Friday, May 29, 2009

Showcase Dewangga Sakti di MASKARA 6 Jun

Tarikh: 6 Jun 2009
Sabtu
8:30malam
Tempat: Rumah Pena, Jalan DBP,KL
Datang beramai-ramai. Masuk percuma!

Sirih Pulang ke Gagang (Telefon)

Jemputan pihak matrikulasi UIA (sekarang dikenali sebagai Centre for Foundation Studies) di Petaling Jaya amat menggembirakan kami. Sejak akhir Februari,kami seperti masih pelajar UIA walaupun ada yang sudah hampir sepuluh tahun meninggalkan kampus. Ini kerana kami banyak kali dijemput untuk membuat persembahan di kampus utama di Gombak.
Petaling Jaya pula banyak menyimpan kenangan kepada kami. Beberapa orang ahli sempat berada di sini ketika tamat matrikulasi . Ketika itu PJ masih kampus utama dan Lembah Pantai menjadi pusat matrikulasinya. Beberapa orang lagi yang muda belia seperti Irwan dan Wahyun menghabiskan masa di kampus PJ yang sudah bertukar menjadi pusat matrikulasi setelah semua fakulti berpindah ke kampus utama Gombak.
Semasa kami tiba di kampus PJ dahulu,bangunan flat PKNS di luar kampus masih lagi digunakan sebagai asrama pelajar lelaki kerana pada masa itu kampus tidak cukup asrama. Sebelum itu, asrama YPM di Bangsar juga digunakan sebagai asrama. Tokeyunta pada asalnya dimasukkan ke asrama di Bangsar tetapi entah macma mana dia telah berjaya masuk ke asrama di PJ.
Semasa kampus berpindah ke Gombak, ramai yang sedih mengenangkan lokasi Gombak yang jauh dari KL terutamanya beberapa orang ahli yang ketika itu sentiasa mengunjungi Pasar Seni untuk kegiatan muzikal mereka. rupa-rupanya perpindahan ke Gombak menjadi lebih bermakna dengan alam sekitar yang menghijau. (Kesultanan Gombak pun didirikan selepas itu)
Kampus PJ benar-benar berada di dalam kota dengan asap pembangunan daripada kilang-kilang berhampiran dan lalulintas yang sibuk di Seksyen 17. Bila mengenang Supermarket Jaya yang runtuh baru-baru ini,ingatan segera mengimbau kenangan lama berjalan kaki ke Seksyen 14 utk ke Metrojaya ,Jaya dan beberapa kedai yang asyik untuk dikunjungi di situ.
Yang tak dapat kami bayangkan adalah kawasan ini telah bertukar dengan adanya Jaya One ,pusat membeli belah berhadapan Blok PKNS tempat asrama sementara pelajar dahulu. Jika tidak silap, tempat itu adalah tempat di mana akhbar STAR beroperasi. Jalannya juga bertambah baik . Keadaan lalulintas tetap sama.
Dahulu bas mini 12 lah yang membawa kami ke KL sebelum diganti dengan Intrakota dan sekarang RapidKL ,di samping Bas Metro.
Di hujung jalan simpang ke Seksyen 2 dan seksyen 14 terdapat Kilang Rokok Rothman (sekarang dikenali sebagai British-American Tobacco) yang mana ramai pelajar menjadi pekerja sementara ketika cuti semester. Begitu juga dengan Metrojaya di Seksyen 14. Filem Gila-gila Remaja jika tidak silap ada menampilkan Seksyen 14 dan kedai motor di Seksyen 17 untuk filem itu.
Di luar berdekatan flat PKNS ,pelajar mengambil bas untuk membuang masa dan menghabiskan duit pinjaman di One Utama. Di situ juga terdapat pasar malam pada hari Selasa. Laluan pelajar perempuan daripada Kolej Khadijah akan melalui laluan gelanggang sepakraga. Menurut Azman ,ketika inilah segala libasan,servis yang bertaraf Olimpik terhasil.
Bila kami sampai ke PJ untuk persembahan ,kami dapati kolej kediaman juga telah bertukar nama. Abu Bakar College(ABC) telah bertukar menjadi Mahallah Khadijah. Fatimah Az zahra telah bertukar menjadi Umar Al Khattab 2(UKC2). Manakala,Umar Al Khattab College(UKC) masih sama. Semua bangunan ini juga telah dicat baru.
kami diberi penginapan di UKC2 dengan bilik yang agak besar. Setelah tiba di situ kami perasan tentang model di dalam kod berpakaian pelajar yang menyerupai salah seorang ahli kami. (ha ha)Pamplet itu ditampalkan di papan notis.
Persembahan kami ini sempena meraikan pelajar baru seramai 3,700 orang yang baru sahaja mendaftar sebagai pelajar matrikulasi UIA. Ini kali pertama kami rasa sistem bunyi menepati citarasa kami setelah diberi tanggungjawab oleh pihak universiti sendiri mencari sistem bunyi yang sesuai. Di dalam persembahan selama satu jam setengah, kami juga menjemput Dr Iqbal daripada Ahmad Ibrahim Kuliyyah of Laws(AIKOL) untuk menyanyi beberapa lagu.
Celoteh Azman juga menghiburkan setelah beberapa bulan menggalas tugas sebagai penyanyi utama.
Persembahan ini diadakan di padang bola berdepan kolej-kolej tersebut.
Kami dengan ini ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak CFS (matriks) PJ terutama En Hisyam, En Hidayat, Madam Humaiyah, Madam Saodah dan semua warga kerja pada hari tersebut.











Friday, May 22, 2009

Dewangga Sakti di dalam novel Armada Azur


Babak 1 – Istana al-Fateh

Selesai dengan nazam, bentara istana mengumumkan persembahan yang berikutnya. “Dipersilakan kumpulan muzik yang mengembara jauh dari Kota Jugra, Dewangga Sakti!”

Enam orang pemain muzik tampil dan mengambil tempat di bulatan kusyen yang disediakan. Dua gitar, darbuka, violin, gambus dan rebana menjadi peralatan pilihan mereka.

Si pemain violin membuka persembahan dengan gesekan merdunya. Dua pemain gitar kumpulan itu pula mencurahkan serbuk kristal di sekeliling mereka berenam. Serbuk kristal itu dicurah dalam satu garis melengkung sehingga membentuk satu bulatan.

Sebaik-baik sahaja bulatan serbuk kristal itu terbentuk, kerlipan mula memancar dengan ritma seiring gesekan biola. Para hadirin yang hadir bertepuk tangan melihat gabungan rentak bunyi dan cahaya.

Babak 2 – Istana al-Fateh, musuh datang menyerang

Dalam masa yang sama, kumpulan muzik Dewangga Sakti juga mengambil langkah menyelamatkan diri. Ketua kumpulan tersebut yang bernama Zul mengambil sarung tangan kristal dari dalam bagasinya dan menyarungkan pada tangan kanannya.

“Raof, Wahyun. Cepat, bawa seberapa ramai dalam lingkungan kita ini!”

Wahyun dan Raof segera menarik beberapa orang dayang istana ke dalam lingkungan mereka. Seorang bentara juga melompat masuk dalam lingkungan mereka tanpa diajak.

Wahyun menggesa, “Cepat, musuh sudah hampir!”

Zul mengangkat tangan kanannya tinggi-tinggi sebelum menghentakkannya ke atas lantai. Lingkaran kristal di sekeliling mereka menyala dan menghasilkan dinding cahaya yang menyilaukan pandangan. Apabila dinding cahaya itu berlalu, mereka semua sudah lenyap dari pandangan.

