Sudah lama kami menyimpan hasrat
ke Terengganu. Akhirnya,hasrat kami dikabulkan bulan ini dengan pengesahan
diterima daripada SUKTRA,Terengganu untuk kami bermain di Sound of Kenyir,salah
stau program di Festival Kenyir yang berlangsung di Tasik Kenyir pada 9 dan 10
Mei 2014.
Ketika Shahriz dari SUKTRA
menghubungi,jawapan saya adalah ‘setuju’ tanpa banyak soal. Komitmen ke sana
adalah keutamaan kerana peluang yang diberikan. Lebih-lebih lagi kumpulan
seperti MOHRAM juga akan berada di sana.
Mengambil peluang ini,saya fikir
perlu juga juruvideo dijemput ke sana. Saya terus menghubungi saudara Firdaus
yang biasa bekerjasama dengan kami utk membuat dokumentari serta merakam apa
sahaja yang perlu untuk proses dokumentasi. Saya juga menghubungi saudara Jo
Ghazali untuk mendapatkan khidmatnya sebagai jurugambar. Sayang sekali kerana
khidmatnya sudah dimeterai dengan pihak yang lain.
Beberapa ahli sungguh teruja
kerana ada yang belum pernah menjejakkan kaki ke sana. Bagi saya pula destinasi
bukanlah matlamat utama, perjalanan menuju destinasi itu yang akan banyak
mewarnai pengalaman kami.
Kali ini setelah sekian lama anggota-anggota tetap dapat menyertai jelajah kami ke Terengganu buat kali pertama.
Beberapa hari sebelum kami ke sana, saya dihubungi oleh Bad (ahli Dendang Anak) yang ingin menganjurkan satu sesi akustik buat kami bersama kolektif seni di Kuala Terengganu(KT). Ini juga tidak wajar kami lepaskan. Ibarat menyelam sambil minum air. Persembahan di Kenyir Fest akan didahului dengan satu persembahan santai di majlis yang dinamakan 'Seni Yang Berbunyi' di KT bersama teman teman KT yang lain.
"Buat di mana?",saya bertanya Bad.
"Mungkin di Payang Walk atau Taman Syahbandar", begitu jawapan beliau.
"Oh tidak mengapa. Di mana-mana sahaja kami tiada masalah". Itu jawapan saya.
Kami bertolak jam 1 tengahari pada 9 Mei dengan dua buah kereta. Perjalanan tiada masalah. Tiba di R n R Temerloh melalui Lebuhraya Pantai Timur, Wahyun memberitahu kereta beliau menghadapi masalah. Kami bernasib baik kerana Firdaus segera menghubungi ayahnya di Kuantan dan meminjam kereta untuk sementara.
Perjalanan diteruskan dan kami berpecah. Satu terus ke Kuala Berang. Satu lagi menuju Kuantan.
Kami tiba di Kuala Berang jam 6:45 petang dan terus menuju ke pasar malam setiap Jumaat. dapatlah saya dan Edie memperkenalkan kuih-kuih tradisi yang jarang atau sukar didapati di KL kepada Norman dan Raof.
Saya mendapat pesanan dari Irwan. Kereta Wahyun terpaksa ditinggalkan di Kuantan setelah proses baikpulih di sebuah bengkel. Mereka akan terus ke KT menuju tempat acara.
Kami pula ke Warisan Pahlawan Resort di Kampung Pauh untuk pendaftaran masuk.