Thursday, December 31, 2009

Space Gambus Experiment CD



Album Space Gambus Experiment sudah dilancarkan secara rasmi Ahad lepas,27 Dis (10 Muharram) di RA Fine Arts Kuala Lumpur oleh YM Raja Ahmad Aminullah. Album ini adalah sebuah projek bersama Kamal Sabran (elektro-akustik) dan Zulkifli Ramli (oud/gambus) dan diterbitkan oleh Teratak Nuromar & Xperimental Lab.
Ia memuatkan 10 buah lagu (kesemuanya instrumental) dengan kolaborasi bersama sound artists daripada 12 negara seperti UK,Amerika,Itali,Norway,Finland dll yang menghantar track bunyian/samples mereka secara atas talian.
Baca lebih lanjut di sini atau sini dan dengar lagu-lagu di sini
Untuk pesanan CD yang berharga RM20 (termasuk belanja pos),sila hubungi kamalsabran@gmail.com

Thursday, December 24, 2009

Sepang GoldCoast







Baru-baru ini kami ke Sepang GoldCoast untuk menghadiri pelancaran logo Selangor Shines anjuran Tourism Selangor untuk promosi pelancongan di negeri Selangor. Majlis dirasmikan oleh YB Elizabeth Wong. Persembahan selepas perasmian ketika tetamu semua menikmati juadah tengahari.
Resort ini (Eh boleh panggil resort kah?) terletak di Bagan Lalang di dalam daerah Sepang. Pertama kali juga kami mendengar nama ini. Sepang Goldcoast amat menarik,(masih di dalam pembinaan)cuma pantainya berselut dan sukar mahu dipastikan adakah ia sesuai untuk mandi-manda. Kebetulan tengahari itu, air surut dan setelah selesai persembahan dan menikmati steambot hidangan tengahari, kami ke pantai di dalam keadaan cuaca yang amat terik. Seorang ahli hampir terjatuh ke dalam lumpur ketika kami ingin mengambil gambar (perhatikan kesan tapak kaki di dalam lumpur).
Kehadiran hanya tiga orang dengan seorang pemain akordion jemputan, Lan. Pagi-pagi lagi kami sudah bertolak dengan jarak perjalanan yang amat jauh. Perjalanan seperti ingin ke KLIA dan kami termasuk jalan-jalan kampung yang mengelirukan.
Setelah selesai semuanya ,di dalam perjalanan pulang kami sempat singgah minum petang di sebuah kawasan baru di sebuah kampung yang kami pun tidak pasti.
Apa-apa pun,ini satu pengalaman baru ke Sepang. Perjalanan yang jauh tetapi menyeronokkan dengan melihat kawasan-kawasan yang masih terpelihara alam sekitarnya di samping melihat papantanda projek perumahan yang murah. (Abdul Raof sudah bercadang membeli rumah di Sepang dan bekerja di KLIA selepas ini)
--Terima kasih kepada Amri di atas jemputan ini

Tuesday, December 22, 2009

XMedia Lab,Kungfu Panda & Pullman






Sekitar persembahan makan malam di konferen animasi antarabangsa anjuran XMedia Lab yang diadakan di Pullman Lakeside Resort,Putrajaya dua minggu lepas. Antara yg hadir adalah John Wayne Stevenson, salah seorang daripada dua orang pengarah filem Kungfu Panda.
(Foto terakhir-bersama John yang berbaju putih)


