Thursday, May 31, 2007

Dalam kenangan



Imbas kembali ke tahun 2004.

Hari itu hari Sabtu di bilik latihan. Kelas aku hanya seminggu sekali (kelas separuh masa) dan memakan masa 40 minit. Kelas pula secara individu berdepan dengan insan seni yang amat merendah diri.Seorang tokoh muzik tradisional yang sehingga ke akhir hayat memperjuangkan muzik tradisinya dan meletakkan kepuasan di tangga pertama. Beliau amat gigih mendidik anak bangsa yang ingin belajar.

" Lagu apa kamu belajar minggu lepas?",tanya beliau dengan bersahaja.Aku pula yang gementar sebenarnya.

"Lagu Tiga Dara",jawab aku dengan pantas dan penuh yakin.

"Mana satu dara lagi? Kau dah kebas?",balas beliau sambil tersenyum.

Aku tersengih.

Silap!Lagu itu bertajuk Empat Dara,bukannya Tiga Dara seperti yang aku katakan. Disebabkan gementar,tajuk lagu pun boleh salah.

Itulah Fadzil Ahmad,insan seni yang digelar raja gambus Malaysia kerana kemahirannya memainkan instrumen itu sejak penghujung 50an. Dia serba boleh kerana selain mencipta lagu dan senikata,dia juga boleh menyanyi dengan begitu baik dan suaranya amat menyentuh perasaan. Pertama kali dia menelefon aku memberitahu tentang kelas pertama dan perihal pembelian gambus pada tahun 2003,suaranya begitu mendamaikan.

Al Fatihah.Sudah setahun beliau meninggalkan dunia yang fana. Masih banyak yang tidak dirungkai kerana tidak ada satu bahan dokumen(buku) yang diterbitkan untuk menyingkap sejarah perjalanan seni beliau yang berusia melebihi empat dekad. Pernah terdengar ASWARA bercadang menerbitkan buku tentang beliau tetapi sehingga kini masih belum direalisasikan.


Empat Dara

Empat Dara Duduk Di Tepi Sungai/Duduk Menjerat Si Ketamlah Batu( 2X )/Manis Rupa Hai Elok Perangai/Sukar Dipilih Yang Manalah Satu( 2X )/Empat Dara Berpakaian Sedondon/Berbaju Putih Berkainlah Biru( 2X )/Pandai Mengarang Seloka Dan Pantun/Hitam Manis Hai PandanglahTak Jemu ( 2X )/( ramai-ramai )Empat Dara Duduk Di Tepi Sungai/Duduk Menjerat Si Ketamlah Batu( 2X )/Manis Rupa Hai Elok Perangai/Sukar Dipilih Yang Manalah Satu( 2X )/Empat Dara Hai Denganlah Lagaknya/Bersiar-siar Sekeliling Kota( 2X )/Sekali Pandang Senyuman Manisnya/Tak Mungkin Lupa Sepanjanglah Masa( 2X )/
Nota gambar: (1)Fadzil Ahmad bersama Zulkifli, (2)Fadzil Ahmad bersama Amir Zainorin (anak kepada penyanyi ghazal Zainorin Mohd Dom-lagu Ala emak kahwinkan aku) dan isteri Amir,Pia

Wednesday, May 30, 2007

Pasaran muzik tradisional/ etnik

Ramai pemuzik tradisional telah dihasilkan oleh institusi seperti ASK(kini dikenali sebagai ASWARA) contohnya. Mereka ini telah menjadi pemuzik selepas menamatkan pengajian dan ada juga yang menjadi tenaga pengajar di institusi lain. Kemahiran mereka tidak diragui memang hebat. Pemuzik tradisional juga boleh sahaja muncul bukan daripada institusi rasmi seperti ini, tetapi daripada badan-badan kebudayaan negeri atau pun individu yang mempunyai inisiatif belajar sendiri dengan guru sama ada di kampung atau di bandar.
Soalannya: Adakah mereka ini menghasilkan muzik mereka sendiri?
Maksudnya selain membuat persembahan lagu-lagu malar segar tradisional yang telah dikenali ramai, mereka menghasilkan gubahan serta ciptaan baru kepada pelbagai rentak muzik tradisional kita?
Kita tidak kekurangan daripada segi bakat kerana pemuzik-pemuzik ini terlatih dan diajar banyak ilmu muzik. Cuma mereka tidak memaksa daya imaginasi mereka untuk mencipta sesuatu yang baru dan melangkaui batas muzik tradisional yang telah berjaya seperti Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah yang telah mencipta trend dan trademark tersendiri di dalam penciptaan lagu sebegini.
Apa yang kita perlu sekarang adalah muzik daripada generasi muda yang dapat membuat anjakan baru kepada label muzik tradisional dengan sentuhan kontemporari yang segar. Adalah amat menyedihkan untuk melihat hanya album-album lama tradisional di dalam pasaran yang dijual di kedai muzik.
Lebih malang lagi album-album ini sentiasa laris dijual tetapi kontrak album dahulu ada yang ditandatangani dengan tidak mengira royalti dan dijual secara 'lump sum'.Sebagai contohnya album daripada Fadzil Ahmad,Sri Maharani Ghazal dll. Album ini terus terjual sehingga hari ini dan sentiasa ada permintaan.

Tuesday, May 15, 2007

The Bookworm Cafe di Chengdu





Anda ingin makan dan minum sambil membaca daripada koleksi ribuan buku?
Selamat datang ke 'The Bookworm Cafe'!Dengan motto 'Eat,Drink,Read' (ahh...malangnya bukan di tanahair tercinta!)



Kafe ini kami jumpa secara tidak sengaja.Ketika itu jam menghampiri 1o malam. Aku dan Syamsul ingin pergi ke kafe siber berhampiran hotel setelah diberitahu bayaran untuk perkhidmatan internet di situ hanya 2 yuan selama sejam(iaitu lebih kurang 90sen sahaja). Ketika melalui jalan ke kafe siber ,kami terserempak dengan kafe ini di seberang jalan. Wah! The Bookworm Cafe'. Nama yang menarik. Kafe ulat buku?
"Lepas internet,kita mesti pergi ke kafe ini",Syamsul menyuarakan keinginannya. Melihat dari jauh sudah membuatkan kami teruja. Selepas sejam di kafe internet, kami singgah ke kafe unik ini dan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Peter Goff menyapa kami di pintu masuk setelah melihat kami membaca notis di ruang iklan berdepan pintu masuk. Beliau menjemput kami masuk.
"Kafe masih dibuka?'',tanya kami.
"Ya.Masih dibuka sehingga jam 1 pagi",jawab Peter dengan nada cukup ramah.
Kami melihat sekitar kafe dan melihat satu kafe yang lain daripada biasa.Inilah yang kami cari-cari.Kafe yang dipenuhi ribuan buah buku.
The BookwormCafe diasaskan oleh Alexandra Pearson di Beijing pada tahun 2002. Pada asalnya Alex datang ke Beijing untuk belajar muzik di Central Conservatory of Music di Beijing. Kemudian beliau terlibat dengan perniagaan dan agak aktif dengan acara kebudayaan. Menyedari koleksi bukunya yang banyak,beliau bercadang membuka perpustakaan komuniti yang diberi nama The Bookworm Cafe pada tahun 2002. Daripada koleksi sebanyak 1,600 buah sudah berkembang kepada 16,000 buah buku sekarang.
Pada tahun 2006,seorang warga Ireland Peter Goff (yang kami temui di sini) menjadi rakan kongsi Alex dan membuka sebuah cawangan Bookworm di Chengdu. Menariknya kafe ini selain ribuan buku turut menyediakan makanan dan minuman barat (juga tempatan) yang lazat dalam suasana santai dan tenang diiringi muzik latar mendamaikan.
Di Chengdu,koleksi buku adalah sebanyak 6,000 buah dan anda bebas membaca apa saja buku.Terdapat juga majalah dan buku untuk dijual.
Selain itu,Bookworm juga menganjurkan booktalk (bicara buku) daripada penulis/novelis daripada China dan luar negara, majlis baca puisi,kebudayaan,kutipan derma selain bertindak sebagai perpustakaan persendirian dengan bayaran yang minima. Pada malam-malam tertentu mereka juag menganjurkan 'open mic' untuk sesiapa yang berbakat di dalam bidang seni (apa sahaja).
Kami melihat tempat ini semacam tempat pertemuan warga asing (pelancong dan yang bekerja) untuk bersantai dan bersosial. Ada juga rakyat tempatan yang bergaul dengan warga asing ini. Mungkin ini satu cara mereka mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris yang giat dipromosikan di sini.
Malam esoknya,kami pergi ke kafe itu bersama Abang Khalid dan minum teh cina yang menyegarkan. Malam itu ada kutipan derma untuk rumah anak yatim telah diadakan di situ. Seorang wanita(mungkin isteri Peter) menyangkakan aku seorang wartawan kerana membawa kamera video .
Berbalik kepada persoalan kafe tadi,alangkah baiknya kalau terdapat di Malaysia. Mungkin orang yang terkenal mempunyai koleksi buku yang banyak seperti Faisal Tehrani,Jiwarasa atau Pak Samad boleh membuka kafe sebegini. Atau juga pengusaha kafe yang menyedari kepentingan tempat sebegini kepada penggemar buku.Ah...makan,minum,baca! Bukankah itu menyeronokkan?
Kalau anda berkesempatan ke Beijing atau Chengdu,jangan lupa berkunjung ke kafe ini.
Lawati laman web mereka di www.chengdubookworm.com

Monday, May 14, 2007

Bersama panda di Chengdu











Satu kenangan indah-melawat tempat penyelidikan dan pembiakan panda di utara Chengdu.

-Chengdu Research Base of Giant Panda Breeding

Salah satu daripada impian kami ketika berpeluang ke Chengdu adalah melawat zoo panda. Setelah seminggu membuat persembahan,kami diberi cuti selama satu hari. Seorang pemandu pelancong akan bersama kami.Nah! Ini satu berita yang menggembirakan! Coco Wong, yang ditugaskan amat fasih berbahasa Inggeris dan berpengetahuan luas mengenai sejarah Chengdu dan China. Sepanjang perjalanan di dalam van ,beliau tidak putus-putus bercerita.
Zoo panda ini terletak di utara Chengdu. Perjalanan mengambil masa selama 20 minit. Zoo ini merupakan tempat pembiakan dan penyelidikan utama di China (dan juga dunia) yang membuat kajian tentang panda dan habitatnya. Menurut Coco,panda ini sejenis binatang yang cerewet dan amat sukar menjaganya. Makanan panda adalah buluh - rebung dan daun. Di negara China terdapat lebih seratus jenis pokok buluh tetapi panda hanya memakan enam jenis sahaja. Sebab itu kerajaan menggalakkan rakyatnya menanam pokok buluh yang memang banyak kegunaannya seperti membuat rumah, alat muzik dan bermacam-macam lagi.
Pada zaman dinasti, panda dibela oleh golongan diraja sebagai binatang peliharaan kerana bentuk fizikalnya yang comel. Sekarang,kerajaan China menghadiahkan panda kepada negara-negara luar sebagai lambang persahabatan. Memandangkan penjagaan dan pemakannya yang rumit,pusat ini diwujudkan untuk membuat kajian lanjut dan memelihara panda daripada pupus.
Selain panda yang biasa kita lihat di kaca tv,kami juga dapat melihat panda merah yang rupanya seakan-akan musang. Memasuki pusat tersebut seakan-akan memasuki satu dunia buluh kerana di kiri kanan jalan dipenuhi dengan pokok buluh pelbagai jenis.Panda ketika dilahirkan ada yang sebesar tidak lebih daripada tapak tangan.
Kami juga dibawa ke muzium panda yang memuatkan banyak informasi menarik tentang panda. Terdapat kedai yang menjual cenderamata dan ada juga tayangan DVD tentang panda di situ.
Selepas sejam kami beredar untuk ke tempat bersejarah yang lain iaitu sebuah kuil lama berusia seribu tahun di Wenshu, Prime Minister's Shrine(semasa zaman Kerajaan Shu) di Jinli dan sebuah masjid di tengah-tengah bandaraya yang berusia hampir 400 tahun.

Friday, May 11, 2007

Berbasikal untuk kesihatan



Di samping kenderaan model terkenal dan mewah seperti Mercedes,BMW dan Honda(sekadar menyebut tiga nama), fenomena biasa di Chengdu bila kami melihat ramai rakyatnya menggunakan basikal,basikal elektrik untuk kegunaan harian ke tempat kerja dan bersiar-siar. Malah beca pun masih menjadi pengangkutan yang digemari ramai di samping bas dan teksi. Selain warga tempatan,ramai juga pelancong asing yang menggunakan basikal.
Di sini kita tidak perlu risau kerana terdapat ruang untuk basikal di jalanraya. Memandangkan 'urban planning' iaitu perancangan bandar mereka yang bagus,kebanyakan jalanraya adalah lurus mengikut sistem grid. Dengan cuaca yang sesuai,memang elok benar berbasikal di sini. Masa kami di sini,cuaca adalah dalam lingkungan 18 hingga 22 darjah selsius. Kalau ada sinaran matahari pun,bila berjalan di luar masih terasa sejuk.
Walaupun begitu,kami melihat aksi pemanduan yang merbahaya juga di sini. Menurut pemandu pelancong,Coco Wong ,proses mendapatkan lesen memandu adalah senang di sini. (Coco Wong menemani kami ketika kami mendapat cuti sehari dari membuat persembahan)

Thursday, May 10, 2007

Sichuan Conservatory of Music







Salah satu daripada perkara yang menjadi obsesi kami kalau ke luar negara adalah kedai menjual peralatan muzik. Ketika di Sapporo,Jepun kami sempat singgah ke kedai empat tingkat yang menjual banyak instrumen muzik dengan harga yang murah jika dibandingakn apa yang dijual di Malaysia. Buatan Jepun mestilah dijual dengan harga yang murah di negara sendiri (Tapi kenapa ada barangan buatan Malaysia tercinta dijual dengan harga mahal di negara sendiri?)
Bila Abg Khalid memberitahu bahawa dia pergi ke kedai muzik yang menjual banyak peralatan muzik pada hari kedua kami di Chengdu,kami amat tertarik dan hanya membayangkan sebuah kedai besar yang menjual peralatan muzik. Ternyata sangkaan kami meleset.Bila kami tiba ke tempat yang dinyatakan pada hari ketiga ternyata ia melebihi imajinasi kami.Terdapat puluhan kedai (mungkin menghampiri seratus kedai) di dalam deretan bangunan yang boleh membuatkan pembeli rambang mata kerana terdapat terlalu banyak pilihan di dalam satu tempat yang esklusif.
Bukan sahaja instrumen moden seperti gitar,dram,keyboard dll.Banyak kedai yang memfokuskan instrumen tradisional cina seperti erhu,seruling (dizhi),pipa,guzheng,gendang cina dan pelbagai instrumen lain yang menarik perhatian. Harganya boleh tahan.Satu seruling yang bagus kami beli hanya berharga 40yuan(RM18) -jika di KL harganya RM100 dan ke atas. Terdapat kedai yang menjual CD pembelajaran muzik, buku nota, buku klasikal, kostum persembahan dll.Kiranya tempat ini merupakan 'one-stop centre' untuk pemuzik.
Kalau itu sudah menggembirakan,ada satu lagi yang membuatkan kami terkejut. Di depan kawasan ini adalah institusi muzik paling unggul di wilayah Sichuan iaitu Sichuan Conservatory of Music yang didirikan pada tahun 1939. Faktor institusi ini dikelilingi oleh deretan kedai muzik menjadikan tempat ini ideal kepada pensyarah,pelajar dan pemuzik di bandaraya ini. Bagaimana negara komunis seperti ini yang sering dimomokkan dengan banyak elemen tidak menyenangkan dapat merancang perkara seperti ini? Sungguh teratur dan banyak memberi manfaat kepada masyarakat.
Kalau dalam konteks Malaysia,bayangkan puluhan kedai muzik mengelilingi Akademi Seni Budaya dan Warisan(ASWARA) (yang kami lebih gemar memanggilnya ASK -Akademi Seni Kebangsaan).
Negara komunis boleh! Malaysia pasti boleh! ha ha




Kedai makan Muslim





Berdekatan hotel tempat kami menginap terdapat sebuah kedai makan Muslim. Lima minit berjalan kaki sahaja. Kami pasti kedai itu menjual makanan halal setelah terlihat gambar masjid di papan tanda kedai dan logo halal yang terpampang semasa perjalanan pulang di dalam teksi dari Sichuan Conservatory of Music.

