Monday, September 04, 2006

Pasar Malam Taipei

Catatan hari ketiga 1 September-siaran tergendala

Setelah tiga hari di sini kami semakin dapat menyesuaikan diri dengan keadaan. Walaupun belum sempat menjelajah ke sekitar Taipei kecuali pada hari pertama kami ke pasar malam tidak jauh dari tempat menginap. Apa lagi...berjalan kaki menyedup udara malam Taipei yang agak hangat.
Pasar malam di situ sekali pandang tidak ubah seperti Jalan Petaling di KL.Cuma...banyak aspek positif yang dapat dilihat di pasar malam mereka.Pertamanya, tahap kebersihan yang tinggi.Mereka tidak buang sampah merata-rata. Keduanya, peniaga tidak mengacau pelanggan atau orang yang berkunjung ke situ dengan pertanyaan-pertanyaan yang mengganggu.Tidak seperti di PS.Ketiganya, pasar malam mereka tersusun dan deretan kedai di tepi jalan itu mempunyai hiasan dalaman seperti kedai-kedai di pusat membeli belah. Melihat kepada apa yang dipamerkan,tidak jauh beza dengan pasar malam di KL.Hendak membeli barang pun terasa kurang berminat,mungkin tshirt Taipei memadai untuk dibawa pulang sebagai kenangan.Apa-apa pun kami perlu membuat 'survey' dahulu.
Mohsen cenderung untuk mencari barang-barang IT yang agak murah di sini.Manakala,Norman pula agak sibuk membuat senarai CD yang ingin dibeli.Terdapat pilihan CD yang menarik di sebuah kedai muzik yang dibuka sehingga jam 12 malam.Terdapat CD metal,rock,flamenco dan bermacam-macam jenis muzik lain yang ditawarkan dengan harga yang agak murah daripada harga yang dijual di tanahair.(Kami mendapat tahu sehari selepas itu Man pergi membeli lima keping CD di situ)
Tetapi yang kurang enaknya di pasar malam itu,bau makanan yang dimasak di situ.Macam rasa nak muntah pun ada.Bagi penggemar filem biru,vcdnya dijual secara terbuka.
Malam ini sambutan kemerdekaan Malaysia dianjurkan oleh Malaysia Friendship and Trade Centre(MFTC) yang disambut di ballroom hotel.Jemputan adalah seramai 250 orang yang terdiri daripada pegawai dan jemputan daripada kedutaan-kedutaan asing di sini.Tetamu kehormat adalah Menteri Luar Taiwan.
Kami sempat membuat persembahan selama setengah jam.Malam ini terbukti gambus dan muzik yang kami mainkan terutamanya zapin mengingatkan jemputan daripada Kedutaan Yaman dan Oman yang berada di situ kepada kampung halaman mereka.
"I feel homesick!",kata orang Oman itu.Menurut pegawai di situ,orang Yaman itu pula mengatakan berulang kali bahawa muzik yang kami mainkan mempunyai pengaruh muzik Yaman.Memang gambus dari segi sejarahnya dibawa oleh pedagang dari Yaman yang juga berperanan mengembangkan agama Islam ke Tanah Melayu.Instrumen gambus ini dikenali sebagai qanbus di sana.Bentuk gambus lama dipanggil gambus Hadramaut atau gambus hijaz.Mereka juga memperkenalkan tarian zapin yang telah diadaptasi menjadi tarian Melayu yang indah.Seperti flamenco (kata asal fellah mengu/rural wanderers) yang dibawakan oleh gipsi Arab ketika zaman Andalusia dahulu,zapin menjadi satu bentuk muzik unik yang telah melalui proses asimilasi sehingga menjadi sebahagian daripada budaya Melayu.
Kebanyakan orang-orang Melayu yang kami sempat berbual di sambutan kemerdekaan ini amat peramah.Mungkin juga kerana hanya terdapat 12 sahaja keluarga Malaysia di sini.Mungkin kalau pergi ke London,berlainan pula Melayunya.
Tukang masak yang memasak untuk promosi ini berasal dari Sabah.Namanya Suparman dan mukanya saling tak tumpah seperti A R Tompel.(Mohsen sempat berseloroh mengatakan namanya bukan Superman ketika persembahan di cafe tengahari tadi)
Hari ini baru hari ketiga,ada tujuh hari lagi kami di sini.Kadang- kadang bosan juga ketika membuat persembahan kerana kami bermain terlalu lama.Mungkin kalau nak rasa macam mana pemuzik profesional membuat jelajah tour, beginilah agaknya keadaan.

No comments: