Showing posts with label Amcorp Mall. Show all posts
Showing posts with label Amcorp Mall. Show all posts

Monday, September 22, 2008

Amcorp Blues

Syamsulfaiz membuat penampilan terakhir bersama Dewangga Sakti di Amcorp Mall minggu lepas. Selepas ini kemungkinan beliau akan menyertai kumpulan tarian gelek di Dubai setelah berpindah ke sana selepas AidiFitri ini.
Sesi pertama semua ahli hadir. Di sesi kedua,aku terpaksa pulang kerana mempunyai urusan dengan pemaju perumahan yang korap dan menipu rakyat.
(Ya Allah,semoga Kau menyenangkan urusan kami di dalam pertarungan ini dan mengurniakan Malaysia yang aman daripada penipu dan perosak masyarakat!)
Berbalik kepada persembahan di Amcorp Mall,kami amat berbesar hati persembahan kami disaksikan bekas Timbalan Dekan kami suatu waktu dahulu, En Khair Ngadiron yang kini menjawat jawatan CEO di ITNMB. Beliau juga membeli CD kami.
Ahli-ahli yang lain berbuka puasa di Amcorp Mall bersama keluarga masing-masing. Ahli termuda pula membawa calon orang rumah untuk diperkenalkan kepada anggota kumpulan.

Tuesday, November 20, 2007

Lambaian Pohon Kelapa


Jikalau abang merindu
Sebutlah oh namaku
Lihatlah di bulan biru
Di sana tentulah bertemu
(Lagu Jikalau abang Merindu- Asiah)

Wow! Lagu-lagu ini amat fantastik! Bisa bikin hati girang.Hilang duka dan terasa ingin berdansa. Ini satu mutiara yang tersimpan nun jauh hanya di dalam piring hitam dan hanya boleh didengar di Radio Klasik Nasional (atau mungkin sesekali di siaran radio yang lain).

Amboi nona jangan lah marah
Janganlah masam muka
Kalau nona senyum ketawa
Sungguh manis dipandang mata
(Lagu Jangan Marah- Jasni)

Tetapi jangan cepat berasa sedih. Lagu-lagu ini telah disalin daripada piring hitam ke cakera padat(CD) dan dijual di Flea Market,Amcorp Mall. CD yang dibeli kami ini (Syamsul sebenarnya) adalah daripada salinan piring hitam bertajuk Lambaian Pohon Kelapa (Swaying Malayan Palm) dan mengandungi sepuluh buah lagu yang amat catchy dan membuai kalbu. Oh! Seronoknya!

CD ini menampilkan dendangan primadona Asiah dan Jasni. Pasangan yang menarik dan mempesonakan.

Eh dia tengok kita
Eh Dia main mata
Aduh mak senyum lagi
Amboi nona manis sekali
(Lagu Putri Remaja dendangan Jasni)

Piring hitam ini dirakam dan diterbitkan oleh The Gramophone Company Ltd di dalam bentuk LP (Long Play) dan tertera dibawahnya Singapore –Kuala Lumpur –Penang. Lagu-lagunya seperti berikut Jikalau Abang Merindu,Mengapakah Laguku,Kampong Nelayan,Meo meo, Chinta sama Chinta,Nak Dara Jelita,Menari Calypso,Jangan Marah,Putri Remaja dan Tari Bunga Rampai.
Untuk pencinta kucing seperti Syamsul adalah sesuai mendengar lagu bertajuk Meo Meo dengan bunyi kucing di permulaan lagu dan menceritakan tentang gelagat seekor kucing. Sungguh menarik sekali senikatanya dan jikalau ada seekor kucing mendengar pasti dia akan mengiau-ngiau dan akan menari cha cha.
Lagu-lagu di dalam CD ini banyak mempunyai pengaruh jazz,latin,cha-cha,mambo, dan lain-lain lagi. Tidak ada bunyi rentak lagu tradisional di dalamnya. Apa yang membezakannya adalah corak dan alunan penyampaian vocal mereka mempunyai nuansa Melayu yang kuat. Tidak keterlaluan jika kita mengatakan mereka berjaya membuatkan corak muzik di atas begitu dekat dengan hati kita. Misalnya Tari Bunga Rampai yang menjadi lagu wajib ketika majlis keramaian dan perkahwinan boleh dibawa di dalam irama inang dengan penuh bergaya.
Ini sebenarnya menjadi latar banyak lagu-lagu P Ramlee dan lagu-lagu di tahun 40 dan 50an. Jadi tidak benarlah orang Malaysia tidak dekat dengan muzik jazz atau latin kerana sejak sebelum Merdeka ,mereka telah didedahkan dengan muzik sebegini. Malah muzik Seniman Agung P Ramlee juga lebih banyak latar muzik begini daripada muzik asli Melayu yang biasa kita fahami.

Tabik kepada bangsa angkasa!Kami akhiri dengan lagu Tari Bunga Rampai.

Tari Bunga Rampai

Music by : Yusoff B
Lyric by : S. Sudarmaji
Singer : Jasni (1959), Gaya Zakry (1982), Faridah M. Amin (80’s)
Salam kita mulakan
Bunga rampai mari taburkan
Agar tari menari rancak gembira dan berseri
Andai seni budi budaya kita asli bermutu tinggi

Bunga rampai ditabur-tabur
Hati longlai jadi terhibur(2x)

Rampai sibunga rampai
Direnjis mawar harum wangi
Tari lemah gemalai agar majlis nampak berseri
Lenggang gaya melenggang sungguh cantik ia menari

Bunga rampai harum berbau
Biar lerai hati yang rindu(2x)
Salam kita mulakan
Bunga rampai mari taburkan
Agar tari menari rancak gembira dan berseri
Andai seni budi budaya kita asli bermutu tinggi

Bunga rampai ditabur-tabur
Hati longlai jadi terhibur
Bunga rampai harum berbau
Biar lerai hati yang rindu

Monday, September 24, 2007

Apek yang hebat di Amcorp


Oh! Hari yang indah di Amcorp Mall! Meskipun sistem bunyinya ala kadar tetapi keseronokan dapat dirasakan bila persembahan dihargai dan diiringi oleh seorang lelaki(apek) peniaga buah yang memberikan sepenuh sokongan kepada kami. Tanpa menghiraukan orang ramai yang berpusu-pusu masuk ke pusat membeli belah itu,beliau akan menari dan menyanyi di depan pentas.
Kami sudah merasakan sesuatu bila menjelang set kedua persembahan kami pada jam lima petang,beliau menghampiri kami dan meminta kami memainkan semula lagu nyanyian Theresa Teng- Tian Mi Mi (di sini dikenali sebagai Dayung Sampan).Beliau menghampiri kami dan berkata,"Ini lagu kalau main bukan Malaysia sahaja,tetapi satu dunia suka.Nanti nyanyi lagu ini!".Kami tahu beliau merujuk kepada lagu Tian Mi Mi kerana di set pertama beliaulah orang yang paling kuat memberikan tepukan.
Nah! Bila Mohsen melihat gelagat apek ini,microphone dihulurkan ketika kami memainkan lagu Tian Mi Mi.Apa lagi? Beliau menyanyi dengan sepenuh perasaan senikata berbahasa Mandarin sambil melaungkan Malaysia dan Malaysia boleh!Kemudian bendera Malaysia dihulurkan kepada Mohsen.
Keadaan menjadi tidak terkawal dan menceriakan pengunjung lain yang menyaksikan persembahan kami.Kami tidak dapat menahan daripada ketawa melihat gelagat beliau yang mencuit hati.
Selain lagu malar segar tradisional,kami juga memperkenalkan tiga buah lagu ciptaan kami sendiri. Ketika Mabok Kepayang dipersembahkan,kelihatan pelakon teater terkenal Jit Murad di tepi pentas.
Sebelum persembahan di set kedua kami sempat menjengah flea market di tingkat bawah kompleks tersebut.Selesai persembahan kami juga pergi menjenguk Kedai Buku BookXcess. Kebanyakan buku(baru-bukan secondhand) dijual dengan harga yang murah(di bawah harga pasaran) dan kami sempat membeli beberapa buah buku untuk persediaan berperang nanti.
Amcorp! Ah! Tunggu kami semula pada 4 dan 7 Oktober nanti.
Nota lain untuk rocky: ini cerita tentang 'perempuan lama' yang dituturkan penjaga kucing Klang Gate. Ketika latihan beliau ingin menerangkan tentang stail nyanyian artis wanita di tahun 50an."Nyanyi macam stail perempuan lama yang aku dengar dkt Klasik Nasional!"
-Terima kasih kpd Zaidi dan temannya,Iznan atas sokongan.Tiga ekor panda akan dihantar ke rumah anda sebagai tanda terima kasih kami.
-Oh ya! Persembahan di Maju Junction pada 19hb Sept berjalan dengan lancar.Cuma Syamsul tidak hadir kerana kucingnya terpaksa dihantar ke pakar haiwan