Esoknya tanpa dirancang kami mencuba makanan di situ.Kedainya kecil sahaja dan memuatkan lapan buah meja(kalau tidak silap).Satu meja boleh memuatkan empat orang pelanggan dan terpampang di dinding gambar masjid.

Ucapan salam disambut dengan mesra. Pemilik restoran ini dan pekerja-pekerjanya tidak tahu sepatah pun bahasa Inggeris. Malah menunya pun di dalam bahasa mereka. Bagaimana agaknya kami ingin berkomunikasi?

Norman mencadangkan supaya Syamsul melukis di atas kertas gambar mi di dalam mangkuk dan menunjukkannya kepada pelayan restoran. Isyarat itu difahami dan kami menjamu selera dengan mi yang dibuat terus oleh pekerjanya di ruang depan kedai.Sungguh unik pembuatannya yang dapat kami perhatikan secara 'live'.Tepung diuli dan ditebar-tebar.Kemudian dibentuk menjadi mi dan terus dimasukkan ke dalam bekas masakan.

Rasanya? Memang lazat dan menyelerakan. Kami ingin memesan teh tetapi nampaknya mereka tidak faham dan akhirnya memberikan kami air suam.

Harga mi ini amat murah iaitu 4yuan (RM1.80) semangkuk.

Besoknya kami dapat tahu,Abang Khalid pun datang makan di situ di sebelah malam dan memberitahu kami sudah ada menu di dalam bahasa Inggeris dan dia memesan mi daging kambing.

Friday, May 04, 2007

Mari belajar Bahasa Mandarin




Seorang pelayan wanita memakai tanda nama tertera Robert. Kami tersengih sendirian. Biasanya Robert nama sinonim kepada orang lelaki.


Begitulah senario di sini. Beberapa orang yang kami temui memperkenalkan nama mereka dengan nama Inggeris. Agaknya memikirkan orang luar sukar menyebut nama mereka. Nama-nama seperti Joan,Alice,Joey, Benny kedengaran menenggelamkan nama seperti Liu,Swee Yen dan nama-nama berbau kecinaan yang lain.


Meskipun begitu,pertuturan mereka tidaklah diberatkan kepada bahasa Inggeris. Mereka masih bercakap bahasa mereka dengan meluas dan penggunaan bahasa Inggeris hampir tiada atau amat minima. Di hotel kami menginap,kami terpaksa melukis gambar seterika setelah mereka tidak faham dengan perkataan 'iron'. Di sebuah kedai makan Muslim,kami terpaksa melukis gambar mi di dalam mangkuk untuk membuat pesanan kerana tidak terdapat satu perkataan Inggeris pun di dalam menu mereka.Mahu bercakap? Macam ayam dan itik!ha ha


Tetapi kami melihat kecenderungan rakyatnya untuk mempelajari bahasa Inggeris. Di kafe-kafe kami singgah,terdapat iklan mengajar bahasa Inggeris dan rata-rata yang kami temui menyimpan kamus elektronik di dalam telefon bimbit mereka. Mungkin beberapa tahun lagi,semakin ramai rakyatnya yang boleh berbahasa Inggeris pula.


Apa yang kelakar bila mereka tidak dapat membezakan 'husband' dan 'boyfriend'. Hari ini mereka mengatakan 'husband' dan esoknya bila disoal lagi menjadi 'boyfriend' pula.


Selain itu,kami melihat bercambahnya kafe/restoran makanan ala barat (yang juga diselitkan makanan tempatan) di sini.Ada yang baru menyambut ulang tahun pertama pembukaan seperti Zoe's Restaurant & BBQ dan ada yang baru seminggu dibuka seperti Region Coffee.Kedua-duanya dimiliki rakyat tempatan.Ada juga kafe yang dimiliki oleh warga luar.


Dengan terbukanya pasaran China untuk dunia, banyak peluang untuk diterokai. Bayangkan betapa luasnya China. Bagaimana agaknya kalau dapat membuat 'tour' seluruh China,atau sekurang-kurangnya lima bandaraya utama.


Ruang perniagaan juga banyak yang dapat dimanfaatkan.Buka saja restoran menyajikan makan Melayu di sana.Dengan konsep dan makanan yang lazat,pasti akan mendapat sambutan.


Sebelum itu,belejar bahasa Mandarin dulu!


Monday, April 30, 2007

Topeng emas Jinsha


Inilah topeng emas yang dijumpai di tapak Jinsha yang berusia melebihi tiga ribu tahun.Tapak Jinsha dijumpai secara tidak sengaja terletak di barat Chengdu dan penemuan amat menakjubkan dengan artifak emas,jade,ivory,gangsa,batu ukiran dll.

Rasa Sayang Eh


Ketika itu persembahan untuk makan tengahari. Mood agak membosankan.

Tiba-tiba seorang pelayan restoran memberikan sekeping nota yang ditulis ' Can you play Rasa Sayang?'

Sedikit terkejut kami terus mengatakan ya dan bersetuju memainkan lagu tersebut. Seorang lelaki menghampiri kami dan menyapa di dalam bahasa Melayu. Rupa-rupanya beliau rakyat Malaysia(berbangsa cina) yang bekerja di Chengdu. Sudah lapan tahun beliau bekerja di situ. Menurutnya, terdapat lebih kurang 200 orang rakyat Malaysia yang bekerja di situ.


Bila bercerita tentang lagu 'Rasa Sayang' teringat ketika bertemu seorang juruterbang dari Sri Langka penghujung Mac lepas. Dia datang ke Tower Records,KLCC ingin mencari lagu tersebut untuk dibawa sebagai hadiah kepada isterinya yang berbangsa Melayu Sri Langka. CD tersebut pada ketika itu kehabisan stok-Siri Murah EMI dan seorang rakan dari Tower Records menghubungi bertanyakan jika aku mempunyai CD tersebut.


Dan kami pun berbual-bual tentang Melayu di Sri Lanka dengan juruterbang tersebut dan ke sebuah kafe siber terdekat untuk membuat salinan kepada CD tersebut.

Rasa sayang eh rasa sayang sayang eh

Hey lihat nona jauh rasa sayang sayang eh

Tetamu tidak diundang


Jam 12:10 tengah malam.Malam terakhir kami di Chengdu.
Aku sedang sibuk membaca majalah sambil mata memerhatikan satu-satunya saluran berbahasa Inggeris di hotel ini. Tiba-tiba deringan loceng mengejutkanku.
Ah! Mungkin Syamsul dan Norman sudah pulang dari membeli kasut dan beg di kedai-kedai sekitar hotel. Mungkin juga Azmi yang menginap di bilik sebelah ingin meminjam pengecas bateri handphone.
Opps!Bukan!

