Tuesday, October 28, 2008

Kedai Kopi Hai Peng






6 Oktober lepas menjadi satu hari yang bersejarah di dalam diari kehidupanku.Selama puluhan tahun melalui pekan koboi Kemaman(g) tidak pernah membuatkan aku ingin mengunjungi satu kedai yang telah wujud sejak tahun 1940 lagi.Aku selalu membaca di dalam suratkhabar,majalah,blog dan juga cerita kawan-kawan akan keenakan roti bakar dan kopi buatan sendiri kedai ini. Kadang-kadang sebagai rakyat negeri kaya rakyat miskin ini,aku malu kerana masih belum merasai keenakan pelbagai hidangan di kedai ini.
Ya! Kedai Kopi Hai Peng boleh dimasukkan di dalam peta pelancongan negeri Terengganu sebagai satu destinasi yang wajib dilawati. Aku tak dapat menerangkan lagi keseronokan di dalam diri tatkala meneguk dua cawan kopi dan dua set roti bakar yang sedap di situ.Ini ditambah lagi dua biji telur separuh masak.
Kawan-kawan memberitahu,nasi lemak dan hidangan lain juga sedap tetapi terlalu laris dan aku pula sampai ke sana sejam sebelum kedai ditutup jam enam petang.
Walaupun dimiliki oleh orang cina,ramai pekerjanya berbangsa Melayu.
Ketika aku sampai ,di meja luar kelihatan tujuh atau lapan orang sedang berbual mesra sambil menikmati makanan.Aku tidak dapat membezakan yang mana matanya bulat atau pun sepet kerana perbualan mereka yang begitu mesra.
Hiasan dalamannya amat menarik.Banyak perkakas lama yang diletakkan sebagai perhiasan.
Apa yang aku boleh beritahu,aku sekarang sudah boleh melupakan semua roti bakar dan kopi yang aku nikmati sebelum ini!
Bos! Kasi order satu!ha ha
Nota: No telefon kedai Kopi Hai Peng-09-8597810

Pagi yang Indah di kesultanan


Hari ini aku rasa sungguh bertuah.Semasa aku tiba ke LRT,tidak ramai yang menaiki LRT pagi ini. Pakcik guard yang menjaga LRT di Taman melati memberitahu ramai yang tak pergi kerja hari ini sebab sejak dia bertugas 6 pagi tadi,tak ramai yang naik LRT.
Fuh! Magis!
LRT juga terasa laju pada hari ini. Aku bertambah terkejut bila melihat gerabak sudah ditambah.Bagus untuk mengelakkan kesesakan.
Alangkah seronoknya bila perjalanan semakin laju dan aku tiba ke KLCC hanya dalam masa lima minit.Tidak seperti kebiasaannya lima belas minit.Macam naik bullet train!
Tiba-tiba Syamsulfaiz menelefon dari Dubai.
"Tuan Terutama,duit kumpulan sudah dimasukkan.Bulan ni hanya USD500.00 sahaja boleh dimasukkan sebab aku nak bayar sewa rumah.Mahal gila wo!"
USD500.00? Lebih kurang RM1,650.00. Kami hanya minta RM500.00.Jadi,kita boleh bayangkan gaji diterima Tokeyunta di Dubai.
Aku sampai di pejabat lebih awal.Paling awal pada tahun ini kerana LRT sudah semakin laju.Setelah membuka PC,aku memasang lagu Dead Can Dance ,album Into the Labyrinth yang berhantu itu.
Tiba-tiba Syamsulfaiz menelefon lagi.
"Tuan,semua album dead Can Dance aku sudah beli utk dihantar ke alamat kau. Begitu juga album Ummi Kalthoum."
Aku hairan seolah-olah Tokeyunta ini sudah dapat membaca fikiranku.Ini sudah baik.
"Bos, gambus banyak jual di sini.Aku survey dulu mana yang bagus",demikian Syamsulfaiz berbicara lagi seolah-olah tahu apa yang bermain di fikiranku.
Di dalam perbualan telefon yang memakan masa setengah jam itu,beliau memberitahu rancangannya untuk pergi menonton konsert Opeth di sana Mac tahun depan dan hasratnya untuk memperkenalkan permainan kompang (berkepak) di sana.

