Thursday, February 26, 2009

Majlis Makan Malam Alumni UIA








"Sekarang UIA tidak haram-haram lagi muzik ", Ustaz (sekarang Dato') Hamidon berkata kepada kami.
"Ustaz,saya pernah jadi mangsa", beritahu aku kepada beliau.
"Saya tahu,"balas Ustaz pula.
"Masa tu mereka belum habis baca kitab,"tambah beliau lagi sambil tersenyum. Kami turut tersenyum dengan bicara Ustaz itu.(Teringat ketika gitar diharamkan di kampus.Ketika di matriks Lembah Pantai pula,gitar elektrikku disorokkan di dalam tandas oleh Manny ketika spotcheck. ha ha)
Kami berbual malam tadi selepas selesai majlis makan malam ALUMNI UIA di Hotel Nikko (juga kutipan amal Palestin). Kami juga sempat berbual dengan Presiden Alumni,En Khair Ngadiron (CEO ITNMB) yang banyak memberikan sokongan kepada kami untuk terus menghasilkan karya-karya baru.
Ketika kami menghampiri lagu terakhir persembahan, kami mendapat signal supaya meneruskan lagi persembahan.
Selepas persembahan,meja diperuntukkan kepada kami telah diambil oleh tetamu yang lain kerana hadirin melebihi jangkaan. Jadi,pihak jawatankuasa mengarahkan kami semua ke rumahkopi (coffeehouse) untuk menjamu selera sambil ahli berjenaka akan memesan makanan paling mahal. Firdaus Ariff dan seorang temannya juga mengiringi kami sebagai kru (foto).
Makanan lambat sampai dan ketika kami selesai makan,ramai tetamu sudah beredar pulang. Mungkin separuh (drpd 300 orang) telah pulang.
Sesampai kami di meja depan tempat berlangsung, kami dimaklumkan ramai yang bertanyakan tentang CD kami. Kami hanya meletakkan lima keping CD di atas meja dan tanda harga tanpa ada sesiapa yang menjaganya. Magisnya ,mereka yang membeli CD meletakkan duit di atas meja dan AJK memberitahu ramai yang masih bertanya tetapi sudah pulang. Ini kesilapan kami kerana lambat naik ke atas daripada rumahkopi. Pelan asalnya mahu duduk di meja tersebut dan menjual CD selepas tamat majlis.
Kami agak kecewa tidak dapat mendengar ucapan Prof Kamal Hassan. Agak-agak ada sesiapa yang merakamkan ucapan tersebut?
Ramai juga ahli politik dan bakal pemimpin daripada pelbagai aliran politik yang datang ke majlis tersebut. Itulah yang harus dilakukan. Jalinan persahabatan kawan-kawan mesti diteruskan walaupun berbeza ideologi politik. Jangan bila mendaki puncak kuasa,kita melupakan kawan-kawan rapat yang sama-sama makan maggi di kampus dahulu.
Terima kasih kepada pihak jawatankuasa yang memanggil kami membuat persembahan. Juga kepada yang menegur dan berbual mesra seperti Faris,Kudin,Anuar,Ezmil dan ramai lagi.
Kredit gambar: Firdaus Ariff

Wednesday, February 25, 2009

MATDUM ke Jamming Akbar ke Nikko







Akhirnya misteri terungkap dua hari lepas tentang nama MATDUM ketika kami membuat persembahan di Dewan Banquet, UIAM. Undangan ke UIA pasti kami penuhi kerana tempat jatuh lagi dikenang,inikan pula tempat membina istana.
Persembahan itu sempena penyerahan tugas Sekretariat Majlis Tatatertib dan Disiplin Universiti universiti Malaysia atau singkatannya MATDUM! Kami sangkakan kawan MatKool! :0 ) (Ezmil,apa punya singkatan da!)
Tidak banyak lagu kami bawakan -hanya empat sahaja.
Semalam pula,kami memenuhi undangan Dr Iqbal dari Ahmad Ibrahim Kuliyyah of Laws (AIKOL) untuk program jamming yang dinamakan Jamming Akbar yang sudah memasuki tahun keempat.Ia diadakan setiap semester.Sesuai dengan nama jamming,maka sudah pasti suasananya amat santai.
Kali ini ketika program sudah sampai ke kemuncak,hujan mula renyai-renyai selama hampir 15 minit. Penonton seramai lebih kurang 200 hingga 300 orang tidak berganjak kerana menunggu pensyarah mereka menyanyi dan berseloka. Seorang gadis memayungi ahli kumpulan yang sedang beraksi (Cuba teka siapakah jejaka bujang tersebut?)
Penonton menyanyi bersama-sama terutama ketika pensyarah bersuara macho mereka mengalunkan lagu Ebiet, Sweet Charity,Iwan Fals dll.
Malam tadi juga menjadi malam kedua kami bersama penyanyi baru yang telah kami ujibakat minggu lepas.
Kami harap jamming ini akan diteruskan selepas ini. Kalau boleh buatlah di depan moot court semula kerana penonton akan lebih dekat dengan pemuzik.
(gambar ehsan ZeroHero)

Tuesday, February 24, 2009

Menggali khazanah muzik etnik

ARKIB : 22/02/2009 Mingguan Malaysia

Menggali khazanah muzik etnik

SEBAGAI negara berbilang kaum, terdapat banyak muzik tradisional mewakili etnik masing-masing yang belum diketengahkan secara meluas dalam industri muzik.

Di Sarawak dan Kelantan misalnya, ramai penyanyi lagu-lagu tradisional yang telah merakamkan album dengan mengetengahkan muzik serta dialek lagu mewakili etnik tertentu.

Jerry Kamit contohnya, merupakan pemain alat muzik tradisional sape suku kaum Iban terkenal di Sarawak pernah merakamkan album lagu-lagu berteraskan budaya masyarakatnya di sana.

Pemain sape itu bukan setakat popular di Bumi Kenyalang, malah nama beliau turut menjadi sebutan ramai hingga di peringkat antarabangsa sejak hampir 10 tahun yang lalu.

Keunikan muzik berteraskan budaya Iban yang dipersembahkan oleh Jerry sentiasa memukau para penonton, misalnya ketika beliau beraksi pada acara Rain Forest Music Festival di Santubong, Sarawak, dua tahun lalu.

Terbaru, kumpulan Dewangga Sakti tampil merakamkan album sulung mereka berjudul Mabuk Kepayang dengan menampilkan lagu-lagu hasil adunan elemen-elemen muzik ghazal dan asli.

Sayangnya, kemunculan album-album sebegitu kurang diketengahkan atau diberi perhatian oleh banyak pihak termasuklah stesen-stesen radio dan televisyen kerana menganggapnya sebagai tiada nilai komersial.

Hakikatnya, kemunculan album-album muzik tradisional seperti dikir barat memang sudah terbukti mendapat sambutan ramai termasuklah kalangan muda-mudi di Kelantan.

Namun, tidak banyak inisiatif dilakukan bagi memperluas serta mengkomersialkan lagi irama itu supaya ia juga mampu untuk diminati bukan setakat di negeri-negeri Pantai Timur, tetapi juga peminat di seluruh negara.

Kalau dulu RTM contohnya, pernah menyediakan slot siaran lagu-lagu dikir barat tetapi sekarang ini lenyap begitu sahaja. Fenomena terbaru pula menyaksikan usaha mengetengahkan lagu-lagu etnik dan tradisional sekadar memenuhi trend semasa sahaja.

Buktinya, lihat sahaja kewujudan kategori tradisional dan etnik kreatif dalam Muzik-Muzik terbitan TV3 yang tidak konsisten dan semakin mengecil pencalonannya sejak kebelakangan ini.

Dalam hal ini, masih ramai karyawan muzik kita yang belum menyedari peri pentingnya unsur-unsur etnik dan tradisional tempatan yang mampu untuk mempelbagaikan lagi rencah pengkaryaan mereka.

Golongan ini sepatutnya memandang jauh terhadap apa yang telah dilakukan oleh ramai pemuzik di negara seperti Jepun yang telah mengangkat pemuzik seperti Kitaro.

Pemuzik lagu-lagu instrumental itu berjaya memukau segenap lapisan masyarakat dengan keunikan muzik bersemangatkan budaya bangsa Jepun hingga di peringkat antarabangsa.

Malah, buluh yang dijadikan alat muzik didgeridoo dan cukup popular di Australia pula amat sinonim bukan setakat buat kaum pribumi di sana, tetapi juga kalangan pemuzik moden di negara tersebut.

Pendekatan yang menggunakan muzik-muzik etnik dan tradisional sebagai persembahan hanya pada acara-acara rasmi semata-mata juga haruslah disingkirkan. Sebaliknya, semua pihak terutama karyawan muzik harus membuka minda. Mereka perlu kritis dan memerah idea bagi menggali segala khazanah seni muzik tempatan tersebut.