Seorang perempuan terpacul di depan pintu.
Aku pasti perempuan ini tidak tahu berbahasa Inggeris kerana dia hanya menunjukkan isyarat yang bermaksud aku memintanya datang ke bilikku.
"Maaf ,saya tidak membuat tempahan",kataku dengan muka berkerut.Tiga kali aku mengatakan begitu dan pada kali kedua dia menolak pintu. Hatiku berdebar.
Akhirnya dia pergi dengan rasa kecewa kerana tiada pertukaran yuan berlaku.
Aku segera menelefon Azmi di bilik sebelah memberitahu apa yang berlaku. Bimbang perkara yang tidak diingini berlaku,aku mengasingkan diri ke biliknya buat sementara waktu.
Aku pasti ini ada kaitan dengan panggilan telefon hampir setiap malam daripada seorang lelaki misteri yang kami amat pasti memperdagangkan wanita untuk ditiduri lelaki-lelaki gersang. Dalam kata lain bapa ayam yang amat aktif di sekitar bandaraya ini.
Mungkin tidak puas hati kerana tidak dapat menyedut wang daripada kami mengakibatkan dia memberanikan diri menghantar terus seorang wanita ke bilik kami. Agaknya dia fikir dengan cara itu, kami akan lembut hati dan melanggan ayam peliharaannya(Mungkin dia tahu kami selalu menyanyikan lagu folk 'anak ayam' di setiap persembahan kami di sini). Hampir saban malam kami menolak panggilan telefonnya yang hanya menyebut 'beautiful girl' di dalam perbualan yang dipenuhi dengan bahasa Mandarin.
Atau mungkin juga disebabkan beliau tidak berbahasa Inggeris dan penolakan Norman (No,I don't want) di dalam panggilan telefon dua puluh minit sebelum itu difahaminya sebagai satu tempahan yang dinanti-nantikan.
Keterangan gambar: Di seberang jalan kelihatan hotel tempat kami menginap, He Ri Jun.Di ruang tengah jalan mereka sedang sibuk membuat laluan keretapi bawah tanah. Di sebalik kereta-kereta mewah berbagai model,beca dan basikal elektrik sangat popular di bandaraya ini dan dapat diperhatikan di mana-mana sahaja

Tuesday, April 17, 2007

Bingkisan dari Chengdu





Dewangga Sakti dengan empat orang anggota sedang berada di Chengdu,China bermula 12 April sehingga 28 April. Chengdu dengan kepadatan penduduk seramai 11 juta terletak di barat daya Republik Rakyat China dan merupakan ibu negeri kepada wilayah Sichuan yang terkenal dengan makanan berempah dan pedas.Chengdu juga terkenal dengan beruang panda dan merupakan hub telekomunikasi dan pengangkutan negara republik ini serta laluan terdekat ke Tibet.

Anggota Dewangga Sakti yang terdiri daripada Zulkifli -gambus, Noor Azmi-rebana/perkusi,Norman-violin dan Syamsul-gitar bass mengikuti delegasi Pelancongan Malaysia untuk promosi Makanan & Budaya sempena Tahun Melawat Malaysia 2007.Promosi selama 15 hari ini diadakan di sebuah restoran terkenal di Chengdu iaitu Restoran Gingko, sebuah restoran lima tingkat yang amat ekslusif dan mereka berempat menginap di Hotel He Ri Jun yang hanya bersebelahan jalan bersama-sama En Khalid,pelukis/pengusaha batik terkenal Malaysia dan dua orang tukang masak.

Rutin harian mereka adalah membuat persembahan untuk makan tengahari dan makan malam.

Cuaca ketika ini adalah di antara 21-25 darjah selsius.

Itu saja catatan buat masa ini. Banyak catatan lain akan menyusul nanti.Juga foto-foto menarik
keterangan gambar( mengikut turutan dari atas ke bawah: Dewangga Sakti bersama panda, di depan Sichuan Conservatory of Music bersama pengurus,Joan Liu, Chengdu Taxi dan di dalam bangunan lama temple di Wenshu


Tuesday, April 10, 2007

Jamming Akbar




Jamming Akbar

Sesi kali ini begitu santai. Bayangkan begini: Dr Iqbal menyanyi lagu Ebiet dan diiringi oleh seorang pemain gitar. Tetapi ‘key’ tidak sama! Persembahan dimulakan kembali mencari ‘key’ suara yang betul. “Kita buat macam kita jamming saja”, begitu kata Dr Iqbal di sesi tersebut ketika menerangkan konsep.

Dengan set up yang sesuai (selalunya kami mengalami masalah kekurangan microphone) dan tempat terbuka iaitu berdekatan Moot Court,Ahmad Ibrahim Kuliyyah of Law,Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Kali ini sesi jamming dibuat setelah selesai peperiksaan akhir untuk semester ini dan Dewangga Sakti dijemput untuk memeriahkan suasana.

Ramai pelajar-pelajar UIA (dari fakulti Undang-undang dan lain-lain) yang membuat persembahan. Bermacam-macam lagu daripada Sweet Charity, M Nasir, Ebiet G Ade,Iwan Fals yang didendangkan mereka. Terdapat juga bekas pelajar yang mengeluarkan album puisi sendiri.

Kami agak tertarik dengan seorang pemain didgeridoo yang memberitahu kami instrument itu dibeli dari Australia melalui internet. Asli rupanya! Bunyi dan bentuknya berlainan dengan apa yang selalu dilihat dan didengar.

Kali ini Dewangga Sakti dimeriahkan dengan kehadiran bekas anggota, Naeman yang hadir membaca dua buah puisi Jalaludin Rumi dengan diiringi muzik dari Dewangga Sakti. Persembahan ini tidak dirancang dan dilakukan secara spontan sahaja.

Persembahan kami diteruskan dengan Mabok Kepayang, sebuah lagu instrumental yang bakal dimuatkan di dalam album pertama nanti. Persembahan diselang-selikan dengan dendangan Dr Iqbal dan teman-teman yang lain dari UIA. (Hebat juga suara Dr Iqbal ni! Ada unsur-unsur rock jugak!)

Kali ini Mohsen selaku penyanyi tidak dapat hadir dan pemain perkusi, Raof dipaksa untuk menyanyi dua buah lagu iaitu Selembar Kaseh dan Belayar ke Pulau Jauh. Belayar ke Pulau Jauh adalah sebuah lagu baru yang belum mempunyai bentuk tetap dan akan disiapkan secepat mungkin sebelum proses rakaman yang mendatang.

Tiga lagu lain adalah Al baladi,Si dia Datang dan Ya Salam yang merupakan lagu covers kegemaran. Asalnya Si Dia Datang hendak dinyanyikan oleh seorang teman, Anis Es tetapi beliau tidak dapat hadir atas urusan peribadi.

Dr Iqbal di penghujung acara dan ketika sesi makan menyatakan bahawa acara seperti ini akan dilakukan lagi setiap semester dan kami berjanji akan terus hadir memeriahkan suasana.

Sesi kami diteruskan lagi selepas itu di luar- Deen.

Pertengahan sesi ‘post-mortem’ , kami dikejutkan dengan panggilan telefon daripada Mohsen yang memberitahu bahawa isterinya telah selamat melahirkan anak kedua, seorang bayi perempuan yang dinamakan Nur Basyirah Wafa.

Kami terus bergegas ke Klinik Mesra Sri Gombak untuk melawat. Tahniah Mohsen! Nampaknya sudah ada tiga orang Dewangga Sakti junior setakat ini yang akan meneruskan perjuangan mereka.