Thursday, December 10, 2009

All You Need is Love

Baru-baru ini,kami terlibat mengadakan persembahan yang disiarkan secara langsung ke London dan New York. Ia dianjurkan oleh Starbucks & Project (RED) Love Project . Projek ini adalah satu usaha besar kebajikan untuk mengutip derma bagi tabung AIDS Afrika. Dijangkakan sebanyak USD3 juta berja ya dikumpulkan.
Lagu yang dimainkan ialah 'All You Need is Love' daripada kumpulan Beatles
Seramai 196 negara mengambil bahagian dan semua negara bermain lagu yang sama pada waktu yang sama di negara masing-masing. Masa yang ditetapkan adalah jam 8:30malam 7 Disember 2009. Pada saat-saat akhir,masa dianjakkan sejam selepas itu. (Info terkini--157 negara termasuk Malaysia berjaya 'live' pada waktu yang ditetapkan)
Kebetulan waktu itu petang sehingga maghrib hujan dan mengganggu set-up yang dibuat di luar Saloma Bistro. Kelam kabut juga pihak penganjur ingin mengalihkan barang-barang yang telah diletakkan di luar. Khemah tiada disediakan. Jam 8 malam ,hujan beransur reda.
Pelan asal juga ditukar. Kami diminta mengiringi koir seramai 25 orang (pada awalnya diberitahu 10 orang dan di situ juga pertama kali kami berlatih bersama)
Seawal jam 4 petang kami sudah tiba ingin membuat semakan bunyi. Dua jam selepas itu barulah kami dapat memulakan semakan bunyi kepada instrumen kami. Banyak keperluan kami tidak dapat dipenuhi,antaranya speaker monitor tidak ada. Mikrofon dan mic stand juga tidak mencukupi. Keprluan kami sebenarnya amat minimal kerana instrumen kami semuanya akustik dan tiada keperluan untuk amplifier atau barang-barang teknikal lain. Cuma instrumen akustik memerlukan ketelitian yang lebih di dalam mencari bunyi yang sesuai dan mantap.
Bunyi amat mengecewakan.
Tepat jam 9:30malam ,persembahan dimulakan. Tamat persembahan,kami memainkan sekali lagi lagu yang sama. Kali ini berlarutan selama 23 minit tanpa henti untuk satu lagu yang sama(di mana ditengah-tengahnya kami telah menukar beat kpd inang cina dan joget johor sport club)!
Nota akhir: Kami berpendapat sesuai sekali jika semua memakai pakaian tradisi untuk majlis seperti ini. Jika kita berpegang kepada konsep multi-etnik, semua yang mengambil bahagian boleh memakai baju tradisi masing-masing. Itulah perkara unik dapat ditonjolkan kepada dunia. Kalau berkenaan nyanyian,semua negara menyanyikan lagu yang sama. Apa lagi yang boleh kita tonjolkan selain daripada budaya kita? (Kami memakai baju Melayu ketika persembahan)

Monday, November 23, 2009

MuKIM

Jumaat lepas, kami memeriahkan sesi minum petang Konferen Kesusasteraan Asia Pasifik yang berlangsung di Muzium Kesenian Islam Malaysia (MuKIM) atau lebih dikenali sebagai Islamic Arts Museum Malaysia(IAMM). Persembahan ringkas selama tiga puluh minit diikuti sesi bacaan puisi daripada peserta antaranya dari Iran, Malaysia dan negara-negara lain.
Wahyun dan Raof juga kemudiannya mengiringi sesi impromptu gerak tari Dr Zulkifli.
Sesi juga dihadiri oleh bekas Rektor UIAM, Prof Kamal Hassan yang turut membaca puisi dipetik daripada terjemahan puisi Iqbal.

*Terima kasih kepada Dr Faridah dan Alumni UIAM kerana menjemput kami membuat persembahan sempena majlis tersebut

Tuesday, October 27, 2009

Hantu CD

Di dalam kembara ke luar negara menyertai persembahan, kami akan menyenaraikan kedai-kedai CD yang bakal kami lawati untuk tujuan mencari dan membeli CD. Tidak lengkap rasanya jika tidak membeli CD (dan kadang-kadang piring hitam) kerana pilihan CD yang banyak dan terdapat CD second-hand yang murah terutamanya di Jepun. Di satu kedai CD di Kokura (Fukuoka) ,kami terjumpa satu kedai CD yang banyak menjual piring hitam terpakai dan di satu kedai muzik,kami terjumpa CD Noraniza Idris.
Kebiasaannya, Norman orang yang paling banyak membeli CD. Setiap ahli lain juga akan membeli Cd walaupun dalam kadar yang sedikit. Malangnya,perkara ini tidak terjadi ketika kami ke Korea baru-baru ini. Mungkin disebabkan jadual yang amat padat, tidak ada kedai CD utama yang kami temui.
Untuk mengubat hati,Norman membeli CD 'Crying Nut'(gambar atas),sebuah band punk Korea pada hari terakhir(Eh! band punk pun ada akordian). Cukuplah memenuhi syarat sebagai hantu CD Kesultanan.
(Gambar bawah - koleksi CD yang dibeli Norman di Kokura tahun lepas)

