Showing posts with label Sapporo. Show all posts
Showing posts with label Sapporo. Show all posts

Tuesday, August 31, 2010

Cintanya Jatuh di Sapporo


"Zul,kau dah tahu dah?"

"Aku.... "

"Ok. Aku dah agak dah! haha"
Itu kisah sekembalinya dia ke tanahair setelah program di Sapporo,wilayah Hokkaido di utara Jepun.
Dianjurkan Pusat ASEAN-Jepun,program tahunan dikenali Pesta Pelancongan ASEAN ini menampilkan sepuluh buah negara Asia Tenggara yang akan menghantar peserta seramai lima orang yang terdiri daripada seorang pegawai ,tiga pemuzik/penari dan seorang demonstrator.
Ini kisah empat tahun lepas di mana ini kali kedua kami berpeluang ke luar negara bersama Pelancongan Malaysia. Kali pertamanya dua minggu sebelum itu ke Taipei,Taiwan. Apa yang menarik adalah di waktu orang sibuk berbuka puasa hari pertama,kami sudah bergegas ke KLIA untuk penerbangan kami ke Jepun.
Di ramadan ini kenangan datang lagi mengingatkan Sapporo yang kami kunjungi empat tahun yang lalu dan juga kiriman emel terbaru daripada penterjemah kami, Kaji Junko yang memberitahu seramai 100 orang warga tua meninggal dunia di Tokyo kerana cuaca yang terlalu panas sekarang. Ketika kami ke sana cuacanya berlegar di antara 12- 18 darjah selsius.
Dan di sini lah cintanya jatuh. Nun jauh di utara Jepun di wilayah Hokkaido bersama hembusan dingin Hotel Sapporo dan suara Kyu Sakamoto mendendangkan Ue Muete Aruko.
(bersambung tahun depan atau bila watak di dalam cerita ini menghubungi kami)

Wednesday, February 21, 2007

Japanese hospitality

Catatan 3- Japanese hospitality

Mengikut perangkaan pada tahun 2004, terdapat seramai sejuta orang rakyat Jepun yang berumur 90 tahun dan ke atas. Kadar kelahiran bayi adalah rendah di negara matahari terbit itu ketika ini. Statistik 2004 itu juga menunjukkan ramai warga tua di Jepun.Ini ketara ketika kami di tempat pameran berlangsung. Ramai warga tua yang mengunjungi tempat pameran ASEAN Tourism Fair di tingkat 9, Pusat Membeli belah Tokyu tersebut. Ketika kami membuat persembahan, saya pasti tiga perempat daripada penonton adalah warga tua yang saya kira berumur melebihi 50 tahun.Mungkin lebih tua.

Sangkaan saya hanya di hari-hari awal tetapi perkara ini berlanjutan sehingga hari terakhir. Selepas tiga hari, orang-orang muda juga kelihatan turut sama memeriahkan tempat pameran. Walaupun ramai warga tua, saya melihat mereka ini amat aktif dan gemar berjalan. Kelihatan fizikal mereka masih sihat.

Mereka juga ‘passionate’ mengambil gambar. Kamera mereka? Pastinya model terbaru buatan Jepun yang bermutu tinggi. Di sana, barangan seperti kamera digital ,kamera video serta barangan elektrik lain adalah amat murah. Tidak hairan melihat mereka memperagakan model terbaru.

Satu insiden menarik berlaku pada malam terkahir kami di Sapporo. Pada malam itu,kira-kira 5:30 petang (selepas berbuka puasa dan solat maghrib) saya bersama-sama Siti (Tourism Malaysia) dan Kak Hawa (delegasi Singapura) ingin pergi ke sebuah gedung membeli belah yang menjual pelbagai fabrik Jepun dikenali sebagai Kanariya. Menurut seorang petugas hotel, tempatnya tidak jauh dan berdekatan kedai 100 yen (100 yen bersamaan RM3.10-macam kedai 2 ringgit) yang menjual banyak barangan dengan harga yang murah.

“Jika ingin lebih senang”,kata petugas hotel ini lagi, “tanya sahaja orang tua yang ditemui di jalanan”. Betul ke? Terkejut kami mendengarnya. Ini mungkin Kanariya popular di kalangan warga tua. Apa lagi nampak sahaja orang tua yang berjalan, kami menyapa di dalam bahasa Inggeris sambil bertanyakan tentang Kanariya. Nampaknya pencarian kami berhasil. Salah seorang warga tua yang disapa menunjukkan kami jalan ke sana. Tapi opps! Tunggu dulu! Nampaknya dia pun seakan-akan lupa dan dia pula bertanyakan orang-orang lain di tepi jalan yang dilalui.

