Thursday, May 22, 2014

Panas di Tasik

“Bukan kereta yang nak naik ke atas. Kamu dan alat muzik kamu kan?”, soal seorang polis kepada kami.

“Tapi kami kumpulan yang akan buat persembahan”, jawab saya.

“Itu saya tak tak tahu. Nak naik kereta ke atas mesti ada sticker. Jika tidak park kereta di sini dan naik bas yang disediakan. Aircond pun ada”, jawab beliau dengan nada angkuh.

Cuaca ketika itu 40 darjah selsius. Jika saya teruskan perbualan akan menjadi konfrontasi. Suasana agak tegang dan hati juga panas.

Kampong Dusun

Kali terakhir sahabat datang ke rumah saya pada tahun 2001. Bukan orang Melayu dan bukan juga orang Malaysia. Ghaz,sahabat kampus saya dari Kosovo mengikuti saya pulang ke kampong untuk berhari raya. Kecoh orang Balkan masuk ke kampong. Saya bawa beliau ke tepi sungai selepas solat hari raya.


Balik ke rumah ,baru kami sedari dia digigit pacat. Habis berdarah satu hari di hari raya.

Kali ini sempena kembara muzik Dewangga Sakti ke Terengganu, saya membawa mereka meninjau sekitar kampong sambil melihat pemandangan sungai yang mengalir dari Tasik Kenyir. Juga menjejaki laluan sungai Hugh Clifford ,Residen Pahang memburu pahlawan seperti Tok Gajah,Datuk Bahaman dan Mat Kilau ketika zaman British dahulu.

Saya juga menghubungi emak seminggu sebelum itu untuk beliau menyajikan nasi minyak Terengganu buat santapan sarapan pagi ahli-ahli kumpulan.

Selesai di kampong ,kami singgah di Makam Tok Gajah di kampong bersebelahan iaitu Kampong Pasir Nering dan juga Tapak Penemuan Batu Bersurat di Ulu Sungai Tersat di Kampong Buloh.

Kami berkira-kira ingin pula ke Air Terjun Sekayu lewat petang selepas selesai ‘soundcheck’ di Tasik Kenyir.

Resort Warisan Pahlawan

Kami tinggal selama dua hari di Warisan Pahlawan Resort yang terletak di Kampong Pauh, Kuala Berang. Ia hanya dua puluh minit dari rumah keluarga saya dan empat minit daripada rumah keluarga emak saudara saya.


Resort ini menempatkan rumah-rumah tradisional Terengganu yang salah satunya adalah rumah persinggahan pahlawan Melayu Mat Kilau di Kampung Pasir Nering (tempat bersemadinya makam Tok Gajah). Ia dibeli dan dipindahkan ke resort ini.

Saya mendapat khabar ada juga kayu-kayu rumah lama yang dibeli dari kampong saya. Hampir keseluruhan kayunya daripada spesis cengal.

Pakej yang ditawarkan juga menarik. Harga hanya RM250 untuk sebuah rumah menempatkan empat buah bilik dan dua buah bilik air. Ruang anjung yang luas dengan rekacorak yang mempesona.

Kami tinggal di Rumah Tok Pauh yang menurut pemiliknya adalah rumah pertama dibangunkan di resort ini.

Rekacorak dan strukturnya juga tidak superficial; bangunan tidak dibuat-buat kerana kita akan melihat kayu yang agak ‘natural’.

Thursday, May 15, 2014

Jalan Jalan Jalan

Selesai membersihkan diri dan meletakkan barang-barang,kami terus menuju ke tapak acara di Gong Badak berhampiran lapangan terbang untuk program yang dirancang di The Palette cafe.
Tidak sukar untuk mencari kerana dengan teknologi terkini (WhatApp) dan firasat Edie yang merupakan orang jati di situ,kami tiba ke tempat cara lebih kurang jam 9:30malam.
Beberapa kumpulan bermain termasuk Panca Seri Gemala Sakti.
Kami bermain di penghujung acara. 
Beberapa lagu dimainkan antaranya Gunting Dalam Lipatan,Tertinggal Kapal Angkasa,Selembar Kaseh,Mabok Kepayang dan dua buah lagu cover - Aladom dan Umpan Jinak di Air Tenang.
Rasanya sudah lama kami tidak memainkan Mabok Kepayang yang merupakan 'unreleased' daripada EP 'Mabok Kepayang'. Lagu itu tidak ada di dalam EP atas sebab-sebab tertentu.
Kepenatan dek perjalanan sejauh lebih 400km tidak dirasai disebabkan keseronokan bermain di acara ini dan dapat pula menjalin jaringan baru dengan kolektif seni di sana.
(bersambung)

