Wednesday, August 20, 2008

...dan acara pun bermula

Pagi ini berlangsung perasmian ASEAN Tourism Fair oleh Datuk Bandar Kitakyushu. Setelah ucapan daripada lima VIP,kami ke pentas mengambil gambar beramai-ramai dengan muka sedaya upaya berusaha untuk memberikan senyuman paling manis.
Maka bermulalah program ini yang diadakan selama tujuh hari. Hari ini kami mempunyai tiga persembahan setiap satunya selama lima belas minit di tingkat lapan Izutsuya. Keadaan agak tertutup kerana ruang pameran yang padat dengan gerai dan segala macam hasil pameran dan jualan.
Hari ini kami bermain di tingkat lapan dan esok dan seterusnya diselang seli di antara dua pentas yang disediakan.
Pada dua set yang pertama,kami amat lembab kerana bunyinya agak kering.Selepas mengadakan perbincangan dengan juruteknik menggunakan khidmat penterjemah kami akhirnya dapat bunyi yang kami kehendaki. Semalam kami membuat sound check di pentas terbuka(berhampiran bangunan) di bahagian bawah yang lebih bebas.
Lebihkan bass,kurangkan treble dan tambah sedikit reverb!
Setelah tamat set kedua ,seorang gadis muda jelita menghampiri Abdul Raof dan bertanyakan nombor telefon. Opss! Bukan! Seorang pakcik tua menghampiri kami dan bertanyakan CD. Malangnya jurang komunikasi membataskan perbualan kami. Setelah diterangkan oleh penterjemah,Kaji Junko , kami segera diingatkan tentang polisi program ini yang tidak membenarkan sebarang penjualan secara komersil.Nampaknya kami perlu mencari jalan untuk menjual CD kerana ada permintaan.Mungkin perlu menyuruh pakcik ini pergi ke hotel kami atau pun beliau memberikan kami patung Ultraman sebagai tukaran untuk CD.
Di dalam masa yang sama, perasaan Abdul Raof juga berbelah bahagi kerana sudah dua kali pemain perkusi Brunai bertanyakan rebana beliau. Katanya mahu membeli untuk dibawa pulang ke Brunai.
Oh ya! Tengahari ini kami makan nasi dengan kari ayam,daging dan ikan. Halal daripada gerai Malaysia Kitchen Jom Makan. Harganya memang boleh bankrap iaitu 1000yen= RM30.00 seorang.
Selesai persembahan kami berjalan-jalan dan 'usha' beberapa kedai menjual kasut dan pakaian. Nampaknya banyak jualan murah sedang diadakan. Tips kami sesama sendiri adalah 'Jangan berhenti!'
Selepas maghrib,kami sempat meluangkan masa menaiki gondola di Ferris Wheel di Cha Cha Town.Harga satu gondola yang boleh memuatkan empat orang hanya 500yen= RM15.Amat murah!Kalau di Malaysia,hanya lepas untuk seorang sahaja.
Di sini kami mengamalkan pemakanan sihat iaitu minum jus setiap hari.Jus lemon dan epal seratus peratus!
Jika mahu cerita pasal jalanraya dan bangunan rasanya tidak payah lah.Sebabnya? Mereka merancang bandar mereka dengan teliti dan terperinci.
Sebab itu setiap Sabtu raksasa akan datang menyerang bandar mereka dan Ulraman akan datang menyelamatkan bandar.Kemudian,bandar dibangunkan semula.Dan begitulah seterusnya. :)
Inilah akuan bersumpah yang telah kami semua setujui ,ditandatangani oleh kami bertiga. Tiada yang di'lewat' di dalam akuan ini.
Nota untuk Syamsul --- gambar yang kamu inginkan itu bakal dimasukkan bermula esok. Terlalu banyak gambar yang Abdul Raof telah berjaya abadikan. Gadis pelbagai bangsa telah berjaya beliau abadikan ke dalam lensa kamera yang baru dibelinya dengan harga melebihi elaun yang diterimanya.

Tuesday, August 19, 2008

Izutsuya





Kyo wa Izutsuya de burifing ga arimas

Lebih kurang terjemahannya--Hari ini kami ada taklimat di Izutsuya
Hari ini jam 2 petang kami semua menghadiri taklimat di tingkat 11,Izutsuya dan dihadiri oleh Pengurus Besar Izutsuya, pegawai ASEAN Japan Centre dan semua delegasi negara ASEAN. Joenke,pegawai ASEAN Japan Centre mengingatkan kami tentang semangat sebagai satu ASEAN.
Selepas itu,kami menghadiri sesi semak bunyi(sound check) di tingkat bawah,pentas utama di luar Izutsuya. Kali ini pentasnya lebih menarik,mungkin sebab bukan musim sejuk. Kami akan bermain di dua tempat. Di dewan pameran di tingkat lapan dan di tingkat bawah (seperti di dalam gambar di atas).
Juruteknik amat memahami.Kami pasti kerana mereka orang Jepun dan begitu teliti dengan disiplin kerja mereka. Sudah tentu mikrofon jenis Shure58 menjadi pilihan untuk kami gunakan. Setelah memainkan dua lagu (yg dipendekkan),kami berhenti dan terus ke tingkat pameran untuk membantu En Nizam dan Abg Muhaimin di ruang pameran. Jam enam petang kami pulang ke bilik untuk berehat dan solat.
Jam lapan malam kami keluar mencari makanan bersama-sama pegawai Tourism daripada Osaka. Banyak kedai yang menamatkan perniagaan pada jam lapan malam. Akhirnya setelah hampir setengah jam berjalan,kami singgah di sebuah kedai untuk menjamu selera iaitu nasi goreng kampung! Ops! Bukan! Sudah pasti makanan Jepun lagi yang menjadi hidangan.Apa namanya? Yang pasti ada nasi,telur,udang dan sup.Harganya boleh tahan dan dibelanja oleh pegawai Tourism tersebut.
Oh ya!Tadi kami sudah bertemu pengusaha restoran rakyat Malaysia yang mempunyai restoran di Tokyo.Beliau juga membuka gerai pameran besok. Nampaknya kami dapatlah merasa makanan Malaysia tetapi bukan harga Malaysia.Harga Jepun lah!
Esok (Rabu) akan bermula ASEAN Tourism Fair secara rasmi. Moga 'la la la' bergema di Fukuoka dan dapat menerjah jiwa sesiapa yang mendengarnya.

Nota:Semasa aku menulis laporan polis ini , mereka sedang keluar mencari Doraemon di kawasan roda berputar. Ultraman tak jumpa,harap-harap Doraemon menjelma.

