Menggali khazanah muzik etnik
SEBAGAI negara berbilang kaum, terdapat banyak muzik tradisional mewakili etnik masing-masing yang belum diketengahkan secara meluas dalam industri muzik.
Di Sarawak dan Kelantan misalnya, ramai penyanyi lagu-lagu tradisional yang telah merakamkan album dengan mengetengahkan muzik serta dialek lagu mewakili etnik tertentu.
Jerry Kamit contohnya, merupakan pemain alat muzik tradisional sape suku kaum Iban terkenal di Sarawak pernah merakamkan album lagu-lagu berteraskan budaya masyarakatnya di sana.
Pemain sape itu bukan setakat popular di Bumi Kenyalang, malah nama beliau turut menjadi sebutan ramai hingga di peringkat antarabangsa sejak hampir 10 tahun yang lalu.
Keunikan muzik berteraskan budaya Iban yang dipersembahkan oleh Jerry sentiasa memukau para penonton, misalnya ketika beliau beraksi pada acara Rain Forest Music Festival di Santubong, Sarawak, dua tahun lalu.
Terbaru, kumpulan Dewangga Sakti tampil merakamkan album sulung mereka berjudul Mabuk Kepayang dengan menampilkan lagu-lagu hasil adunan elemen-elemen muzik ghazal dan asli.
Sayangnya, kemunculan album-album sebegitu kurang diketengahkan atau diberi perhatian oleh banyak pihak termasuklah stesen-stesen radio dan televisyen kerana menganggapnya sebagai tiada nilai komersial.
Hakikatnya, kemunculan album-album muzik tradisional seperti dikir barat memang sudah terbukti mendapat sambutan ramai termasuklah kalangan muda-mudi di Kelantan.
Namun, tidak banyak inisiatif dilakukan bagi memperluas serta mengkomersialkan lagi irama itu supaya ia juga mampu untuk diminati bukan setakat di negeri-negeri Pantai Timur, tetapi juga peminat di seluruh negara.
Kalau dulu RTM contohnya, pernah menyediakan slot siaran lagu-lagu dikir barat tetapi sekarang ini lenyap begitu sahaja. Fenomena terbaru pula menyaksikan usaha mengetengahkan lagu-lagu etnik dan tradisional sekadar memenuhi trend semasa sahaja.
Buktinya, lihat sahaja kewujudan kategori tradisional dan etnik kreatif dalam Muzik-Muzik terbitan TV3 yang tidak konsisten dan semakin mengecil pencalonannya sejak kebelakangan ini.
Dalam hal ini, masih ramai karyawan muzik kita yang belum menyedari peri pentingnya unsur-unsur etnik dan tradisional tempatan yang mampu untuk mempelbagaikan lagi rencah pengkaryaan mereka.
Golongan ini sepatutnya memandang jauh terhadap apa yang telah dilakukan oleh ramai pemuzik di negara seperti Jepun yang telah mengangkat pemuzik seperti Kitaro.
Pemuzik lagu-lagu instrumental itu berjaya memukau segenap lapisan masyarakat dengan keunikan muzik bersemangatkan budaya bangsa Jepun hingga di peringkat antarabangsa.
Malah, buluh yang dijadikan alat muzik didgeridoo dan cukup popular di Australia pula amat sinonim bukan setakat buat kaum pribumi di sana, tetapi juga kalangan pemuzik moden di negara tersebut.
Pendekatan yang menggunakan muzik-muzik etnik dan tradisional sebagai persembahan hanya pada acara-acara rasmi semata-mata juga haruslah disingkirkan. Sebaliknya, semua pihak terutama karyawan muzik harus membuka minda. Mereka perlu kritis dan memerah idea bagi menggali segala khazanah seni muzik tempatan tersebut.
Justeru, pelbagai usaha haruslah dilakukan bagi memastikan agar muzik etnik tempatan tidak pupus, terus diminati serta mampu bersaing dengan muzik-muzik moden yang lain.
Galakan dan bantuan khusus daripada kerajaan, misalnya menerusi Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan sedikit sebanyak mampu untuk mengangkat martabat serta populariti konsep muzik tersebut.
Geran bantuan khas atau dana contohnya, bolehlah disalurkan kepada para penyanyi atau kumpulan yang bercadang mahu merakamkan lagu-lagu etnik atau tradisional pada masa depan.
Inisiatif seperti itu mampu untuk memberi galakkan serta mengangkat martabat muzik lagu-lagu etnik dan tradisional, atau sekurang-kurangnya genre tersebut tidak luput ditelan zaman begitu sahaja.
1 comment:
Wahh malam tadi aku layan sape Jerry Kamit dll dkt Youtube sampai kul 2 pagi. Muzik yg menenangkan.
Dapat juga DS promosi dlm artikel ni. Cuma masih disebut bermain ghazal.
Cool cool
Post a Comment