Tanpa diminta dia membawakan kami ke tempat yang ditujui. Jauh juga nenek ini bawa kami berjalan, bual kami ketika mengikut beliau. Rupa-rupanya tempat ini tidak begitu jauh. Cuma terlindung di sebalik bangunan yang lain. Setelah dia menghantar kami ke situ, dia beredar pergi sambil bercakap di dalam bahasa Jepun. Sepatah haram pun kami tidak faham. Apa yang pasti kami telah sampai ke tempat yang ditujui. Kami mengucapkan ‘arigato gozaimas’ atas khidmat sosial nenek yang amat prihatin ini menambahkan lagi kekaguman kami kepada masyarakat Jepun yang amat tinggi budi bahasanya.(Ada ke kempen budi bahasa di Jepun?)

“Laju juga nenek ni berjalan”,kata saya setelah dia pergi.

“Kita wajib beli kain kat sini. Penat nenek ni bawa kita ke sini”, balas Kak Hawa.

Pencarian bermula. Kanariya kami jelajahi setiap tingkat. Gedung ini ada tiga tingkat dan banyak menjual fabrik tempatan dan import yang bermutu tinggi. Harganya boleh tahan bergantung kepada kualiti fabrik yang ditawarkan. Ada kain sutera Jepun, polyester, cotton dan bermacam-macam lagi. Terdapat banyak pilihan dengan corak yang pelbagai-banyak corak seperti yang terdapat kepada pakaian tradisional mereka Kimono. Kesudahannya setiap orang membeli fabrik pilihan masing-masing dengan penuh kepuasan.

Thursday, November 23, 2006

Unik




Inilah Abg Muhaimin yang bersama-sama kami ke Sapporo,Jepun. Beliau seorang pengukir kayu berasal dari Temerloh yang banyak membuat kerja-kerja pertukangan kayu di merata tempat di Malaysia,juga di Jepun dan London. Hasil kerja beliau boleh dilihat antaranya di istana,parlimen,mimbar masjid di banyak tempat di Malaysia.Kalau di Jepun,ukiran dan corak Melayu di Restoran Melayu di Tokyo adalah hasil kerjatangannya yang ajaib.
Melihatnya yang begitu tekun mengukir menjadikan kita sedar sebenarnya hasil seni adalah satu benda yang dibuat dengan teliti dan penuh kesabaran. Tiada jalan pintas!

Friday, November 03, 2006

Nostalgia Sapporo








Tiba-tiba ingatan kembali melayang
Mengingatkanmu aku mula gundah
Kenangan itu sukar kupadamkan dari ingatan
Terpahat indah di dalam keabadian

Sapporo...abadi dalam kenangan
Entah bila kita kan bersua kembali

Wednesday, October 18, 2006

Sapporo


Sapporo Grand Hotel dibina pada tahun 1934 di tengah-tengah bandaraya Sapporo, ibu negeri kepada Hokkaido ,pulau yang terletak di utara Jepun. Hotel ini merupakan hotel pertama dibina di Hokkaido atas cadangan Putera Chichibu yang datang untuk sukan ski pada tahun 1928. Cadangan beliau supaya dibina hotel yang berkonsepkan stail barat di Sapporo.

Pembiayaan hotel ini dibahagikan kepada dua- kerajaan dan swasta. Pembinaannya menelan belanja sebanyak 800,000 yen. Corak dan penyeliaan hotel ini adalah di bawah pengawasan kerajaan tempatan Hokkaido.

Sapporo Grand Hotel dibuka secara rasmi sebagai hotel swasta pada 11 Disember 1934. Asalnya ketika dibuka hotel ini hanya lima tingkat serta satu tingkat di bawah tanah dan mempunyai menara di atasnya. Bangunan ini merupakan kebanggaan penduduk Sapporo yang berjumlah seramai 200,000 orang ketika itu. Menariknya, hotel ini merupakan bangunan tertinggi di Sapporo ketika itu. Sekarang hotel ini mempunyai 17 tingkat dan dua tingkat di bawah tanah dengan 562 unit bilik.(asalnya hanya mempunyai 51 bilik)


Ketika Sukan Olimpik Musim Sejuk dianjurkan di Sapporo daripada 3 hingga 13 Februari 1972, Sapporo Grand Hotel menjadi hotel utama yang menjaga hal ehwal pemakanan kepada perkampungan atlit yang mengambil bahagian. Hotel ini juga bertanggungjawab menjaga makanan kepada Maharaja dan Maharani yang menghadiri pembukaan sukan ini. Ketika pasangan diraja ini menghadiri acara sukan lompatan ski di Okurayama, kotak makanan mereka terus dihantar ke tempat tersebut.