Thursday, October 23, 2008

Nostalgia PJ

Hujan lebat petang semalam hampir mematahkan semangatku untuk datang awal ke PJ untuk satu acara hari raya yang perlu kami hadiri dan membuat persembahan. Setelah setengah jalan ke KLCC,payung yang kupakai hampir terbang.Maka aku terpaksa mencari perlindungan di bangunan berdekatan sebelum destinasi ke LRT KLCC.
Aku meneruskan perjalanan ke stesyen LRT kebanggaan rakyat Malaysia. Seperti biasa, LRT tergendala. Duit dua billion dijimatkan subsidi dua tahun lepas setelah harga minyak dinaikkan 30sen yang khabarnya akan digunakan untuk pengangkutan awam tidak nampak dimanfaatkan ke arah pembaikan LRT.Aku kecewa seperti setiap hari berdepan dengan masalah LRT dan kesesakan yang timbul akibat sistemnya yang tidak efisyen.
Oh! Kita lupakan dulu masalah yang tidak selesai ini kerana kita masyarakat dunia ketiga. Selalunya kita sibuk berpolitik dan tidak mengendahkan kebajikan rakyat dan ekonomi negara.
Mohsen menunggu aku di LRT Universiti dengan kereta untuk ke tempat persembahan.
Kali ini destinasi kami di Menara Merais,Seksyen 17,Petaling Jaya. Ada undangan daripada sebuah syarikat untuk jamuan hari raya dan Deepavali yang bakal menjelang. Apa yang lebih mengujakan aku adalah Seksyen 17,PJ adalah tempat aku belajar selama dua tahun (96-98) sebelum berpindah ke kampus UIA di Kesultanan Gombak.
Tempat persembahan hanya sepuluh minit (agaknya) kalau berjalan kaki daripada kampus (sekarang Pusat Asasi UIAM). Ia terletak di hujung bulatan Seksyen 17,setelah melalui Sin Chew Jit Poh. Betul-betul di depan bulatan. Sahabat kami,Cohong pasti mengingati tempat ini.Daripada bulatan tersebut ,kita boleh pergi ke Seksyen 14 di sebelah kiri dan Seksyen 2 di sebelah kanan.
Betul-betul di tempat makan di luar kampus (kami panggil blok P--terdiri daripada flat empat tingkat) telah bangun sebuah pusat membeli belah dikenali sebagai Jaya One. Yang aku tahu ada Supermarket Jaya di Seksyen 14. Masih adakah bangunan ini?
Kedai motor di sebelah UIA juga jika tidaksilap masuk dalam filem Gila Gila Remaja.Begitu juga KFC di Seksyen 14.Di sini banyak kilang-kilang. Dulu ke Seksyen 14 hanya dengan berjalan kaki.Mahu pergi OneUtama juga senang kerana ada bas Intrakota yang melalui jalan ini.
Bas Mini pula nombor 12. Satu kejadian tidak dapat dilupakan pada tahun 96 selepas matrikulasi(masuk main camp) ketika minggu taaruf,aku telah terjatuh ke dalam longkang ketika ingin menaiki bas mini di sini.
PJ dulu aku rasa amat hebat dan bila berpindah ke Gombak terasa amat jauh untuk ke KL. Ketika di PJ,aku bermain gig buat kali pertama di Seremban dan ramai rakan-rakan telah turun memberikan sokongan dengan menaiki bas dan komuter. Kami pergi menaiki kereta tetapi aku pun tak tahu kereta siapa dan siapa yang memandunya.
Berbalik kepada persembahan malam tadi,kami bermain daripada jam 7:45 malam dan berakhir jam 9 malam. Persembahan seperti gameshow. Banyak interaksi di antara Mohsen serta ahli kumpulan dan juga tetamu yang hadir. Ada cabutan bertuah, joget untuk kanak-kanak dan nyanyian lagu rasa sayang untuk orang dewasa.
Kami main pun langsung tidak tertekan kerana dibuat di dalam pejabat. Walaupun bunyi ala kadar sahaja tetapi memuaskan dan kami gembira. Kelihatan tetamu pun menyanyi bersama.
Kami bereenam malam tadi. Hanya Wah yun Kua tidak kelihatan kerana sibuk dengan peperiksaan semester akhir. Jejaka bergaya dari Pulau Mutiara juga turun dengan semangat berkobar-kobar membawa akordian.
Ketika ini,semua ahli kumpulan merindukan Abg Syam nun jauh di Dubai. (Jangan lupa masukkan elaun kumpulan pada bulan ini untuk mengelakkan keahlian anda ditamatkan!)

