Wednesday, August 06, 2008

Selamat tinggal Gambusku!



Lima tahun yang lepas,gambus ini telah kubeli dgn harga RM1,700.00 daripada seorang teman. Dengan bayaran sebanyak dua kali,gambus ini telah menjadi milikku. Gambus buatan Turki ini amat ringan dan sungguh gemersik bunyinya.
Pada malam ini,satu kejadian tidak diingini telah berlaku ketika kami ingin memulakan latihan. Gambus yang kusayangi telah pecah di permukaannya dan gam di bridgenya telah tercabut.
Maka berakhirlah riwayat gambus ini.Jika pun dapat diperbaiki,pasti bunyinya sudah musnah disebabkan permukaannya telah pecah dan pasti memakan belanja yang banyak.
Ahh...sungguh pening memikirkannya kerana minggu depan kami ada penampilan di TV3,diikuti oleh persembahan di majlis perkahwinan.Kemudian datang 17hb Ogos ,aku akan ke Jepun bersama Norman dan Abdul Raof kerana terlibat dengan program ASEAN Tourism Fair yang akan berlangsung di Fukuoka sehingga 28 Ogos.
Sudah pasti perkara ini menyukarkan kami.
Gambus mesti dicari dengan segera. Tidak kira apa sahaja keadaan -dibeli atau disewa. Yang pastinya gambus mesti dibeli dengan segera.
Ah!Kewangan pula!
Ada sesiapa mahu bantu? :)

Monday, August 04, 2008

Ronggeng di MASKARA


Sebelum ke program MASKARA anjuran Sindiket Sol-jah di Rumah Pena, En Syam menghantar sms dengan nada kecewa,"Maaf,tidak dapat menyertai MASKARA malam ini kerana kucing parsiku yang mahal sedang demam!". Kami kecewa kerana pemain gitar bass tidak dapat menyertai program ini. Tambahan pula, gitaris Azman Jan terpaksa pulang ke Pahang atas urusan keselamatan kampung.
Maka,kami berenam sahaja yang akan pergi ke sana -vokal,gambus,violin,akordian dan dua orang pemain perkusi.
Inilah pertama kali kami ke sana.Sudah edisi ke-10.Selalunya program mereka bertembung dengan acara yang kami hadiri (persembahan) dan hal-hal lain.Kali ini,kami sudah awal-awal lagi mengosongkan jadual demi MASKARA yang kami dapat rasakan satu acara yg 'hip' dan semua orang daripada semua jalur seni wajib hadiri.
Kami berenam amat gembira dapat membuat persembahan di MASKARA kerana seperti kami katakan sebelum ini,acara di galeri dan tempat sebegini sememangnya menjadi kegemaran kami kerana tidak terikat dengan segala protokol dan santai sekali.
Irwan,pemain akordian yang menetap di Pulau Pinang juga turun untuk acara ini.(Kami rasa dia yang memberitahu BH kami berpengkalan di Pulau Pinang! :))
Di set yang pertama kami memainkan lagu gubahan kami iaitu Mabok Kepayang dan Belayar ke Pulau Jauh(untuk Mencipta Rekod Dunia).Oh ya!Mabok Kepayang tidak ada di dalam CD kerana lagu ini ada dose 'pinang muda' yang kuat!Ianya muncul di dalam dokumentari Selangor terbitan Pesona Pictures. Sepatutnya dimasukkan di dalam CD tetapi atas beberapa sebab,tidak dimasukkan.
Di set kedua (penutup),kami memainkan lagu Tertinggal Kapal Angkasa,diikuti lagu zapin Bunga Hutan. Sesi diteruskan dengan lagu yang menghadapi masalah diplomatik dua negara serumpun iaitu Rasa Sayang.Selepas itu,lagu gubahan kami lagi bertajuk Selembar Kaseh.
Kami akhiri dengan lagu joget sukaramai -Joget Johor Sport Club!
Memang seronok bermain di program ini. CD kami terjual dengan begitu baik sekali pada malam tersebut.Ini menambahkan keghairahan untuk memulakan proses rakaman utk album penuh. Setelah berkira-kira,kami mempunyai banyak lagi lagu yang belum dirakam -di antaranya Ronggeng Che' Syamsul, Terbang ke dada langit, Pengkhianat!, Malaysia Tanahairku, dan beberapa lagu lagi yang masih tidak bertajuk.
Akhir kata,jutaan terima kasih kepada anggota-anggota Sindiket Sol-jah yang menganjurkan program ini.
Nota: En Syamsul bukannya menghadapi masalah dengan kucing parsinya tetapi isterinya sakit mata dan beliau terpaksa menjaga anaknya.
Oh ya!Ronggeng Che' Syamsul bukan mengenai En Syamsul. Lagu itu berkenaan dengan pemimpin Melayu terbilang yang berkarisma,tidak makan rasuah dan disukai sekalian rakyat jelata tidak kira tua,muda,janda,dara,miskin,kaya dll.Biasanya lagu banyak memuja wanita,tetapi kali ini lagu berkenaan mengenai lelaki Melayu terhebat. :)
Juga terima kasih kepada Abg Hamdan yang mengirimkan gambar-gambar di atas.Sesiapa yang mempunyai gambar boleh menghantar kepada emel kami - dewanggasakti@yahoo.com atau berikan url di bahagian komen.

Friday, August 01, 2008

MASKARA 2 Ogos di Rumah Pena

Jumpa kami di program MASKARA X dianjurkan Sindiket Sol-jah di Rumah Pena,esok (Sabtu 2 Ogos) pada jam 8:30malam.(lihat keterangan di sebelah kiri)
InsyaAllah,kami akan datang dengan semua anggota termasuk pemain akordian yang turun dari Pulau Pinang.
Kami akan menjual CD dan tshirt.
Jumpa di sana!

