Monday, September 24, 2007

Apek yang hebat di Amcorp


Oh! Hari yang indah di Amcorp Mall! Meskipun sistem bunyinya ala kadar tetapi keseronokan dapat dirasakan bila persembahan dihargai dan diiringi oleh seorang lelaki(apek) peniaga buah yang memberikan sepenuh sokongan kepada kami. Tanpa menghiraukan orang ramai yang berpusu-pusu masuk ke pusat membeli belah itu,beliau akan menari dan menyanyi di depan pentas.
Kami sudah merasakan sesuatu bila menjelang set kedua persembahan kami pada jam lima petang,beliau menghampiri kami dan meminta kami memainkan semula lagu nyanyian Theresa Teng- Tian Mi Mi (di sini dikenali sebagai Dayung Sampan).Beliau menghampiri kami dan berkata,"Ini lagu kalau main bukan Malaysia sahaja,tetapi satu dunia suka.Nanti nyanyi lagu ini!".Kami tahu beliau merujuk kepada lagu Tian Mi Mi kerana di set pertama beliaulah orang yang paling kuat memberikan tepukan.
Nah! Bila Mohsen melihat gelagat apek ini,microphone dihulurkan ketika kami memainkan lagu Tian Mi Mi.Apa lagi? Beliau menyanyi dengan sepenuh perasaan senikata berbahasa Mandarin sambil melaungkan Malaysia dan Malaysia boleh!Kemudian bendera Malaysia dihulurkan kepada Mohsen.
Keadaan menjadi tidak terkawal dan menceriakan pengunjung lain yang menyaksikan persembahan kami.Kami tidak dapat menahan daripada ketawa melihat gelagat beliau yang mencuit hati.
Selain lagu malar segar tradisional,kami juga memperkenalkan tiga buah lagu ciptaan kami sendiri. Ketika Mabok Kepayang dipersembahkan,kelihatan pelakon teater terkenal Jit Murad di tepi pentas.
Sebelum persembahan di set kedua kami sempat menjengah flea market di tingkat bawah kompleks tersebut.Selesai persembahan kami juga pergi menjenguk Kedai Buku BookXcess. Kebanyakan buku(baru-bukan secondhand) dijual dengan harga yang murah(di bawah harga pasaran) dan kami sempat membeli beberapa buah buku untuk persediaan berperang nanti.
Amcorp! Ah! Tunggu kami semula pada 4 dan 7 Oktober nanti.
Nota lain untuk rocky: ini cerita tentang 'perempuan lama' yang dituturkan penjaga kucing Klang Gate. Ketika latihan beliau ingin menerangkan tentang stail nyanyian artis wanita di tahun 50an."Nyanyi macam stail perempuan lama yang aku dengar dkt Klasik Nasional!"
-Terima kasih kpd Zaidi dan temannya,Iznan atas sokongan.Tiga ekor panda akan dihantar ke rumah anda sebagai tanda terima kasih kami.
-Oh ya! Persembahan di Maju Junction pada 19hb Sept berjalan dengan lancar.Cuma Syamsul tidak hadir kerana kucingnya terpaksa dihantar ke pakar haiwan

Friday, September 21, 2007

Al Fatihah

Al Fatihah untuk Adik Nurin Jazlin yang dibunuh dengan kejam oleh syaitan atau binatang yang masih berkeliaran di sini.
Malaysia tanahairku!Apakah yang telah terjadi?
Tanahairku bukan lagi tempat yang selamat!
Al fatihah...