Wednesday, March 14, 2007

Seni gamel




Seni gamel

Saya rasa saya telah mendengar gamelan sejak sekian lama tetapi tidak ada ransangan yang kuat untuk terus mendengarnya.Seawal tahun 94,saya diperkenalkan dengan kaset gamelan –Gamelan for Dance Music yang diterbitkan oleh WEA.Ketika itu saya sedang mengikuti pengajian di peringkat matrikulasi. Baru saya tahu rupa-rupanya guru saya,Allahyarham Fadzil Ahmad menjadi penerbit untuk album ini dan pengarah muziknya adalah Pak Osman yang ketika itu bertugas di Kompleks Budaya Negara(KBN).
Semasa saya di universiti, saya langsung tidak tahu bahawasanya universiti mempunyai ensemble gamelan yang cukup aktif mengadakan persembahan. Mungkin kerana selain aktiviti pergi ke kelas,saya menghabiskan banyak masa saya dengan aktiviti luar di Central Market, Campbell dan Kompleks Pertama. Ini pasti ada hubungkait dengan penglibatan saya dengan muzik bertema berat yang amat aktif di luar. Pada masa itu, saya seolah-olah terpisah dengan kehidupan kampus.
Balik dari kelas, saya akan menghabiskan masa dengan kegemaran saya iaitu tidur. Malah saya akan mengelak untuk pergi ke kafe berdekatan kelas kerana saya tidak sukakan suasana yang bising dan dipenuhi manusia. Hakikatnya,muzik yang saya dengar saban hari setiap masa dan waktu di bilik adalah muzik yang amat berat dan boleh dikategorikan menghina universiti. Saya dan teman-teman seperti remaja brutal dari Bota, Meor dan lelaki jawa dari Batu Pahat, Chip telah membentuk satu jaringan yang cukup kuat di kampus untuk peminat-peminat muzik sedemikian.Pesanan CD,tshirt,majalah dari luar negara dan koleksi Cd terbaru adalah di dalam jagaan kami.
Ketika itu gamelan langsung tidak menjengah hati dan perasaan saya. Segala-galanya bermula bila saya sudah kemaruk filem dari Indonesia pada tahun 99. Setelah saya, Kimmy dan Said membeli filem-filem seram, filem aksi pula menjadi pilihan. Filem Saur Sepuh adalah di antara filem awal yang kami tonton dan saya merasa amat terpengaruh dengan filem ini.(kawan saya menggunakan saur sepuh sebagai nama emailnya kerana keterujaan) Ketika saya menonton filem ini, fikiran saya sudah terbang dengan imaginasi tidak terbatas kerana muzik yang ditampilkan mempunyai adunan gamelan dan rentak yang cukup mistikal. Ya! Saya memang menggemari sesuatu yang mistikal.

Saya mengambil keputusan untuk memasukkan intro filem ini ke dalam latar belakang lagu yang telah saya gubah untuk kumpulan muzik berat gergasi saya itu yang mana ceritanya berkisarkan tentang perang Pasir Salak. Malangnya ketika di studio, saya tidak dapat memasukkan intro ini kerana bunyinya yang amat rendah(saya hanya menggunakan Hi Fi untuk merakamkan intro ini ke dalam kaset). Saya amat kecewa! Saya terasa seperti satu semangat telah direntap dari jiwa saya.Tiga hari saya tidak makan.

Rupa-rupanya kekecewaan itu ada rahmatnya. Perkenalan saya dengan mutan pelik bernama Naeman telah menemukan saya dengan seorang lagi lelaki pelik bermain dram untuk sebuah kumpulan punk. Lelaki itu rupa-rupanya bermain gendang dengan ensemble gamelan universiti. Oh ya! Pada masa perkenalan itu, saya sudah membeli CD ‘Seru’ –koleksi persembahan tradisi Kelantan yang dimainkan master musician dari Kelantan-antaranya muzik daripada makyong dll terbitan Angin Dwipa Production yang diuruskan Datuk Azanin,seorang primadona di dalam bidang tarian Melayu.Nah! Sekali lagi saya teruja dengan bunyi rebab dan serunai di dalam album ini.

Di satu hening malam di tahun 2000, saya telah didatangi oleh lelaki pelik ini (bukan mutan) yang mencadangkan supaya kami bergabung untuk satu projek khas gamelan. Hah! Saya bukan salah dengar ya! Bukan gamelan sahaja tetapi digabungkan instrument lain seperti gitar ,dram,seruling dsbnya. Nampaknya lelaki pelik ini mempunyai wawasan yang menarik. Boleh dipertimbangkan. Saya pula pada masa itu sudah menghadapi krisis identiti secara muzikal kerana sejak 99, saya sudah gila lagu keroncong dan menghabiskan masa mendengar Best 104 sensasi selatan setiap malam yang pada ketika itu tamat jam 12 tengah malam diikuti doa. Pilihan saya tentunya Kartina Dahari (yang saya miliki CDnya) dan pastinya pilihan dari seberang –Gesang dsbnya.

Pada masa itu sesiapa yang melewati bilik kami yang dibuka 24 jam sehari akan terasa pelik. Sekejap lagu yang amat berat-thrash,death metal, black metal,gothic dsbnya dicampur pula dengan lagu-lagu mistikal makyong, keroncong dan seangkatan dengannya. Di satu partition lain, tiba-tiba kedengaran lagu Hail Amir,Uji Rasyid, Ramli Sarip, Sweet Charity, Kembara. Menjelang petang dan malam ada pula bacaan Al Qur’an yang selalunya oleh rakan kami dari Kedah (yang juga mendengar lagu yang berat).Itu belum dicampur sesi busking remaja kesepian dari Klang (dan kawannya yang kadang-kadang berkunjung) untuk lagu-lagu dari Blues Gang, Kembara dan juga jeritan gitar elektrik berjenama Jackson memecah kesunyian malam.
“Apa diorang ni dengar?”,mungkin itu reaksi sesiapa yang melewati pintu bilik kami di tingkat bawah tersebut. Bilik yang dilewati hatta menjelang subuh kerana mereka semua seperti batman.
Saya pula kadang-kadang bosan dengan soalan ini ketika saya menunggu bas ke KL ,”Mana mahu pergi? Jamming ke?”
Apa dia ingat hidup saya untuk jamming sahaja.
(pastinya saya memakai topi untuk menyorokkan rambut saya dan kebanyakan teman saya yang melepasi paras bahu)
Berbalik kepada cerita gamelan, keterujaan pertama saya adalah ketika mendengar kaset yang dibeli teman dari Indonesia iaitu kumpulan Sambasunda.Albumnya bertajuk Sundabali dan menggabungkan muzik gamelan Sunda dan Bali.Pada ketika itu,saya langsung tidak tahu kewujudan banyak jenis gamelan.Inilah pendedahan pertama dan saya amat terperanjat dengan nilai kreativiti dan penerokaan yang mereka buat dengan muzik gamelan. Bukan sahaja laju tetapi penuh emosi dan membuai perasaan. Baru saya percaya kata-kata Sapto Raharjo, antara penggiat gamelan di Indonesia yang mengatakan gamelan adalah spirit (semangat) dan objek (instrument) itu hanya alat yang menjadi pengantaranya.

Penghujung Oktober tahun 2000, teman saya yang pelik itu bersama saya dan seorang lagi teman bermain muzik dan mencari melodi gamelan di bilik gamelan di tingkat 4. Ketika kami bermain pada jam 1:30 pagi, tiba-tiba angin bertiup kencang dan ada bayangan seperti orang berjalan di luar bilik. Ketika itu kami mencari ilham untuk lagu bertajuk Inderapura.

Pertengahan tahun 2001, saya didedahkan dengan persembahan Rentak dan Gerak yang dihadiri oleh kumpulan gamelan dari Indonesia ,KuaEtnika yang diketuai oleh Djaduk Feryanto. Inilah persembahan gamelan yang membuka mata saya tentang kepelbagaian rentak permainan. Saya rasa persembahan ini amat spiritual. Teman saya dari Kosovo dan Yugoslavia amat teruja dan tidak menyangka akan wujudnya muzik sebegini di dunia. Saya kerana sungguh seronok mengulang datang untuk malam kedua.