Wednesday, July 30, 2008

(Hampir)Tertinggal Bas ke Kota Singa

Hari Sabtu 26 Julai.
Jam sudah menunjukkan 7 pagi dan bas sudah dijadualkan untuk bertolak ke Singapura. Namun masih ada dua orang lagi anggota kumpulan yang belum sampai. Pemandu dan konduktor (orkestra) bas sudah bertanya-tanya. Kira-kira jam 7:15 pagi,dua orang yang hampir tertinggal bas tiba dengan iringan nyanyian lagu kebangsaan. Mungkin disebabkan mengejar bas dan tidak tidur pada malam tersebut (salah seorangnya baru sahaja selesai bertugas pada jam 2 pagi),maka mereka telah tersilap haluan setelah berhenti LRT di Masjid Jamek.Mereka awalnya menuju ke Bangunan Sultan Abdul Samad dan bukannya Hentian bas PuduRaya.
Perjalanan berjalan lancar selepas itu. Kami tiba pada jam 1:30tengahari di Beach Road dan dibawa ke Blok 606,Bedok Reservoir untuk membuat persediaan mengadakan persembahan. Setelah menukar pakaian dan makan tengahari,kami membuat persembahan dengan diselang seli oleh DJ yang berceloteh dan sebuah kumpulan nasyid.
Sekejap Dewangga Sakti,sekejap Demangga Sakti nama kami dipanggil. Mungkin terlalu letih berceloteh sejak tengahari,nama kami bertukar-tukar.Majlis akan berjalan sehingga 8:30malam.
Hiasan pelamin menarik sekali, sesuai dengan status pengantin -Norfasarie (pengacara,pelakon,penyanyi Singapura) dan Baihakki (pemain bolasepak skuad Singapura).Majlis ini diadakan di ruang padang blok perumahan ini dan dihias dengan cukup menarik.
Baru sahaja kami ingin memulakan lagu pertama,seorang wanita bertudung ingin menyanyikan lagu bersama kami. Rupa-rupanya ibu kepada pengantin lelaki. Maka, lagu P Ramlee bertajuk Gambus Jodoh dimainkan.Asalnya dia mahu nyanyi lagu Saloma.Kami sudah lama tidak memainkan lagu Saloma tersebut,kali terakhir ketika kami (pernah )mempunyai penyanyi wanita pada tahun 2002.
Makanan di majlis tersebut amat sedap sekali. Masakan rendang,ayam,ikan dan pelbagai jenis kuih sungguh menyelerakan.Ada yang bertambah gemuk kerana makan terlalu banyak.Sementara menantikan slot terakhir jam 8 malam iaitu set penghabisan, kami ke sebuah kedai mamak bernama Niakmat (mungkin dieja huruf 'Arab 'ayn kot!) di depan blok tersebut.
"Siapa mahu bayar ni?",ahli yang sudah bertambah gemuk bertanya.
"Aku tak bawa Sing Dollar!",ahli yang kurus bertambah kurus berkata.
"Ini macam siapa mahu bayar?",ahli termuda baru akil baligh bertanya.
Akhirnya ahli berambut panjang membayar semua minuman kerana hanya dia dan ahli kerja shift UK sahaja membawa Sing Dollar.
Selesai majlis ,kami terus ke stesyen bas di Lavender Street untuk pulang ke Kuala Lumpur. pada jam 10malam.Nah! Perjalanan yang jauh ke Singapura hanya di dalam satu hari.Pastinya hari minggu menjadi lebih indah kerana keletihan dan tidur sehingga tengahari.
---Terima kasih kepada Abg Yan yang menjemput kami.Kpd pengantin,semoga berkekalan sehingga ke akhirat!

Monday, July 28, 2008

Dipetik daripada Berita Harian 28 Julai 2008

Gema muzik Islami

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my


ADA KELAINAN: Dewangga Sakti menampilkan persembahan menarik menerusi permainan muzik tradisional dan moden.

Masmi disulami alunan lagu berunsur nasihat, gabung persembahan muzik tradisional, moden

PADA acara Malam Aspirasi Seni Muzik Islami (Masmi) anjuran Institut Kefahaman Islam (Ikim) sempena sambutan ulang tahun ketujuh stesen radio Ikim FM, bukan saja irama nasyid yang kedengaran. Sebaliknya, Dewan Besar institut terbabit turut bergema dengan alunan lagu berunsur nasihat, permainan muzik bertali, serta saksofon.
Ia seperti menandakan, betapa skop muzik keagamaan di negara ini tidak lagi hanya berpusat kepada kompang atau gendang. Malah, selagi mana alat muzik dan irama yang dimainkan tidak melalaikan, sebaliknya mendorong pendengarnya mengagumi ciptaan serta keagungan Tuhan, maka selagi itulah muzik terbabit ‘dibenarkan’.

Tokoh falsafah Islam, Al-Farabi (lahir 870M) juga pada dasarnya seorang pemuzik yang hebat. Lagu yang dihasilkan tokoh ini meninggalkan kesan mendalam pada pendengarnya. Selain mempunyai keupayaan bermain muzik dengan cukup baik, dia juga mencipta sejenis alat muzik dikenali sebagai gambus.
Mungkin berpandukan kepada keterbukaan tokoh terbabit, maka malam persembahan anjuran Ikim turut tidak mengetepikan elemen muzik lain seperti gitar dan saksofon. Kumpulan Dewangga Sakti, umpamanya, cukup menghiburkan apabila enam anak muda berkenaan tampil di pentas memperdengarkan karya bermutu mereka, Selembar Kasih dan Tertinggal Kapal Angkasa, dengan menggabungkan permainan muzik tradisional seperti gendang, gambus dengan biola serta gitar.
Hasilnya, sebuah persembahan yang dikira amat menarik, apatah lagi apabila vokalis utamanya, Mohsen Amdan, mengalunkan lagu yang berunsur nasihat. Dewangga Sakti sendiri bukanlah kumpulan yang baru, walaupun album pertama yang memuatkan lima lagu, baru saja dilancarkan Jun lalu.
Kumpulan yang berpangkalan di Pulau Pinang dan ditubuhkan sejak 2000 itu nyata tidak salah gelanggang apabila diundang sama menjayakan majlis berkenaan.
Begitu juga kehadiran peniup saksofon, Alif Nasir yang menghiburkan penonton dengan tiga lagu - Badarsila, Nurul Ain dan Jangan Tinggal Daku. Persembahan anak muda itu turut mendapat sambutan hebat hadirin yang memenuhi dewan. Di luar bangunan pula, ratusan lagi penonton yang mengikuti persembahan menerusi layar besar di laman. Namun begitu, Masmi sudah tentunya tidak mengetepikan irama nasyid apabila beberapa nama besar dalam genre muzik berkenaan turut mengambil tempat di pentas utama, menyampaikan lagu terbaik mereka untuk santapan telinga penonton yang ada.
Lalu, berkumandang irama indah Hanzalah dan Mentari Merah Di Ufuk Timur nyanyian Asri Ibrahim bersama rakan Rabbani yang lain, sebagai pembuka tirai acara yang turut disiarkan secara langsung oleh radio terbabit. Persembahan kemudian diteruskan kumpulan Saujana yang mengalunkan lagu Lakaran Minda serta Jalan Sehala.
Bahagian pertama persembahan turut menampilkan kumpulan Far East yang memukau suasana dengan laungan qasidah serta sebuah lagu Arab. Dewangga Sakti muncul kumpulan terakhir mengadakan persembahan pada bahagian berkenaan.
Apabila tirai sekali lagi disingkap, Nazrey Johani yang kini bergerak sendirian memilih lagu Secerah Pawana dan Antara Dua Cinta untuk hiburan penonton serta pendengar Ikim FM, manakala Nowseeheart pula hadir bersama lagu Inspirasi dan Selawat Murah Rezeki. Selepas Alif Nasir turun pentas, akhirnya Akil Hayy yang mendapat tepukan paling gemuruh penonton, tampil bersama dua buah tangan, lagu Berita Kepada Kawan dan Sesungguhnya.