Tuesday, September 18, 2007

Sumbangan Ziryab kepada muzik barat -bahagian 2

Sambungan daripada tulisan sebelumnya

Keinginan Ziryab untuk ke Sepanyol disuarakan ke dalam sepucuk surat kepada Al Hakam, pemerintah kerajaan Al-Andalus. Al Hakam amat teruja dengan keinginan tersebut dan menjemput Ziryab untuk berhijrah ke Granada di dalam surat balasanya. Tawaran gaji yang diterima amat tinggi bersesuaian dengan status pemuzik genius seperti beliau.
Beliau bersama keluarganya bertolak melalui Selat Gibraltar dengan sebuah kapal. Setibanya beliau di sana pada tahun 822, Al Hakam malangnya sudah meninggal dunia. Dengan penuh kesedihan, Ziryab sudah membuat persiapan untuk kembali ke Afrika utara tetapi Abu Al Nasr Mansur, pemuzik Yahudi di istana mengusulkan sokongan beliau dan mencadangkan kepada pengganti khalifah, Abd al-Rahman II yang juga anak kepada Al Hakam supaya mengambil Ziryab. Dengan ini, khalifah baru membuat tawaran semula kepada beliau.
Ziryab yang ketika itu berusia 33 tahun –usia sebaya khalifah- diberikan satu tawaran yang amat menarik. Tawarannya- 200 keping wang emas setiap bulan sebagai gaji, 500 keping wang emas pertengahan musim panas dan tahun baru serta 1000 keping wang emas pada setiap dua perayaan besar umat Islam(hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha). Selain itu beliau akan diberikan 200 gantang barli dan 100 gantang gandum setiap tahun.
Beliau juga akan diberikan sebuah istana dan beberapa villa yang mempunyai tempat subur untuk bercucuk tanam di pinggir kota. Dengan sekelip mata, beliau menjadi sebahagian daripada elit di kota kosmopolitan Granada dengan kedudukan yang tinggi.
Sebenarnya, khalifah menawarkan kedudukan ini kepada Ziryab sebelum mendengar permainan oud dan nyanyian Ziryab. Bila sahaja baginda mendengar nyanyian Ziryab, baginda merasa sangat terpesona dan dikhabarkan baginda tidak lagi mendengar lagu daripada penyanyi lain setelah mendengar lagu Ziryab. Begitulah penangan genius muzik ini.
Setelah itu, baginda Sultan dan Ziryab menjadi teman rapat dan banyak menghabiskan masa berbincang tentang puisi,sejarah dan segalanya berkenaan seni dan sains. Fungsi Ziryab seperti seorang Menteri Kebudayaan dan di antara projek pertamanya adalah membuka sebuah sekolah muzik yang diiktiraf sebagai sebuah sekolah muzik pertama di bumi Eropah yang pada masa itu masih di zaman kegelapan.
Sekolah muzik ini tidak mengenal darjat –terbuka kepada semua golongan tidak kira bangsawan dan orang kebanyakan. Berbanding konservatori di Baghdad yang agak rigid pembelajarannya, sekolah muzik ini menggalakkan eksperimentasi di dalam muzik dan instrument untuk menghasilkan penciptaan baru.
Di samping lagu-lagu terkenal daripada Istana Baghdad, Ziryab dengan segera memperkenalkan inovasi beliau dan dan memperkukuhkan kedudukannya sebagai seorang pengasas tradisi muzik Andalusia yang pengaruhnya dapat dilihat sehingga ke hari ini.
Diterjemah dan diubahsuai daripada tulisan Robert W. Lebling Jr yang terbit di dalam majalah Saudi Aramco World (24/4/2005)
Catatan peribadi penterjemah:
Oh!Alangkah besar jasamu Ziryab. Sesungguhnya seluruh dunia terhutang budi kepadamu
Akan datang: Pengaruh skala (maqamat) Ziryab di dalam album Naseer Shamma,pemain oud terkemuka Iraq yang mengasaskan Baitul Oud di Mesir.