Satu lagi kumpulan dari Indonesia yang menggegarkan dengan gamelan adalah Kiai Kanjeng yang diketuai oleh Emha Ainun Nadjib. Mereka menggabungkan gamelan dengan instrumen lain speperti gitar,bass,dbnya. Senikata mereka amat spiritual dan banyak lagu selawat di dalam lagu-lagu dendangan mereka. Ketika di UK,mereka mempersembahkan lagu 'Wild World' lagu asal Cat Steven (sekarang dikenali Yusof Islam) yang digubah dengan gamelan. (Persembahan itu juga dihadiri oleh Yusof Islam)

Kumpulan dari Malaysia yang meransang minat saya dengan gamelan tentulah kumpulan Rhythm in Bronze yang diketuai oleh Sunetra Fernando.Kesempatan membeli CD dan menyaksikan persembahan mereka di Actors Studio,MTc dan Dewan Filharmonik membuka mata tentang keupayaan mereka yang cuba membuatkan gamelan lebih kontemporari dan mengandungi banyak elemen lain. Mungkin ada yang mempersoalkan kredibiliti mereka dan kalangan ‘purist’ mengatakan mereka mencemarkan gamelan tetapi sepanjang yang saya tahu hanya ada dua CD gamelan untuk rujukan di Malaysia yang boleh didapati. Salah satunya adalah kumpulan ini.
Kalangan yang mempertikaikannya perlu tampil dengan banyak gubahan gamelan baru dan didokumentasikan untuk khalayak yang lebih luas. Jangan nanti, dokumentasi gamelan Melayu wujud dalam rakaman pendokong dari luar.
Seluruh kumpulan gamelan di tanahair perlu menerbit dan mendokumentasikan persembahan mereka. Selain lagu lama, mari bikin gubahan baru untuk menjawab persoalan zaman. Sesuai dengan semangat yang ada pada setiap zaman!

Nota: Oh ya! Lelaki pelik itu adalah partner-in-crime saya di dalam Dewangga Sakti sekarang. Asalnya bermain perkusi,akhirnya menjadi penyanyi! Namanya Mohsen.Tidak ada kena mengena dengan filem Mukhsin yang ditayangkan sekarang!
Nota 2: Latest addition to Dewangga Sakti's family-Nur Amirah Balqis (date of birth Dec 4th 2006)


Wednesday, February 21, 2007

Japanese hospitality

Catatan 3- Japanese hospitality

Mengikut perangkaan pada tahun 2004, terdapat seramai sejuta orang rakyat Jepun yang berumur 90 tahun dan ke atas. Kadar kelahiran bayi adalah rendah di negara matahari terbit itu ketika ini. Statistik 2004 itu juga menunjukkan ramai warga tua di Jepun.Ini ketara ketika kami di tempat pameran berlangsung. Ramai warga tua yang mengunjungi tempat pameran ASEAN Tourism Fair di tingkat 9, Pusat Membeli belah Tokyu tersebut. Ketika kami membuat persembahan, saya pasti tiga perempat daripada penonton adalah warga tua yang saya kira berumur melebihi 50 tahun.Mungkin lebih tua.

Sangkaan saya hanya di hari-hari awal tetapi perkara ini berlanjutan sehingga hari terakhir. Selepas tiga hari, orang-orang muda juga kelihatan turut sama memeriahkan tempat pameran. Walaupun ramai warga tua, saya melihat mereka ini amat aktif dan gemar berjalan. Kelihatan fizikal mereka masih sihat.

Mereka juga ‘passionate’ mengambil gambar. Kamera mereka? Pastinya model terbaru buatan Jepun yang bermutu tinggi. Di sana, barangan seperti kamera digital ,kamera video serta barangan elektrik lain adalah amat murah. Tidak hairan melihat mereka memperagakan model terbaru.

Satu insiden menarik berlaku pada malam terkahir kami di Sapporo. Pada malam itu,kira-kira 5:30 petang (selepas berbuka puasa dan solat maghrib) saya bersama-sama Siti (Tourism Malaysia) dan Kak Hawa (delegasi Singapura) ingin pergi ke sebuah gedung membeli belah yang menjual pelbagai fabrik Jepun dikenali sebagai Kanariya. Menurut seorang petugas hotel, tempatnya tidak jauh dan berdekatan kedai 100 yen (100 yen bersamaan RM3.10-macam kedai 2 ringgit) yang menjual banyak barangan dengan harga yang murah.

“Jika ingin lebih senang”,kata petugas hotel ini lagi, “tanya sahaja orang tua yang ditemui di jalanan”. Betul ke? Terkejut kami mendengarnya. Ini mungkin Kanariya popular di kalangan warga tua. Apa lagi nampak sahaja orang tua yang berjalan, kami menyapa di dalam bahasa Inggeris sambil bertanyakan tentang Kanariya. Nampaknya pencarian kami berhasil. Salah seorang warga tua yang disapa menunjukkan kami jalan ke sana. Tapi opps! Tunggu dulu! Nampaknya dia pun seakan-akan lupa dan dia pula bertanyakan orang-orang lain di tepi jalan yang dilalui.

Tanpa diminta dia membawakan kami ke tempat yang ditujui. Jauh juga nenek ini bawa kami berjalan, bual kami ketika mengikut beliau. Rupa-rupanya tempat ini tidak begitu jauh. Cuma terlindung di sebalik bangunan yang lain. Setelah dia menghantar kami ke situ, dia beredar pergi sambil bercakap di dalam bahasa Jepun. Sepatah haram pun kami tidak faham. Apa yang pasti kami telah sampai ke tempat yang ditujui. Kami mengucapkan ‘arigato gozaimas’ atas khidmat sosial nenek yang amat prihatin ini menambahkan lagi kekaguman kami kepada masyarakat Jepun yang amat tinggi budi bahasanya.(Ada ke kempen budi bahasa di Jepun?)

“Laju juga nenek ni berjalan”,kata saya setelah dia pergi.

“Kita wajib beli kain kat sini. Penat nenek ni bawa kita ke sini”, balas Kak Hawa.

Pencarian bermula. Kanariya kami jelajahi setiap tingkat. Gedung ini ada tiga tingkat dan banyak menjual fabrik tempatan dan import yang bermutu tinggi. Harganya boleh tahan bergantung kepada kualiti fabrik yang ditawarkan. Ada kain sutera Jepun, polyester, cotton dan bermacam-macam lagi. Terdapat banyak pilihan dengan corak yang pelbagai-banyak corak seperti yang terdapat kepada pakaian tradisional mereka Kimono. Kesudahannya setiap orang membeli fabrik pilihan masing-masing dengan penuh kepuasan.

Monday, December 11, 2006

Dari titisan Bukit Saguntang




Demam Sapporo belum habis. Menurut Azmie,dia masih terkenang-kenangkan saat manis di negara matahari terbit tersebut. Sebab itu, blog ini terasa sukar untuk dicatatkan perkara baru.Walhal,aktiviti tidak kurang menariknya. Tapi, tidak perlu terlalu nostalgia..hidup mesti jalan terus.
Dewangga Sakti terlibat dengan beberapa aktiviti pada bulan November dan Disember ini.
11 November-persembahan di resepsi perkahwinan selebriti Sazzy Falak di Saloma Bistro
18 November-terlibat dengan bengkel muzik tradisional di Pasar Budaya
10 Disember-persembahan di Konvokesyen Kolej Teknologi Kosmopoint(untuk persembahan ini founders Dewangga Sakti tidak dapat turut serta (Zulkifli dan Mohsen) dan ini adalah kali pertama kedua-dua tulang belakang kumpulan tidak terlibat dengan persembahan Dewangga Sakti. Tugas mengurus kumpulan diserahkan kepada bassman,En Syamsul yang menjalankan tugas dengan baik dan akan diberikan pingat jasa kebaktian kesultanan Gombak)

Thursday, November 23, 2006

Unik




Inilah Abg Muhaimin yang bersama-sama kami ke Sapporo,Jepun. Beliau seorang pengukir kayu berasal dari Temerloh yang banyak membuat kerja-kerja pertukangan kayu di merata tempat di Malaysia,juga di Jepun dan London. Hasil kerja beliau boleh dilihat antaranya di istana,parlimen,mimbar masjid di banyak tempat di Malaysia.Kalau di Jepun,ukiran dan corak Melayu di Restoran Melayu di Tokyo adalah hasil kerjatangannya yang ajaib.
Melihatnya yang begitu tekun mengukir menjadikan kita sedar sebenarnya hasil seni adalah satu benda yang dibuat dengan teliti dan penuh kesabaran. Tiada jalan pintas!