Monday, October 19, 2009

PuKAP




Semasa kami masih di Korea,Azman Jan menghantar mesej mengatakan ada persembahan hari raya MDeC di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya(PuKAP). Mula-mula,kami rasa sangsi dengan mesej Azman kerana jadual asalnya bukan pada tarikh tersebut. Akhirnya kami pun setuju. Maka sehari selepas kami tiba di tanahair tiga minggu lepas(tiba tengah malam), paginya kami terus ke Putrajaya pada jam 10.30 pagi.
Azman memecut kereta dengan laju melalui lebuhraya KL-Putrajaya kerana kami telah lewat. Dua ahli yang ada di dalam kereta masih belum bersarapan pagi. Kami berempat ketika itu di dalam kereta. Irwan menunggu di Putrajaya kerana rumahnya hanya 10 minit dari sana. Wahyun pula tidak dapat hadir kerana ada kerja penting di firma.(Maklumlah akan tamat latihan dalam kamar dan bakal bergelar peguam nanti)
Kami tiba tidak lama selepas itu. Kemudian kami lihat PuKAP senyap sunyi seperti tiada acara. Azman melihat semula mesej yang diterimanya.
" Alamak,kita dah salah tempat. Bukan kat sini,tapi di Pusat Konvensyen KL dkt KLCC tu!"
Hah? hahaha Nampaknya kali ini virus Pak Abdul menyerang Azman. Kami pun terus ke KL. Mujurlah mereka baru sahaja siap memasang peralatan untuk semakan bunyi. Majlis hari raya MDeC diserikan dengan penampilan Jayjay,Jaclyn Victor dan ramai lagi.
Set persembahan banyak dan ahli makan dengan berhati-hati kerana tidak mahu terkena virus Abdul Raof yang muntah-muntah sejak menaiki kapal terbang sehari sebelumnya . Pagi sebelum persembahan juga dia muntah buat kali terakhir. Besar kemungkinan diracun ketika makan pagi terakhir di Hyundai Residence,Seoul.
-------------------------------------------------------------------------
Kami akhirnya beraksi di PuKAP setelah memenuhi undangan Kementerian Sains,Teknologi dan Inovasi (KESTI atau MOSTI) di minggu selepas itu. Juga untuk sambutan hari raya. Kali ini semakan bunyi jam 10:30 pagi dan persembahan hanya akan bermula jam 4 petang. Turut membuat persembahan adalah pelajar sekolah CBN. Majlis agak formal dan tamat sekitar jam 5 petang.
Satu kejadian tidak diingini telah berlaku bila Abdul Raof kehilangan dompet yang diletakkan di dalam begnya. Ini disedarinya ketika sampai ke kereta. Muka Abdul kelihatan begitu pucat dan cuba ditenteramkan oleh sparring partner beliau,Wahyun.
"Rileks. Mungkin kau salah letak",itu kata Wahyun cuba mengubat kesedihan Abdul.
Puas beliau mencari dompet tersebut- di belakang pentas, tandas,surau dll.
Dokumen spt MyKad,lesen memandu,kad bank dan wang sebanyak RM300 ada di dalam dompet tersebut.
Akhirnya kami menyarankan supaya beliau melaporkan kehilangan tersebut kepada pihak pengawal.
Ahli-ahli kemudian mengumpulkan duit sebagai derma kepada Abdul.
Kami pasrah. Abdul Raof juga pasrah.
Kami kemudian ke rumah Wahyun untuk jamuan hari raya. Belum lagi sempat kami bergerak, Abdul Raof mendapat panggilan telefon. Muka yang pucat dan merah sebelumnya bertukar menjadi cerah dan berseri-seri.
Kami pun pergi ke rumah Wahyun.
Di dalam kereta,semua memaki hamun Pak Abdul. "Apa lah tuduh orang curi, ada pencuri bla bla bla pelupa bla bla tak cukup tidur bla bla surau haha"
(Abdul Raof mendapat semula dompetnya yang hilang . Dompet dijumpai oleh insan baik hati di tandas dan menghantarnya ke tempat pengawal. Semua dokumen dan wang tidak berusik. Cuma sekeping gambar sahaja hilang)