Di hotel inilah ,semua delegasi negara-negara Asia Tenggara yang menyertai ASEAN Tourism Fair 2006 menginap. Delegasi Malaysia seramai lima orang ditempatkan di tingkat enam. Kami sangkakan seperti di Taiwan kami akan berkongsi bilik seramai dua orang. Rupa-rupanya setiap orang diberikan satu bilik. Penterjemah kami, Kaji Junko juga menginap di hotel yang sama.

Hotel ini memang menarik perhatian kami dengan susun atur dan corak yang agak ‘old-school’ dan perabut yang agak klasik. Bayangkan anda melihat satu perkakas lama untuk radio dan alat pengawal penghawa dingin(sila rujuk foto bertanda Sapporo 1). Hati-hati bila anda ingin ke tandas dan menggunakan ‘flush’.Bunyinya sampai ke bilik sebelah. Pernah kami diketuk pintu oleh petugas hotel kerana alunan muzik yang kami mainkan mengganggu ketenteraman penyewa di bilik berdekatan. Padahal, kami bermain amat berhati-hati dengan kadar yang perlahan. Mungkin juga kadar ‘sound proof’ bilik yang biasa dan paluan rebana menghasilkan bunyi yang bergema telah mengakibatkan satu ketukan di pintu! Sejak itu,kami tidak bermain muzik di bilik lagi.

Berdepan dengan hotel ini adalah Pejabat Pos Sapporo.Tidak jauh daripada hotel (satu atau dua minit berjalan kaki) adalah bangunan pentadbiran lama Hokkaido yang dibina pada tahun 1889(sila rujuk foto bertanda Sapporo 2). Bangunan berwarna merah (dipanggil Red Brick)ini menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara jika berkunjung ke Sapporo. Di dalamnya terdapat banyak maklumat berkenaan Jepun,Hokkaido dan bandaraya Sapporo di samping gambar,perkakas lama yang dipamerkan di dalamnya. Malangnya semua maklumat di dalam bahasa Jepun.

Pada tahun 1970, Sapporo diisytiharkan sebagai bandaraya kelapan di Jepun populasi penduduknya mencecah satu juta. Sekarang populasi penduduknya adalah seramai 1.8 juta orang. Sebelum penghijrahan beramai-ramai masyarakat Jepun dari selatan, pulau Hokkaido dihuni oleh suku kaum asli Ainu (maksudnya manusia di dalam bahasa mereka) yang sekarang sukar untuk dibezakan kerana proses asimilasi yang berlaku. Suku kaum Ainu dikatakan berasal daripada Proto-Mongoloid utara yang menghuni Asia Tengah dan Timur (antara yang dikatakan berasal daripada tempat yang sama adalah penduduk asal Taiwan dan pulau Ryukyu-Jepun). Tidak ramai yang boleh bertutur bahasa Ainu lagi ketika ini.

Antara tempat tumpuan pelancong di Sapporo adalah Taman Odori (Odori Park) berdekatan hotel ini (dua minit berjalan kaki). Terdapat arca di tepi air pancut yang berlatarbelakangkan Menara TV(dibina pada tahun 1951) yang seakan-akan Menara Eifell di Paris(sila rujuk foto bertanda Sapporo 3). Tempat lain adalah Menara Jam ( Clock Tower-sila rujuk foto bertanda Sapporo 4) yang dibina pada tahun 1878. Bangunannya bercirikan Amerika dan jamnya buatan Amerika penghujung abad ke 19. Di dalam bangunan ini terdapat muzium kecil yang memaparkan aspek sejarah tempatan. Asalnya dibina untuk Kolej Pertanian (sekarang Universiti Hokkaido). Bangunan ini dijaga dan dikawal sebagai satu bangunan kebudayaan yang bersejarah dan menjadi satu simbol kepada bandaraya Sapporo.