Friday, November 03, 2006

Nostalgia Sapporo








Tiba-tiba ingatan kembali melayang
Mengingatkanmu aku mula gundah
Kenangan itu sukar kupadamkan dari ingatan
Terpahat indah di dalam keabadian

Sapporo...abadi dalam kenangan
Entah bila kita kan bersua kembali

Wednesday, October 18, 2006

Sapporo


Sapporo Grand Hotel dibina pada tahun 1934 di tengah-tengah bandaraya Sapporo, ibu negeri kepada Hokkaido ,pulau yang terletak di utara Jepun. Hotel ini merupakan hotel pertama dibina di Hokkaido atas cadangan Putera Chichibu yang datang untuk sukan ski pada tahun 1928. Cadangan beliau supaya dibina hotel yang berkonsepkan stail barat di Sapporo.

Pembiayaan hotel ini dibahagikan kepada dua- kerajaan dan swasta. Pembinaannya menelan belanja sebanyak 800,000 yen. Corak dan penyeliaan hotel ini adalah di bawah pengawasan kerajaan tempatan Hokkaido.

Sapporo Grand Hotel dibuka secara rasmi sebagai hotel swasta pada 11 Disember 1934. Asalnya ketika dibuka hotel ini hanya lima tingkat serta satu tingkat di bawah tanah dan mempunyai menara di atasnya. Bangunan ini merupakan kebanggaan penduduk Sapporo yang berjumlah seramai 200,000 orang ketika itu. Menariknya, hotel ini merupakan bangunan tertinggi di Sapporo ketika itu. Sekarang hotel ini mempunyai 17 tingkat dan dua tingkat di bawah tanah dengan 562 unit bilik.(asalnya hanya mempunyai 51 bilik)


Ketika Sukan Olimpik Musim Sejuk dianjurkan di Sapporo daripada 3 hingga 13 Februari 1972, Sapporo Grand Hotel menjadi hotel utama yang menjaga hal ehwal pemakanan kepada perkampungan atlit yang mengambil bahagian. Hotel ini juga bertanggungjawab menjaga makanan kepada Maharaja dan Maharani yang menghadiri pembukaan sukan ini. Ketika pasangan diraja ini menghadiri acara sukan lompatan ski di Okurayama, kotak makanan mereka terus dihantar ke tempat tersebut.

Di hotel inilah ,semua delegasi negara-negara Asia Tenggara yang menyertai ASEAN Tourism Fair 2006 menginap. Delegasi Malaysia seramai lima orang ditempatkan di tingkat enam. Kami sangkakan seperti di Taiwan kami akan berkongsi bilik seramai dua orang. Rupa-rupanya setiap orang diberikan satu bilik. Penterjemah kami, Kaji Junko juga menginap di hotel yang sama.

Hotel ini memang menarik perhatian kami dengan susun atur dan corak yang agak ‘old-school’ dan perabut yang agak klasik. Bayangkan anda melihat satu perkakas lama untuk radio dan alat pengawal penghawa dingin(sila rujuk foto bertanda Sapporo 1). Hati-hati bila anda ingin ke tandas dan menggunakan ‘flush’.Bunyinya sampai ke bilik sebelah. Pernah kami diketuk pintu oleh petugas hotel kerana alunan muzik yang kami mainkan mengganggu ketenteraman penyewa di bilik berdekatan. Padahal, kami bermain amat berhati-hati dengan kadar yang perlahan. Mungkin juga kadar ‘sound proof’ bilik yang biasa dan paluan rebana menghasilkan bunyi yang bergema telah mengakibatkan satu ketukan di pintu! Sejak itu,kami tidak bermain muzik di bilik lagi.

Berdepan dengan hotel ini adalah Pejabat Pos Sapporo.Tidak jauh daripada hotel (satu atau dua minit berjalan kaki) adalah bangunan pentadbiran lama Hokkaido yang dibina pada tahun 1889(sila rujuk foto bertanda Sapporo 2). Bangunan berwarna merah (dipanggil Red Brick)ini menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara jika berkunjung ke Sapporo. Di dalamnya terdapat banyak maklumat berkenaan Jepun,Hokkaido dan bandaraya Sapporo di samping gambar,perkakas lama yang dipamerkan di dalamnya. Malangnya semua maklumat di dalam bahasa Jepun.

Pada tahun 1970, Sapporo diisytiharkan sebagai bandaraya kelapan di Jepun populasi penduduknya mencecah satu juta. Sekarang populasi penduduknya adalah seramai 1.8 juta orang. Sebelum penghijrahan beramai-ramai masyarakat Jepun dari selatan, pulau Hokkaido dihuni oleh suku kaum asli Ainu (maksudnya manusia di dalam bahasa mereka) yang sekarang sukar untuk dibezakan kerana proses asimilasi yang berlaku. Suku kaum Ainu dikatakan berasal daripada Proto-Mongoloid utara yang menghuni Asia Tengah dan Timur (antara yang dikatakan berasal daripada tempat yang sama adalah penduduk asal Taiwan dan pulau Ryukyu-Jepun). Tidak ramai yang boleh bertutur bahasa Ainu lagi ketika ini.

Antara tempat tumpuan pelancong di Sapporo adalah Taman Odori (Odori Park) berdekatan hotel ini (dua minit berjalan kaki). Terdapat arca di tepi air pancut yang berlatarbelakangkan Menara TV(dibina pada tahun 1951) yang seakan-akan Menara Eifell di Paris(sila rujuk foto bertanda Sapporo 3). Tempat lain adalah Menara Jam ( Clock Tower-sila rujuk foto bertanda Sapporo 4) yang dibina pada tahun 1878. Bangunannya bercirikan Amerika dan jamnya buatan Amerika penghujung abad ke 19. Di dalam bangunan ini terdapat muzium kecil yang memaparkan aspek sejarah tempatan. Asalnya dibina untuk Kolej Pertanian (sekarang Universiti Hokkaido). Bangunan ini dijaga dan dikawal sebagai satu bangunan kebudayaan yang bersejarah dan menjadi satu simbol kepada bandaraya Sapporo.