INFO: Ikim FM

  • RADIO Ikim FM dilancarkan pada 6 Julai 2001 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad. Ikim FM ke udara 24 jam sehari menerusi 12 pemancar di seluruh negara. Rancangannya disampaikan dalam tiga bahasa - Melayu, Inggeris dan Arab.

  • IKIM FM yang mempunyai visi menjadi stesen radio terkemuka bagi memenuhi kehendak pendengar, bermatlamat menerbit dan menyiarkan 75 peratus rancangan bercorak pendidikan, 20 peratus rancangan berbentuk hiburan dan lima peratus rancangan yang menyampaikan maklumat.

  • MASMI yang berlangsung pada 13 Julai lalu dirasmikan oleh Pengerusi Ikim, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

  • Daripada Berita Harian 28 Julai 2008
    Beberapa kesilapan fakta rencana ulasan ini
    -Al Farabi tidak mencipta gambus.Beliau mencipta qanoon dan rabab.

    Dewangga Sakti
    -berpengkalan di Kuala Lumpur, bukannya Pulau Pinang.Hanya ahli bersekutu,Irwan yang sekarang menetap di sana atas urusan kerja
    -anggota seramai tujuh(7) orang,bukannya enam orang (sila lihat gambar)
    Apa-apa pun,jutaan terima kasih kepada Berita Harian yang meletakkan gambar kami yang besar di rencana tersebut. :)

    Tuesday, July 22, 2008

    Hijrah

    Seorang anggota kumpulan telah ditawarkan kerja dengan gaji yang masyaAllah! sungguh lumayan di sebuah negara Arab.Beliau telah menerima tawaran tersebut dan akan mula bertugas selepas hari raya nanti.
    Beberapa ahli kumpulan menitiskan air mata selepas mendapat tahu berita tersebut. Al maklumlah beliau diketahui selalu menjadi badut kumpulan.Kehilangan sementara beliau pasti mengurangkan keseronokan kumpulan.Ahli kumpulan tampak lebih bersemangat selepas itu kerana beliau menjanjikan elaun bulanan untuk membuat rakaman kepada kumpulan (ampu supaya tidak terus ditinggalkan) selama mana beliau berada di sana (jangkaan dua tahun).

    Thursday, July 17, 2008

    Pameran lukisan Zakii Anwar

    "Dari mana ni?",Tuanku Raja Nazrin bertanya.
    Kami tergamam dan menjawab ," Kuala Lumpur"
    Jemputan amat ramai pada hari itu sempena perasmian pameran lukisan Zakii Anwar yang dirasmikan YM Raja Nazrin di Galeri Petronas,KLCC. Ini kali kedua kami bermain di binaan canggih (Mari mencipta rekod dunia) ini.
    Lukisan Zakii melebihi seratus karya.Kami amat kagum dengan lukisannya yang betul-betul hidup dan menonjol.Ada yang pernah kami lihat sebelum ini.Banyak pula yang kami belum lihat kerana karyanya yang begitu banyak.
    Jemputan amat ramai.Tugas kami bermain muzik sebelum ketibaan YM Raja Nazrin dan semasa orang semua sedang sibuk makan,kami mainkan lagi beberapa lagu.
    Banyak yang bertanya adakah kami terikat dengan organisasi. Mereka memberikan beberapa nama. Kami jawab tidak! Kami bergerak bersendirian dan tidak terikat dengan mana-mana organisasi yang mereka sebut itu. Cuma kami secara spiritualnya terikat dengan kerajaan (ghaib) Kesultanan Gombak (he he).
    Oh ya!Kami bebas kerana kami gemar begini.
    Lagi satu perkara,bermain di galeri adalah kegemaran kami.Begitu juga baca puisi dan acara-acara skala kecil/sederhana yang lain.
    Selesai acara, kami bergegas ke Seksyen 14,Petaling Jaya untuk satu rakaman lagu hari raya seorang artis wanita yang vokalnya amat bagus(Tunggu pengumumannya nanti).Kami memainkan instrumen kami dan menyanyikan bait lagu di permulaan lagu yang kemudian di'loop' ke dalam lagu yang utama. Di lagu utama pun,kami memasukkan instrumen.juga.Tunggu hasilnya nanti.
    ---
    Kami akan memulakan kelas Sarkis! Mari bersama-sama kami memeriahkan sarkis ini.Skrip sudah ada!Ayuh bersama-sama!Kami perlukan ramai lagi pelakon. Tajuk pementasan Sarkis Segalanya(Tipu daya dunia)!

    Wednesday, July 16, 2008

    Macam dulu-dulu di kampus!