(Novel tulisan Firdaus Ariff -tajuk Armada Azur)

Space Gambus Experiment- Homegrown 23 Mei

Space Gambus Experiment akan membuat penampilan pertama di program Homegrown di Wisma Bentley,Mutiara Damansara (berdekatan The Curve,IKEA) esok (Sabtu) jam 3 petang.
Mereka akan mengeluarkan album pertama beberapa bulan lagi.
Masuk adalah percuma.
Masuk laman web Homegrown di sini

Wednesday, May 20, 2009

Ambil SPM lagi


Empat ahli sahaja hadir kerana dua orang mempunyai hal tidak dapat dielakkan. Seorang terpaksa menghadiri kuliah di Majlis Peguam. Seorang lagi menjejak lanun di Pulau Jerjak bersama pimpinan negeri.
Di program Selamat Pagi Malaysia di RTM kami memainkan dua lagu iaitu Aladom dan lagu ciptaan kami berjudul Terbang ke dada langit.
Kelihatan muka Abdul Raof paling menyerlah setelah dimekap menjadikan beliau sebagai ikon kumpulan selepas ini.


Monday, May 11, 2009

Putus tali di pelancaran Kacip

Persembahan berjalan lancar seperti dijadualkan. Asalnya hanya lima org sahaja kerana seorang ahli dijadual ke Eropah atas urusan kerja. Terima kasih kepada selsema babi, perjalanannnya ke Eropah dibatalkan dan beliau dapat bermain bersama kami.
Pipiyapong melancarkan sendiri buku beliau bertajuk 'Kacip' hasil koleksi tulisan beliau di dalam blognya.
Kami dijemput oleh Sindiket Soljah yang khabarnya punya kapal selam mahal untuk bersama-sama memeriahkan pelancaran tersebut. (Oit!Jgn lupa beli buku 'Kacip' kerana cetakan terhad dan tidak diulang cetak!)
Sepuluh minit sebelum persembahan, tali atas bass akustik sudah putus. Atas sifat penafian, Azman cuba menyambung kembali tetapi gagal. Kami yang sudah mendengar bunyi aneh tersebut sudah merasakan tali sudah putus. Begitu juga Sinaganaga. Mereka cuba mencari tali bass selepas itu dan kami ke pentas Annexe untuk membuat sedikit soundcheck.
"Mana yang lain?"tanya Jerome.
"Mereka sedang 'tune' instrumen!",begitu jawab En Lan .
Azman dan Norman tiba tanpa tali bass baru dan bass tali tiga yang putus tali atasnya dimainkan.
Begitulah ceritanya kenapa bass itu talinya putus. Itupun jika ada yang menontonnya perasan. Mana tahu mereka ingat Azman saja-saja memutuskan talinya untuk kelihatan 'trendy'. ha ha


Thursday, April 30, 2009

Pelancaran buku Kacip Pipiyapong di Annexe,CM ,9 Mei


Jumpa kami di The Annexe @ Central Market
9 Mei 2009
Sabtu
6 petang
Masuk Percuma (kalau nak bayar,bayar kepada Sinaganaga )

Rakam merakam rakaman terkam



Malam tadi kami berkesempatan membuat persembahan di malam kebudayaan Kem Remaja Muslim Antarabangsa yang diadakan di UIA di samping beberapa persembahan lain yang tidak kurang hebatnya.
Kami bermain dua lagu. Hanya empat ahli yang hadir kerana tiga lagi telah tertinggal pengangkutan masing-masing.
Sehari sebelumnya pula, kami ke studio lagi untuk proses rakaman seterusnya. Kali ini, Azman Jan memasukkan track gitar dan bass (ya! bass akustik yang baru dibeli) untuk lagu kedua. Azman juga menggalas tugas sebagai vokalis sekarang setelah vokalis asal menarik diri beberapa bulan lepas. Untuk persembahan live pula, beliau akan menyanyi sambil bermain bass.
Untuk mengambil feel ronggeng pada malam tersebut,beliau datang dengan memakai baju melayu dan songkok. Asalnya hanya mahu memakai kain pelikat tetapi tidak dipersetujui Tokeyunta yang menghantar pesanan melalui sms.


Tuesday, April 28, 2009

Tokeyunta









Jumaat lepas ketika kami sibuk membuat persiapan untuk sebuah persembahan sempena Debat antara sekolah di UIA, Tokeyunta kembali ke tanahair dari Dubai.
Petang Sabtu ketika kami menyambung rakaman di studio PurpleSound ,Tokeyunta telah muncul dengan membawa bass gitar yang baru dibelinya pagi itu, Fender Jazzbass yang menjadi idamannya sejak kami di kampus lagi.
Ketika beliau sibuk sedang menunjukkan bass barunya kepada jejaka kacak, Irwan ,aku dan Raof berkonspirasi mencari kedai Resepi Rahsia untuk membeli sebuah kek sempena hari lahir beliau. Ya! Kami telah membuat kejutan sempena hari lahir beliau. Jika dua tahun lepas, gadis-gadis Chengdu membuat kejutan kali ini giliran kami pula membuat kejutan. Ternyata dia amat terkejut.
Sesi menjadi lebih meriah dengan cerita -cerita dari Dubai yang dikongsi bersama ahli-ahli kumpulan.
Sesi rakaman kali ini memasukkan track gitar dan akordian untuk lagu kedua dan melakukan sedikit rakaman semula kepada asas lagu pertama.
Beliau bercerita tentang Dubai yang dilanda salji dan hujan yang turun dengan banyaknya di Dubai pada tahun ini.
" Cuba fikir sejak bila perkara ini terjadi?" ,Irwan bertanya sambil disambut gelak ketawa ahli lain.
Tokeyunta juga semakin gelap kerana keadaan cuaca. Beliau juga memberitahu ladang unta hanya berdekatan pejabatnya .Ada juga cerita berkenaan lomba unta di sana.
Selamat hari lahir, Syam! (Beliau kembali semula semalam ke Dubai meninggalkan anak dan isteri di Malaya. Harap-harap beliau membaca jadual penerbangan dengan betul kali ini)

Tuesday, April 21, 2009

Space Gambus Experiment


Studio Kamal

Sedang sibuk merakam


Jika mahu mendengar sesuatu yang lain sila ke Space Gambus Experiment di sini dan anda boleh memuat turun semua lagu-lagu itu secara percuma! Ada tujuh lagu kesemuanya dan setakat hari ini, empat lagu sudah selesai diadun (mix) dan satu lagu iaitu Pengembara Cahaya telah dibuat video clip di home studio Kamal Sabran di Ipoh.
Untuk menonton video clip,sila ke laman youtube di sini. Berikan komen anda di laman itu.
Ini adalah band projek Kamal Sabran dan Zulkifli Ramli. Cerita selanjutnya selepas ini.

