ASEAN Tourism Fair 2006 dianjurkan oleh ASEAN-Japan Centre yang berpusat di Tokyo,Jepun. ASEAN-Japan Centre ditubuhkan pada tahun 1981 untuk meningkatkan kerjasama di antara negara Jepun dengan negara-negara Asia Tenggara di dalam bidang pelaburan,perdagangan dan pelancongan.
ASEAN Tourism Fair pula antara objektifnya mendekatkan masyarakat Jepun dengan budaya negara-negara Asia Tenggara. Ini juga bertujuan menggalakkan supaya rakyat Jepun melancong ke negara-negara ini dengan siri promosi tahunan sebegini yang mendapat bantuan dan penajaan banyak pihak di Jepun. Pada tahun ini,terdapat sepuluh negara ASEAN yang menyertai Ekspo Pelancongan ini;antaranya Singapura,Cambodia, Indonesia, Thailand, Filifina, Laos,Brunai, Malaysia, Vietnam dan Myanmar.
Setiap negara dikehendaki menghantar lima peserta di dalam delegasi negara masing-masing. Seorang ketua kumpulan (daripada badan pelancongan negara masing-masing) ,seorang demonstrator dan tiga orang peserta bahagian persembahan.
Acara pada tahun ini diadakan di Sapporo di Kepulauan Hokkaido di utara Jepun.Diadakan dari 28 September sehingga 3 Oktober iaitu selama enam hari. Jadual delegasi Malaysia sudah bermula pada hari puasa pertama 24 September iaitu penerbangan ke Tokyo pada jam 8:55 malam. Setiba di Lapangan Terbang Narita jam 7 pagi waktu tempatan pada hari Isnin 25 September,kami dibawa ke Hotel Haneda Tokyu.Perjalanan selama sejam. Hotel ini terletak di dalam lapangan terbang Haneda - lapangan terbang untuk penerbangan di dalam negeri.Bagasi kami sudah dihantar dengan penerbangan lain ke Sappro untuk menyenangkan peserta.Cuma tinggal lagi barang-barang lain yang ingin dibawa ke dalam pesawat.
Keesokan harinya,Selasa (26 September) kami menaiki penerbangan All Nippon Airways (ANA) pada jam 1:50 petang untuk ke Sapporo.Perjalanan memakan masa selama satu jam 20 minit. Setelah tiba di lapangan terbang Shin-Chitose di Sapporo,kami di bawa dengan bas bersama delegasi negara lain ke Sapporo Grand Hotel yang terletak di dalam bandar Sapporo. Perjalanan selama satu jam dan tiba ketika sudah hampir berbuka.
Waktu berbuka adalah pada lingkungan 5:24 petang. Waktu terbit matahari di sini adalah pada jam 5:30 pagi. Cuaca di Sapporo lebih sejuk daripada Tokyo. Kebiasaannya 17 darjah selsius dan boleh mencecah serendah 9 darjah selsius. Setelah memakai winter jacket pun masih dirasakan sejuk lagi.Ini ditambah dengan deruan angin yang bertiup. Tidak kira siang atau malam,kami tidak memasang alat penghawa dingin di hotel kerana tanpa penghawa dingin pun sudah sejuk dan tidur mesti memakai selimut yang tebal.Ini mungkin perubahan cuaca kerana mereka akan berdepan dengan musim salji penghujung Oktober.
Rabu 27 September bermulanya proses membuat persiapan untuk pentas dan tempat pameran (booth). Jam 3 petang,kami menghadiri mesyuarat dengan badan penganjur di Tokyu Department Store iaitu tempat berlangsungnya pameran ini.Jarak tempat ini hanya lebih kurang lima hingga sepuluh minit berjalan kaki daripada hotel.
Malamnya kami diminta membuat persiapan di tempat pameran di tingkat 9.Pada malam itu kami sempat membuat 'sound check' dan nampaknya juruteknik amat memahami keperluan kami.(Tidak seperti di Taiwan yang tidak ada kelengkapan sistem bunyi selepas lima hari) Kami diberikan 4 unit microphone berjenama Shure. Nampaknya hanya Malaysia dan Laos yang membuat persembahan secara 'live'. Ini kerana peserta dari negara-negara lain menghantar barisan penari yang diiringi CD. Peserta Laos menggunakan instrumen buluh yang seakan-akan 'sumpoton'(instrume n ethnik Sabah) tetapi lebih bervariasi dan kedengaran seperti harmonika.Satu lagi instrumennya adalah seakan-akan instrumen erhu atau rebab(Pada hari terakhir Azmi dan Norman sempat jamming bersama di belakang pentas dan dirakamkan ke dalam video).