Wednesday, October 11, 2006

Laporan ASEAN Tourism Fair di Sapporo,Jepun


ASEAN Tourism Fair 2006 dianjurkan oleh ASEAN-Japan Centre yang berpusat di Tokyo,Jepun. ASEAN-Japan Centre ditubuhkan pada tahun 1981 untuk meningkatkan kerjasama di antara negara Jepun dengan negara-negara Asia Tenggara di dalam bidang pelaburan,perdagangan dan pelancongan.
ASEAN Tourism Fair pula antara objektifnya mendekatkan masyarakat Jepun dengan budaya negara-negara Asia Tenggara. Ini juga bertujuan menggalakkan supaya rakyat Jepun melancong ke negara-negara ini dengan siri promosi tahunan sebegini yang mendapat bantuan dan penajaan banyak pihak di Jepun. Pada tahun ini,terdapat sepuluh negara ASEAN yang menyertai Ekspo Pelancongan ini;antaranya Singapura,Cambodia, Indonesia, Thailand, Filifina, Laos,Brunai, Malaysia, Vietnam dan Myanmar.
Setiap negara dikehendaki menghantar lima peserta di dalam delegasi negara masing-masing. Seorang ketua kumpulan (daripada badan pelancongan negara masing-masing) ,seorang demonstrator dan tiga orang peserta bahagian persembahan.
Acara pada tahun ini diadakan di Sapporo di Kepulauan Hokkaido di utara Jepun.Diadakan dari 28 September sehingga 3 Oktober iaitu selama enam hari. Jadual delegasi Malaysia sudah bermula pada hari puasa pertama 24 September iaitu penerbangan ke Tokyo pada jam 8:55 malam. Setiba di Lapangan Terbang Narita jam 7 pagi waktu tempatan pada hari Isnin 25 September,kami dibawa ke Hotel Haneda Tokyu.Perjalanan selama sejam. Hotel ini terletak di dalam lapangan terbang Haneda - lapangan terbang untuk penerbangan di dalam negeri.Bagasi kami sudah dihantar dengan penerbangan lain ke Sappro untuk menyenangkan peserta.Cuma tinggal lagi barang-barang lain yang ingin dibawa ke dalam pesawat.
Keesokan harinya,Selasa (26 September) kami menaiki penerbangan All Nippon Airways (ANA) pada jam 1:50 petang untuk ke Sapporo.Perjalanan memakan masa selama satu jam 20 minit. Setelah tiba di lapangan terbang Shin-Chitose di Sapporo,kami di bawa dengan bas bersama delegasi negara lain ke Sapporo Grand Hotel yang terletak di dalam bandar Sapporo. Perjalanan selama satu jam dan tiba ketika sudah hampir berbuka.
Waktu berbuka adalah pada lingkungan 5:24 petang. Waktu terbit matahari di sini adalah pada jam 5:30 pagi. Cuaca di Sapporo lebih sejuk daripada Tokyo. Kebiasaannya 17 darjah selsius dan boleh mencecah serendah 9 darjah selsius. Setelah memakai winter jacket pun masih dirasakan sejuk lagi.Ini ditambah dengan deruan angin yang bertiup. Tidak kira siang atau malam,kami tidak memasang alat penghawa dingin di hotel kerana tanpa penghawa dingin pun sudah sejuk dan tidur mesti memakai selimut yang tebal.Ini mungkin perubahan cuaca kerana mereka akan berdepan dengan musim salji penghujung Oktober.
Rabu 27 September bermulanya proses membuat persiapan untuk pentas dan tempat pameran (booth). Jam 3 petang,kami menghadiri mesyuarat dengan badan penganjur di Tokyu Department Store iaitu tempat berlangsungnya pameran ini.Jarak tempat ini hanya lebih kurang lima hingga sepuluh minit berjalan kaki daripada hotel.
Malamnya kami diminta membuat persiapan di tempat pameran di tingkat 9.Pada malam itu kami sempat membuat 'sound check' dan nampaknya juruteknik amat memahami keperluan kami.(Tidak seperti di Taiwan yang tidak ada kelengkapan sistem bunyi selepas lima hari) Kami diberikan 4 unit microphone berjenama Shure. Nampaknya hanya Malaysia dan Laos yang membuat persembahan secara 'live'. Ini kerana peserta dari negara-negara lain menghantar barisan penari yang diiringi CD. Peserta Laos menggunakan instrumen buluh yang seakan-akan 'sumpoton'(instrume n ethnik Sabah) tetapi lebih bervariasi dan kedengaran seperti harmonika.Satu lagi instrumennya adalah seakan-akan instrumen erhu atau rebab(Pada hari terakhir Azmi dan Norman sempat jamming bersama di belakang pentas dan dirakamkan ke dalam video).