Monday, August 18, 2008

Fukuoka rocks!








Kami bergegas ke KLIA setelah tamat persembahan di majlis perkahwinan di TTDI. Satu hari yang padat. (Laporan TTDi akan dibuat oleh adik bongsu kami,Wah Yun Kua).
Abdul Raof tiba paling awal sebelum jam 7 malam. Kami berdua tiba setengah jam selepas itu. Bila kami sampai,Abdul Raof dengan kacak dan bergaya memakai slack,berkemeja dan blazer. Beliau terperanjat melihat kami tiba dengan pakaian rock kami. Nasib baik beliau tidak memakai tali leher!
En Nizam dari Tourism tiba selepas itu. Abg Muhaimin yang akan bersama kami telah tiba awal. Penerbangan 9:45 malam dan setelah lima puluh minit tiba di Changi untuk transit selama dua jam. Jam 1 pagi kami bertolak ke Fukuoka ,Jepun.
Kami tiba enam jam selepas itu jam 8 pagi waktu tempatan (jam 7pagi Malaysia). Setelah melalui imigresen dan kastam selama hampir satu jam,kami dibawa ke hotel kami di Kokura. Nama hotelnya Washington Hotel Plaza. Inilah detik yang ditunggu-tunggu (mencari katil dan bilik air). Setelah diberi taklimat dan jadual persembahan,kami meletakkan barang di bilik masing-masing. Kami mendapat penterjemah (orang Jepun) yang sama ketika kami di Sapporo dua tahun lalu iaitu Kaji Junko yang amat baik dan fasih berbahasa Melayu (pertuturan dan tulisan). Beliau sempat mencetak jadual solat di Kitakyushu (ibu negeri Fukuoka).Oh ya!Jam 4:12 pagi sudah masuk Subuh dan terbit matahari 5:40 pagi.
Cuaca hampir 30 darjah selsius. Panas macam di Malaysia. Bagi yang kurus seperti kami sudah mengalami kekeringan kulit muka. Abdul Raof terkecuali.
Selepas itu,kami berjalan mencari makanan. Inilah masanya merasa makanan Jepun. Tempura dengan teh jepun menjadi pilihan. Harganya 800yen = RM25 untuk satu set yang mengenyangkan. Bangkraplah kami kalau tiap-tiap kali makan macam ni. Tapi tidak mengapa Brahim, tuna dan serunding dibawa bersama.Selain daripada itu,7 Eleven dan Lawson -kedai makanan tak pernah tutup ada untuk kami membeli nasi ,roti atau sushi.
Selepas itu,kami tidur kerana keletihan dan keluar semula pada waktu malam mencari makanan dan melihat kawasan sekitarnya.
Esok(Selasa-19 Ogos) adalah waktu membuat persediaan di booth pameran dan pentas persembahan di Kompleks Membeli belah Izutsuya. Upacara perasmian adalah pada 20 Ogos dan dijangka ramai duta setiap negara akan terlibat.Pada waktu yang sama di KL,ahli-ahli Dewangga Sakti yang lain akan terlibat dengan persembahan di Galeri Petronas untuk majlis makan malam Petrosains. (Selamat untuk semua!).
Hari ini kami belum bertemu dengan Ultraman.Mungkin besok kami akan jumpa!
Nota: Nasib baik Abdul membawa laptop dan melayari internet adalah percuma di hotel ini

Friday, August 15, 2008

Rasa sayang lah!

Di dalam taklimat dua minggu lepas berkenaan pemergian kami bertiga ke Fukuoka,Jepun 17 Ogos ini untuk menyertai ASEAN Tourism Fair, kami diingatkan supaya tidak memainkan lagu Rasa Sayang. Ia dibuat untuk menjaga hubungan diplomatik di antara dua negara serumpun yang berjiran. Ini hasil kontroversi pada tahun lepas di mana blog kami juga diserang oleh individu yang bersembunyi di sebalik nama samaran dan mengucapkan kata-kata yang kurang berilmu.
Tidak mengapa!Banyak lagi lagu tradisional yang boleh dimainkan.Kami juga akan membawa CD dan jika berkesempatan mencari peluang di sana.
Di Fukuoka nanti,semua delegasi sepuluh negara Asia Tenggara akan berada di sana dan dianjurkan oleh Pusat ASEAN-Jepun (ASEAN-Japan Centre). Dua tahun yang lepas ,kami juga ke program yang sama dan diadakan di Sapporo,ibu negeri kepulauan Hokkaido.
Kami bertiga iaitu Zulkifli -gambus, Norman-violin dan Abdul Raof- rebana & darbuka akan ke Fukuoka untuk membawa panji negara. Doakan kami agar memberikan persembahan terbaik dan dapat memperkenalkan muzik tradisional Malaysia. Delegasi Malaysia terdiri daripada lima orang-seorang pegawai Tourism Malaysia, seorang demonstrator (pengukir kayu) dan kami bertiga.
Kami akan kembali ke Malaysia 28 Ogos.
Ultraman,tunggu kami di sana! :)
Ue o muite aruko
Konbanwa!
Nota: Sebarang urusan kumpulan sila berhubung dengan Perwira 013 388 9214 sepanjang kami berada di sana
---kami akan kemaskini dengan cerita-cerita dari Jepun terutamanya tentang Ultraman--wira idola En Syamsul ketika kecil dahulu.

Tuesday, August 12, 2008

Proses rakaman CD-bahagian satu

Spyz di dalam bahagian komen menanyakan tentang pembikinan Cd Mabok Kepayang. Ada telah ditulis sebelum ini di label Dewangga Sakti dalam studio. Kali ini aku akan cuba tulis daripada sudut dan perasaan yang berbeza.
Kita cuba melihat kepada tajuk dan huraikan beberapa persoalan yang mungkin akan ditanya. Ada yang berpendapat lagu-lagu kami bukan seperti lagu tradisional biasa.Kami akui kerana kami sedang bereksperimen dengan memasukkan stail dan rentak muzik tradisional yang biasa kami mainkan seperti inang,joget, dan sedikit pengaruh keroncong (Kembali Menchari).Banyak lagi lagu yang akan didasarkan kepada rentak muzik lain seperti asli,zapin dan stail yang kami fikir sesuai. Muzik kita juga banyak mengambil pelbagai pengaruh dan telah mengalami proses asimilisasi ke dalam apa yang kita panggil muzik Melayu. Seperti kata Sinaganaga, muzik kita 'cross-over' sifatnya.Kita menyerap pengaruh-pengaruh ini dan menjadikannya bersifat Melayu (yang tidak terdapat di tempat lain).Misalnya joget ada pengaruh Portugis.Jika diteliti lagu-lagu inang seperti mempunyai persamaan dengan muzik China.Begitu juga zapin yang awalnya dibawa dan dikembangkan pedagang Arab.Dalam contoh ini,flamenco (di Sepanyol) berkembang menjadi seni yang bersifat Sepanyol dan tidak sama dengan pengaruh asalnya bila diperkenalkan oleh Orang Arab ketika zaman Andalusia.
Berbalik kepada cerita asal.
Kita lihat tajuk-tajuknya dulu. Tajuk-tajuk ini kami tidak rancang asalnya.Dia datang dengan sendiri.
1)Prelude - ini adalah duet di antara gambus dan violin .Bahagian keyboard di belakang instrumen ini digunakan untuk menjadikannya lebih atmosferik.Asalnya Prelude ini merupakan takseem (improvisasi) untuk lagu Selembar kaseh.Memandangkan terlalu panjang,ia dipisahkan tetapi menggunakan skala yang sama. Kiranya Prelude ini adalah permulaan kepada Selembar Kaseh dan mesti bersatu di dalam persembahan.Asalnya Prelude ini hanya gambus sahaja dan setelah Norman menyertai kumpulan, violin disatukan dengan gambus. Kami agak gembira kerana sejak penubuhan menjadi keinginan kami ingin berkolaborasi dengan violin dan akhirnya seorang penyelamat tiba pada tahun 2006.Dia sudah muncul pada tahun 2005 tetapi agak malu-malu.
2)Selembar Kaseh- lagu ini asalnya dimain menggunakan tabla (dimainkan oleh bekas anggota kumpulan -Azmi) dan senikatanya berkisarkan tentang ibu. Sekali dengar mungkin tak dapat tangkap,jadi kena dengar sehingga akhir lagu. Dibuat awal tahun 2006.Tiada penambahan dan dimainkan seperti pertama kali dibuat kecuali penggunaan perkusi.
3)Belayar ke Pulau Jauh (Untuk Mencipta Rekod dunia)- Asalnya hanya line bass dan violin ditambah gendang sunda. Itu ketika kami berlatih di sebuah studio di Sri Gombak awal April 2007 sebelum kami ke Chengdu,China.Kemudian aku membuat 'la la la' di improvisasi bass dan violin tersebut. Lagu itu tidak siap sehingga bulan Ogos(tahun yang sama). Ketika di Chengdu, la la la di verse kedua muncul.Pertama kali dimainkan di Alliance Francaise ,lagu ini masih belum siap sepenuhnya.Cuma la la la itu yang ditekankan. Pertama kali dirakam pun masih ada yang tertinggal.Improvisasi gitar solo di tengah dilakukan beberapa bulan selepas rakaman pertama dilakukan dan 'la la la' dinyanyikan beramai-ramai secara tidak seimbang untuk menerangkan kemeriahan dan kegembiraan akhirnya.
Tajuk pula asalnya hanya Belayar. Kemudian aku melakarkan cerita ke dalam bentuk tulisan (boleh rujuk entri pada tahun lepas) .Kemudian tajuk menjadi Belayar ke Pulau Jauh. Selepas itu muktamad menjadi Belayar ke Pulau Jauh (untuk mencipta rekod dunia). Ada watak anak-anak kapal,nahkoda,serangan jerung,pari-pari dan elemen magis di dalam story line lagu ini.Lagu ini menjadi lagu wajib kami di setiap persembahan.Amat jarang kami tidak memainkan lagu ini.
4) Kembali Menchari
Ini lagu lama pada tahun 2001. Di antara lagu-lagu awal Dewangga Sakti. Asal tajuk Jalan Kembali.Disesuaikan semula setelah senikata baru dibuat pada tahun 2006. Lagu ini mengalami transformasi yang banyak kerana asalnya dimainkan bersama-sama alatan gamelan. Di latihan dan rakaman yang awal(demo),ada gitar solo di permulaan lagu.
5) Tertinggal Kapal Angkasa
Lagu ini dibuat penghujung 2007 dengan penekanan asalnya kepada akordian. Irwan yang baru membeli akordian (dan cuba-cuba bermain) telah melakukan improvisasi di satu sesi latihan hujung minggu. Asal tajuknya Joget Spanco Angkasa. Kenapa jadi spanco? Ini adalah kata-kata yang keluar daripada mulut badut kumpulan. Kononnya spanish + flamenco = spanco! Dirakam secara 'guide track' dulu oleh gambus,violin dan darbuka. Setelah itu, satu storyline juga dibuat untuk menyenangkan lagu ini kerana ianya instrumental.Watak Pak Abdul dicipta. Dan latarnya masa hadapan.
Watak-watak yang kami cipta ini imajinasi kami. Kami mahu bila kita mendengar boleh datang perasaan gembira,sedih dan adakalanya bergelak ketawa mengetahui tajuk dan ceritanya. Ada di antara watak-watak ini kami akan bawa ke lagu-lagu yang seterusnya (album penuh nanti). :)
Nanti kami akan bercerita tentang proses merakam Cd ini di Studio Purple Sound pula.
Mungkin pendengar-pendengar ada idea lain tentang lagu-lagu ini?

Monday, August 11, 2008

Persembahan di TV3 Isnin 11 Ogos

Kemaskini persembahan di Malaysia Hari Ini (MHI) TV3 pada 11 Ogos 2008.
1) Krew MHI dan ahli kumpulan tidak sabar makan buah-buahan selepas persembahan.Ada yg membahamnya ketika memegang kamera. :) . Seorang anggota kumpulan memasukkan sebiji durian ke dalam kereta miliknya.
2) Ahli memperagakan kostum pertama kumpulan (kecuali dua orang yang tidak sempat mengambil kostum)
3) Gambus baru digunakan dengan tali baru dan bunyinya yang belum keluar lagi.
4) Dua boom mic digunakan untuk persembahan.
5) Tiga lagu sahaja sempat dimainkan. Tertinggal Kapal Angkasa, Belayar ke Pulau Jauh (Untuk Mencipta Rekod Dunia) dan sedikit Selembar Kaseh -kerana kesuntukan masa.
6) Ahli termuda yang masih belajar tidak dapat menyertai kerana ada kelas pagi dan amat kecewa.



Terima kasih kepada penerbit, En Nor Azli dan TV3 yang menjemput kami membuat persembahan.
Nota: Gambar ehsan Abg Hamdan

Friday, August 08, 2008

Persembahan di masjid

Jemputan daripada Yayasan Pembangunan Islam Malaysia (YaPEIM) amat menyeronokkan. Pada awalnya terasa gementar kerana mereka memberitahu kami akan bermain di masjid.
Oh ya!Bukan di dalam masjid!
Tempat sebenarnya di bahagian bawah Masjid Wilayah Persekutuan iaitu di Dewan Serbaguna.Jemputan kami terima dengan nada bercampur baur. Tetapi setelah diterangkan tentang majlis dan kelulusan Imam masjid untuk kami membuat persembahan,kami menerimanya. Instrumen juga memainkan peranan di situ selain muzik yang sesuai.
Program itu- Majlis Permuafakatan Sahabat YaPEIM dirasmikan oleh Dato' Zahid Hamidi dan dihadiri dua ribu orang tetamu dari seluruh Malaysia.
Pada malam kami menjalani raptai dan sesi soundcheck,kami masih lagi kaku kerana menyedari kami memasuki satu tempat yang suci dan bersih. Semua ahli diingatkan supaya membersihkan diri dan menjaga kelakuan masing-masing.
Keesokan harinya bila majlis bermula(sementara menunggu ketibaan menteri), kami banyak memainkan lagu-lagu instrumental yang sesuai dan hanya dua bervokal -Selembar Kaseh dan Zapin Budi. Melihat jemputan yang datang,kami terasa seperti kaku untuk menyanyi lebih banyak lagu. Pada malam sebelumnya,ada seorang pegawai yang meminta kami memainkan lagu daripada filem Sanggam. Hasratnya kami tidak dapat penuhi kerana memikirkan tempat ini adalah masjid.Walaupun di dalam dewan serbaguna tetapi kawasannya masih di dalam masjid.
Sepanjang persembahan Dewangga Sakti sejak lapan tahun lalu,inilah pengalaman pertama untuk majlis sebegini di tempat yang tidak disangka. :)
Mungkin ada sebab dan petanda.
Bagi kami,ini satu langkah yang baik. Kami impikan bermain di mana sahaja majlis yang sesuai. Muzik tradisional bukan sahaja ketika kenduri kendara,hotel atau lagu bulan puasa. Ia wajar dan sesuai dimainkan di mana-mana sahaja.
Terima kasih kepada pihak YaPEIM yang menjemput kami mengadakan persembahan.

Wednesday, August 06, 2008

Selamat tinggal Gambusku!



Lima tahun yang lepas,gambus ini telah kubeli dgn harga RM1,700.00 daripada seorang teman. Dengan bayaran sebanyak dua kali,gambus ini telah menjadi milikku. Gambus buatan Turki ini amat ringan dan sungguh gemersik bunyinya.
Pada malam ini,satu kejadian tidak diingini telah berlaku ketika kami ingin memulakan latihan. Gambus yang kusayangi telah pecah di permukaannya dan gam di bridgenya telah tercabut.
Maka berakhirlah riwayat gambus ini.Jika pun dapat diperbaiki,pasti bunyinya sudah musnah disebabkan permukaannya telah pecah dan pasti memakan belanja yang banyak.
Ahh...sungguh pening memikirkannya kerana minggu depan kami ada penampilan di TV3,diikuti oleh persembahan di majlis perkahwinan.Kemudian datang 17hb Ogos ,aku akan ke Jepun bersama Norman dan Abdul Raof kerana terlibat dengan program ASEAN Tourism Fair yang akan berlangsung di Fukuoka sehingga 28 Ogos.
Sudah pasti perkara ini menyukarkan kami.
Gambus mesti dicari dengan segera. Tidak kira apa sahaja keadaan -dibeli atau disewa. Yang pastinya gambus mesti dibeli dengan segera.
Ah!Kewangan pula!
Ada sesiapa mahu bantu? :)

Monday, August 04, 2008

Ronggeng di MASKARA


Sebelum ke program MASKARA anjuran Sindiket Sol-jah di Rumah Pena, En Syam menghantar sms dengan nada kecewa,"Maaf,tidak dapat menyertai MASKARA malam ini kerana kucing parsiku yang mahal sedang demam!". Kami kecewa kerana pemain gitar bass tidak dapat menyertai program ini. Tambahan pula, gitaris Azman Jan terpaksa pulang ke Pahang atas urusan keselamatan kampung.
Maka,kami berenam sahaja yang akan pergi ke sana -vokal,gambus,violin,akordian dan dua orang pemain perkusi.
Inilah pertama kali kami ke sana.Sudah edisi ke-10.Selalunya program mereka bertembung dengan acara yang kami hadiri (persembahan) dan hal-hal lain.Kali ini,kami sudah awal-awal lagi mengosongkan jadual demi MASKARA yang kami dapat rasakan satu acara yg 'hip' dan semua orang daripada semua jalur seni wajib hadiri.
Kami berenam amat gembira dapat membuat persembahan di MASKARA kerana seperti kami katakan sebelum ini,acara di galeri dan tempat sebegini sememangnya menjadi kegemaran kami kerana tidak terikat dengan segala protokol dan santai sekali.
Irwan,pemain akordian yang menetap di Pulau Pinang juga turun untuk acara ini.(Kami rasa dia yang memberitahu BH kami berpengkalan di Pulau Pinang! :))
Di set yang pertama kami memainkan lagu gubahan kami iaitu Mabok Kepayang dan Belayar ke Pulau Jauh(untuk Mencipta Rekod Dunia).Oh ya!Mabok Kepayang tidak ada di dalam CD kerana lagu ini ada dose 'pinang muda' yang kuat!Ianya muncul di dalam dokumentari Selangor terbitan Pesona Pictures. Sepatutnya dimasukkan di dalam CD tetapi atas beberapa sebab,tidak dimasukkan.
Di set kedua (penutup),kami memainkan lagu Tertinggal Kapal Angkasa,diikuti lagu zapin Bunga Hutan. Sesi diteruskan dengan lagu yang menghadapi masalah diplomatik dua negara serumpun iaitu Rasa Sayang.Selepas itu,lagu gubahan kami lagi bertajuk Selembar Kaseh.
Kami akhiri dengan lagu joget sukaramai -Joget Johor Sport Club!
Memang seronok bermain di program ini. CD kami terjual dengan begitu baik sekali pada malam tersebut.Ini menambahkan keghairahan untuk memulakan proses rakaman utk album penuh. Setelah berkira-kira,kami mempunyai banyak lagi lagu yang belum dirakam -di antaranya Ronggeng Che' Syamsul, Terbang ke dada langit, Pengkhianat!, Malaysia Tanahairku, dan beberapa lagu lagi yang masih tidak bertajuk.
Akhir kata,jutaan terima kasih kepada anggota-anggota Sindiket Sol-jah yang menganjurkan program ini.
Nota: En Syamsul bukannya menghadapi masalah dengan kucing parsinya tetapi isterinya sakit mata dan beliau terpaksa menjaga anaknya.
Oh ya!Ronggeng Che' Syamsul bukan mengenai En Syamsul. Lagu itu berkenaan dengan pemimpin Melayu terbilang yang berkarisma,tidak makan rasuah dan disukai sekalian rakyat jelata tidak kira tua,muda,janda,dara,miskin,kaya dll.Biasanya lagu banyak memuja wanita,tetapi kali ini lagu berkenaan mengenai lelaki Melayu terhebat. :)
Juga terima kasih kepada Abg Hamdan yang mengirimkan gambar-gambar di atas.Sesiapa yang mempunyai gambar boleh menghantar kepada emel kami - dewanggasakti@yahoo.com atau berikan url di bahagian komen.