Monday, September 17, 2007

Salam Ramadhan




"Kenapa?Muka aku ada macam Kopratasa kah?",itulah pertanyaan Mohsen kepada teman-teman yang lain.Ini berlaku di belakang pentas Kompleks PKNS Shah Alam. Dia menjadi musykil kerana ditanya Pian dari kumpulan Cecupak yang menjadi hos bersama Abon untuk program Ramadhan di sini.
Ha!Ha!Kami semua ketawa! Mungkin saja dia bergurau. Kami ketawa lagi!Lapan ekor panda untuk Mohsen!
Oh ya!Ini persembahan kami untuk bulan Ramadhan. Ia dibuat di waktu petang dan bukannya menjelang berbuka puasa. Kehadiran pengunjung agak ramai juga."Ini baru empat hari puasa",kata Mohsen.
Sesungguhnya inilah pertama kali bagi kebanyakan anggota berkesempatan ke kompleks ini.Susun atur dan coraknya amat old-school.Kami seolah-olah dibawa ke zaman kita belum mengenal pusat membeli-belah yang besar-besar seperti sekarang. Ia kelihatan seperti Ampang Park tetapi lebih luas dan di seberangnya kelihatan Plaza Alam Sentral.
Persembahan kami pada jam 2:30 petang dan antara yang membuat persembahan adalah kumpulan Kopratasa dan program diserikan dengan lawak jenaka pengacara iaitu Abon dan Pian.
Ketika pulang, Syamsul telah disaran supaya membeli sebuah troli untuk mengangkut amplifier gitar bassnya yang amat berat. Sudah beberapa kali Syamsul terpaksa diurut oleh Abdul Raof kerana menghadapi masalah kekejangan bahu akibat mengangkat amplifier tersebut.Moga terbuka pintu hatinya untuk membeli troli tersebut.Jika tidak ada duit,pihak kesultanan tidak teragak-agak untuk mengeluarkan belanja yang sewajarnya dengan syarat tempo(h) diberikan dengan tepat.
Kami berseloroh "Kalau tak mahu beli troli biasa,kau boleh beli troli yang buat tolak baja tu!".ha! ha!
Apa-apa pun,kami ingin mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan kepada semua umat Islam.Moga semangat Ramadhan ini akan membawa kita lebih tabah menghadapi hidup di dunia ini.
Kami akhiri dengan sebuah lagu dan senikata menarik daripada Sohaimi Mior Hassan.

RAMADHAN

DATANG LAH SUATU BULAN
IA BERNAMA RAMADHAN
KEBERKATAN NYA
TIADA TERHINGGA
MELIPUTI JAGAT RAYA
DATANG LAH SUATU MALAM
BERNAMA LAILATUL QADAR
NILAI AMALAN SERIBU BULAN
RAHMAT DARI YANG BERKUASA
CHORUS 1
MARI LAH KITA BERSAMA
SUJUD KEPADA YANG ESA
SELURUH JIWA DAN RAGA
MERASA HINA DAN HIBA
NAFAS PUN SEMAKIN SUKAR
DERIA SEMAKIN PUDAR
SARAF PUN SEMAKIN KENDUR
SERU PUN SEMAKIN HAMPIR
HARI BERGANTI HARI
RAMADHAN DATANG DAN PERGI
APA KAH DI LAIN KALI
KITA KAN BERTEMU LAGI
DATANG LAH SUATU HARI
BERNAMA AIDIL FITRI
KITA PUN MULA LUPA SEMULA
SEGALA SUMPAH DAN JANJI
LAGU & LIRIK : SOHAIMI MIOR HASSAN
GUBAHAN : ARIFF & MEOR

Wednesday, September 12, 2007

Ini baru suara Jantan!