    "Ini kumpulan nasyid baru kah? Tak pernah dengar pun!
    Itulah di antara pertanyaan yang paling mencuit hati ketika kami mengendalikan sesi jamming dan busking di meja jualan yang disediakan ketika mereka melihat CD kami. Asalnya meja ini kosong dan kami mengambil alih setelah diberi kebenaran oleh petugas IKIM.
    Kami dijemput mengadakan persembahan di Institut Kefahaman Islam Malaysia(IKIM) untuk program Malam Apresiasi Seni Muzik Islam yang semuanya dihadiri oleh kumpulan nasyid seperti Rabbani,Nowseeheart,Saujana,Akhil Hayy dll.Hanya kami dan Alif (yang bermain saksofon) bukan memainkan lagu nasyid. Ketika menghantar sms kepada teman-teman tentang perkara ini, ahli bersekutu yang menetap di Pulau Pinang,Irwan membalas sms dengan kata-kata," Jangan salah gelanggang!he he"
    Persembahan lancar tetapi seperti biasa ada kesilapan teknikal bunyi berlaku dan tiada mikrofon untuk rebana /darbuka yang dimainkan oleh Abdul Raof.Nasib baik mikrofon untuk Wah Yun Kua yang juga bermain perkusi berfungsi dengan baik.Kami hanya mempunyai dua minit untuk membuat set up kepada instrumen di atas pentas ketika klip video dimainkan.Kami memainkan dua lagu -Selembar Kaseh dan Tertinggal Kapal Angkasa.
    Selesai persembahan,kami terus membuka meja jualan semula. Bosan dengan suasana,kami membuat sesi jamming di situ.Alhamdulillah, Cd ada terjual. Walaupun tidak banyak tetapi cukup untuk mencari khalayak baru. Kami tidak fikir tersalah gelanggang. Jemputan mesti diterima jika bersesuaian.
    Walaupun begitu,suasana ketika para orthodoks berkuasa di kampus dahulu kami rasai semula. Beberapa penonton di belakang isteri Dato' Mohsen menyuarakan ketidakpuasan hati kerana kami menggunakan instrumen gitar yang didakwanya haram dimainkan. Mereka juga mempersoalkan penggunaan ayat seperti " hadirin dan hadirat" yang didakwanya tidak cukup Islamik.Kemudian,mereka mempersendakan ayat ini seolah-olah ayat ini tidak wajar dituturkan di situ.Mungkin elok benar mereka memahami bahasa yang banyak kita gunakan sehari-hari.
    Ini membawa kami kepada persoalan yang lebih luas -Apakah nasyid yang difahami di dalam konteks kita sebagai rakyat ,lebih khusus lagi Umat Islam? Jika mesej atau nilai di dalam lagu menjadi sandaran,Ramli Sarip juga boleh menjadi artis nasyid.
    Secara peribadi,kami suka dengan lagu-lagu nasyid.Ketika aku dan Syam masih lagi memainkan lagu-lagu berirama berat,Raihan menjadi pilihan untuk kami dengari dan beberapa lagu Nowseeheart.Begitu juga Haddad Alwi.
    Jika kita memandang kepada niat,siapakah kita yang dapat membaca niat tersirat di hati manusia?
    Maka eloklah kita belajar sesuatu dari Kiai Kanjeng (Indonesia) yang amat berhikmah di dalam berdakwah dan turun ke segenap pelusuk kampung dan kota.
    Oh ya! Merujuk kepada tema majlis dan klip yang disediakan,pastinya banyak lagi boleh dilakukan jika kita mahu bercerita tentang muzik di dalam suasana Islami.Misalnya ,apakah kandungan kitab Al Musiqa karangan Al Farabi dan penceritaan asal usul nada ' do re mi' yang berasal dari abjad Arab.Jika kita katakan Al Farabi mencipta qanoon dan rabab,lebih molek diadakan satu pameran di luar dewan ,instrumen muzik ini di samping gambus(oud) yang menjadi tunjang kepada muzik Islam.
    Pastinya lebih hebat lagi jika kita bercerita tentang flamenco yang mengambil skala (maqamat) Arab dan dikembangkan di Andalusia satu ketika dahulu oleh Ziryab. yang mengasaskan sekolah muzik pertama di bumi Eropah.
    Akhir kata,terima kasih tidak terhingga kepada IKIM yang memberikan peluang kepada kami mengadakan persembahan.


    Wednesday, July 09, 2008

    Photoshoot!

    "Ha! abg yang depan tu kepala depan sikit. Yg P Ramlee tu violin ke depan",arah jurukamera.
    "Ha ! Satu lagi.Tabla tu ke depan sikit!"
    Ops! ini bukan adegan penggambaran filem. P Ramlee tidak wujud di sini.Tabla juga tidak dimainkan.
    Ini sebahagian daripada adegan kami menjalani sesi penggambaran (photoshoot) untuk majalah TELL yang akan keluar untuk isu bulan Ogos nanti.Inilah panggilan pertama daripada media setelah beberapa siri promo dihantar kepada media terpilih.Ini juga bukan majalah berbahasa Melayu.TELL sebuah majalah berbahasa Inggeris yang berkualiti tinggi menampilkan isu-isu semasa,politik,sosial,budaya dll.Kupasan isu di dalam majalah ini juga amat menarik.Ini ditambah dengan foto-foto yang menarik.Misalnya di dalam isu bulan lepas menampilkan Raja Zarith Sofia sebagai muka depan dan cerita utama di samping cerita tentang Rainforest World Music Festival dan beberapa isu lain seperti MP lompat parti dll.
    Hampir dua jam kami menjalani photoshoot tersebut malam tadi.Sudah kejang otot-otot muka kami kerana perlu tersenyum dan juga membuat aksi-aksi yang menarik. Beratus-ratus keping gambar diambil. Hasilnya kita akan dapat tengok di dalam isu TELL pada bulan depan. Temubual secara santai juga dilakukan.
    Oh ya! En Syam remaja gemilang Klang Gate yang datang paling awal. Baru sahaja kami ingin memberikan hadiah kerana datang awal dia berkata," Woi! Aku lupa bawa butang baju Melayu da!",Itulah Sudin di dalam cerita ini.Telah kami katakan sebelum ini bahawa En Syam yang banyak menceriakan kumpulan dengan aksi lawak spontan beliau.Situasi telah memerangkap beliau menjadi 'joker' kumpulan.Tidak dapat kami bayangkan jika En Syam tiada di dalam sesi ini.

    Wednesday, July 02, 2008

    Gadis cantek berkebaya biru di tepi tasik tersipu-sipu

    Ada seorang teman lama menghantar sms menanyakan perihal kulit album. Dia bertanya adakah artis sensasi Malaya menjadi cover CD tersebut. Setelah aku berkata bahawa ianya bukan ,dia bertanya lagi siapakah model yang muncul di kulit album tersebut. Kalau bukan model tersebut,mungkin adiknya.
    Eloklah aku rungkaikan misteri kulit album tersebut. Nama model yang disebut itu adalah Nur Suhaila Wagiman.Lulusan sebuah universiti luar negara dan sekarang menjadi model sambilan merangkap peguam di sebuah firma di Jalan Yap Kwan Seng. Berdarah kacukan.Ibu orang Melayu dan ayahnya orang Belanda.
    Sebelum kamu jatuh hati (wahai sahabatku),ketahuilah bahawa gadis itu adalah manipulasi lukisan digital melalui sketch yang dibuat oleh saudara Apogee yang amat cemerlang. Lawati blog beliau di sini
    Jadi dengan penjelasan ini,jangan kaitkan lagi Abg Syam dengan gosip ini. Mungkin benar dia jujur tetapi artis sensasi itu tidak pernah diminatinya. Bukankah dia sudah berkahwin serta punya anak yang comel dan mengusahakan kafe yang semakin menjadi tumpuan?
    Oh! Ada lagi ulasan tentang CD di blog Krenmaut di sini dan blog Anuar di sini
    Nota akhir daripada Penerbitan Lewat Senja: Belilah CD Dewangga Sakti dan warwarkan ke seluruh alam!sila rujuk ke notis di sebelah kiri!