Sambung lagi perarakan ulat sutera






Kami menyambung rakaman minggu lepas dengan membuat track asas kepada lagu ketiga. Di samping itu menambahbaik track rebana kepada lagu kedua serta membincangkan proses seterusnya untuk minggu ini.
Hari Ahad pula,kami tiba-tiba mendapat mesej daripada Raja Ahmad RA Fine Arts untuk satu program Kata Suara di Pesta Buku PDDP. Memandangkan program ini tidak dinyatakan tarikh lebih awal(hanya tengahari itu), hanya tiga orang sahaja yang hadir memeriahkan acara iaitu Zul,Raof dan Norman. Di PDDP, monitor speaker diletakkan di belakang dan menyusahkan kami untuk mendengar apa yang dimainkan.
Apa ni Pak Abdul? Monitor untuk didengar dan diletakkan di depan ,bukannya di belakang!
Minggu ini Tokeyunta Dubai dijangka pulang seketika dan jika tiada aral akan memasukkan beberapa track bass untuk lagu-lagu tersebut.
Sinaganaga sempat menghantar sms bertanyakan lagu untuk beliau masukkan suara latar sukaria.
"Ada la la la tak untuk Soljah masukkan vokal?"
Aku jawab , "........"(ada lah tu!ha ha)

Wednesday, April 15, 2009

Kembali ke studio





Kami sudah memulakan proses rakaman untuk album penuh , kesinambungan daripada EP Mabok Kepayang. Rakaman sudah dimulakan minggu lepas di Studio PurpleSound iaitu studio yang sama ketika rakaman EP yang lalu. Cuma kali ini lokasi berbeza sejak peristiwa runtuhan di Bukit Antarabangsa, pemilik studio sudah memindahkan pusat operasi studio ke bangunan kedai di UK Perdana.
Studio lebih besar dan selesa. Yang pasti, penjaga studio tetap ada di situ --seekor kucing yang akan menjaga masa dan manusia.
Ini mungkin salah satu studio yang akan kami gunakan kerana kami juga sedang mencongak studio-studio lain yang berpotensi. Tetapi mungkin sahaja studio ini sahaja digunakan kalau penerbit malas untuk mencari lokasi lain. ;)
Kami membayangkan untuk merakamkan sebanyak sepuluh buah lagu untuk album ini. Diharapkan kami dapat menghabiskannya dalam tempoh tiga bulan sebelum pemain perkusi (ahli temuda) kami, Wah Yun Kua menerima segulung ijazah Ogos nanti. Ini kerana mana tahu selepas Tokeyunta ke Dubai Oktober tahun lepas, bakal peguam muda ini pula akan mengikut jejak yang sama.
Dua lagu telah dirakam pada minggu lepas. Asas kepada lagu ini telah dimasukkan. Selepas ini tambahan instrumen pula akan dilakukan.
Untuk lagu pertama- gambus, violin ,darbuka,rebana sudah dirakam. Selepas ini gitar, akustik bass, akordian, toys seperti shaker,tamborin dan kesan bunyi akan dimasukkan.
Lagu kedua- rebana,darbuka, tepuk tangan beramai-ramai telah disahkan memenuhi piawaian lagu. Manakala gitar akustik, bass, violin sebagai 'guide' sahaja dan akan dimasukkan selepas ini bersama-sama akordian dan gambus.
Saudara Firdaus Arif bersama temannya datang melawat kami di studio sambil membawa kamera dan lens barunya.
Kami agak terkesan dengan kata-kata pemilik studio,En Ariff Akhir, " Korang lah band yang paling bising dan havoc dalam studio".
(ha ha ! Itu nak melindungi sindrom nervous dan menjaga keadaan supaya tidak tegang. Yang pasti gelak ketawa dan bermacam-macam lawak jenaka telah dirakam oleh Ariff )
Minggu ini sambung lagi...
Sekian laporan daripada Kesultanan

Thursday, April 09, 2009

PDDP




Seminggu selepas PEKEMBAR membuat persidangan di Dewan Merdeka PDDP,Kuala Lumpur Metropolitan University College atau dahulunya dikenali sebagai Kolej Teknologi Cosmopoint mengadakan konvokesyen mereka yang ke-14.
Kami dijemput untuk membuat persembahan mengiringi majlis sempena konvokesyen . Tahun ini adalah tahun keempat kami diundang membuat persembahan untuk konvo mereka. Seronoknya dapat melihat dan mendengar Profesor Diraja Ungku Aziz memberikan ucapan ketika konvo tersebut.
* Gambar-gambar diambil sekitar rehearsal sahaja kerana kami tiada jurufoto ketika majlis berlangsung

Thursday, April 02, 2009

Sistem bunyi untuk hutan simpan

Perkara paling membahagiakan sebagai kumpulan muzik (dan sesiapa yg terlibat dengan muzik) adalah juruteknik yang memahami fungsi instrumen dan bunyi serta peralatan yang diberikan cukup untuk membuat persembahan.
Sayangnya perkara ini biasa diletakkan di tingkat paling bawah senarai semakan untuk persembahan.Jika ada pun,selalunya mereka lebih sibuk dengan perkara lain dan menidakkan kepentingan sistem bunyi yang baik untuk persembahan. Sistem bunyi yang baik dengan kemahiran juruteknik/jurutera bunyi akan menghasilkan bunyi yang bagus.Itu formula yang senang.
Kadang-kadang mikrofon yang diminta pun tidak cukup. Lebih teruk lagi jika speaker monitor yang berfungsi untuk didengar oleh pemain muzik tidak ada dan hanya bergantung kepada house speaker.
Pak Abdul,macam mana mahu maju?

Tuesday, March 31, 2009

Simfoni Sungai Pusu dalam D Major7

Minggu lepas kami ke UIA lagi memenuhi jemputan membuat persembahan di BENL Alumni Charity Dinner di Dewan Banquet.BENL singkatan kepada pelajar Bachelor of English Language utk pelajar yang mengambil jurusan bahasa Inggeris di UIA. Kalau semasa zaman kami belajar dahulu, pelajar BENL adalah pelajar yang paling trendy dan sosial. Semasa aku di matrikulasi,seorang pelajar perempuan BENL mendapat reputasi tinggi kerana mempunyai boyfriend di setiap semester. Eh !Mungkin satu semester dua orang. Sehinggakan diwujudkan kelab bekas kekasih pelajar perempuan ini. :)
Itu zaman aku dahulu dan mungkin sekarang sudah berubah. Boleh jadi pelajar Econ yang paling sosial! he he
Jemputan ke UIA ini kami ibaratkan sirih pulang ke gagang kerana di sini kami bermula dahulu.
Persembahan malam itu diserikan dengan kehadiran pemain gambus Raja Zulkarnain yang juga pensyarah di ASWARA. Beliau tampil secara solo mengiringi pembacaan sajak. Pelajar Palestin juga membuat persembahan dengan tarian Palestin berlatarbelakangkan sebuah lagu bahasa Arab yang menarik. Maaf ,kami tidak berapa faham walaupun belajar dengan tekun (?) dahulu kerana pakar bahasa kami ,Tokeyunta sudah berhijrah ke Dubai.
Malam itu adalah malam Hari Bumi (Earth Hour) yang dijadualkan bermula jam 8:30malam selama satu jam. Kami tidak pasti adakah mereka menutup lampu ketika itu kerana kami bersuka ria di belakang pentas mendengar lawak jenaka Dr Evil. (Ada lilin di atas meja)
Terima kasih kepada bos Alumni ,Dr Faridah dan Azilee yang menjemput kami.
Nota: Kepada perwakilan Gombak Ria,jangan lupa minggu ini perhimpunan agong haram yang dijadualkan itu. Lupakan politik wang,mari bergembira mengembala kambing dan unta!

Wednesday, March 18, 2009

Jalan-jalan (kenduri kahwin) cari rebana






Seingat aku,baru sekali aku pergi ke Batu Pahat dan Muar. Batu Pahat pada tahun 2001 atas sebab sahabat baik bertunang. Muar pula pada tahun 2002 kerana mengikuti bos tempat kerja.
Kali ini aku pergi ke sana di atas misi yang berbeza. Destinasi pertama kami adalah Batu Pahat memenuhi undangan kenduri perkahwinan Naeman Bestow (fotonya boleh dilihat di entri sebelum ini).
Kami memulakan kembara kami agak lewat jam 11:30 pagi . Aku bersama isteri dan dua anak menaiki kereta BMW Abdul Raof dengan seorang lagi ahli iaitu Norman.Kami berkongsi kereta,sesuai saranan bakal PM yang menyeru rakyat supaya berjimat cermat dan mengubah gaya hidup.
Kami tiba di Batu Pahat jam 3:30 petang setelah berhenti rehat di R & R Ayer Keroh selama 45 minit. R & R ini tidak menyenangkan kami kerana ia kelihatan seperti di tahun 80an dan kemudahan seperti di R & R Seremban tidak ada.PLUS mungkin perlu menambahbaik kemudahan di sini untuk menyenangkan pengguna yang membayar tol yang mahal.
Selesai membuat lawak jenaka bersama pengantin ,kami bergerak ke Parit Jawa,Muar untuk misi seterusnya . Ya! Mencari rebana untuk kegunaan Abdul Raof. Jam 4:45 petang kami bertolak ke sana dan singgah di satu masjid untuk solat (lupa pula namanya).Kami tiba di bengkel (kilang) membuat kompang (dan perkusi lain) pada jam enam petang. Perusahaan kompang dan gendang ini milik En Rosdin bin Baki yang amat terkenal di sekitar Muar. Tempahannya pula daripada seluruh negara.
(Bila sampai ke sini,teringat guru aku Allahyarham Fadzil Ahmad yang berasal dari sini dan mengasaskan Kumpulan Ghazal Seri Maharani bersama-sama Ahmad Jusof dll)
Abg Rosdin tiada di bengkel dan kami segera membuat tinjauan di sekitar bengkel memerhatikan pekerjanya membuat kompang dan alatan gendang yang lain. MashaAllah,banyaknya kompang yang sedang dibuat!Timbunan kompang memenuhi bengkel ini. Peralatan yang digunakan juga agak moden. Bau hamis kulit kambing yang digunakan untuk kompang dan rebana masih kuat. Ini pasti kulit kambing yang masih baharu. Kulit kambing hitam tiada pula kelihatan.Mungkin sudah berubah warna.
Sebenarnya Wahyun pun membeli secara pesanan di bengkel ini. Rebananya diposkan bulan Disember tahun lalu.
Setelah tawar menawar di dalam telefon (kerana pemilik di luar kawasan), akhirnya Abdul Raof berjaya memujuk towkay supaya sebuah rebana (yang sepatutnya tidak dijual--for display purpose) dijual kepadanya. Dapat pula diskaun sebanyak RM100.00. Rebana moden yang menggunakan skru untuk membuat pelarasan tetapi masih menggunakan kulit kambing. Ia berbeza dengan rebana Wahyun yang menggunakan kulit dram.
Abdul Raof amat gembira dan membelanja semua yang hadir pada hari tersebut di Kedai Joko(yang dicadangkan oleh pekerja di bengkel).Kami makan roti canai,kopi Muar dan mi bandung Muar yang lazat.Aku rasa inilah roti canai yang paling sedap aku makan dalam beberapa tahun ini. Tahniah kedai Joko!Begitu juga dengan mi bandung. Kopi pula,aku minum dua gelas,sama seperti Norman.
Abdul Raof tidak putus-putus tersenyum selepas mendapat rebana. Di dalam perjalanan pulang, dia memasang Cd yang paling tidak sedap kami dengar sepanjang beberapa tahun ini.
Kami fikir tak mengapalah,asalkan dia bahagia!

Monday, March 16, 2009

Prt. Jawa


Apa kami buat di sini?
Nantikan laporannya tahun depan.

Nota tambahan: Adakah Prt. di papan tanda ini bermaksud Parit atau singkatan kepada makna lain?

Selamat pengantin baru



Selamat pengantin baru kepada Naeman Bestow dan isterinya. Jangan terkejut kerana namanya memang begitu. Naeman merupakan bekas ahli kumpulan pada tahun-tahun awal kelahiran kumpulan kami.
Semoga berbahgia dan hidup damai abadi! :)

Wednesday, March 11, 2009

Siasah pra-matang

Pak Abdul telah menggunakan kuasanya untuk mempengaruhi Sultan supaya mencipta sebuah kawasan Parlimen baru yang dinamakan Gombak Ria,sebuah penempatan baru yang dicipta secara grafik dan tempatnya tidak dapat disahkan.
Hakikatnya,kawasan ini tidak wujud di dalam peta fizikal .Hanya yang berilmu dan mempunyai kasyaf sahaja terbuka hijabnya untuk melihat kawasan yang dimaksudkan.
Pak Abdul akhirnya berjaya menang kawasan yang dimaksudkan dan terus bergegas merasmikan parlimen baru Gombak Ria yang tidak terletak di atas tanah. Kawasannya di antara langit dan bumi.
Foto hiasan: Setiausaha sulit Pak Abdul sedang merasmikan balai hinggap

Bahasa Lagi

Memorandum yang dihantar oleh GMP (diambil daripada laman web Prof Abdullah Hassan)

Mengapa Patik Sekalian Meminta Kerajaan Supaya Memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik sekalian mohon diampun.

Adapun Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) ini telah dilancarkan di Kuala Lumpur pada 31 haribulan Januari 2009. Alhamdulillah sejak itu sambutannya di seluruh negara sangat memberangsangkan.

MENGAPA PATIK SEKALIAN MEMBANTAH PPSMI

Patik sekalian membantah PPSMI dan meminta kerajaan memansuhkannya atas beberapa sebab utama seperti yang kami jelaskan berikut:

1. Dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu (iaitu Bahasa Kebangsaan Malaysia) di sekolah kebangsaan yang telah dilaksanakan sejak Kemerdekaan berdasarkan Ordinan Pelajaran 1957, kemudian Akta Pelajaran 1961 dan seterusnya Akta Pendidikan 1996, telah mencapai kejayaan yang luar biasa dan tidak pernah menimbulkan apa-apa masalah yang besar dan serius. Banyak pelajar kita, beratus ribu banyaknya, malah lebih 3 juta (dari tahun 1957 hingga tahun 2003) telah berjaya mempelajari ilmu sains dan matematik dalam bahasa mereka sendiri dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi. Semua orang tahu akan kejayaan dasar yang asal itu dan banyak bukti tentang kejayaan itu dapat kami tunjukkan tetapi kami tidaklah berhasrat untuk membebankan pembaca dengan datanya yang agak banyak dan panjang.