Pagi 28 September adalah acara pembukaan pada jam 9:20 pagi.Kami diminta berkumpul di lobi hotel pada jam 8:30 pagi dan akan bersama-sama dengan penterjemah kami ,Kaji Junko yang akan membawa kami ke tempat berlangsungnya acara. Di sini,mereka memang menepati waktu. Awal-awal lagi kami diingatkan supaya menyingkirkan budaya 'tidak apa,lambat satu minit je!' yang sering diamalkan orang Malaysia(Maknanya jika 8:30 pagi,kita mesti lebih awal)
Upacara perasmian berlangsung dengan kehadiran tetamu-tetamu kenamaan.Terdapat juga duta-duta negara terlibat.Tidak kelihatan wakil dari Malaysia.Majlis ini mendapat promosi yang meluas dari media di Jepun sama ada media cetak atau elektronik (Malangnya sekali lagi kami hanya diberitahu tetapi tidak dapat menonton berita tersebut kerana terlepas siaran)
Kami membuat persembahan pembukaan di tingkat bawah di pentas berdekatan pintu masuk pusat membeli belah Tokyu pada jam 10:30 pagi. Terasa kedinginan cuaca yang mencucuk ke dalam rongga badan. Kami memulakan lagu dengan sebuah lagu bertajuk Al Baladi (Negeriku-lagu Mesir),diikuti lagu Si Dia Datang ciptaan Allahyarham Fadzil Ahmad pada tahun 60an.
Sepanjang acara ini berlangsung kami melihat betapa masyarakat Jepun menghargai lagu-lagu yang dipersembahkan. Bukan sahaja daripada Malaysia tetapi juga daripada negara-negara lain.Mereka akan bertepuk tangan dan menggoyangkan badan dengan irama yang dimainkan.Mereka adalah khalayak yang 'appreciative' . Mereka bernyanyi dan bertepuk tangan bersama kami ketika kami mengalunkan melodi lagu dendangan asal Kyu Sakamoto,Ui Muite Aruko atau lebih dikenali sebagai Sukiyaki. Dua hari terakhir di sana kami mengakhiri persembahan kami dengan Sukiyaki.
Setiap kali persembahan adalah selama sepuluh minit dan kami mengadakan tiga sesi persembahan sehari di pentas masuk dan juga di tempat pameran di tingkat 9 Tokyu Deparment Store.
Kami juga dapat melihat persembahan daripada negara-negara lain ;antaranya tarian Apsara dari Cambodia yang amat mirip pergerakannya dengan Mak Yong,tarian Indonesia yang dibahagikan kepada tiga iaitu tarian gamelan Jawa Barat,Bali dan Acheh serta persembahan dari negara-negara lain.
Kami juga sempat membuat kolaborasi dengan delegasi Brunai sebanyak tiga kali.Kami mendendangkan lagu zapin iaitu Pantun Budi. Azmi yang bertindak sebagai penyanyi (dipaksa dengan pisau belati -atas ketiadaan Mohsen) selain bermain rebana berduet dengan penyanyi dari Brunai,Nana dan diiringi oleh dua orang penari Brunai.Hasilnya memberangsangkan. Ketika Brunai membuat persembahan kami diminta membawa penonton ke pentas untuk berjoget.Nampaknya hanya Azmi yang mempunyai lenggok menari yang baik(walau pun tidak pernah menari di Malaysia).Kata beliau,"Kalau kat Malaysia ni,haram aku tak menari!".Kata Norman pula,"Ini kalau Mohsen ada ni,mesti haru!Kalau Along ada lagi gila!ha!ha!( Persembahan ini dirakamkan ke dalam video dan amat kelakar!)
Pengacara majlis di sini amat suka bercakap.Entah apa yang dituturkan kami pun tidak tahu kerana semuanya di dalam bahasa Jepun.Mujurlah ada penterjemah kami Kaji Junko yang fasih berbahasa Melayu.Dialah yang menerangkan apa-apa bicara MC tersebut. Antaranya kumpulan Dewangga Sakti mempunyai tujuh orang anggota tetapi hanya tiga orang sahaja yang terlibat,dua orang belum kahwin,ada menghasilkan album (kalau nak beli datang ke Malaysia) dan lain-lain lagi.MC juga menerangkan tentang instrumen yang dimainkan seperti gambus, rebana dan violin.
Tetapi yang pastinya satu skandal telah berlaku. MC meminati Azmi di dalam diam-diam.Kami pasti beberapa kali selepas mengadakan persembahan, dia akan mengatakan "Azmi, I like your smile' di depan khalayak penonton.Itu sahajalah bahasa Inggeris yang dituturkan.Dan ada satu lagi....ini lagi kelakar.Entah mana dia belajar(mungkin dari penterjemah) dia mengatakan kepada Azmi di penutup persembahan kami ,"Saya cinta padamu" ha!ha!ha!Kami tidak dapat menahan ketawa lagi.Di atas pentas itu juga kami berdekah-dekah ketawa.Nasib baik kami tidak berguling-guling.
Konnichiwa
Akan disambung semula...banyak lagi catatan yang akan menyusul dan juga foto-foto di sana
Akan disambung semula...banyak lagi catatan yang akan menyusul dan juga foto-foto di sana
No comments:
Post a Comment