    Iklan PIDM





    Malam tadi aku mendapat mesej dari saudara Fazli yg bekerja dgn syarikat minyak.Isteriku juga menelefon.Ketika itu ,aku di luar menjalankan tugas keamanan dan juga hal-hal parti kami -PAPAN (Parti Panda Nasional).Rupa-rupanya iklan PIDM yang pernah kutulis cerita mengenainya beberapa bulan lepas telah muncul di kaca tv.
    Iklan yang menceritakan tentang sekumpulan pemuzik diketuai oleh seorang pemain gambus. Lokasi penggambaran adalah di sebuah rumah pusaka di Ulu Langat.Abg Bob (yang handal bermain violin) yang melakonkan peranan utama.Dan gambus yang digunakan adalah milikku.he he
    Inilah gambar-gambar yang kuambil ketika penggambaran tersebut.

    Sajak di Selera Makan Benjamin

    Pengkhianat
    Bukan sahaja memunggah kekayaan
    atau harta kita
    Pengkhianat akan buat apa saja
    Untuk memperkosa daya intelektual
    Dan memusnah kemahiran berfikir
    Meneruskan tradisi
    Memandulkan daya juang bangsa

    Siapa pengkhianat di kalangan kita?
    Ibarat api dalam sekam
    Musuh dalam selimut



    Nota:Gambar tiada kena mengena dgn tulisan.

    Monday, June 30, 2008

    Ronggeng di Seksan

    Sabtu lepas kami mendapat undangan daripada Sharon Bakar untuk acara baca naskah -Reading at Seksan yang dikendalikan beliau di Galeri Seksan, Bangsar.Penampilan di galeri sememangnya kami nanti-nantikan kerana kami bebas dan tidak terikat dengan protokol,pakaian dan perkara-perkara formal yang lain(spt di perkahwinan,majlis makan malam,konvo dll).
    Kali ini kami bereempat sahaja yang dapat hadir kerana tiga lagi ahli terikat dengan komitmen lain.Kami terlewat sampai kerana penebangan pokok telah menghalang jalan yang kami ingin lalui.Hampir 30 minit kami membuat 'tour' sekitar Lucky Garden melalui bermacam-macam jalan dengan nama ikan -Kurau,Sepat dll.Ikan Tuna tidak ada di dalam senarai nama ini.Lokasi galeri di Jalan Tempinis.
    Kami tiba dan sempat mendengar pengarang dari Sri Langka Elmo membacakan petikan pendek daripada novelnya.Kemudian tiba giliran Lydia Teh (pengarang Honk!If You're Malaysian) dan JacquelineAnn Surin.
    Tamat segmen pertama.
    Kami memulakan segmen kedua dengan dua buah lagu kami iaitu Mabok Kepayang dan Belayar ke Pulau Jauh (Untuk Mencipta Rekod Dunia).Program diteruskan dengan pembacaan daripada Koo Yew Lee, Clarissa Tan dan Kam Raslan.
    Kami mengakhiri segmen kedua ini dengan Tertinggal Kapal Angkasa,sebuah lagu Abg Hail dan apa lagi? Lagu joget telah dimainkan!
    Baca tulisan Sharon di sini
    Di dalam satu perkembangan lain,kami telah ditawarkan untuk mengadakan persembahan di sebuah organisasi.Sebuah persembahan khusus yang mungkin memakan masa selama satu jam setengah dan bertiket.Boleh kami gelarkan sebagai konsert mini atau pun Malam Ronggeng Muda Mudi Tua Muda Miskin Kaya!(Akan diberitahu dari semasa ke semasa).

    Friday, June 27, 2008

    Reviu dan temubual

    Jiwarasa membuat ulasan CD Dewangga Sakti di sini
    Pak Adib menulisnya di sini
    Sahabat lama di arena metal berat, Bentara (dari kumpulan Langsuyr) yang sekarang sedang sibuk dgn pengajian PHD di Australia membuat temubual bersama Zulkifli di sini
    Itu sahaja setakat ini. Tunggu lagi ulasan lain di surat khabar, majalah dll.

    Jumpa kami di program Reading kelolaan Sharon Bakar di Bangsar esok. Sila rujuk di sini

    Tuesday, June 24, 2008

    Fete de la Musique

    CD Dewangga Sakti bertajuk Mabok Kepayang sedang rancak dijual dan dipromosikan.
    Tahun ini buat kali ketiga berturut-turut kami memeriahkan program Fete de la Musique yang dianjurkan oleh Pusat Bahasa Perancis di KL, Alliance Francaise bertempat di Lorong Gurney Ahad lepas.Festival muzik ini yang diadakan setiap Jun di Perancis sejak 1982 telah diperluaskan ke negara-negara lain.Di Malaysia juga tidak ketinggalan dan telah diadakan sejak beberapa tahun lalu.
    Pada tahun ini(spt juga tahun lepas), Mohsen tidak dapat turut serta kerana urusan kerja di Langkawi. ( Pagi semalam beliau terpaksa membatalkan program di Langkawi kerana dikejutkan berita kematian bapa mertuanya di Kulim,Kedah.Al Fatihah)
    Pemain gitar,Azman Jantan mengambil alih tempat sebagai vokal menyanyikan dua buah lagu -satu lagu zapin dan satu lagu Abg Hail. Nampaknya posisi vokal pasti panas selepas ini kerana Azman sudah berkeras ingin terus menyanyi.Nampaknya Mohsen perlu menukar posisi bermain gitar pula selepas ini.
    Persembahan berjalan lancar. Cuma bunyi kurang memuaskan.Lagu kami yg didendangkan adalah Tertinggal Kapal Angkasa, Belayar ke Pulau Jauh dan Mabok Kepayang. Sebelum lagu Mabok Kepayang,kami melakukan improvisasi takseem dan solo instrumen dgn gitar bass digesek menggunakan penggesek(bow) violin.Bunyinya seperti cello dan erhu.Kadang kala kedengaran seperti music bowl kerana berdengung.Oh! Inilah yang menaikkan aura persembahan.
    Kami mengakhiri dengan lagu yang kami pelik dengan tajuknya -Joget Johor Sport Club yang pernah di'rock'kan oleh gitaris Lefthanded,Samad di dalam album solonya dulu.Penonton juga banyak yang bertepuk tangan memberikan sokongan.Hampir kesemuanya bukan berbangsa Melayu.Ada mat saleh,arab dan cina.
    Mungkinkah muzik kita lebih dinikmati oleh orang luar?
    (Mungkin juga promosi tidak meluas dan kebetulan hari tersebut hujan pula!he he)
    Soalan untuk gambar pertama- Siapakah wajahnya bercahaya ? (seolah-olah diturunkan daripada kayangan?)