Wednesday, October 11, 2006

Laporan ASEAN Tourism Fair di Sapporo,Jepun


ASEAN Tourism Fair 2006 dianjurkan oleh ASEAN-Japan Centre yang berpusat di Tokyo,Jepun. ASEAN-Japan Centre ditubuhkan pada tahun 1981 untuk meningkatkan kerjasama di antara negara Jepun dengan negara-negara Asia Tenggara di dalam bidang pelaburan,perdagangan dan pelancongan.
ASEAN Tourism Fair pula antara objektifnya mendekatkan masyarakat Jepun dengan budaya negara-negara Asia Tenggara. Ini juga bertujuan menggalakkan supaya rakyat Jepun melancong ke negara-negara ini dengan siri promosi tahunan sebegini yang mendapat bantuan dan penajaan banyak pihak di Jepun. Pada tahun ini,terdapat sepuluh negara ASEAN yang menyertai Ekspo Pelancongan ini;antaranya Singapura,Cambodia, Indonesia, Thailand, Filifina, Laos,Brunai, Malaysia, Vietnam dan Myanmar.
Setiap negara dikehendaki menghantar lima peserta di dalam delegasi negara masing-masing. Seorang ketua kumpulan (daripada badan pelancongan negara masing-masing) ,seorang demonstrator dan tiga orang peserta bahagian persembahan.
Acara pada tahun ini diadakan di Sapporo di Kepulauan Hokkaido di utara Jepun.Diadakan dari 28 September sehingga 3 Oktober iaitu selama enam hari. Jadual delegasi Malaysia sudah bermula pada hari puasa pertama 24 September iaitu penerbangan ke Tokyo pada jam 8:55 malam. Setiba di Lapangan Terbang Narita jam 7 pagi waktu tempatan pada hari Isnin 25 September,kami dibawa ke Hotel Haneda Tokyu.Perjalanan selama sejam. Hotel ini terletak di dalam lapangan terbang Haneda - lapangan terbang untuk penerbangan di dalam negeri.Bagasi kami sudah dihantar dengan penerbangan lain ke Sappro untuk menyenangkan peserta.Cuma tinggal lagi barang-barang lain yang ingin dibawa ke dalam pesawat.
Keesokan harinya,Selasa (26 September) kami menaiki penerbangan All Nippon Airways (ANA) pada jam 1:50 petang untuk ke Sapporo.Perjalanan memakan masa selama satu jam 20 minit. Setelah tiba di lapangan terbang Shin-Chitose di Sapporo,kami di bawa dengan bas bersama delegasi negara lain ke Sapporo Grand Hotel yang terletak di dalam bandar Sapporo. Perjalanan selama satu jam dan tiba ketika sudah hampir berbuka.
Waktu berbuka adalah pada lingkungan 5:24 petang. Waktu terbit matahari di sini adalah pada jam 5:30 pagi. Cuaca di Sapporo lebih sejuk daripada Tokyo. Kebiasaannya 17 darjah selsius dan boleh mencecah serendah 9 darjah selsius. Setelah memakai winter jacket pun masih dirasakan sejuk lagi.Ini ditambah dengan deruan angin yang bertiup. Tidak kira siang atau malam,kami tidak memasang alat penghawa dingin di hotel kerana tanpa penghawa dingin pun sudah sejuk dan tidur mesti memakai selimut yang tebal.Ini mungkin perubahan cuaca kerana mereka akan berdepan dengan musim salji penghujung Oktober.
Rabu 27 September bermulanya proses membuat persiapan untuk pentas dan tempat pameran (booth). Jam 3 petang,kami menghadiri mesyuarat dengan badan penganjur di Tokyu Department Store iaitu tempat berlangsungnya pameran ini.Jarak tempat ini hanya lebih kurang lima hingga sepuluh minit berjalan kaki daripada hotel.
Malamnya kami diminta membuat persiapan di tempat pameran di tingkat 9.Pada malam itu kami sempat membuat 'sound check' dan nampaknya juruteknik amat memahami keperluan kami.(Tidak seperti di Taiwan yang tidak ada kelengkapan sistem bunyi selepas lima hari) Kami diberikan 4 unit microphone berjenama Shure. Nampaknya hanya Malaysia dan Laos yang membuat persembahan secara 'live'. Ini kerana peserta dari negara-negara lain menghantar barisan penari yang diiringi CD. Peserta Laos menggunakan instrumen buluh yang seakan-akan 'sumpoton'(instrume n ethnik Sabah) tetapi lebih bervariasi dan kedengaran seperti harmonika.Satu lagi instrumennya adalah seakan-akan instrumen erhu atau rebab(Pada hari terakhir Azmi dan Norman sempat jamming bersama di belakang pentas dan dirakamkan ke dalam video).
Pagi 28 September adalah acara pembukaan pada jam 9:20 pagi.Kami diminta berkumpul di lobi hotel pada jam 8:30 pagi dan akan bersama-sama dengan penterjemah kami ,Kaji Junko yang akan membawa kami ke tempat berlangsungnya acara. Di sini,mereka memang menepati waktu. Awal-awal lagi kami diingatkan supaya menyingkirkan budaya 'tidak apa,lambat satu minit je!' yang sering diamalkan orang Malaysia(Maknanya jika 8:30 pagi,kita mesti lebih awal)
Upacara perasmian berlangsung dengan kehadiran tetamu-tetamu kenamaan.Terdapat juga duta-duta negara terlibat.Tidak kelihatan wakil dari Malaysia.Majlis ini mendapat promosi yang meluas dari media di Jepun sama ada media cetak atau elektronik (Malangnya sekali lagi kami hanya diberitahu tetapi tidak dapat menonton berita tersebut kerana terlepas siaran)
Kami membuat persembahan pembukaan di tingkat bawah di pentas berdekatan pintu masuk pusat membeli belah Tokyu pada jam 10:30 pagi. Terasa kedinginan cuaca yang mencucuk ke dalam rongga badan. Kami memulakan lagu dengan sebuah lagu bertajuk Al Baladi (Negeriku-lagu Mesir),diikuti lagu Si Dia Datang ciptaan Allahyarham Fadzil Ahmad pada tahun 60an.
Sepanjang acara ini berlangsung kami melihat betapa masyarakat Jepun menghargai lagu-lagu yang dipersembahkan. Bukan sahaja daripada Malaysia tetapi juga daripada negara-negara lain.Mereka akan bertepuk tangan dan menggoyangkan badan dengan irama yang dimainkan.Mereka adalah khalayak yang 'appreciative' . Mereka bernyanyi dan bertepuk tangan bersama kami ketika kami mengalunkan melodi lagu dendangan asal Kyu Sakamoto,Ui Muite Aruko atau lebih dikenali sebagai Sukiyaki. Dua hari terakhir di sana kami mengakhiri persembahan kami dengan Sukiyaki.
Setiap kali persembahan adalah selama sepuluh minit dan kami mengadakan tiga sesi persembahan sehari di pentas masuk dan juga di tempat pameran di tingkat 9 Tokyu Deparment Store.
Kami juga dapat melihat persembahan daripada negara-negara lain ;antaranya tarian Apsara dari Cambodia yang amat mirip pergerakannya dengan Mak Yong,tarian Indonesia yang dibahagikan kepada tiga iaitu tarian gamelan Jawa Barat,Bali dan Acheh serta persembahan dari negara-negara lain.
Kami juga sempat membuat kolaborasi dengan delegasi Brunai sebanyak tiga kali.Kami mendendangkan lagu zapin iaitu Pantun Budi. Azmi yang bertindak sebagai penyanyi (dipaksa dengan pisau belati -atas ketiadaan Mohsen) selain bermain rebana berduet dengan penyanyi dari Brunai,Nana dan diiringi oleh dua orang penari Brunai.Hasilnya memberangsangkan. Ketika Brunai membuat persembahan kami diminta membawa penonton ke pentas untuk berjoget.Nampaknya hanya Azmi yang mempunyai lenggok menari yang baik(walau pun tidak pernah menari di Malaysia).Kata beliau,"Kalau kat Malaysia ni,haram aku tak menari!".Kata Norman pula,"Ini kalau Mohsen ada ni,mesti haru!Kalau Along ada lagi gila!ha!ha!( Persembahan ini dirakamkan ke dalam video dan amat kelakar!)
Pengacara majlis di sini amat suka bercakap.Entah apa yang dituturkan kami pun tidak tahu kerana semuanya di dalam bahasa Jepun.Mujurlah ada penterjemah kami Kaji Junko yang fasih berbahasa Melayu.Dialah yang menerangkan apa-apa bicara MC tersebut. Antaranya kumpulan Dewangga Sakti mempunyai tujuh orang anggota tetapi hanya tiga orang sahaja yang terlibat,dua orang belum kahwin,ada menghasilkan album (kalau nak beli datang ke Malaysia) dan lain-lain lagi.MC juga menerangkan tentang instrumen yang dimainkan seperti gambus, rebana dan violin.
Tetapi yang pastinya satu skandal telah berlaku. MC meminati Azmi di dalam diam-diam.Kami pasti beberapa kali selepas mengadakan persembahan, dia akan mengatakan "Azmi, I like your smile' di depan khalayak penonton.Itu sahajalah bahasa Inggeris yang dituturkan.Dan ada satu lagi....ini lagi kelakar.Entah mana dia belajar(mungkin dari penterjemah) dia mengatakan kepada Azmi di penutup persembahan kami ,"Saya cinta padamu" ha!ha!ha!Kami tidak dapat menahan ketawa lagi.Di atas pentas itu juga kami berdekah-dekah ketawa.Nasib baik kami tidak berguling-guling.
Konnichiwa
Akan disambung semula...banyak lagi catatan yang akan menyusul dan juga foto-foto di sana