Mencari Mat Said



Sudah lama kami menyimpan hasrat ke Terengganu. Akhirnya,hasrat kami dikabulkan bulan ini dengan pengesahan diterima daripada SUKTRA,Terengganu untuk kami bermain di Sound of Kenyir,salah stau program di Festival Kenyir yang berlangsung di Tasik Kenyir pada 9 dan 10 Mei 2014.
Ketika Shahriz dari SUKTRA menghubungi,jawapan saya adalah ‘setuju’ tanpa banyak soal. Komitmen ke sana adalah keutamaan kerana peluang yang diberikan. Lebih-lebih lagi kumpulan seperti MOHRAM juga akan berada di sana.
Mengambil peluang ini,saya fikir perlu juga juruvideo dijemput ke sana. Saya terus menghubungi saudara Firdaus yang biasa bekerjasama dengan kami utk membuat dokumentari serta merakam apa sahaja yang perlu untuk proses dokumentasi. Saya juga menghubungi saudara Jo Ghazali untuk mendapatkan khidmatnya sebagai jurugambar. Sayang sekali kerana khidmatnya sudah dimeterai dengan pihak yang lain.
Beberapa ahli sungguh teruja kerana ada yang belum pernah menjejakkan kaki ke sana. Bagi saya pula destinasi bukanlah matlamat utama, perjalanan menuju destinasi itu yang akan banyak mewarnai pengalaman kami.
Kali ini setelah sekian lama anggota-anggota tetap dapat menyertai jelajah kami ke Terengganu buat kali pertama. 
Beberapa hari sebelum kami ke sana, saya dihubungi oleh Bad (ahli Dendang Anak) yang ingin menganjurkan satu sesi akustik buat kami bersama kolektif seni di Kuala Terengganu(KT). Ini juga tidak wajar kami lepaskan. Ibarat menyelam sambil minum air. Persembahan di Kenyir Fest akan didahului dengan satu persembahan santai di majlis yang dinamakan 'Seni Yang Berbunyi' di KT bersama teman teman KT yang lain.
"Buat di mana?",saya bertanya Bad.
"Mungkin di Payang Walk atau Taman Syahbandar", begitu jawapan beliau.
"Oh tidak mengapa. Di mana-mana sahaja kami tiada masalah". Itu jawapan saya.
Kami bertolak jam 1 tengahari pada 9 Mei dengan dua buah kereta. Perjalanan tiada masalah. Tiba di R n R Temerloh melalui Lebuhraya Pantai Timur, Wahyun memberitahu kereta beliau menghadapi masalah. Kami bernasib baik kerana Firdaus segera menghubungi ayahnya di Kuantan dan meminjam kereta untuk sementara.
Perjalanan diteruskan dan kami berpecah. Satu terus ke Kuala Berang. Satu lagi menuju Kuantan.
Kami tiba di Kuala Berang jam 6:45 petang dan terus menuju ke pasar malam setiap Jumaat. dapatlah saya dan Edie memperkenalkan kuih-kuih tradisi yang jarang atau sukar didapati di KL kepada Norman dan Raof. 
Saya mendapat pesanan dari Irwan. Kereta Wahyun terpaksa ditinggalkan di Kuantan setelah proses baikpulih di sebuah bengkel. Mereka akan terus ke KT menuju tempat acara.
Kami pula ke Warisan Pahlawan Resort di Kampung Pauh untuk pendaftaran masuk. 


Thursday, February 20, 2014

2014

Selamat Datang 2014...walaupun sudah hampir dua bulan berlalu.

Nampaknya blog sudah lama tidak dikemaskini. 

Banyak aktiviti sudah kami jalani. 'Highlight' pada tahun lepas ialah persembahan bersama gitaris Guns & Roses, Ron Bumblefoot Thal pada bulan November dengan sokongan daripada Kedutaan Amerika Syarikat.
Ia berlangsung di Balai Seni Visual Negara.
Nanti kami akan mengulas lanjut.