Wednesday, October 14, 2009

Arirang





Diari kehidupan Kim Irwan

Kim Hyoyoung," Tuan teksi, boleh bawa kami ke Pyongyang?"
Kim Don Moo (pemandu teksi), " Kita tak pergi Pyongyang, Goyang kita pergi"
Kim Irwan ," Susah lah ini teksi. Goyang pun Goyang lah!"

Nota: Goyang satu nama tempat di Korea

Nik Aziz pun dah ada kafe


Kafe Kim Aziz Alattas di Seoul menawarkan makanan berasaskan sup

Produk Malaysia di Seoul


Dongdaemun







Kami dapat merasakan penganjuran acara ini agak padat dan ada ketikanya kelam kabut kerana dijadualkan pada petang selepas acara tamat jam 6 petang akan diadakan majlis makan malam tetapi kemudiannya dibatalkan. Itu juga terjadi kepada 'welcoming dinner' yang dijadualkan ketika awal kedatangan kami. Seawal 10 pagi ketika kami tiba ke Seoul sudah dibawa melawat muzium seni,seramik dan membuat aktiviti di sana. Jam 6:15 petang barulah kami tiba di hotel untuk mendaftar masuk. Aktiviti hari pertama dilakukan dengan muka penuh mengantuk dan keletihan.
Walaupun begitu, kami agak gembira dengan pengurusan pentas dan sistem bunyi di semua tempat kami membuat persembahan. Mereka melakukannya dengan penuh sifat profesional. Ini amat wajar kita contohi.
Di samping itu, pengurus dan penterjemah kami amat menyenangkan kami. Kim Heegon dan Kim Hyoyoung senang mesra dengan kami terutama Irwan kerana di hari pertama sahaja mereka sudah membuat lawak kartun-kartun Amerika. haha
Malam selepas persembahan terakhir,kami dijemput ke rumah En Amirul, Pengarah Tourism Malaysia Seoul untuk jamuan hari raya dengan hidangan yang cukup enak. Nasi hujan panas, lemang,nasi himpit dan pelbagai kuih muih. Jamuan juga dihadiri oleh satu keluarga MATRADE. Suasana sudah seperti di Malaysia.
Kim Hyoyoung atau Kim perempuan kami panggil tidak menyukai makanan yang disediakan. Katanya makanan Nepal lebih sedap (ini merujuk kepada kekasihnya yang berasal dari Nepal dan sama universiti dengannya). Manakala Kim Heegon atau Kim lelaki menyukai makanan yang dihidangkan terutama lemang dan kuih raya di dalam balang. (Berapa ramai nama Kim di Korea ni?haha)

Itaewon








Hari seterusnya, kami berkesempatan ke Itaewon untuk membeli belah kerana jadual persembahan di sebelah petang. Walaupun begitu,kami perlu datang seawal 9 pagi ke tempat acara kerana bas bertolak pada waktu itu. Di Itaewon,banyak kedai yang menjual pelbagai barangan termasuk cenderamata. Ada satu kedai yang pemiliknya boleh berbahasa Melayu (ayat yang mudah seperti apa khabar, harga murah,700won, boleh kurang dll) kerana terlalu ramai pelancong dari Malaysia yang datang ke situ. Terdapat satu susunan kertas nota ditampal di depan kaunter dengan kata-kata ditulis pelancong yang kebanyakannya dari Malaysia. Ada pemuzik dari Istana Budaya, JKR Terengganu dan ramai lagi. Malah ada satu tandatangan bertulis Mawi (kami tidak pasti Mawi yang mana--boleh dilihat di nota catatan tersebut).
Itaewon satu tempat yag tidak wajar dilepaskan jika ke Seoul. Ini juga saranan sahabat kami di KL sebelum datang ke sini. Ini sama juga dengan pasar Namdaemun,satu destinasi wajib singgah. Cenderamata seperti biasa - tshirt, penanda kunci, magnet peti ais dll.
Jadual kami yang terlalu sibuk membuatkan aktiviti biasa kami jika ke luar negara tidak dapat dipenuhi. Aktiviti itu adalah mencari kedai CD dan piring hitam. Jika sebelum ini, ada ahli yang membeli berpuluh-puluh Cd ketika ke luar negara,kali ini kedai CD hampir tidak dijumpai kerana jadual kami yang padat dan tidak sempat meninjau seluruh kawasan. Norman akhirnya membeli satu CD band punk Korea yang sempat ditemuinya untuk mengubat hati. Itulah satu-satunya Cd yang dibeli kali ini.
Berbalik kepada Itaweon tadi, kami kemudiannya singgah makan di sebuah restoran Pakistan yang baru dibuka empat bulan yang lalu. Kami makan nasi beriyani dan kebab yang dibelanja oleh En Syed, Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Seoul. Beliau kemudian membawa kami menziarah Masjid Itaewon yang menjadi pusat komuniti Muslim di Seoul.
Masjid ini dibina pada tahun 1976 dan dibiayai oleh banyak negara Islam termasuk Malaysia. Mengikut statistik terdapat 200,000 umat Islam di Korea pada masa ini. Ini termasuk pekerja asing dari Bangladesh, Pakistan, Arab dsbnya.
Masjid ini terletak di atas bukit dan sepanjang lorong ke sana dipenuhi dengan deretan kedai Muslim yang menjual pakaian, restoran Muslim, kedai-kedai buku Islam dan agensi pelancongan. Secara kesimpulannya,tidak sukar mencari makanan halal di Korea,cuma harga yang ditawarkan agak mahal memandangkan tukaran wang ke matawang mereka yang mahal.


Monday, October 12, 2009

Yongsan






Selesai perasmian,esoknya hari sabtu bermulalah ASEAN Culture & Tourism fair 2009 di Plaza Yongsan. Tempatnya amat sesuai kerana dihubungkan dgn stesyen tren dan dikelilingi oleh pusat komersial dan perdagangan.
Seawal 9 pagi,kami sudah bertolak ke tempat persembahan kerana kami perlu menjalani raptai dan semakan bunyi. Jika semalam Abdul Raof tertinggal samping dan songkok di dalam bas, kali ini sampingnya betul-betul hilang. Entah di mana ditinggalkannya. Mujurlah ada samping lebih dibawa oleh Norman.
Walaupun cuaca 16 darjah ,tetapi di kala tengahari panasnya agak terasa dan jadual persembahan kami pada jam 1:50tengahari. Kali ini slot persembahan kami selama 25 minit. Di saat-saat kami ingin memulakan persembahan ,semua nota dan senikata lagu hilang daripada simpanan Abdul Raof. Aduh! Kami terpaksa menulis semula. Nasib baik tidak banyak lagu dan lagu-lagunya dihafal oleh ahli kumpulan. Jika tidak,nampak gayanya terpaksalah berpantun apa yang ingat.
Persembahan ini juga diserikan oleh penari-penari yang mengiringi kami di Yong-in. Di akhir persembahan mereka mengajak penonton untuk berjoget bersama. Suasana cukup meriah ketika ini dan Abdul Raof hampir sahaja meletakkan rebana dan turun ke bawa pentas. Berpeluh-peluh kami ketika ini kerana cuaca sangat terik.
Selesai persembahan, kami menjamu selera di sebuah restoran di Plaza Yongsan. Apa lagi makan makanan Korealah!
Jam 8 malam kami dijadualkan untuk satu lagi persembahan selama lima minit di ruang atas Plaza Yongsan(juga didirikan pentas) dan kali ini kami hanya memainkan satu lagu diiringi oleh penari jemputan kami.
Hari seterusnya kami dijadual membuat persembahan pada jam 5 petang.

