berdekatan. Padahal, kami bermain amat berhati-hati dengan kadar yang perlahan. Mungkin juga kadar ‘sound proof’ bilik yang biasa dan paluan rebana menghasilkan bunyi yang bergema telah mengakibatkan satu ketukan di pintu! Sejak itu,kami tidak bermain muzik di bilik lagi.

Berdepan dengan hotel ini adalah Pejabat Pos Sapporo.Tidak jauh daripada hotel (satu atau dua minit berjalan kaki) adalah bangunan pentadbiran lama Hokkaido yang dibina pada tahun 1889(sila rujuk foto bertanda Sapporo 2). Bangunan berwarna merah (dipanggil Red Brick)ini menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara jika berkunjung ke Sapporo. Di dalamnya terdapat banyak maklumat berkenaan Jepun,Hokkaido dan bandaraya Sapporo di samping gambar,perkakas lama yang dipamerkan di dalamnya. Malangnya semua maklumat di dalam bahasa Jepun.

Pada tahun 1970, Sapporo diisytiharkan sebagai bandaraya kelapan di Jepun populasi penduduknya mencecah satu juta. Sekarang populasi penduduknya adalah seramai 1.8 juta orang. Sebelum penghijrahan beramai-ramai masyarakat Jepun dari selatan, pulau Hokkaido dihuni oleh suku kaum asli Ainu (maksudnya manusia di dalam bahasa mereka) yang sekarang sukar untuk dibezakan kerana proses asimilasi yang berlaku. Suku kaum Ainu dikatakan berasal daripada Proto-Mongoloid utara yang menghuni Asia Tengah dan Timur (antara yang dikatakan berasal daripada tempat yang sama adalah penduduk asal Taiwan dan pulau Ryukyu-Jepun). Tidak ramai yang boleh bertutur bahasa Ainu lagi ketika ini.

Antara tempat tumpuan pelancong di Sapporo adalah Taman Odori (Odori Park) berdekatan hotel ini (dua minit berjalan kaki). Terdapat arca di tepi air pancut yang berlatarbelakangkan Menara TV(dibina pada tahun 1951) yang seakan-akan Menara Eifell di Paris(sila rujuk foto bertanda Sapporo 3). Tempat lain adalah Menara Jam ( Clock Tower-sila rujuk foto bertanda Sapporo 4) yang dibina pada tahun 1878. Bangunannya bercirikan Amerika dan jamnya buatan Amerika penghujung abad ke 19. Di dalam bangunan ini terdapat muzium kecil yang memaparkan aspek sejarah tempatan. Asalnya dibina untuk Kolej Pertanian (sekarang Universiti Hokkaido). Bangunan ini dijaga dan dikawal sebagai satu bangunan kebudayaan yang bersejarah dan menjadi satu simbol kepada bandaraya Sapporo.

No comments: