Showing posts with label Selera Makan Benjamin. Show all posts
Showing posts with label Selera Makan Benjamin. Show all posts

Friday, January 22, 2010

Selera Makan Benjamin

Sudah lama berita mengenai Selera Makan Benjamin (SMB) yang mula diceritakan dahulu pada tahun 2007 tidak dikemaskini di sini. Setelah pemiliknya berhijrah ke negara padang pasir, kafe menjadi sunyi ,sesunyi Pak Abdul setelah ketinggalan kapal angkasa.
Ada kemungkinan kafe akan kembali ceria setelah proses pengambilalihan dimuktamadkan oleh peguam syarikat, Wah Yun Kua.
Baca berita lama di sini

Monday, April 14, 2008

Selamat hari lahir,Syam!

"Nama saya Along",begitulah tegur seorang remaja lelaki berkulit hitam manis ketika aku sedang bersantai di Kedai Rugged Shop ,Kompleks Campbell. Aku ketika itu sedang menunggu kemasukan tahun dua matrikulasi di UIA.Cuti semester Jun 1994.
Di dalam hatiku mengatakan apa bangang nama budak ni Along! Along bin apa? (Selepas itu baru aku tahu namanya Syamsulfaiz). Mesra kami berbual diperhatikan adiknya yang masih bersekolah. Daripada perbualan,barulah kutahu rupa-rupanya Syamsul ini diterima memasuki pusat matrikulasi UIA untuk program Undang-undang.
Kedai itu merupakan tempat pertemuan penggemar irama berat (thrash,death,black,grindcore dll) dan tiba-tiba terpacul budak ini daripada Tanjong Malim memakai baju Rotting Christ (kalau tidak silap). Fuh! Gila juga budak ini!
"Di UIA ada band?",soal budak ini lagi memecahkan kebuntuan.Aku tahu maksudnya kumpulan metal berat -bukan metal ala XPDC. Metal dengan acuan senikata spiritual,alam ghaib,kematian dan kemusnahan.
Aku tidak pasti apa yang kukatakan tetapi enam bulan selepas itu setelah melalui proses ujibakat dan ritual yang tidak bertentangan akidah(dan juga persetujuan seorang lagi komando iaitu Tamlikha-yg kini menjadi pegawai kerajaan di Johor), beliau diterima untuk menganggotai kumpulan muzik Death Metal pertama di UIA iaitu Cryptic Malediction.Inilah bentuk muzik berat dengan suara gergasi,bunyi gitar bingit dan paduan dram double pedal yang menggigit.Kumpulan ini telah mengeluarkan demo pada tahun 1995, EP pada tahun 1998 dan sebuah album penuh pada tahun 2003. Bersama-sama Chronic Mass (senior) dan Indamnation (yang lahir selepas itu),mereka menjadi pelopor irama berat dan membina jaringan muzikal yang kuat di kalangan peminat kampus dan juga serata Malaysia.
Sepanjang penubuhan sehingga tahun 2000(tahun terakhir aktif),mereka telah bermain di KL, Pulau Pinang, Johor Baharu,Seremban dan Melaka. Mereka juga pernah dijemput ke Bandung pada tahun 2000 tetapi terpaksa membatalkannya kerana masalah kewangan (tetapi di internet kononnya kerajaan Malaysia melarang kerana masalah reformasi!ha ha).Satu lagi fakta yang tidak diketahui ramai adalah sejurus merakamkan satu lagu tentang Pasir Salak di Studio Tricastle (milik King Shah MetalAsia) ,mereka telah dijemput untuk mengadakan persembahan di sebuah 'funfair' (sekali lagi- funfair!ha ha) di Senawang untuk menjadi kumpulan pembuka untuk MetalAsia.
Satu kejadian menarik di surau berdekatan tapak funfair di mana Syamsul yang amat jujur dan lurus telah ditanya oleh seorang pakcik . Beginilah perbualannya.
"Datang dari mana?"
"UIA"
"Buat apa kat sini?"
"Ada program di funfair"
"Apa lagi? Pergi lah azan!"
Funfair dibuat pada hari Rabu.Hanya dua puluh orang menonton! Lebih sedikit daripada filem 'Rock'.
Aku tahu Syamsul memang terdidik dgn penuh keagamaan.Tambahan pula boleh berbahasa Arab dengan baik,tetapi bila disuruh oleh pakcik tersebut,mukanya merah menahan malu kerana puncanya pakcik tersebut mendengar nama UIA.Sahbulah(gitaris) yang sekarang menjadi wartawan yang baik di Utusan Malaysia menahan diri daripada ketawa. (ha ha ha )
Itulah Syamsul!Berkenalan dengan beliau mesti ada lawak-lawak yang tidak terduga. Sebenarnya beliau tidak lah lawak secara peribadi tetapi situasi telah memerangkap beliau menjadi lawak.
Hari ini Syamsul menyambut hari lahir ke 32!Setelah 14 tahun,kami masih berkawan dan telah melalui transformasi secara peribadi dan muzikal. Kami rasakan bahawa kami telah melalui proses transformasi muzikal yang tidak dapat kami terangkan dengan betul kerana daripada muzik berat death metal telah beralih arah ke muzik tradisional seperti berputar 360 darjah.
Persahabatan kami adalah tulus dan ikhlas. Asalnya muzik terus berkembang kepada perkara-perkara yang lain yang menyebabkan kami amat akrab meski pun adakalanya bertekak dan tidak berkongsi pandangan yang sama. Mungkin tidak seperti teman-teman rapat kami yang sudah berada di alam politik (bersama Menteri dsbnya) dan hanya menelefon untuk bertanyakan nombor telefon teman-teman yang lain(yg mereka tidak simpan dan menelefon untuk minta bantuan teman-teman tersebut untuk urusan yang menguntungkan!). Bila panggilan dibuat mengatakan sibuk dan banyak urusan. Hasilnya jadi mereka manusia politik yang menggunakan kawan-kawan untuk kepentingan diri sendiri.
Selamat Hari Lahir,Syamsul! Kami semua sayangkan kamu! ha ha ha
Baca entri beliau di sini
Nota : gambar pada tahun 2000 ketika kami masih di alam muzikal berat.

Thursday, April 10, 2008

Selera Makan Benjamin yang 'cool'

En Syam mempunyai versi tersendiri berkenaan persembahan di PWTC tempohari.
Sila lihat di sini

Friday, March 28, 2008

Selera Makan Benjamin kembali

Akhirnya,pemilik Selera Makan Benjamin membuka laman blog sendiri. Setelah diprovok oleh rakan-rakan dan Mr Cohong yang kacak,dia telah berjaya!
Kami tidak mengemaskini cerita tentang kafe tersebut kerana sejak akhir-akhir ini, perkhidmatannya sudah tidak semesra dahulu.Teguran demi teguran telah diajukan kepada Mr Syam. Nampaknya berhasil dan dia telah sepakat memecat pengurus dan tukang masak Selera Makan Benjamin mengakibatkan kafe terpaksa ditutup selama dua bulan bermula sejak hari raya cina.
Harapan kami kafe akan bernafas semula dan ruang kafe akan menjadi lebih luas dan selesa.

Friday, February 15, 2008

Parti Politik baru

Sebuah parti politik baru telah ditubuhkan dengan nama Parti Panda Nasional(PAPAN) atau lebih dikenali dengan singkatannya iaitu PAPAN.
*Gambar kelihatan Presiden KEPANA merangkap orang kuat PAPAN di samping panda peliharaannya

Thursday, January 03, 2008

Sayalah lelaki itu!

Suasana riang di Selera Makan Benjamin menjadi riuh rendah dengan pengumuman Syamsul yang meletak jawatan sebagai Presiden KEPANA(Kelab Panda Nasional) di sidang akhbar yang diadakan semalam.
“Saya merasa terpanggil untuk meletakkan jawatan di atas sebab yang saudara semua sedia maklum.”, begitu awal pembuka bicara.
“Memang sayalah lelaki di dalam video tersebut!” .
Kafe yang riuh rendah menjadi sunyi. Kelihatan mata beliau berkaca.
Norman yang berada di sebelah beliau di meja itu tidak dapat menahan sebak. Penyiasatan belum dijalankan dan video itu belum disahkan ketulenannya. Kenapa Syamsul sudah membuat pengakuan?Begitu fikir Norman yang melihatnya sebagai peluang yang baik untuk menjadi Presiden. Setidak-tidaknya Irwan jejaka akordian pun boleh merampas kuasa.
“Tetapi kenapa kualiti videonya teruk sangat? Model kamera video apakah yang digunakan?”
Demikian penjelasan Syamsul yang seterusnya sambil disambut dengan gelak tawa daripada semua yang hadir di majlis tersebut.
Rakaman video yang dimaksudkan adalah rakaman seorang lelaki yang melempang panda di sebuah taman haiwan. Puncanya kerana panda itu tidak mahu makan maggi yang disediakan. Sumber awal memberitahu makanan ruji panda iaitu rebung dan pucuk buluh tidak dapat disediakan kerana telah habis dan mereka kehabisan stok. Puncanya kerana banyak pokok buluh telah ditebang untuk membuat alatan kraf dan seruling buluh.
Syamsul memberitahu dia tidak dapat menahan perasaannya kerana sehari sebelumnya panda yang sama telah mengganggu kucing parsinya yang bernama Smoky. Smoky ketika ini telah dihantar ke pusat jagaan kucing di Bukit Antarabangsa kerana cedera di bahagian perut.
“Minta maaf tuan-tuan.En Syamsul tidak akan melayan soalan.Jika ada sila hantar ke alamat email beliau.Minta maaf ya!”
Demikian pengumuman pengerusi majlis, Mohsen yang baru pulang dari Tasik Pedu dan dalam keadaan tergesa-gesa dipanggil pengurus kafe untuk menjadi pengerusi.
Pengumuman siapakah pengganti Syamsul akan dibuat esok setelah ahli majlis tertinggi KEPANA bermesyuarat malam ini.
Siapakah akan menjawat jawatan tersebut?

Wednesday, January 02, 2008

Tahun sahaja baru

Kami mengucapkan selamat tahun baru Masihi untuk semua.Semoga tahun baru menerbitkan semangat dan kita dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik.InsyaAllah.

Wednesday, November 14, 2007

Selera Makan Benjamin

Hari Jumaat dua minggu lepas,aku telah dihubungi oleh Norman.Dalam nada kekaguman beliau memberitahu,"Eh!Itu raja lawak bangsa angkasa sudah buka kedai makan yang hip dan trendy"
"Apa benda hip dan trendy tu?"
"Dia sudah buka kedai makan Selera Makan Benjamin,"jawab Norman sambil menambah lagi," Fuyoh!Mi kolok dia memang menyelerakan!"
Kami berdua dengan tidak mempedulikan bangsa angkasa lain telah berkunjung ke kedai yang dimaksudkan dan kebetulan beliau sedang membuat air bandung (yang tidak ada pun di Bandung,Indonesia) yang boleh diisi semula oleh pelanggan sebanyak mana yang disukai.
Nun di sudut khas sebelah kiri kedai tersusun sebuah rak buku mengambil inspirasi Kafe Bookworms di Chengdu. Jumlah buku yang didermakan teman-teman sudah berjumlah 666 buah dan akan bertambah dari semasa ke semasa.
Patutlah beliau sentiasa tersenyum sejak kebelakangan ini.Disamping menyambut orang baru iaitu cahayamata pertama yang dijangka lahir minggu hadapan,beliau masih lagi sempat menambah pendapatan dan memberikan inspirasi kepada bangsa angkasa (dan bumi) yang lain.
"Apa menu yang menarik di sini?"
"Sini macam-macam ada! Mi kolok Sarawak (kerana isterinya berasal dari Sarawak), nasi dagang(kerana desakan kawannya), mi bandung, nasi lemak Klang Gate dan macam-macam lagi lah!"
Kami tertarik mencuba nasi lemak Klang Gate.Ternyata nasi ini memenuhi resepi yang kami idamkan.Lemak dan sambalnya membuatkan kami menambah sehingga lima pinggan setiap seorang!
Harganya? Di sini tidak ada harga,kata empunya kedai,"Pelanggan boleh membayar berapa sahaja harga!"
Kami berlalu pergi setelah mengenakan kopi latte dipadankan dengan aiskrim Haagen Dazs.Sungguh enak,hingga lupa kunci kereta tertinggal di atas meja.
bersambung....