2. Tidakkah orang yang membuat keputusan yang tidak munasabah itu sedar bahawa hasil daripada dasar pelajaran kebangsaan yang menetapkan bahasa Melayu (Bahasa Kebangsaan Malaysia) sebagai bahasa pengantar utama, ratusan ribu pelajar kita (seperti yang tersebut di atas) pandai sains dan matematik dalam bahasa sendiri, dan ribuan daripada mereka berjaya menjadi profesor yang mengajar sains dan matematik di peringkat pengajian tinggi dalam bahasa sendiri, menjadi ahli sains, jurutera, pakar-pakar perubatan, pandai berbincang, mengarang buku sains, menerbitkan hasil-hasil kajian saintifik dalam bahasa sendiri, iaitu bahasa Melayu, di samping bahasa Inggeris (kalau perlu)? Tidak mereka tahu bahawa sebelum tahun 2003 jumlah tesis Sarjana Sains (M.Sc.) dalam bidang sains dan matematik yang ditulis dalam bahasa Melayu berjumlah lebih 2,000 (dua ribu buah) manakala tesis Doktor Falasfah (Ph.D.) dalam bidang tersebut yang ditulis dalam bahasa Melayu berjumlah lebih kurang 400 buah?

3. Maka kami berasa amat hairan dan terperanjat mengapa dasar yang sudah baik dan berjaya itu, dasar yang tidak menimbulkan apa-apa masalah yang besar dan serius itu, tiba-tiba dimusnahkan dan digantikan dengan PPSMI?

4. Keputusan PPSMI yang dibuat dalam tahun 2003 itu dibuat dengan mengejut tanpa apa-apa perbincangan, tanpa apa-apa perundingan dengan pakar-pakar pendidikan dan bahasa, tanpa memikirkan baik buruknya terhadap bahasa Melayu dan terhadap pelajar dan guru yang telah cukup biasa mengajar dan belajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (atau dalam bahasa ibunda di Sekolah Jenis-Kebangsaan Cina dan Tamil) selama lebih 37 tahun! Tiba-tiba anak-anak kita yang tidak mengetahui bahasa Inggeris sepatah pun, kebanyakannya dari kawasan luar bandar, dipaksa belajar sains dan matematik dalam bahasa yang mereka tidak tahu itu. Beberapa orang ahli bahasa di Barat menganggap bahawa ini adalah contoh dasar English linguistic imperialism atau dasar penjajahan bahasa Inggeris yang berlaku di beberapa banyak negara bekas jajahan British, menyebabkan kebanyakan bangsa peribumi atau negara itu tidak maju sains dan teknologi.

5. Antara sebab yang dikemukakan oleh pihak yang cuba mempertahankan PPSMI ialah: Kalau orang Melayu atau pelajar Melayu mahu pandai dan maju dalam bidang sains dan matematik mereka hendaklah mempelajarinya dalam bahasa Inggeris, tidak dalam bahasa sendiri, yakni bahasa Melayu. Mengapakah setelah lebih 37 tahun pendapat yang salah dan karut ini ini digunakan untuk mengubah dasar asal dan menggantikannya dengan dasar PPMSI? Tidak ada bukti ilmu dan empiris yang kukuh untuk mempertahankan alasan itu. Hampir semua bangsa dan negara yang maju sains dan teknologi mengajar sains di sekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi dalam bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda mereka masing-masing. Sekadar menyebut beberapa contoh, Negara China, Jepun, Korea, Vietnam, Thailand, Indonesia, semua negara Eropah (termasuk Britain), Rusia dan negara-negara Skandinavia tidak mengajar sains dan teknologi dalam bahasa asing. Kebanyakan negara Afrika yang menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Perancis sebagai bahasa rasmi dan bahasa pendidikan, baik di peringkat menengah dan peringkat tinggi, mahupun di peringkat sekolah rendah, tidak maju sains dan teknologi. Negara Brunei Darussalam tidak menggunakan bahasa Melayu untuk mengajar sains dan matematik di sekolah menengah dan di universiti dan kita tahu negara itu tidak maju sains dan teknologi, yakni negara itu tidak sama taraf kemajuan sains dan teknologinya dengan negara seperti Jepun, Korea dan negara China atau Taiwan. Korea Utara adalah negara kuasa nuklear. Negara itu tidak mengajar sains dalam bahasa Inggeris. Begitu juga, di Filipina, negara berbahasa Inggeris yang terbesar di Asia atau Asean, tidak menggunakan bahasa Filipina untuk mengajar sains dan matematik di sekolah menengah dan di peringkat pengajian tinggi, dan kita tahun negara itu tidak merupakan negara maju sains dan teknologi. Kebanyakan eksport Filipina, menurut seorang ahli ekonomi Filipina, ialah pembantu rumah dan pekerja biasa; kelebihan mereka ialah, mereka boleh bertutur dalam bahasa Inggeris di peringkat rendah.

7. Beberapa banyak kajian yang telah dilakukan oleh pakar-pakar pendidikan dan bahasa di seluruh dunia membuat kesimpulan bahawa manusia, mulai peringkat kanak-kanak, lebih mampu berfikir secara kreatif dan dapat memahami konsep-konsep ilmu dengan lebih mudah dan cepat dalam bahasanya sendiri. Hal ini dapat kita lihat berdasarkan hakikat bahawa semua karya besar di dunia, baik dalam bidang sains mahupun sastera, dihasilkan dalam bahasa ibunda atau bahasa asal atau bahasa kebangsaan pengarang itu. Kebanyakan pemenang Hadiah Nobel tidak datangnya dari golongan berbahasa Inggeris. Yang terbaharu, Hadiah Nobel Fizik tahun 2008 ialah 3 orang ahli sains Jepun yang menghasilkan kajian dan karya mereka dalam bahasa Jepun.

Kajian di Amerika Syarikat, Kanada dan beberapa buah negara di Eropah dan Afrika dan Hong Kong menunjukkan bahawa pelajar sains dan matematik dalam bahasa bukan ibunda merosot prestasi mereka dan tidak pula meningkatkan penguasaan atau kemahiran bahasa asing mereka. Pertandingan antarabangsa sains dan matematik yang diadakan tiap-tiap tahun untuk pelajar sekolah dimenangi oleh pelajar yang belajar sains dan matematik dalam bahasa ibunda masing, tidak dalam bahasa asing.

8. Setelah enam tahun berjalan, PPSMI masih tidak berkesan dan banyak menimbulkan masalah yang kebanyakannya tidak didedahkan kepada umum. Pengumuman Keputusan UPSR Tahun 2008 menunjukkan hanya 31.1% (159,234) murid sahaja daripada 511,875 murid Tahun 6 yang menjawab Kertas Sains dalam bahasa Inggeris. Ini bererti sebanyak 68.9% (352,641) murid tidak menjawab dalam bahasa Inggeris. Ini bukti kegagalan mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, walaupun dipaksakan kepada pelajar itu.

9. Dalam mata pelajaran matematik pula, 46.6% (238,153) murid daripada 511,499 jumlah murid yang menduduki peperiksaan Matematik UPSR menjawab dalam bahasa Inggeris. Ini bererti 53.4% atau seramai 273,346 murid menjawab dalam BM atau BM/BI. Ini juga bukti kegagalan pengajaran matematik dalam bahasa Inggeris kepada pelajar berbahasa Melayu.

10. Kedua-dua angka yang tersebut pada para 8 dan 9 di atas menunjukkan peratus pelajar atau seramai 352, 641 pelajar tidak faham bahasa Inggeris untuk menjawab soalan dalam bahasa ini, dan seramai 273, 346 murid tidak memahami matematik yang diajarkan dalam bahasa Inggeris. [Catatan: ini tidak bererti bahawa pelajar itu tidak mempunyai ‘otak’ atau minat untuk belajar atau memahami sains atau matematik; puncanya ialah, mereka tidak memafami soalan yang dibuat dalam bahasa Inggeris, samalah seperti kita cuba mengajar sains dan matematik kepada pelajar Inggeris di England dalam bahasa Melayu atau bahasa Jepun dan bahasa-bahasa lain yang mereka tidak faham satu patah pun].