Friday, August 01, 2008

MASKARA 2 Ogos di Rumah Pena

Jumpa kami di program MASKARA X dianjurkan Sindiket Sol-jah di Rumah Pena,esok (Sabtu 2 Ogos) pada jam 8:30malam.(lihat keterangan di sebelah kiri)
InsyaAllah,kami akan datang dengan semua anggota termasuk pemain akordian yang turun dari Pulau Pinang.
Kami akan menjual CD dan tshirt.
Jumpa di sana!

Wednesday, July 30, 2008

(Hampir)Tertinggal Bas ke Kota Singa

Hari Sabtu 26 Julai.
Jam sudah menunjukkan 7 pagi dan bas sudah dijadualkan untuk bertolak ke Singapura. Namun masih ada dua orang lagi anggota kumpulan yang belum sampai. Pemandu dan konduktor (orkestra) bas sudah bertanya-tanya. Kira-kira jam 7:15 pagi,dua orang yang hampir tertinggal bas tiba dengan iringan nyanyian lagu kebangsaan. Mungkin disebabkan mengejar bas dan tidak tidur pada malam tersebut (salah seorangnya baru sahaja selesai bertugas pada jam 2 pagi),maka mereka telah tersilap haluan setelah berhenti LRT di Masjid Jamek.Mereka awalnya menuju ke Bangunan Sultan Abdul Samad dan bukannya Hentian bas PuduRaya.
Perjalanan berjalan lancar selepas itu. Kami tiba pada jam 1:30tengahari di Beach Road dan dibawa ke Blok 606,Bedok Reservoir untuk membuat persediaan mengadakan persembahan. Setelah menukar pakaian dan makan tengahari,kami membuat persembahan dengan diselang seli oleh DJ yang berceloteh dan sebuah kumpulan nasyid.
Sekejap Dewangga Sakti,sekejap Demangga Sakti nama kami dipanggil. Mungkin terlalu letih berceloteh sejak tengahari,nama kami bertukar-tukar.Majlis akan berjalan sehingga 8:30malam.
Hiasan pelamin menarik sekali, sesuai dengan status pengantin -Norfasarie (pengacara,pelakon,penyanyi Singapura) dan Baihakki (pemain bolasepak skuad Singapura).Majlis ini diadakan di ruang padang blok perumahan ini dan dihias dengan cukup menarik.
Baru sahaja kami ingin memulakan lagu pertama,seorang wanita bertudung ingin menyanyikan lagu bersama kami. Rupa-rupanya ibu kepada pengantin lelaki. Maka, lagu P Ramlee bertajuk Gambus Jodoh dimainkan.Asalnya dia mahu nyanyi lagu Saloma.Kami sudah lama tidak memainkan lagu Saloma tersebut,kali terakhir ketika kami (pernah )mempunyai penyanyi wanita pada tahun 2002.
Makanan di majlis tersebut amat sedap sekali. Masakan rendang,ayam,ikan dan pelbagai jenis kuih sungguh menyelerakan.Ada yang bertambah gemuk kerana makan terlalu banyak.Sementara menantikan slot terakhir jam 8 malam iaitu set penghabisan, kami ke sebuah kedai mamak bernama Niakmat (mungkin dieja huruf 'Arab 'ayn kot!) di depan blok tersebut.
"Siapa mahu bayar ni?",ahli yang sudah bertambah gemuk bertanya.
"Aku tak bawa Sing Dollar!",ahli yang kurus bertambah kurus berkata.
"Ini macam siapa mahu bayar?",ahli termuda baru akil baligh bertanya.
Akhirnya ahli berambut panjang membayar semua minuman kerana hanya dia dan ahli kerja shift UK sahaja membawa Sing Dollar.
Selesai majlis ,kami terus ke stesyen bas di Lavender Street untuk pulang ke Kuala Lumpur. pada jam 10malam.Nah! Perjalanan yang jauh ke Singapura hanya di dalam satu hari.Pastinya hari minggu menjadi lebih indah kerana keletihan dan tidur sehingga tengahari.
---Terima kasih kepada Abg Yan yang menjemput kami.Kpd pengantin,semoga berkekalan sehingga ke akhirat!

Monday, July 28, 2008

Dipetik daripada Berita Harian 28 Julai 2008

Gema muzik Islami

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my


ADA KELAINAN: Dewangga Sakti menampilkan persembahan menarik menerusi permainan muzik tradisional dan moden.

Masmi disulami alunan lagu berunsur nasihat, gabung persembahan muzik tradisional, moden

PADA acara Malam Aspirasi Seni Muzik Islami (Masmi) anjuran Institut Kefahaman Islam (Ikim) sempena sambutan ulang tahun ketujuh stesen radio Ikim FM, bukan saja irama nasyid yang kedengaran. Sebaliknya, Dewan Besar institut terbabit turut bergema dengan alunan lagu berunsur nasihat, permainan muzik bertali, serta saksofon.
Ia seperti menandakan, betapa skop muzik keagamaan di negara ini tidak lagi hanya berpusat kepada kompang atau gendang. Malah, selagi mana alat muzik dan irama yang dimainkan tidak melalaikan, sebaliknya mendorong pendengarnya mengagumi ciptaan serta keagungan Tuhan, maka selagi itulah muzik terbabit ‘dibenarkan’.