    Thursday, June 19, 2008

    Selamat Pagi Malaysia





    Semalam kami telah mengadakan persembahan di RTM untuk slot Selamat Pagi Malaysia(SPM). Malam sebelumnya kami membuat rehearsal di sana untuk memilih lagu yang sesuai.Ada ahli yang baru pertama kali ke RTM.Seronok juga datang ke RTM.Sebuah tempat yang menarik dan di tempat yang tinggi. Ada padang bola lagi.
    Semua dapat hadir untuk rehearsal dan seterusnya berkenal-kenalan dengan penerbit dan staff yang lain.
    Pagi Rabu,kami sudah tiba sebelum jam 7 pagi. En Syamsul dengan bangganya menghantar sms kepada semua ahli kerana tiba paling awal pada jam 6:35 pagi.Itu perkara yang jarang terjadi kerana Presiden PAPAN seorang yang sibuk.
    Kami membuat persembahan sebanyak empat lagu iaitu dua lagu kami sendiri -Belayar ke Pulau Jauh (Untuk mencipta rekod dunia) dan Tertinggal Kapal Angkasa.Dua lagu lagi adalah Wajah Kesayangan Hamba (Hail Amir) dan Zapin Bunga Hutan.
    Set studionya besar dan kami rasa sungguh selesa.Cuma di awal persembahan,suasana terlalu sejuk. Kami mempromosi CD kami yang baru sahaja keluar dengan penampilan di RTM merupakan yang pertama setelah terbitnya CD. Temubual juga berlangsung dengan amat santai. Akhirnya Abdul Raof (watak Pak Abdul di dlm lagu Tertinggal Kapal Angkasa)) menjadi fokus kerana dia berada di tengah sekali.Kesemua ahli mempunyai bahagian masing-masing di dalam temubual kecuali dua orang yang hujung-kiri dan kanan.Ahli baru,Wah Yun Kua juga berjaya menjawab soalan dengan baik sesuai sebagai calon pilihanraya akan datang.
    Terima kasih kepada penerbit SPM dan pihak RTM kerana menjemput kami membuat persembahan.

    Monday, June 16, 2008

    Dewangga Sakti di RTM 18 Jun

    Dewangga Sakti akan membuat penampilan sulung di RTM pada hari Rabu ini,18 Jun jam 7:45 pagi untuk program Selamat Pagi Malaysia. Kami dijangka mempersembahkan lima buah lagu sepanjang program tersebut.
    Kami juga akan mempromosikan CD kami yang baru sahaja terbit.

    Friday, June 13, 2008

    Wah Yun Kua

    Pada petang bersejarah itu bertempat di Kampong Glam Cafe,kami sebulat suara mengalu-alukan kemasukan ahli bersekutu,Wah Yun Kua menjadi ahli penuh (tetap) kumpulan selama mana tidak mengganggu tumpuan beliau di dalam pelajaran. Wah Yun Kua masih menuntut di tahun akhir jurusan undang-undang peringkat ijazah di UIAM dan akan menamatkan pengajiannya beberapa bulan lagi.
    Dia mempunyai kepakaran bermain pelbagai jenis gendang dan baldi.
    Setelah diterima,dia akan menjalani proses taaruf kelolaan En Syamsul dan selepas dua minggu akan menerima watikah perlantikan daripada pihak Kesultanan.Sepanjang dua minggu,beliau tidak boleh memakai pakaian selain daripada putih ketika menjalani latihan.Hatta kasut dan stokin sekali pun mesti berwarna putih. Ini adalah satu proses biasa kemasukan ahli.Dia akan menjadi ahli termuda selepas ini dan berhak mendapat elaun bulanan ehsan En Syamsul(kerana belum bekerja).
    Semoga Wah Yun Kua akan selesa bersama kumpulan dan seterusnya dapat menyumbangkan kepakaran beliau untuk terus memantapkan kumpulan!


    Pura Singa Tiga



    Iklan: Belilah CD Dewangga Sakti bertajuk Mabok Kepayang .Hanya RM15 sahaja.Pembeli bertuah akan menikmati hidangan makan malam ekslusif di Selera Makan Benjamin untuk dua orang

    Hari Ahad setelah sarapan pagi (pd jam 12 tengahari!he he) kami bertolak ke Expo pada jam 12:45 tengahari. Kali ini kami bermain lebih awal ,jam 2 petang. Setting instrumen lebih bagus pada kali ini iaitu seperti kebiasaan kami - gambus,rebana dan gitar(bersila) di depan .Manakala akordian,violin dan gitar bass di belakang (atas kerusi).Vokal sudah tentu di depan tetapi terdapat satu kerusi untuk memudahkan Mohsen memainkan perkusi ketika lagu instrumental.
    Kami membuat semakan bunyi dengan lagu Al baladi. Selepas itu,kami memulakan majlis dengan lagu kami bertajuk Tertinggal Kapal Angkasa. Lagu seterusnya adalah lagu zapin kesukaan -Ya Salam. Aura dan vibe permainan sudah terasa ketika ini. Komunikasi sesama anggota pun amat baik dengan senyuman tidak lekang di bibir dan saling memberikan signal ketika lagu dimainkan.
    Selepas itu lagu-lagu seperti Wajah Kesayangan Hamba (Hail Amir),Bunga Hutan, Sway (lagu klasik yg dipopularkan semula oleh Michael Buble),Aladom dan Joget Johor Sport Club dimainkan. Selepas lagu terakhir, kami diminta oleh pihak penganjur menambah sebanyak dua lagu lagi. Lagu Zapin Budi dimainkan dan penamatnya dengan lagu yang pernah menjadi kontroversi dua negara serumpun pada tahun lepas iaitu Rasa Sayang yang dinyanyikan beramai-ramai di bahagian chorusnya oleh anggota kumpulan (akan muncul di youtube nanti). Penonton juga seperti hari sebelumnya amat responsif dan kami mendapat maklumbalas positif dengan tempahan show untuk bulan depan dan Ogos nanti.
    Cd percuma juga diberikan kepada penonton bertuah dan sebahagian jualan daripada CD kami di sana turut disumbangkan kepada tabung Madrasah Al Irsyad.
    Selesai acara terasa sungguh gembira sekali.Inilah persembahan pertama kami setelah CD kami diterbitkan dan pengalaman ini menjadi amat manis kerana semua anggota dapat turut serta ke Singapura termasuklah ahli bersekutu dari Pulau Pinang yang bersusah payah turun demi semangat kumpulan dan persahabatan.