HASIL KAJIAN

11. Hasil kajian sebenar dan bebas yang dilakukan oleh pasukan penyelidik seramai 50 orang pensyarah dari 7 buah Universiti (UPM, UiTM, UPSI, USM, UUM, UMS dan UTM) dengan selian Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) di 70 buah sekolah menengah (pelajar Tingkatan 4) dan 90 buah Sekolah rendah di seluruh negara (murid darjah 5) membuat kesimpulan bahawa PPSMI telah gagal memberikan manfaat kepada pelajar, khususnya pelajar-pelajar Melayu di sekolah kebangsaan luar bandar. Di beberapa buah negeri, misalnya Perlis, Kelantan, Sabah dan Sarawak, peratusan pelajar yang gagal (markah D & E) melebihi 50%. Prestasi SPM 2007 jelas menunjukkan bahawa bilangan pelajar Melayu yang cemerlang dari Sekolah Berasrama Penuh dan Maktab Rendah Sains MARA (MPRSM) juga menunjukkan kemerosotan yang menundum, terutama dalam mata pelajaran Kimia dan Matematik.

12. Dua kajian lain telah dilakukan, iaitu (a) kajian yang dibuat oleh Profesor Emeritus Dato’ Isahak Haron dari UPSI Januari 2008), terhadap 1703 murid tahun 5 di 28 buah Sekolah rendah dan terhadap 1692 guru, dan (b) kajian yang dibuat oleh Profesor Datin Dr. Juriah Long (dari UKM) ke atas pelajar Tingkatan 2 di 242 buah Sekolah Menengah di seluruh negara yang meliputi 7,236 pelajar (2004) dan 707 guru matematik dan 701 guru Sains. Hasil dapatan kedua-dua kajian ini hampir sama dengan kajian yang dibuat oleh PEMBINA.

APAKAH UKURAN YANG DIGUNAKAN UNTUK MENGABSAHKAN PPSMI?

13. Perkara yang sangat merungsingkan kami ialah, dalam percubaannya untuk mempertahankan PPSMI dan membuktikan bahawa dasar PPSMI itu ‘sudah berjaya’ atau ‘akan berjaya’, para pegawai di Kementerian Pelajaran cuba menurunkan markah lulus mata pelajaran sains dan matematik sehinggakan murid yang mendapat markah 30% dianggap sudah boleh lulus (yakni mendapat markah B dan C). Kalau cara yang ‘mengelat’ ini digunakan untuk mengatakan bahawa jumlah pelajar yang lulus dalam sains dan matematik dalam bahasa Inggeris semakin meningkat alamatlah mutu pelajaran pelajar kita dalam bidang ini akan menurun, tidak tinggi. Sebelum tahun 2003 semasa sains dan matematik diajarkan dalam bahasa Melayu mutu pelajaran dalam mata pelajaran ini tidak direndahkan atau dengan kata lain, markah lulusnya tidak diturunkan.

GMP TIDAK FANATIK BM DAN TIDAK ANTI BAHASA INGGERIS

14. Kami tidak didorong oleh apa-apa emosi atau fikiran yang tidak rasional atau oleh perasaan anti-bahasa Inggeris. GMP juga bukan ‘gila bahasa Melayu’. Kami cuma mahu mempertahankan dasar yang betul dan baik dan menolak dasar yang salah. Dasar yang salah, yang boleh memudaratkan bangsa kita, harus ditolak. Dasar yang baik harus disokong. Pendapat yang mengatakan bahawa bangsa yang tidak menuntut ilmu sains dalam bahasa Inggeris, bangsa itu tidak akan maju dalam bidang sains adalah pendapat yang sama sekali tidak benar. Kita tidak perlu membuang masa membuat kajian yang panjang lebar untuk membuktikan bahawa pandangan itu sama sekali salah.

15. Hal yang sangat menghairankan kami dan orang yang berilmu di mana-mana sahaja ialah, ‘pendapat’ atau ‘teori’ yang mengatakan bahawa pelajar kita boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kalau pendapat ini benar, tidak perlulah pelajar kita belajar bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran tersendiri. Tidak pernah kita mendengar orang belajar bahasa asing melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa itu. Bahasa Inggeris seharusnya diajarkan melalui pelajaran bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran yang tersendiri (mengajar nahu, membaca sastera dalam bahasa Inggeris, dan sebagainya), tidak melalui pelajaran sains dan matematik. Kajian yang disebut para perenggan 7 di atas mengesahkan perkara ini.

16. GMP telah menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan serius untuk memperbaiki pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua atau bahasa asing (‘foreign language’) di sekolah kebangsaan untuk memastikan pelajar kita dapat menguasai bahasa ini dengan baik setelah mempelajarinya selama sebelas tahun dari Darjah I hingga Tingkatan V. Selama ini kebanyakan pelajar kita, terutama di Sekolah Kebangsaan di luar bandar, tidak fasih berbahasa Inggeris walaupun bahasa ini telah diajarkan kepada mereka selama 11 tahun. Masalah inilah yang sepatutnya diselesaikan oleh kerajaan, bukan mengubah dasar yang sudah baik dan berjaya, lalu menimbulkan masalah yang tidak patut timbul.

17. Terakhir, bangsa Melayu hendaklah sedar bahawa bahasa Melayu adalah salah satu bahasa yang terbesar di dunia, diketahui oleh lebih 280 juta manusia di seluruh dunia, khususnya di kawasan induknya, iaitu kawasan Melayu-Indonesia.

Akhir kalam, patik sekalian, dengan penuh takzim, dengan harapan yang tinggi, memohon kepada Ke Bawah Duli Tuanku, Raja Yang Berdaulat dan Ketua Perlembagaan Negara Malaysia, sudi apalah kiranya Duli Tuanku berkenan menerima Warkah Memorandum ini.

Atas limpah berkenan Ke Bawah Duli Tuanku menerima perutusan patik sekalaian mengadap Tuanku untuk mempersembahkan Memorandum ini ke bawah Duli Tuanku, patik sekalian menjunjung kasih yang tidak terhingga, dan berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga Duli Tuanku Dilimpahi rahmat dan hidayah sebagai Ketua kepada Perlembagaan Negara Malaysia.

Sekianlah patik sekalian persembahkan. Wabillah hitaufik wal hidayah, wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Patik sekalian yang berdatang sembah:

tt-memorandum-a

10 rabi’ul Awal 1430 bersamaan 7 Mac 2009.

Bacaan lanjut ,sila ke sini atau sini

Tuesday, March 10, 2009

Bahasa

Diambil drpd laman web Kesturi di sini

Memoradum Akademi Sains Islam Malaysia kepada Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Malaysia pada tahun 2002

PENDIRIAN BERSAMA PARA PROFESOR SAKTI SELURUH MALAYSIA TERHADAP DASAR PENDIDIKAN SAINS DAN MATEMATIK SEKOLAH DALAM BAHASA INGGERIS

Kami para profesor dalam bidangn yang berasaskan sains, kejuruteraan dan teknologi atau ringkasnya SAKTI, dengan ini menyatakan bantahan terhadap dasar baru kerajaan untuk mengInggeriskan kembali pendidikan mata pelajaran Sains dan Matematik sekolah (aliran sains sekolah) mulai tahun 2003 ini.

Bantahan kami ini bukan semata-mata “tidak mahu berpatah balik kerana tiada tanda-tanda sesat dan menyesatkan,” dan sekali-kali tidak kerana kononnya kami tidak mengiktiraf kepentingan bahasa Inggeris. Pendirian kami ini didorong kuat oleh kesedaran kami yang berasaskan teori dan empirik tentang hukum (empirik, aqli dan naqli) pembangunan SAKTI zaman berzaman dan di negara-negara maju.

Oleh sebab kami juga terlibat secara langsung dengan pembangunan SAKTI negara ini yang kami ingin mengembangkannya dalam acuan negara ini sendiri, iaitu membangun, menyibar dan memajukan dalam bahasa dan budaya negara ini, maka kami menganggap amatlah wajar kami menyuarakan pandangan ini.

Tegasnya, walaupun kami amat bersetuju dengan keprihatinan Kerajaan untuk meningkatkan lagi penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di mana peringkat jua pun tetapi kami amat tidak bersetuju dengan langkah peningkatan prestasi bahasa Inggeris itu, kita melakukannya menerusi pengajaran atau pendidikan Sains dan Matematik sekolah dalam bahasa Inggeris.

Ringkasnya, antara sebab-sebab bantahan kami adalah seperti berikut:

1. Langkah Pemunduran: Dengan menjalankan pengajaran Sains dan Matematik di sekolah dalam bahasa Inggeris (sejak darjah satu!) bermakna tertutup langsunglah wadah penghayatan bahasa Melayu (bahasa keempat terbesar di dunia) dalam SAKTI, sedangkan bahasa Melayu di Malaysia sejak 1970-an telah berjaya dihayati di dalam pendidikan lisan dan penulisan ilmiah hingga ke peringkat ijazah kedua (Sarjana) dan ketiga (Doktor Falsafah). Malah kini tesis Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bahasa Melayu sudah menjangkau ribuan! Langkah pengInggerisan sekolah ini jelas menyekat kemaraan malah mengkhianati dan bahkan membunuh potensi bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa yang diperjuangkan sekurang-kurangnya sejak tertubuhnya UKM 1970 dahulu. Sekaligus langkah ini meremeh, mensia-sia dan menyiksa batin ratusan bahkan ribuan para sarjana kita sejak 1970 yang bertungkus lumus membangun bahasa Melayu dalam SAKTI menerusi pengajaran, pendidikan dan penyelidikan secara lisan dan tulisan. Benar bahasa Melayu tidak akan hilang di dunia (seperti yang diramal oleh ahli-ahli bahasa dunia) walaupun dengan mengInggeriskan pendidikan sains dan matematik di Malaysia. Tetapi amatlah jelas langkah ini akan menjadikan bahasa Melayu (di Malaysia) tidak akan berkembang lagi, malah akan semakin merosot, kerana kekurangan penggunaan dalam arena pendidikan yang amat berpengaruh itu.

2. Penyempitan peluang pemerolehan, pengembangan dan pembangunan SAKTI: Secara empirikalnya, sejak zaman berzaman tamadun demi tamadun, dan sejarah pembangunan SAKTI di negara-negara maju kini menunjukkan penggunaan bahasa nasional masing-masinglah yang memungkinkan tersebar luas dengan mudahnya SAKTI dalam kalangan rakyat jelatanya. Dengan inilah kemudiannya kita dapat memudahkan pengembangan dan pembangunannya sehingga di negara-negara itu menjadi ramai yang mencapai kefahaman asas SAKTI dan seterusnya menjadi kaya dengan SAKTI (pengguna, penyumbang dan pengeksport SAKTI). Negara kita selama melaksanakan pendidikan dalam bahasa nasional kita sendiri juga menunjukkan keesahan hukum empirikal ini. Kini, begitu ramai ahli sains kita yang berpendidikan dalam SAKTI yang mencapai taraf anatarbangsa menerusi penulisan dan rekaan aslinya hanya dalam masa 40 tahun sahaja. Sekaligus keseimbangan kaum dalam pencapaian SAKTI juga semakin terjadi dengan pantasnya.

3. Bertentangan dengan Hukum teori Pembangunan SAKTI: Mengikut teori ilmu naqli (wahyu), Allah menegaskan betapa bahasa sesuatu kaum itu sendiri yang memudahkan mereka memperoleh ilmu daripada luar dan dalam. Ini tafsiran yang lazim terhadap Ayat al-Quran, Surah Ibrahim, yang menegaskan bahawa Allah tidak mengutuskan seorang rasulNya pun yang tidak daripada kalangan sesuatu kaum berkenaan untuk memudahkan kaum tersebut memperoleh ilmu dan hikmah. Mengikut teori dalam ilmu aqli (intelektual) pula banyak kajian yang lakukan oleh sarjana-sarjana dalam pemikiran, epistemologi dan daya pengaryaan pada abad ini seperti Ravetz, de Bono, Miller, dan d’Ambrosio (sekadar menyebut beberapa orang sahaja) menunjukkan yang manusia memang lebih mudah menguasai sesuatu ilmu (terutamanya di peringkat sekolah) menerusi bahasanya sendiri, dan sesuatu bahasa itu ada keistimewaannya tersendiri dalam peranannya sebagai mangkin dan wahana pengkaryaan atau penciptaan. Malah de Bono menegaskan bahasa Inggeris bukannya bahasa yang superior dalam pencetusan daya pengkaryaan atau penciptaan. Teori ini sebenarnya disahkan oleh situasi negara-negara maju sekarang, dan situasi negara-negara yang ingin maju (dan tidak maju-maju!) tetapi tidak dalam bahasa nasionalnya. Setiap bahasa sebenarnya ada kebitaraan atau keunikan tersendiri dalam berperanan daya pengkaryaan dan penciptaan SAKTI (atau bidang lain sekali pun). Hasil kajian prestasi pelajar sekolah seluruh dunia yang dibuat beberapa kali oleh sekumpulan pengkaji Amerika Syarikat juga menunjukkan negara-negara yang tinggi pencapaian sains dan matematik di sekolah bukanlah datangnya daripada negara-negara yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya. Para pelajar Eropah Timur, Jepun dan Korea sentiasa mencapai prestasi yang tertinggi!

4. Pendidikan dalam bahasa Melayu bukan penyebab pengangguran, tetapi keadaan ekonomi negara dan sikap majikan yang memandang serong dan berprasangka buruk serta memilih bangsa menjadi penyebab utama. Lagi pun sikap kaum elit kita yang mahu mengekalkan budaya berbahasa Inggeris (tidak seperti elit di negara maju dan di bebrapa buah negara jiran kita) patut dipersalahkan juga.

5. Mata pelajaran Sains dan lebih-lebih lagi Matematik Sekolah adalah dua mata pelajaran yang terakhir yang menjanjikan seseorang pelajar dapat memperbaiki kefasihannya berbahasa (Inggeris). PengInggerisan dua mata pelajaran ini hanya menjanjikan “Yang dikendong berciciran dan yang dikejar tidak dapat.” Yang pasti adalah kelemahan pelajar dalam dua mata pelajaran ini yang selama ini sentiasa menjadi isu, tidak akan bertambah baik di samping munculnya pelbagai masalah dan kerenah baru lagi. Kajian tentang hubungan bahasa ibunda atau kemahiran bahasa sebagai faktor pencapaian dalam mata pelajaran sains dan matematik memang banyak dan semuanya menunjukkan pembelajaran dalam bahasa sendiri ada advantejnya, dan kemahiran dalam sesuatu bahasa lain pula dapat memperbaiki pencapaian sains dan matematik.