Tokoh falsafah Islam, Al-Farabi (lahir 870M) juga pada dasarnya seorang pemuzik yang hebat. Lagu yang dihasilkan tokoh ini meninggalkan kesan mendalam pada pendengarnya. Selain mempunyai keupayaan bermain muzik dengan cukup baik, dia juga mencipta sejenis alat muzik dikenali sebagai gambus.
Mungkin berpandukan kepada keterbukaan tokoh terbabit, maka malam persembahan anjuran Ikim turut tidak mengetepikan elemen muzik lain seperti gitar dan saksofon. Kumpulan Dewangga Sakti, umpamanya, cukup menghiburkan apabila enam anak muda berkenaan tampil di pentas memperdengarkan karya bermutu mereka, Selembar Kasih dan Tertinggal Kapal Angkasa, dengan menggabungkan permainan muzik tradisional seperti gendang, gambus dengan biola serta gitar.
Hasilnya, sebuah persembahan yang dikira amat menarik, apatah lagi apabila vokalis utamanya, Mohsen Amdan, mengalunkan lagu yang berunsur nasihat. Dewangga Sakti sendiri bukanlah kumpulan yang baru, walaupun album pertama yang memuatkan lima lagu, baru saja dilancarkan Jun lalu.
Kumpulan yang berpangkalan di Pulau Pinang dan ditubuhkan sejak 2000 itu nyata tidak salah gelanggang apabila diundang sama menjayakan majlis berkenaan.
Begitu juga kehadiran peniup saksofon, Alif Nasir yang menghiburkan penonton dengan tiga lagu - Badarsila, Nurul Ain dan Jangan Tinggal Daku. Persembahan anak muda itu turut mendapat sambutan hebat hadirin yang memenuhi dewan. Di luar bangunan pula, ratusan lagi penonton yang mengikuti persembahan menerusi layar besar di laman. Namun begitu, Masmi sudah tentunya tidak mengetepikan irama nasyid apabila beberapa nama besar dalam genre muzik berkenaan turut mengambil tempat di pentas utama, menyampaikan lagu terbaik mereka untuk santapan telinga penonton yang ada.
Lalu, berkumandang irama indah Hanzalah dan Mentari Merah Di Ufuk Timur nyanyian Asri Ibrahim bersama rakan Rabbani yang lain, sebagai pembuka tirai acara yang turut disiarkan secara langsung oleh radio terbabit. Persembahan kemudian diteruskan kumpulan Saujana yang mengalunkan lagu Lakaran Minda serta Jalan Sehala.
Bahagian pertama persembahan turut menampilkan kumpulan Far East yang memukau suasana dengan laungan qasidah serta sebuah lagu Arab. Dewangga Sakti muncul kumpulan terakhir mengadakan persembahan pada bahagian berkenaan.
Apabila tirai sekali lagi disingkap, Nazrey Johani yang kini bergerak sendirian memilih lagu Secerah Pawana dan Antara Dua Cinta untuk hiburan penonton serta pendengar Ikim FM, manakala Nowseeheart pula hadir bersama lagu Inspirasi dan Selawat Murah Rezeki. Selepas Alif Nasir turun pentas, akhirnya Akil Hayy yang mendapat tepukan paling gemuruh penonton, tampil bersama dua buah tangan, lagu Berita Kepada Kawan dan Sesungguhnya.


INFO: Ikim FM

  • RADIO Ikim FM dilancarkan pada 6 Julai 2001 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad. Ikim FM ke udara 24 jam sehari menerusi 12 pemancar di seluruh negara. Rancangannya disampaikan dalam tiga bahasa - Melayu, Inggeris dan Arab.

  • IKIM FM yang mempunyai visi menjadi stesen radio terkemuka bagi memenuhi kehendak pendengar, bermatlamat menerbit dan menyiarkan 75 peratus rancangan bercorak pendidikan, 20 peratus rancangan berbentuk hiburan dan lima peratus rancangan yang menyampaikan maklumat.

  • MASMI yang berlangsung pada 13 Julai lalu dirasmikan oleh Pengerusi Ikim, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

  • Daripada Berita Harian 28 Julai 2008
    Beberapa kesilapan fakta rencana ulasan ini
    -Al Farabi tidak mencipta gambus.Beliau mencipta qanoon dan rabab.

    Dewangga Sakti
    -berpengkalan di Kuala Lumpur, bukannya Pulau Pinang.Hanya ahli bersekutu,Irwan yang sekarang menetap di sana atas urusan kerja
    -anggota seramai tujuh(7) orang,bukannya enam orang (sila lihat gambar)
    Apa-apa pun,jutaan terima kasih kepada Berita Harian yang meletakkan gambar kami yang besar di rencana tersebut. :)

    Tuesday, July 22, 2008

    Hijrah

    Seorang anggota kumpulan telah ditawarkan kerja dengan gaji yang masyaAllah! sungguh lumayan di sebuah negara Arab.Beliau telah menerima tawaran tersebut dan akan mula bertugas selepas hari raya nanti.
    Beberapa ahli kumpulan menitiskan air mata selepas mendapat tahu berita tersebut. Al maklumlah beliau diketahui selalu menjadi badut kumpulan.Kehilangan sementara beliau pasti mengurangkan keseronokan kumpulan.Ahli kumpulan tampak lebih bersemangat selepas itu kerana beliau menjanjikan elaun bulanan untuk membuat rakaman kepada kumpulan (ampu supaya tidak terus ditinggalkan) selama mana beliau berada di sana (jangkaan dua tahun).

    Thursday, July 17, 2008

    Pameran lukisan Zakii Anwar

    "Dari mana ni?",Tuanku Raja Nazrin bertanya.
    Kami tergamam dan menjawab ," Kuala Lumpur"
    Jemputan amat ramai pada hari itu sempena perasmian pameran lukisan Zakii Anwar yang dirasmikan YM Raja Nazrin di Galeri Petronas,KLCC. Ini kali kedua kami bermain di binaan canggih (Mari mencipta rekod dunia) ini.
    Lukisan Zakii melebihi seratus karya.Kami amat kagum dengan lukisannya yang betul-betul hidup dan menonjol.Ada yang pernah kami lihat sebelum ini.Banyak pula yang kami belum lihat kerana karyanya yang begitu banyak.
    Jemputan amat ramai.Tugas kami bermain muzik sebelum ketibaan YM Raja Nazrin dan semasa orang semua sedang sibuk makan,kami mainkan lagi beberapa lagu.
    Banyak yang bertanya adakah kami terikat dengan organisasi. Mereka memberikan beberapa nama. Kami jawab tidak! Kami bergerak bersendirian dan tidak terikat dengan mana-mana organisasi yang mereka sebut itu. Cuma kami secara spiritualnya terikat dengan kerajaan (ghaib) Kesultanan Gombak (he he).
    Oh ya!Kami bebas kerana kami gemar begini.
    Lagi satu perkara,bermain di galeri adalah kegemaran kami.Begitu juga baca puisi dan acara-acara skala kecil/sederhana yang lain.
    Selesai acara, kami bergegas ke Seksyen 14,Petaling Jaya untuk satu rakaman lagu hari raya seorang artis wanita yang vokalnya amat bagus(Tunggu pengumumannya nanti).Kami memainkan instrumen kami dan menyanyikan bait lagu di permulaan lagu yang kemudian di'loop' ke dalam lagu yang utama. Di lagu utama pun,kami memasukkan instrumen.juga.Tunggu hasilnya nanti.
    ---
    Kami akan memulakan kelas Sarkis! Mari bersama-sama kami memeriahkan sarkis ini.Skrip sudah ada!Ayuh bersama-sama!Kami perlukan ramai lagi pelakon. Tajuk pementasan Sarkis Segalanya(Tipu daya dunia)!

    Wednesday, July 16, 2008

    Macam dulu-dulu di kampus!









    "Ini kumpulan nasyid baru kah? Tak pernah dengar pun!
    Itulah di antara pertanyaan yang paling mencuit hati ketika kami mengendalikan sesi jamming dan busking di meja jualan yang disediakan ketika mereka melihat CD kami. Asalnya meja ini kosong dan kami mengambil alih setelah diberi kebenaran oleh petugas IKIM.
    Kami dijemput mengadakan persembahan di Institut Kefahaman Islam Malaysia(IKIM) untuk program Malam Apresiasi Seni Muzik Islam yang semuanya dihadiri oleh kumpulan nasyid seperti Rabbani,Nowseeheart,Saujana,Akhil Hayy dll.Hanya kami dan Alif (yang bermain saksofon) bukan memainkan lagu nasyid. Ketika menghantar sms kepada teman-teman tentang perkara ini, ahli bersekutu yang menetap di Pulau Pinang,Irwan membalas sms dengan kata-kata," Jangan salah gelanggang!he he"
    Persembahan lancar tetapi seperti biasa ada kesilapan teknikal bunyi berlaku dan tiada mikrofon untuk rebana /darbuka yang dimainkan oleh Abdul Raof.Nasib baik mikrofon untuk Wah Yun Kua yang juga bermain perkusi berfungsi dengan baik.Kami hanya mempunyai dua minit untuk membuat set up kepada instrumen di atas pentas ketika klip video dimainkan.Kami memainkan dua lagu -Selembar Kaseh dan Tertinggal Kapal Angkasa.
    Selesai persembahan,kami terus membuka meja jualan semula. Bosan dengan suasana,kami membuat sesi jamming di situ.Alhamdulillah, Cd ada terjual. Walaupun tidak banyak tetapi cukup untuk mencari khalayak baru. Kami tidak fikir tersalah gelanggang. Jemputan mesti diterima jika bersesuaian.
    Walaupun begitu,suasana ketika para orthodoks berkuasa di kampus dahulu kami rasai semula. Beberapa penonton di belakang isteri Dato' Mohsen menyuarakan ketidakpuasan hati kerana kami menggunakan instrumen gitar yang didakwanya haram dimainkan. Mereka juga mempersoalkan penggunaan ayat seperti " hadirin dan hadirat" yang didakwanya tidak cukup Islamik.Kemudian,mereka mempersendakan ayat ini seolah-olah ayat ini tidak wajar dituturkan di situ.Mungkin elok benar mereka memahami bahasa yang banyak kita gunakan sehari-hari.
    Ini membawa kami kepada persoalan yang lebih luas -Apakah nasyid yang difahami di dalam konteks kita sebagai rakyat ,lebih khusus lagi Umat Islam? Jika mesej atau nilai di dalam lagu menjadi sandaran,Ramli Sarip juga boleh menjadi artis nasyid.
    Secara peribadi,kami suka dengan lagu-lagu nasyid.Ketika aku dan Syam masih lagi memainkan lagu-lagu berirama berat,Raihan menjadi pilihan untuk kami dengari dan beberapa lagu Nowseeheart.Begitu juga Haddad Alwi.
    Jika kita memandang kepada niat,siapakah kita yang dapat membaca niat tersirat di hati manusia?
    Maka eloklah kita belajar sesuatu dari Kiai Kanjeng (Indonesia) yang amat berhikmah di dalam berdakwah dan turun ke segenap pelusuk kampung dan kota.
    Oh ya! Merujuk kepada tema majlis dan klip yang disediakan,pastinya banyak lagi boleh dilakukan jika kita mahu bercerita tentang muzik di dalam suasana Islami.Misalnya ,apakah kandungan kitab Al Musiqa karangan Al Farabi dan penceritaan asal usul nada ' do re mi' yang berasal dari abjad Arab.Jika kita katakan Al Farabi mencipta qanoon dan rabab,lebih molek diadakan satu pameran di luar dewan ,instrumen muzik ini di samping gambus(oud) yang menjadi tunjang kepada muzik Islam.
    Pastinya lebih hebat lagi jika kita bercerita tentang flamenco yang mengambil skala (maqamat) Arab dan dikembangkan di Andalusia satu ketika dahulu oleh Ziryab. yang mengasaskan sekolah muzik pertama di bumi Eropah.
    Akhir kata,terima kasih tidak terhingga kepada IKIM yang memberikan peluang kepada kami mengadakan persembahan.


    Wednesday, July 09, 2008

    Photoshoot!

    "Ha! abg yang depan tu kepala depan sikit. Yg P Ramlee tu violin ke depan",arah jurukamera.
    "Ha ! Satu lagi.Tabla tu ke depan sikit!"
    Ops! ini bukan adegan penggambaran filem. P Ramlee tidak wujud di sini.Tabla juga tidak dimainkan.
    Ini sebahagian daripada adegan kami menjalani sesi penggambaran (photoshoot) untuk majalah TELL yang akan keluar untuk isu bulan Ogos nanti.Inilah panggilan pertama daripada media setelah beberapa siri promo dihantar kepada media terpilih.Ini juga bukan majalah berbahasa Melayu.TELL sebuah majalah berbahasa Inggeris yang berkualiti tinggi menampilkan isu-isu semasa,politik,sosial,budaya dll.Kupasan isu di dalam majalah ini juga amat menarik.Ini ditambah dengan foto-foto yang menarik.Misalnya di dalam isu bulan lepas menampilkan Raja Zarith Sofia sebagai muka depan dan cerita utama di samping cerita tentang Rainforest World Music Festival dan beberapa isu lain seperti MP lompat parti dll.
    Hampir dua jam kami menjalani photoshoot tersebut malam tadi.Sudah kejang otot-otot muka kami kerana perlu tersenyum dan juga membuat aksi-aksi yang menarik. Beratus-ratus keping gambar diambil. Hasilnya kita akan dapat tengok di dalam isu TELL pada bulan depan. Temubual secara santai juga dilakukan.
    Oh ya! En Syam remaja gemilang Klang Gate yang datang paling awal. Baru sahaja kami ingin memberikan hadiah kerana datang awal dia berkata," Woi! Aku lupa bawa butang baju Melayu da!",Itulah Sudin di dalam cerita ini.Telah kami katakan sebelum ini bahawa En Syam yang banyak menceriakan kumpulan dengan aksi lawak spontan beliau.Situasi telah memerangkap beliau menjadi 'joker' kumpulan.Tidak dapat kami bayangkan jika En Syam tiada di dalam sesi ini.

    Wednesday, July 02, 2008

    Gadis cantek berkebaya biru di tepi tasik tersipu-sipu

    Ada seorang teman lama menghantar sms menanyakan perihal kulit album. Dia bertanya adakah artis sensasi Malaya menjadi cover CD tersebut. Setelah aku berkata bahawa ianya bukan ,dia bertanya lagi siapakah model yang muncul di kulit album tersebut. Kalau bukan model tersebut,mungkin adiknya.
    Eloklah aku rungkaikan misteri kulit album tersebut. Nama model yang disebut itu adalah Nur Suhaila Wagiman.Lulusan sebuah universiti luar negara dan sekarang menjadi model sambilan merangkap peguam di sebuah firma di Jalan Yap Kwan Seng. Berdarah kacukan.Ibu orang Melayu dan ayahnya orang Belanda.
    Sebelum kamu jatuh hati (wahai sahabatku),ketahuilah bahawa gadis itu adalah manipulasi lukisan digital melalui sketch yang dibuat oleh saudara Apogee yang amat cemerlang. Lawati blog beliau di sini
    Jadi dengan penjelasan ini,jangan kaitkan lagi Abg Syam dengan gosip ini. Mungkin benar dia jujur tetapi artis sensasi itu tidak pernah diminatinya. Bukankah dia sudah berkahwin serta punya anak yang comel dan mengusahakan kafe yang semakin menjadi tumpuan?
    Oh! Ada lagi ulasan tentang CD di blog Krenmaut di sini dan blog Anuar di sini
    Nota akhir daripada Penerbitan Lewat Senja: Belilah CD Dewangga Sakti dan warwarkan ke seluruh alam!sila rujuk ke notis di sebelah kiri!

    Iklan PIDM





    Malam tadi aku mendapat mesej dari saudara Fazli yg bekerja dgn syarikat minyak.Isteriku juga menelefon.Ketika itu ,aku di luar menjalankan tugas keamanan dan juga hal-hal parti kami -PAPAN (Parti Panda Nasional).Rupa-rupanya iklan PIDM yang pernah kutulis cerita mengenainya beberapa bulan lepas telah muncul di kaca tv.
    Iklan yang menceritakan tentang sekumpulan pemuzik diketuai oleh seorang pemain gambus. Lokasi penggambaran adalah di sebuah rumah pusaka di Ulu Langat.Abg Bob (yang handal bermain violin) yang melakonkan peranan utama.Dan gambus yang digunakan adalah milikku.he he
    Inilah gambar-gambar yang kuambil ketika penggambaran tersebut.

    Sajak di Selera Makan Benjamin

    Pengkhianat
    Bukan sahaja memunggah kekayaan
    atau harta kita
    Pengkhianat akan buat apa saja
    Untuk memperkosa daya intelektual
    Dan memusnah kemahiran berfikir
    Meneruskan tradisi
    Memandulkan daya juang bangsa

    Siapa pengkhianat di kalangan kita?
    Ibarat api dalam sekam
    Musuh dalam selimut



    Nota:Gambar tiada kena mengena dgn tulisan.

    Monday, June 30, 2008

    Ronggeng di Seksan

    Sabtu lepas kami mendapat undangan daripada Sharon Bakar untuk acara baca naskah -Reading at Seksan yang dikendalikan beliau di Galeri Seksan, Bangsar.Penampilan di galeri sememangnya kami nanti-nantikan kerana kami bebas dan tidak terikat dengan protokol,pakaian dan perkara-perkara formal yang lain(spt di perkahwinan,majlis makan malam,konvo dll).
    Kali ini kami bereempat sahaja yang dapat hadir kerana tiga lagi ahli terikat dengan komitmen lain.Kami terlewat sampai kerana penebangan pokok telah menghalang jalan yang kami ingin lalui.Hampir 30 minit kami membuat 'tour' sekitar Lucky Garden melalui bermacam-macam jalan dengan nama ikan -Kurau,Sepat dll.Ikan Tuna tidak ada di dalam senarai nama ini.Lokasi galeri di Jalan Tempinis.
    Kami tiba dan sempat mendengar pengarang dari Sri Langka Elmo membacakan petikan pendek daripada novelnya.Kemudian tiba giliran Lydia Teh (pengarang Honk!If You're Malaysian) dan JacquelineAnn Surin.
    Tamat segmen pertama.
    Kami memulakan segmen kedua dengan dua buah lagu kami iaitu Mabok Kepayang dan Belayar ke Pulau Jauh (Untuk Mencipta Rekod Dunia).Program diteruskan dengan pembacaan daripada Koo Yew Lee, Clarissa Tan dan Kam Raslan.
    Kami mengakhiri segmen kedua ini dengan Tertinggal Kapal Angkasa,sebuah lagu Abg Hail dan apa lagi? Lagu joget telah dimainkan!
    Baca tulisan Sharon di sini
    Di dalam satu perkembangan lain,kami telah ditawarkan untuk mengadakan persembahan di sebuah organisasi.Sebuah persembahan khusus yang mungkin memakan masa selama satu jam setengah dan bertiket.Boleh kami gelarkan sebagai konsert mini atau pun Malam Ronggeng Muda Mudi Tua Muda Miskin Kaya!(Akan diberitahu dari semasa ke semasa).