    Thursday, June 12, 2008

    Pura Singa Dua

    Sabtu 7 Jun 2008
    Semua ahli amat teruja setelah tiba ke apartmen yang disediakan.Kami diberikan dua bilik apartment. Bilik pertama di tingkat dua kecil sahaja tetapi di tingkat lapan amat besar dan boleh memuatkan ramai orang sebenarnya.Ruang tamu dan ruang dapurnya juga luas dengan sofa dan set televisyen.
    Semua ahli PAPAN memang lebam matanya terutamanya ahli baru,penaja kami Al Husam. Ahli-ahli dibahagikan kepada dua kumpulan-kelab yang menjaga kesihatan (dan berjogging) di tingkat dua dan kelab yang memelihara binatang di tingkat lapan diketuai En Syamsul.
    Kami diberitahu supaya menyiapkan diri pada jam 12 untuk ke tempat persembahan iaitu di Singapore Expo. Kebanyakan ahli menghabiskan masa membuat lawak jenaka dan latihan tangan di bilik masing-masing.Al Maklumlah semua menggunakan tangan untuk membuat persembahan kecuali Mohsen yang menggunakan suara. Kelihatan En Syamsul membawa dumb bell seperti saranan En Cohong untuk senaman ringan.
    Kami ke Singapore Expo dengan van yang disediakan. Fuh! Terasa seperti membuat 'tour' . Sampai ke sana kami diberitahu akan membuat persembahan pada jam 2 petang dan kemudian ditunda kpd jam 6 petang. Kebanyakan ahli amat letih pada hari pertama ini. Kami diberikan jamuan makanan di bilik urusetia dan sempat makan di gerai-gerai yang ada di situ.
    Sementara kami membuat persembahan,sempat juga melihat kumpulan kesenian dari Negeri Sembilan yang bermain cak lempong di samping berpeluang melihat kumpulan-kumpulan kesenian dari Singapura yang menarik.
    Tiba persembahan. Kami mulakan dengan lagu klasik Si Dia Datang. Kami juga mempromosikan lagu-lagu yang ada di dalam CD kami yang sudah mula dijual. Secara kebetulan,warga Singapura berpeluang membeli Cd kami lebih awal kerana CD ini hanya siap dicetak sehari sebelum berangkat ke Singapura. Pada hari pertama terdapat gangguan bunyi.Rebana dan gitar bass tidak berapa kedengaran di awalnya dan kemudian beransur baik dan seimbang setelah beberapa lagu.Kami juga bermain lagu bunga Hutan dan Yaladan di samping lagu-lagu ciptaan kami sendiri.
    Setting ahli pada hari pertama ini kurang menjadi kerana sepetutnya kami membuat dua 'line' ahli di pentas tetapi ahli dibahagikan memanjang yang mengakibatkan kurang komunikasi sesama ahli.
    Tamat persembahan kami pulang ke apartment. Jam 9:30 malam,kami semua keluar ingin menghirup udara segar Singapura. Sementara itu,Wah Yun Kua tidak habis-habis membuat jenaka filem P Ramlee bersama Presiden PAPAN.
    Aku menelefon saudara Ariffin dari kumpulan Sri Mahligai tetapi diberitahu yang beliau amat sibuk dan meminta kami datang ke Taman Warisan Melayu ,Kampung Gelam keesokan harinya(Ahad) kerana acara sambutan ulang tahun ke tiga Taman Warisan akan diadakan dan kumpulan beliau akan membuat persembahan.
    Jadi,pada malam minggu itu,kami semua keluar berpesta dengan mengunjungi kedai muzik HMV diketuai oleh hantu CD kumpulan,Mr Norman.Banyak CD yang menarik tetapi duit pula tidak menarik.
    Kemudian,setelah puas memegang Cd (tetapi tidak membeli) ,kami menjamu selera di sebuah restoran mamak(apatah nama -Al Madinah kot?).Dan harganya berpatutan jika kita menilainya daripada matawang Singapura kerana teh tariknya(yg amat sedap!) hanya berharga 70 sen.
    Al Husam cuba mempengaruhi ahli yang lain supaya mengikutnya menonton wayang tetapi tidak mendapat sambutan.Pada jam 1 pagi,kami semua pulang ke bilik kerana kami sudah berjanji akan membuat latihan tambahan di bilik.
    Pada ketika ini,semua ahli sudah mengantuk dan ada yang tertidur ketika berlatih. Azman beria-ia membetulkan TV dengan dibantu Wah Yun Kua untuk melihat siaran langsung bolasepak EURO tetapi gagal dan terpaksa ke bilik di tingkat dua.Malang sekali lagi,tiada siaran langsung tersebut.
    Azman pun tidur dengan penuh kekecewaan.Tetapi hatinya terubat mendengar lawak jenaka En Syamsul.
    bersambung...

    Wednesday, June 11, 2008

    Pura Singa Satu





    Perjalanan kami ke Singapura tidak menempuh banyak masalah,cuma banyak teksi pada malam perjalanan tersebut tidak mahu menghantar kami ke Pudu Raya.Alasannya amat dangkal sekali. Tidak cukup gas, jalan sesak dll. Tetapi sebenarnya inilah sikap orang kita -memberikan pelbagai alasan. Sebenarnya, mereka malas dan tidak berwawasan! Mahu cepat kaya tetapi tidak mahu berusaha!
    Bukannya jauh,teksi yang kami naiki sampai dalam tempo(h) 20 minit sahaja dan berhenti di ruang-ruang bangunan lama berhampiran Stesen Bas Pudu raya yang amat menyesakkan pandangan.Lebih elok,stesen bas ini ditukar ke tempat lain.
    Di dalam teksi,pemandu yang berasal dari Taiping begitu rancak berbual dan menyuarakan keresahan hatinya tentang Taiping yang begitu bersejarah tetapi tidak dipromosikan dengan baik oleh pihak berwajib. Di dalam perbualannya, beliau menyebut ada tempat yang kurang nilai sejarahnya pun begitu rancak dipromosikan(tidak pula beliau nyatakan). Aku bertiga bersama Norman dan Wah Yun Kua menaiki teksi ini. Tiga orang lagi iaitu Azman,Syamsul dan Abdul raof berada di dalam satu lagi teksi.
    Jejaka bergaya dari Pulau Pinang datang dengan komuter dari Kajang. Mohsen pula menjadi 'rider' dengan menaiki Harley Davidson yang baru dimenanginya tempohari dan diparkirnya di Puduraya.Aku tidak tahu penaja kami,Al Husam datang dengan apa.Mungkin ada Mercedez atau BMW yang menghantar beliau dari Penthousenya di Ampang.Itu kami tidak peduli.Yang penting,darbuka sudah menjadi hak kami dan banyak lagi penajaan darbuka akan kami perolehi.
    Kami tiba setengah jam sebelum masa bertolak pd jam 12 tengah malam. Kali ini,kami membawa CD kami yang sudah siap.Norman pula membawa tshirt yang dicetaknya beberapa hari sebelum itu dan baru sahaja siapa beberapa jam sebelum berangkat.
    Nampaknya semua sudah siap dengan perkakas perang dan segala kelengkapan persembahan. Nasib baik En Syam tidak perlu membawa amplifier bass yang beratnya seperti seekor panda berusia lima tahun.
    Kali ini sembilan orang terlibat-tujuh ahli kumpulan dan dua orang krew merangkap teman sosial.
    Perjalanan dijangka memakan masa selam lima jam dan singgah berehat di apatahnamatempat di Johor selama setengah jam.Kebanyakan ahli kumpulan yang memang batman tidak dapat melelapkan mata kecuali En Syam yang baru sahaja sepuluh minit bas bergerak sudah menutup mata dengan topeng dan tidur.Beliau terjaga bila Wah Yun Kua menyamar sebagai konduktor bas.(Mana ada konduktor bas da,En Syam!)
    Kami tiba jam 5.30 pagi di Lavender Street,Singapura setelah melalui imigresen Singapura.WahYun cuba senyum kepada pengecop passport tetapi tidak diendahkannya kerana mungkin sudah letih di awal pagi.
    Bila tiba di Singapura,kami dijemput oleh Abg Rahman yang diamanahkan oleh Abg Yan (Madrasah Al Irshad) untuk membawa kami ke apartment yang disewa di Devonshire Lodge di Jalan Devonshire. Perjalanan kami ke aparment ini memakan masa selama dua puluh minit.
    Bila tiba ke Singapura,terasa begitu sistematik bangunan dan jalanrayanya.Ini mengingatkan kami kepada keadaan di Taiwan.Di tepi jalannya juga ,pokok-pokok menghiasi lanskap dengan begitu baik dan terjaga.Seolah-olah seperti bandaraya di dalam taman. Di mana-mana kelihatan pokok rendang yang dijaga rapi.Alangkah indahnya,jika bandaraya KL pun begitu.
    bersambung...
    Untuk cerita Singapura daripada sudut yang berbeza,sila ke blog Selera Makan Benjamin