Friday, October 09, 2009

Namdaemun








Hari seterusnya diadakan acara perasmian ASEAN Culture & Tourism Fair 2009 yang diadakan di Hotel Lotte. Untuk pengetahuan,ini adalah julung-julung kalinya program ini dianjurkan oleh Pusat ASEAN-Korea yang baru ditubuhkan kira-kira dua tahun lalu. Di antara objektif pusat ini adalah meningkatkan perdagangan , pelaburan, pertukaran budaya dan pelancongan di antara Korea (di dalam konteks ini Korea Selatan) dan negara-negara Asia Tenggara.
Kebanyakan negara menghantar tarian kecuali Malaysia, Indonesia dan Vietnam yang menghantar pemuzik. Indonesia dengan Arumba iaitu Alunan Rumpun Bambu yang terdiri daripada angklung, angklung bass, gambang buluh ,gendang dan penyanyi. Vietnam pula dengan instrumen tradisional mereka.
Sebelum itu pada pagi Jumaat sebelum perasmian pada malamnya,kami berkesempatan di bawa oleh penterjemah dan pengurus kami,Kim Hyoyoung dan Kim Heegon ke Namdaemun iaitu satu pasar yang agak besar dengan deretan kedai-kedai pakaian, cenderamata, barangan kulit dan lain-lain lagi. Tempat ini juga terkenal dengan keronsang (murah di sini) yang antaranya dieksport ke Malaysia. Kami juga bertemu dengan produk Malaysia seperti kopi AliCafe yang banyak kami temui di sini. Malah kedai RotiBoy juga kami temui (bukan satu tetapi banyak).
Namdaemun bermaksud pintu selatan yang merujuk kepada salah satu pintu di kerajaan lama Korea. Lokasinya boleh dihubungi oleh sistem tren yang efisyen dan antara pasar tertua dan terbesar di Korea. Di kesempatan yang sama,kami dibawa oleh Syed Zulkifli, timbalan pengarah Tourism Malaysia(TM) Seoul ke pejabat TM di sana dan dibawa bertemu Pengarah, En Amirul. Di pejabat ini,hanya dua orang dari Malaysia. Lima lagi adalah warga Korea.
Setelah itu,kami bersiap ke hotel Lotte untuk mengadakan semakan bunyi. Satu kejadian tidak diingini berlaku beberapa jam sebelum perasmian. Abdul Raof tertinggal samping dan songkok di dalam bas. Pemandu bas pula berada jauh dari lokasi kami. Setelah menelefon, pemandu bas akhirnya kembali semula lebih awal ke hotel . Mungkin kami telah mengganggu keseronokan beliau di tempat lain kerana memanggilnya pulang lebih awal ke hotel . :)
Untuk acara perasmian, setiap negara diperuntukkan lima minit sahaja dan kami memainkan satu lagu. Abdul Raof diamanahkan untuk menyanyi kali ini kerana penyanyi tidak dapat hadir ke Seoul (kuota hanya empat pemuzik sahaja). Beliau yang pada asalnya pucat kerana tertinggal samping dan songkok berjaya menyempurnakan nyanyian dengan baik (dan naik syeikh seperti biasa! ;) ) --- (Irwan mencadangkan dipakai kain pelikat diikat ke kepala jika songkok itu betul-betul hilang)
Duta Malaysia ke Korea hadir memberikan ucapan di perasmian tetapi kami tidak sempat berjumpa kerana selepas ucapan,beliau bergegas keluar untuk aturcara yang lain.