Sohaimi Mior Hassan kembali dengan album terbaru bertajuk 'Suatu Hari Nanti" setelah mengeluarkan tiga album di tahun 80an.'Suatu Hari Nanti' juga menjadi single pertama yang sudah kedengaran di radio.Hampir dua puluh tahun menyepi sudah tentu ada sesuatu yang istimewa dihidangkan kepada peminat muzik Melayu di era banyak produk plastik dan artificial di pasaran sekarang.
Album ini diterbitkan oleh adiknya,Meor yang banyak terlibat sebagai penyanyi/penulis lagu di sirkit muzik indie sekitar ibu kota dan jajahan takluknya. Semua lagu dan senikata adalah ciptaan Sohaimi sendiri kecuali sebuah lagu lama bertajuk Serunai Malam. Lagu hit 80an beliau iaitu Epilog Cinta Dari Bromley diberi nafas baru dengan hanya menggunakan dua instrumen mengiringi vokal jantan beliau iaitu gitar akustik dan seruling.
Di dalam album ini Prof Madya Khairil Johari Johar turut menggubah beberapa buah lagu dan memainkan piano di dalam beberapa lagu.Ada juga permainan seruling daripada Mohar (kumpulan Mohram).Keseluruhan lagu di dalam album ini telah dirakamkan di Studio Purple Sound milik saudara Ariff Akhir.
Album ini bebas daripada birokrasi dan politik syarikat rakaman kerana ianya diterbit dan diedarkan sendiri oleh syarikat beliau Tele-Infra Teknologi Sdn Bhd yang berpusat di Ipoh.
Pelancaran album telah disempurnakan Rektor ASWARA di ASWARA dan sebuah klip video salah satu lagu beliau yang bertajuk 'Ramadhan' juga telah dirakamkan di sana.
Lebih menarik lagi seorang anggota dan bekas anggota Dewangga Sakti pun terlibat dengan pembikinan satu lagu di dalam album ini iaitu lagu yang bertajuk Ramadhan.
Dapatkan album ini di pasaran!Untuk keterangan lanjut http://sohaimimiorhassan.com/

Monday, September 03, 2007

Sempena hari bebasmu

Aku tahu usia kau melebihi setengah abad
Malah ribuan tahun sejak alam ini tercipta
Banyak perkara telah engkau saksikan
Tiada satu pun yang mungkin dapat kau lupakan

Engkaulah sukma jiwaku
Ibu pertiwi
Tanahairku
Tanah tumpah darahku

Meskipun begitu hatiku terusik melihatmu
Diasak dan dimusnah anak watanmu
Dipijak-pijak dimusnah dasar tak berperi
Diracuni oleh barah yang tidak terubat kini

Masihkah kau bernafas setengah abad lagi?
Atau musnah ditelan bumi?

3 September 2007
Kuala Lumpur

Dewan Merdeka PWTC

Pusat Dagangan Dunia Putra(PDDP) tidak dipanggil dengan singkatan PDDP. Kita lebih senang memanggilnya dengan Putra World Trade Centre (PWTC). Sama seperti Parti Kebangsaan Melayu Bersatu(PEKEMBAR) yang kita panggilnya sebagai United Malay National Organization(UMNO).
Di dalam hal ini kami amat berbangga kerana nama Kelab Panda Nasional(KEPANA) dipanggil dengan nama KEPANA dan bukannya National Panda Club (NAPAC). Ini menunjukkan seni berbahasa Melayu masih menebal di jiwa pencinta panda di negara ini.
Pencinta panda telah membuat persembahan di PDDP Sabtu lepas. Acara diadakan di Dewan Merdeka. Sesi terkejut telah berlaku apabila kami diminta untuk mengiringi penyanyi tersohor, Juliza Adlizan (kakak ipar kepada pengantin perempuan) yang membuat 'surprise' kepada hadirin dengan menyanyikan dua lagu iaitu Joget Pahang dan Kuda Hitam.Hentam saja lah!
Satu lagi,salah seorang keluarga kepada pengantin adalah idola kepada pemain gitar,Irwan. Orang yang dimaksudkan adalah pemain gitar utama kumpulan rock 90an,Kris.
Inilah perbualan di antara mereka yang sempat dirakamkan krew
Irwan: Bang,nak tanya sikit!
Abang gitaris: Ok
Irwan: Dulu dalam album main sendiri kah?
Abang gitaris: Main sendiri!
Irwan: Terjawablah persoalan selama ini.he he
(Di dalam hati: Boleh tidur lena lah)
Pasca persembahan
Syamsul: Selepas ni boleh lah tambah repertoire baru -Kuda Kepang!
Kuda kepang? Bukan kuda hitam?
ha ha ha