    Monday, June 09, 2008

    Kembara muzikal di Kota Singa

    Kunjungan pertama Dewangga Sakti ke Singapura untuk Expo yang bertemakan Kampung Festival.




    Cerita lebih lanjut selepas ini...

    T shirt Dewangga Sakti

    Cetakan pertama t shirt Dewangga Sakti sempena EP
    Model : Wah Yun Kua


    Harga : RM25.00 (untuk penghantaran sila tambah RM5.00)


    Pesanan melebihi lima helai akan diberikan diskaun ekslusif.


    Design yang lain akan muncul selepas ini.

    Friday, June 06, 2008

    Mabok Kepayang CD

    Album Title: Mabok Kepayang
    Band: Dewangga Sakti
    Genre: Traditional/Ethnic/Malay Folk/Experimental
    Publisher : Penerbitan Lewat Senja
    Price: RM15 (pls add RM3 for Pos Ekspress)
    Release Date: 9 June 2008 (Malaysia)

    (Singapore 7 June 2008)



    CDs will be distributed through mail order (Pos Express), selected online shops, selected music stores and during live performance all over Malaysia (if possible!)
    Online download will be available later
    Official distribution label will be announced later upon negotiation and blood-drinking ceremony. You can also pre-order the CD from band members by sms these numbers :-

    Zulkifli (KLCC,Taman Melati,Gombak,Karak,tengkorak)-013 207 8407
    Mohsen (Cheras,UK Perdana) - 013 388 9214
    Syamsulfaiz ( Klang Gate, Selera Makan Benjamin, Jln Yap Kwan Seng,KLCC)-019 358 6358
    Norman Soo(Sentul,Gombak,Aswara,Central Market) - 012 655 9733
    Azman (Gombak, Cyberjaya) 019 383 2341
    Abdul Raof (Subang, Damansara, Cyberjaya) - 017 202 1097
    Delivery within Klang Valley is only applicable to minimum order of 5 Cds ( and above).
    Term of payment: Cash (except for registered company with minimum order of 20 copies) ,or cash deposit at Maybank (Account number 164 351 06 882 7 -Mohd Zulkifli bin Ramli)
    This CD is specially brought to you by Penerbitan Lewat Senja, a new publishing label specially dedicated to folk/ethnic/new age/experimental music , books and spiritual enlightenment. The label is looking for potential runner/agents and distributors. Feel free to call 013 207 8407 (Director) or our legal advisor 019 358 6358.You can also email your request to penerbitanlewatsenja@gmail.com

    Wednesday, June 04, 2008

    Apa boleh buat!

    Hari ini(lebih tepat -malam ini),kami dijadualkan membuat persembahan (makan malam) yang akan dirakamkan untuk sebuah program tv dan akan bermain di sebuah restoran popular di Bangsar,Kuala Lumpur.
    Dua jam sebelum membuat persembahan,satu sms telah dihantar oleh penerbit yang meminta maaf kerana pihak pengurusan restoran tidak membenarkan kumpulan lain membuat persembahan kerana mereka sudah mempunyai band residen yang berkhidmat di situ.
    Bagi kami sikap ini tidak profesional kerana penerbit pastinya sudah memberitahu perkara tersebut kepada pihak pengurusan dan tindakan pembatalan di saat-saat akhir ini adalah mengecewakan.
    Restoran itu sudah pasti akan dipromosikan di dalam program terbabit dan mereka beroleh faedah yang tersendiri hasil promosi program tersebut.
    Kebanyakan ahli sudah bersiap untuk pergi ke tempat tersebut dan kebanyakannya bekerja dan membawa instrumen serta keperluan lain ke pejabat.
    Apa boleh buat! ha ha ha la la la.tiada jodoh dan rezeki untuk ke situ.

    Tuesday, June 03, 2008

    Dewangga Sakti di Singapura

    Kami akan membuat persembahan di Hall 6,Singapore Expo, Sabtu dan Ahad ini. Berikut adalah jadual persembahan kami di sana:-
    7 Jun (Sabtu) - 6 petang
    8 Jun (Ahad) - 2 petang
    Jika anda berada di JB atau Singapura,jemputlah datang ke sana kerana CD EP Dewangga Sakti bertajuk 'Mabok Kepayang' akan dijual buat pertama kali di sana. (Ya! EP kami akhirnya terbit setelah lapan(8) tahun!)
    Kami berhasrat melakukan siri kembara ke beberapa tempat menarik di Singapura terutama Kampung Gelam dan tempat kegemaran kami lewat lagu Di Tanjong Katong yang amat hip dan trendy itu.Menurut sahabat kami di sana,kawasan Tanjong Katong itu sudah ditambak beberapa kilometer ke laut.
    Kepada Mohsen yang mempunyai ramai kaum keluarga di sana,tidaklah menghairankan bagi beliau dengan pemandangan dan keadaan negara tersebut tetapi bagi anggota yang lain terutamanya bagi orang yang pertama kali ke sana (spt aku!he he) amatlah menyeronokkan!
    Jumpa kami di sana!
    Di Tanjong Katong
    Airnya biru
    Di situlah tempat mencuci mata
    Duduk sekampong lagikan rindu
    Inikan pula oh jauh di mata