Justeru, pelbagai usaha haruslah dilakukan bagi memastikan agar muzik etnik tempatan tidak pupus, terus diminati serta mampu bersaing dengan muzik-muzik moden yang lain.

Galakan dan bantuan khusus daripada kerajaan, misalnya menerusi Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan sedikit sebanyak mampu untuk mengangkat martabat serta populariti konsep muzik tersebut.

Geran bantuan khas atau dana contohnya, bolehlah disalurkan kepada para penyanyi atau kumpulan yang bercadang mahu merakamkan lagu-lagu etnik atau tradisional pada masa depan.

Inisiatif seperti itu mampu untuk memberi galakkan serta mengangkat martabat muzik lagu-lagu etnik dan tradisional, atau sekurang-kurangnya genre tersebut tidak luput ditelan zaman begitu sahaja.

Thursday, February 19, 2009

Iron Maiden

Secara senyap-senyap,ahli kami Tokeyunta menonton konsert Iron Maiden di Dubai. Nampaknya beliau telah melanggar perjanjian Deman Lebar Daun. Dia telah menonton konsert tersebut menjelang hari Valentino,tatkala ahli lain sedang mengusahakan makmal muzik baru di Gombak dengan penuh semangat.
Ini baru betul namanya derhaka!
Perintah Kesultanan supaya menghantar wang untuk membeli tiket kapal terbang ke sana tidak ditunaikan!

Wednesday, February 18, 2009

Blog menarik

Sebuah blog baru yang menarik.
Baca di sini tentang GempaMelayu
Moga menjadi satu directory tentang dunia Melayu yang penuh informasi.

Iklan

Acai daripada kumpulan DEP minta iklankan gitar bass untuk dijual.
Baca di sini
Tokeyunta,mahu beli?

Wah Yun Kua Derhaka!

Makmal telah dirasmikan dengan penuh bergaya minggu lepas. Semua ahli hadir kecuali pemain perkusi, Wah Yun Kua yang memberikan alasan demam hari Valentino Rosta. Sultan yang hadir mencemar duli khabarnya murka kerana beliau tidak hadir tetapi akhirnya akur dengan ketidakhadiran beliau atas surat tunjuk sebab yang diberikan.
Sultan juga ada bertanyakan tentang Tokeyunta yang berada di Dubai berkenaan proses rakaman akan datang.
Makmal terbaru di tingkat paling atas sebuah bangunan baru bersebelahan Masjid As Syakirin, Jalan Gombak. Ya! Berdekatan Pasaraya Ong Tai Kim. Di seberang jalan kelihatan Balai Polis Gombak.
Makmal amat besar dan amat sesuai untuk ujikaji muzik kami. Tetapi hari itu cuaca amat panas dan kipas besar Starbak tidak dapat menampung kepanasan tersebut. Bila tingkap dibuka , bunyi kenderaan bertali arus mengganggu keseronokan eksperimen muzikal yang diadakan.
Beberapa ahli bermain muzik tanpa memakai baju.
Makmal baru ini dibuka dengan latihan lagu Tudung Periuk.
Lebih menarik lagi ,makmal mempunyai dumb bell besar seperti di gim dan beberapa punching bag (ehsan abang ipar PapaMan).
Nota :Ahli-ahli masih menunggu PapaMan menghantar gambar-gambar majlis rasmi tersebut.

Sunday, February 15, 2009

Kolaborasi Zulkifli / Kamal Sabran

Penat berbual di facebook, Kamal Sabran meminta Zulkifli menghantar beberapa track gambus untuk beliau masukkan segala bunyi-bunyian daripada synth beliau. Yang menariknya, mereka tidak pernah bersua muka.
Maka terhasil lah kolaborasi ini. Sila baca di sini dan mendengar projek muzik karya mereka di sini
Ada tiga lagu yang telah mereka kerjakan(cari kamal/zul -oud project 1,2 & 3).Mungkin ada lagi yang akan tercipta selepas ini selepas mereka bersua muka dan berbincang?

