Saturday, March 12, 2011

Jamming Akbar 5

Kembali ke alma mater sesuatu yang kami raikan. Lebih-lebih lagi jika program santai dianjurkan oleh Dr Iqbal dan Ahmad Ibrahim Kuliyyah of Laws(AIKOL) yang mana dua ahli DS merupakan graduan daripada kuliyyah tersebut.
Walau bagaimana pun, jejaka pulau kesukaan ramai di UIA ,Irwan dan Wahyun tidak dapat hadir kerana komitmen kerja.
Kami terlibat dengan Jamming Akbar sejak kali pertama diadakan pada tahun 2006. Jika tidak salah ingatan, ketika itu kami di dalam persiapan untuk kali pertama ke luar negara iaitu Taiwan, diikuti oleh Jepun dua minggu selepas kembali. Sebagai sejarah juga ,di situ menyaksikan lagu Kembali Menchari yang dimuatkan di dalam EP kami pada tahun 2008 dimainkan buat kali terakhir.
Edisi kali ini adalah untuk kali ke-5 dan dibuat di tempat yang lebih santai, bersebelahan sungai di tepi Dewan CAC dan bangunan baru Azman Hashim.
Majlis dimulakan dengan persembahan Dr Iqbal dan teman-temannya yang terdiri daripada pentadbir dan pelajar UIA. Mereka memainkan sepuluh buat lagu (mungkin dua belas lagu haha) daripada Ramli Sarip, Ebiet, M Nasir, Iwan Fals dan sebuah lagu Deep Purple. Ketika lagu Apokalips dimainkan, Dr Iqbal sudah naik syeikh dan turun ke pentas mengajak penonton menyanyi bersama-sama beliau.
Beliau juga berjenaka mengatakan pelajar kelasnya yang datang akan diberikan markah lebih.
Kemudian penonton dihiburkan oleh IIUM Acoustic band yang dilatih oleh jurulatih mereka Ku Zahir dari Istana Budaya.
Kami bermain selepas itu dengan pilihan beberapa lagu dan diakhiri dengan sebuah lagu blues merapu dinyanyikan secara sumbang dan penuh sukaria bersama Dr Iqbal.
Program tamat hampir jam 12 tengah malam.
Terima kasih kepada Dr Iqbal dan semua AJK yang terlibat.

Saturday, March 05, 2011

Ahad yang sibuk

Ahad lepas, dua jemputan dipenuhi. Yang pertama majlis perkahwinan di Bangi yang amat panas. Satunya kerana dibuat di luar rumah kelab,bukan di dalam dewan. Walaupun berbumbung tetapi kipas tidak berada berhampiran dengan kami. Keduanya kerana sambutan yang menggalakkan daripada tuan rumah dan hadirin. Ada satu lagu yang dinyanyikan sebanyak tiga kali. Juga permintaan tuan rumah untuk sesi joget lambat yang menyaksikan hampir dua puluh orang membuat tarian gaya bebas di depan setelah ramai tetamu lain pulang. Kami tamat lebih kurang jam 4:15 petang.
Persembahan ini juga terencat kerana empat ahli sahaja yang dapat hadir. Dua ahli di luar kesultanan terikat dengan komitmen lain.
Kemudian kami bergegas ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sebelah KLCC untuk melakukan semakan bunyi bagi program makan malam pada jam 8:30mlm. Program ini istimewa kerana dianjurkan oleh Persatuan Alumni UIA di mana majoriti kami graduan daripada alma mater tersebut. Kami amat berbesar hati kerana pemain akordion jemputan tiba untuk menyertai kami. Saudara Lan sudah beberapa kali menyertai kami jika Irwan tidak dapat hadir.
Banyak tetamu VIP hadir ,di antaranya Perdana Menteri Malaysia,bekas PM,Ketua Polis Negara,menteri besar,menteri dan lain-lain. Majlis juga dimeriahkan dengan kemunculan istimewa Maher Zain yang menyanyikan dua lagu -InsyaAllah dan sebuah lagu baru ditujukan kepada rakyat Tunisia, mesir,Libya dan negara-negara Arab lain bertajuk Freedom.
Sayang kami hanya di backstage dan tidak dapat menyaksikan majlis tersebut serta mendengar ucapa-ucapan yang ditampilkan.
Usai majlis, kami berfikir dan meneliti.
Sayang sekali jika Alumni tidak dapat menyatukan semua bekas graduan UIA yang berbeza latar belakang dan berjaya di dalam kerjaya masing-masing. Ramai yang kembali berbakti kepada masyarakat dan menyebarluaskan visi universiti.
Sayang juga jika semua pencapaian bekas graduan tidak dinilai secara menyeluruh. Walaupun berbeza fahaman politik, semua sewajarnya diraikan (sila rujuk hall of fame di luar dewan dan senarai penerima anugerah) Bukan daripada satu kelompok sahaja. Kita mungkin boleh bersetuju dengan pencapaian mereka yang berada di dalam BN seperti MB Perak, Timbalan Menteri Kesihatan, dan lain-lain lagi. Penghargaan juga perlu kepada mereka yang di luar BN. Perkara yang lebih mustahak adalah membuang fahaman politik dan mengiktiraf mereka berdasarkan kebolehan dan pencapaian masing-masing. Misalnya, nama dan gambar bekas Presiden UIA, Anwar Ibrahim sudah dibuang rasanya daripada ingatan UIA setelah berlaku krisis 1998. (Perlu diingat ini adalah sejarah dan bukannya politik semata-mata)
Kita mungkin boleh membakar buku dan gambar tetapi ingatan kolektif manusia itu sendiri akan tetap ada.
Kita ada ramai lagi yang perlu ditonjolkan. Jangan mewarisi politik Malaysia yang belum matang.