Pagi 28 September adalah acara pembukaan pada jam 9:20 pagi.Kami diminta berkumpul di lobi hotel pada jam 8:30 pagi dan akan bersama-sama dengan penterjemah kami ,Kaji Junko yang akan membawa kami ke tempat berlangsungnya acara. Di sini,mereka memang menepati waktu. Awal-awal lagi kami diingatkan supaya menyingkirkan budaya 'tidak apa,lambat satu minit je!' yang sering diamalkan orang Malaysia(Maknanya jika 8:30 pagi,kita mesti lebih awal)
Upacara perasmian berlangsung dengan kehadiran tetamu-tetamu kenamaan.Terdapat juga duta-duta negara terlibat.Tidak kelihatan wakil dari Malaysia.Majlis ini mendapat promosi yang meluas dari media di Jepun sama ada media cetak atau elektronik (Malangnya sekali lagi kami hanya diberitahu tetapi tidak dapat menonton berita tersebut kerana terlepas siaran)
Kami membuat persembahan pembukaan di tingkat bawah di pentas berdekatan pintu masuk pusat membeli belah Tokyu pada jam 10:30 pagi. Terasa kedinginan cuaca yang mencucuk ke dalam rongga badan. Kami memulakan lagu dengan sebuah lagu bertajuk Al Baladi (Negeriku-lagu Mesir),diikuti lagu Si Dia Datang ciptaan Allahyarham Fadzil Ahmad pada tahun 60an.
Sepanjang acara ini berlangsung kami melihat betapa masyarakat Jepun menghargai lagu-lagu yang dipersembahkan. Bukan sahaja daripada Malaysia tetapi juga daripada negara-negara lain.Mereka akan bertepuk tangan dan menggoyangkan badan dengan irama yang dimainkan.Mereka adalah khalayak yang 'appreciative' . Mereka bernyanyi dan bertepuk tangan bersama kami ketika kami mengalunkan melodi lagu dendangan asal Kyu Sakamoto,Ui Muite Aruko atau lebih dikenali sebagai Sukiyaki. Dua hari terakhir di sana kami mengakhiri persembahan kami dengan Sukiyaki.
Setiap kali persembahan adalah selama sepuluh minit dan kami mengadakan tiga sesi persembahan sehari di pentas masuk dan juga di tempat pameran di tingkat 9 Tokyu Deparment Store.
Kami juga dapat melihat persembahan daripada negara-negara lain ;antaranya tarian Apsara dari Cambodia yang amat mirip pergerakannya dengan Mak Yong,tarian Indonesia yang dibahagikan kepada tiga iaitu tarian gamelan Jawa Barat,Bali dan Acheh serta persembahan dari negara-negara lain.
Kami juga sempat membuat kolaborasi dengan delegasi Brunai sebanyak tiga kali.Kami mendendangkan lagu zapin iaitu Pantun Budi. Azmi yang bertindak sebagai penyanyi (dipaksa dengan pisau belati -atas ketiadaan Mohsen) selain bermain rebana berduet dengan penyanyi dari Brunai,Nana dan diiringi oleh dua orang penari Brunai.Hasilnya memberangsangkan. Ketika Brunai membuat persembahan kami diminta membawa penonton ke pentas untuk berjoget.Nampaknya hanya Azmi yang mempunyai lenggok menari yang baik(walau pun tidak pernah menari di Malaysia).Kata beliau,"Kalau kat Malaysia ni,haram aku tak menari!".Kata Norman pula,"Ini kalau Mohsen ada ni,mesti haru!Kalau Along ada lagi gila!ha!ha!( Persembahan ini dirakamkan ke dalam video dan amat kelakar!)
Pengacara majlis di sini amat suka bercakap.Entah apa yang dituturkan kami pun tidak tahu kerana semuanya di dalam bahasa Jepun.Mujurlah ada penterjemah kami Kaji Junko yang fasih berbahasa Melayu.Dialah yang menerangkan apa-apa bicara MC tersebut. Antaranya kumpulan Dewangga Sakti mempunyai tujuh orang anggota tetapi hanya tiga orang sahaja yang terlibat,dua orang belum kahwin,ada menghasilkan album (kalau nak beli datang ke Malaysia) dan lain-lain lagi.MC juga menerangkan tentang instrumen yang dimainkan seperti gambus, rebana dan violin.
Tetapi yang pastinya satu skandal telah berlaku. MC meminati Azmi di dalam diam-diam.Kami pasti beberapa kali selepas mengadakan persembahan, dia akan mengatakan "Azmi, I like your smile' di depan khalayak penonton.Itu sahajalah bahasa Inggeris yang dituturkan.Dan ada satu lagi....ini lagi kelakar.Entah mana dia belajar(mungkin dari penterjemah) dia mengatakan kepada Azmi di penutup persembahan kami ,"Saya cinta padamu" ha!ha!ha!Kami tidak dapat menahan ketawa lagi.Di atas pentas itu juga kami berdekah-dekah ketawa.Nasib baik kami tidak berguling-guling.
Konnichiwa
Akan disambung semula...banyak lagi catatan yang akan menyusul dan juga foto-foto di sana