Wednesday, February 11, 2009

Jumpa teman lama

Semasa di awal penubuhan , kami mempunyai beberapa anggota wanita yang bermain gamelan. Kemudian, seorang penyanyi wanita juga pernah bersama kami pada tahun 2002/2003. Begitu juga pemain violin dan keyboard. Semuanya tidak kekal lama atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Tetapi elok juga tidak ada anggota wanita ini sebab latihan kami selalunya berlangsung sehingga awal pagi dan ketika kami overdose dengan muzik,kami akan berlatih dan berbincang sehingga menjelang Subuh.
Minggu lepas, ketika kami ke majlis MASKARA anjuran Sindiket Soljah di Rumah Pena, kami bertemu anggota lama yang merupakan bekas penyanyi wanita kami pada tahun 2002/2003 dahulu. Ketika itu dia masih di tahun pertama universiti kami dan telah direkrut oleh Mohsen untuk menyertai DS yang melihat susuk seorang psiko yang ada pada gadis tersebut (sekarang sudah berkahwin). Di MASKARA, teman lama kami ini membacakan sajak-sajaknya dan juga menyanyi.
Habis sahaja beliau membuat persembahan dan keluar ,kata-kata hikmat biasa beliau terhambur melihat kami berdua di sana. Raof berkata, "perangai masih seperti dahulu". Tapi mungkin kali ini dia sudah semakin yakin dan matang. Maklumlah,sudah berkahwin! ha ha
Itulah dia Fynn Jamal yang aktif di sekitar Lembah Klang membacakan puisinya yang pelik-pelik.
Nota: Nanti aku cuba cari gambar dia menyanyi dengan kami dahulu.

Thursday, February 05, 2009

Makmal ujikaji

Kami akan berpindah tempat operasi kumpulan. Kali ini betul-betul di dalam Kesultanan yg kami kasihi. Tempatnya berdekatan Balai Polis Gombak. Maka senang lah jika kami menghadapi masalah atau jika perlu laporan polis dibuat ke atas mana-mana pihak yang mengganggu.
Dijangka bulan ini kami akan merasmikan tempat baru yang sebenarnya atas belas ehsan persatuan silat sekitar (juga pujukan dan rayuan Papa baru dalam kumpulan kami).
Kami namakan tempat operasi baru itu sebagai makmal untuk kami membuat ujikaji terpilih. Saintis pertama kami yang sedang bekerja di Dubai berbesar hati mengirimkan sedikit dirham untuk kami melakukan proses yang perlu (masuk ke dalam Maybank ya!).
Tahun ini juga beberapa perkara telah dirancang iaitu rakaman album penuh kumpulan yang akan bermula beberapa bulan daripada sekarang (mungkin juga lebih awal).
Tapi kami masih tak punya pemain bass untuk rakaman tersebut. Tokeyunta,bolehkah tuan pulang sekejap ke Malaysia?

Wednesday, February 04, 2009

Sembilan

Sembilan tahun lepas, aku dan Mohsen memulakan Dewangga Sakti dengan tekad untuk bereksperimen dengan gamelan di kampus kami di Sungai Pusu. Setelah gamelan tidak dapat kami gunakan kerana ahli-ahli yang menamatkan pengajian satu demi satu, eksperimen itu tidak menjadi dan tidak ada langsung di dalam rakaman. Mungkin yang dapat diselamatkan adalah satu gubahan bertajuk Inderapura yang akhirnya dirakamkan ke dalam album Cryptic Malediction, sebuah kumpulan makan besi (dan juga orang) dan dinamakan sebagai 'Palace of Doom' (lagu instrumental dengan gendang dan gamelan).
Setelah aku belajar gambus pada tahun 2003, muzik kami berubah sejajar dengan minat kami yang lain dan juga kehilangan bunyi gamelan tersebut. Setelah penggunaan terakhir gamelan pada tahun 2004, kami telah di'banned' untuk melakukan kolaborasi dengan kumpulan gamelan UIA di atas sebab-sebab yang sukar dimengertikan.
Di masa-masa sukar tersebut, kami banyak berbincang bagaimana ingin menangani masalah yang ada. Bermula 2005 dengan kemasukan pemain perkusi ,Noor Azmi (yang kini menjadi pemuzik sepenuh masa di UKM ) halatuju dan perubahan muzik kami tidak dapat dielakkan lagi.Inilah yang menjadi asas dan tunjang kepada muzik yang ada sekarang.
Bulan lepas, pengasas dan penyanyi Dewangga Sakti, Mohsen Amdan telah meletakkan jawatan sebagai ahli kumpulan untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada bidang perniagaan.
Kami seluruh ahli kumpulan mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau. Budi dan jasa baik beliau akan sentiasa dikenang!

Orang baru

Dua hari lepas, Azman telah mendapat cahayamata pertama (lelaki) yang dinamakan Rizq. Manakala,Zulkifli telah mendapat cahayamata kedua(perempuan) pada bulan lepas yang dinamakan Nur Nadiah Aisyah.
Moga kedua-duanya menjadi insan berguna di masa hadapan.