6. Pendidikan dalam bahasa Melayu tidak memundurkan atau merugikan sesiapa pun: Pendidikan dalam bahasa nasional terbukti di negara-negara maju itu tidak merugikan negara tersebut. Oleh itu andaian pihak yang berpendapat pendidikan dalam bahasa nasional Malaysia adalah merugikan dan memundurkan orang Melayu adalah tidak berasaskan ilmu, tetapi berasaskan emosi semata-mata. Selama ini pun kita telah membuktikan kemajuan negara kita ini dicapai menerusi sumbangan ratus ribuan mereka yang berpendidikan dalam aliran kebangsaan sekurang-kurangnya sehingga SPM (dengan Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu!)

Dengan ini, kami benar-benar berharap kerajaan dapat mempertimbangakan semula dengan penuh hikmahnya agar tidak melaksanakan dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam Sains dan Matematik Sekolah seperti yang telah diputuskan itu. Sebaliknya kami menggesa kerajaan supaya meningkatkan lagi dengan berganda-gandanya usaha untuk memperbaiki sumber, prasarana dan kaedah pengajaran bahasa Inggeris sehingga mencapai tahap maksimumnya, tetapi menerusi pendidikan matapelajaran ahasa Inggeris itu sendiri.

Ditandatangani oleh para Profesor SAKTI berikut:

Prof. A. Rahman A. Jamal (Perubatan). KP: 601211-01-6269
Prof. Abd Rahim Shamsudin (Geologi). KP: 500812-04-5273
Prof. Abdul Jalil Abdu Kader (Mikrobiologi) KP: 500922-07-5107
Prof. Dato’ Abdul Latif Mohamad (Botani). KP: 480630-03-5183
Prof. Abdul Razak Hamdan (Teknologi Maklumat): KP: 540205-01-5853
Prof. Dato’ Abdul Razak Salleh (Matematik). KP: 480602-10-5965
Prof. Abdul Salam Babji (Sains Makanan). KP: 481203-07-5177
Prof. Abu Osman Md Tap (Matematik). KP: 500415-01-5433
Prof. Ainoon Othman (Perubatan). KP: 520923-03-5236
Prof. Alias Kamis (Biosains). KP: 4200992
Prof. Aminah Abdullah (Sains Makanan). KP: 501010-03-5094
Prof. Azimahtol Hawariyah Lope Pihie (Biosains). KP: 4272780
Prof. Aziz Bidin (Sains Sekitaran). KP: 490411-04-5057
Prof. Aziz Deraman (Teknologi Maklumat): KP.591108-11-5043
Prof. Baharudin Yatim (Fizik Tenaga). KP: 460811-05-5193
Prof. Basir Jasin (Geologi). KP: 3430834
Prof. Bohari Mohd Yamin (Kimia). KP: 3405038
Prof. Che Husna Azhari (Kejuruteraan). KP: 551108-03-5020
Prof. Faridah Habib Shah (Genetik).
Prof. Halimah Bdioze Zaman (Teknologi Maklumat). KP: 4673083
Prof. Hamid Lazan (Botani). KP: 2287477
Prof. Hamzah Mohamed (Geologi). KP: 510503-08-560
Prof. Hassan Basri (Kejuruteraan). KP: 600702-01-5733
Prof. Hatta Shaharom (Perubatan). KP: 520709-01-5373
Prof. Ibrahim Abdullah (Kimia). KP: 490511-02-5491
Prof. Ibrahim Abu Talib (Fizik). KP: 521127-04-5147
Prof. Ibarahim Komoo (Geologi). KP: 520912-01-5483
Prof. Ikram Mohd Said (Kimia). KP: 480819-05-5073
Prof. Ismail Sahid (Sains Sekitaran). KP: 511005-07-5269
Prof. Jaafar Sahari (Kejuteraan). KP: 550916-10-6179
Prof. Jamaludin Mohame (Bioperubatan). K.P: 570324-06-5543
Prof. Kamarudin Mohd Yusof (Kejuruteraan). KP: 510927-06-5097
Prof. Kamaruzzaman Sopian (Kejuruteraan). KP: 620404085491
Prof. Karis Misiran (Perubatan). KP: 4493167
Prof. Kasmiran Jumari (Kejuruteraan). KP: 520522-01-5541
Prof. Dato’ Khalid Yusof (Perubatan).
Prof. Khalijah Mohd Salleh (Pendidikan Fizik).
Prof. Lim Swee Cheng (Fizik Teori). KP: 470826-01-5273
Prof. Mahani Mansor Clyde (Sains Sekitaran). KP: 510211-06-5032
Prof. Masbah Omar (Perubatan). KP: 4078415
Prof. Md. Pauzi Abdullah (Kimia). KP: 510208-03-5203
Prof. Mohammmed Yusoff (Teknologi Maklumat): KP. 3821920
Prof. Mohd. Azman Abu Bakar (Bioperubatan). KP: 520222-10-5035
Prof. Mohd Ismail Noor (Pemakanan). KP: 491015-10-5419
Prof. Mohd Nordin Hassan (Sains Sekitaran). KP: 470210-10-5377
Prof. Mohd Salleh Mohd Said (Entoologi). KP: 470204715283
Prof. Mohd Yusof Othman (Fizik Tenaga). KP: 520812-02-5131
Prof. Mokhtar Abdullah (Statistik). KP: 560223-03-5119
Prof. Muhamad Yahya (Fizik Pepjal). KP: 470901075111
Prof. Muhammad Mat Salleh (Fizik Pepejal). KP: 490111-03-5009
Prof. Nik Aziz Sulaiman (Perubatan). KP: 451022-03-5187
Prof. Noraini Tamin (Sains Sekitaran). KP: 490620-10-5976
Prof. Normah Mohd Noor (Bioteknologi). KP: 540618-07-5272
Prof. Othman Ross (Sains Laut). KP: 480218-11-5173
Prof. Othman Omar (Biosains Molekul). KP: 1513291
Prof. Paden Morat (Bioperubatan). KP. 4380233
Prof. Rohani Ahmad (Botani). KP: 4380233
Prof. Roslan Abd. Shukor (Fizik Semikonduktor). KP: 610927055049
Prof. Sallehuddin Sulaiman (Bioperubatan). KP: 470721-10-5141
Prof. Shahabuddin Shaari (Kejuruteraan). KP. 560313-02-5459
Prof. Shaharir Mohamad Zain (Matematik). KP: 1969665
Prof. Shahrim Ahmad (Fizik). KP: 600215025627
Prof. Syed Muhamed Aljunid Syed Junid (Perubatan). KP: 590820025573
Prof. Tg Mohd. Tg Sembok (Teknologi aklumat): KP 4478636
Prof. Wan Ramli Wan Daud (Kejuruteraan). KP: 551227-07-5447
Prof. Zainal Abidin Abu Hassan (Zoologi). KP: 500325-04-5575
Prof. Zainon Mohd Ali (Botani). KP: 4430101
Prof. Zubaid Akbar Mukhtar Ahmad (Sains Sekitaran). KP: 571109-10-5623

Prof. Shaharir Mohamad Zain
Presiden
Akademi Sains Islam Malaysia

September 2002 (Jamadilakhir 1423)