Wednesday, September 23, 2009

S(e)oul Searching






Kami tiba di Seoul jam 7:20pagi waktu tempatan (waktu mereka sejam lebih awal). Pemeriksaan imigresen tidak mengambil masa yang lama seperti dialami di Jepun sebelum ini. Tiada soal jawab yang panjang. Rasanya tiada perbualan langsung. Cuma menjadi persoalan kepada seorang warga tempatan yang melepaskan angin perut di depan Abdul Raof semasa menunggu pemeriksaan Imigresen. Itu menjadi kemusykilan dan prasangka kepada semua ahli.
Ketibaan kami disambut oleh pengurus dan penterjemah dilantik ASEAN-Korea Centre. Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Korea juga tiba selepas itu. Rupa-rupanya beliau mengenali kami kerana pernah melihat persembahan kami di KL pada tahun lepas.
Tidak sempat kami ke hotel penginapan selepas itu kerana kami terus dibawa untuk sesi lawatan ke muzium seni Korea yang terkenal dan pusat seramik terkemuka yang berada di tempat yang sama. Sebelum itu, kami dijamu dengan hidangan makanan tradisional Korea di sebuah restoran di dalam perjalanan ke muzium tersebut. Nasi yang dipanggil bi bim bab itu adalah nasi yang dimasak di dalam mangkuk tanah liat dan digaul dengan segala macam sayur-sayuran. Ikan bili kecil juga dimakan bersama. Rasanya sungguh enak sekali.
Kami juga diberi peluang melukis sendiri hiasan pada cawan di tempat seramik tersebut. Kami diberitahu hasil itu akan diberi sebelum pulang nanti. Selain itu,kami juga mencuba pembuatan seramik di tapak tersebut. Nampaknya majoriti gagal di dalam pembuatan ini. Mungkin kerana terlalu letih dan hilang tumpuan.
Kami tiba ke hotel pada jam 6 petang. Penginapan di Hyundai Residence dengan dua orang setiap bilik. Bilik amat selesa dengan dapur, peti ais dan mesin basuh tersedia di dalamnya.
Kemudahan untuk internet pula disediakan di ruang lobi dengan dua komputer tersedia untuk kemudahan tetamu hotel.
Esok -pra persembahan akan diadakan di luar Seoul. Program bermula 25-27hb di Plaza Yongsan.

Monday, September 21, 2009

Salam Aidil Fitri

Dewangga Sakti mengucapkan selamat hari raya Aidil Fitri kepada semua pembaca blog dan pendokong DS. Semoga semangat Ramadhan akan dibawa ke bulan-bulan yang lain.
Malam esok, empat anggota DS akan ke Seoul, Korea Selatan untuk menyertai acara ASEAN Cultural Fair 2009 yang julung-julung kali diadakan di sana. Kami akan pulang semula tanggal 28hb.
Kami akan mengemaskini blog jika terdapat kemudahan internet di hotel tempat kami menginap.

Thursday, September 03, 2009

Jayaputra

"Kau ada bawa duit?",Abdul Raof bertanya.
Aku mengangguk seraya menghulurkan duit RM1.60 untuk membayar tol di Mines.
"Aku lupa bawa dompet",kata Abdul Raof. Ini bermakna hari ini dia menjadi orang tak bernegara. Segala MyKad,Lesen memandu semua tak ada. Jika dijumpai mata-mata ,pasti akan dicukai.
Hari itu kami tiba agak lewat kerana jalan amat sesak. Semua orang berpusu-pusu keluar untuk pulang berbuka. Huja pula lebat menambahkan lagi kesesakan. Kami tiba jam 7:10 malam setelah dua jam perjalanan.
Tiga lagi ahli juga sudah sampai. Seorang ahli lagi tidak dapat hadir. Sistem bunyi sudah tersedia.
Sebelum itu, anggota termuda menelefon memberitahu menteri sudah ada. Malah bukan sahaja menteri ,Misbun ,Jalani dan Razif Sidek juga ada di situ. Hattan juga ada. Eh! Apa dia buat dekat sini?
Kami segera ke gerai-gerai yang menyediakan juadah berbuka. Air hujan menjadi perisa tambahan kepada makanan dan minuman kami. Selepas solat, kami membuat persembahan dan berhenti beberapa kali untuk memberi laluan kepada penganjur membuat pengumuman dan solat isyak. Kami tamat sepenuhnya pada jam 9:40malam.
Ini pertama kali kami bermain di Kompleks Kerajaan di sini. Tatkala sampai ke sini, kami seperti sampai ke sebuah negara lain. Bentuk bangunan yang asing dengan nama kawasan berbahasa Inggeris. Ada suatu kawasan itu kami rasakan seolah-olah berada di dalam filem alien.
Setelah tamat dan menghabiskan masa di kedai sekitar Mydin, kami pulang. Di pertengahan jalan keluar daripada kota ini, ada sekatan jalan raya. Mujurlah tidak diperiksa lesen atau MyKad Abdul Raof. Jika tidak,nampaknya kereta beliau akan dipandu makhluk asing dan dibawa ke balai. (Mungkin mereka terpedaya melihat raut wajah bersih Pak Abdul memakai kemas Baju Melayu )