Tuesday, October 21, 2008

Suasana baru

Jangan terkejut dengan suasana baru blog kerana ianya sedang dikemaskini sempena semangat Ramadhan dan juga Syawal yang masih ada. Suasana senja ini sesuai dengan dunia kita yang sudah tua(mcm senikata Tangan Merentas Samudera tulisan Mohsen beberapa tahun lepas sesudah peristiwa tsunami-belum rakam pun lagu ni!).Aku pun sebenarnya tak tahu apa yang aku buat ni.Pakai letak sahaja dulu template ni dan kemudiaan perbaiki apa yang patut.ha ha
Ada beberapa widget di tepi yang hilang dan akan dinaikkan semula terutama chatbox, blogroll dll.
Sebenarnya ada beberapa isu kebelakangan ini yang menyebabkan aku sedikit lembab mengemaskini blog. Persembahan selepas hari raya ni boleh tahan juga.Sudah tiga persembahan setakat ini-MDEC, Rumah Solehah,Brahim's.Tapi ketiga-tiga ni aku tak sempat nak kemaskini di sini. Tetapi tuan-tuan semua boleh baca di blog Mohsen yang sekarang aktif memblogkan diri.
Aku rasa esok lusa aku nak tulis pasal Kedai Kopi Hai Peng yang kaw gila di Kemamam. Sekarang aku sudah boleh melupakan semua roti bakar yang aku makan sebelum ini. Selamat tinggal kopitiam yang lain! Ops!Tunggu dulu...Kemaman tu bukankah di negeri kaya rakyat miskin ? :)
Apa-apa pun rock n roll !
Nota: Blog ni sudah tiga tahun.Mula ditulis 12 oktober 2005!

Friday, October 17, 2008

Nada dering haram

Minggu lepas,ketika melayari ruang siber aku telah terjumpa sebuah laman web berpusat di Singapura dan menjual ring tone (nada dering) Dewangga Sakti. Empat nada dering Dewangga Sakti telah dijual dengan harga RM4/ SD3 setiap satu. Alangkah gembiranya hati kami kerana akhirnya nada dering Dewangga Sakti telah mula dijual.
Opps! Kenapa ini berlaku? Penerbitan Lewat Senja & Dewangga Sakti tidak pernah memberikan persetujuan kepada mana-mana pihak untuk proses penjualan kandungan digital seperti nada dering ini. Kami tidak pernah menandatangani apa-apa perjanjian dengan mana-mana pihak!
Namun begitu,beberapa bulan lepas, terdapat pihak yang berminat untuk memasarkan produk kami secara digital tetapi sehingga sekarang ,urusan itu masih belum berlaku atas sebab kesulitan masa di pihak beliau. Jadi,ini pasti pihak yang lain.
Peguam kami yang juga Tokeyunta sudah ke Dubai. Lantas,sahabat lama Cohong,seorang peguam kuhubungi. Dia memberikan beberapa langkah yang perlu diambil. Aku terus menghantar emel kepada syarikat berkenaan untuk bertanyakan hal demikian.Setelah seminggu,tiada lagi jawapan aku menghantar emel kedua. Jika mereka tidak membalasnya,kami fikir inilah masanya kami boleh jadi jutawan unta dan membina studio canggih di Kesultanan Gombak. Saman mungkin pilihan terakhir.Tetapi jika itu hanya pilihan,kami bersedia.
Link boleh dilihat di sini.
Di dalam perkembangan yang sama,dua stesyen TV juga menyiarkan lagu-lagu Dewangga Sakti di dalam dokumentari terbitan mereka. Terbaru ketika hari raya ketiga tempohari.Satu perkembangan positif. Adalah lebih afdhal dan berhemah jika mereka dapat menghubungi kami meminta kebenaran dan menawarkan kami slot persembahan.Bukankah di sleeve Cd terdapat peringatan seperti ini -Hakcipta terpelihara.Sebarang peniruan,penyalinan dan rakaman semula tanpa kebenaran adalah dilarang!
Tidak begitu? :)

Tuesday, October 14, 2008

Tan Sri Datuk Burung Belatuk kena ketuk

Orang politik selalu melakukan perkara luar jangkaan dan merendahkan daya pemikiran mereka.Orang politik (selalunya di negara dunia ketiga) terdorong melakukan perkara-perkara dungu tidak membantu perkembangan intelek dan pembangunan minda masyarakatnya.
Lagu Belayar ke Pulau Jauh (Untuk Mencipta rekod dunia) juga secara asasnya bersifat politikal dan pembikinannya terdorong oleh kecetekan minda dan budaya pesta-pestaan ini.
Bagaimanakah mereka yang berkuasa daripada airmata rakyat ini bermati-matian ingin menganugerahkan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk kepada hero Bollywood idola ramai pemimpin negara?
ha ha ha ha ha ha ha ha ha ha ha ha ha ha ha ha ha ha ha ha ha ha
Lawak betul lah!
Paloi!

Friday, October 10, 2008

Betul-betul tertinggal kapal!


Berita gempar!
Syamsulfaiz telah tertinggal kapal terbang ke Dubai pada malam tadi. Dia menyangka 23:59 adalah jam 12:59 tengah malam.Walhal penerbangan pada jam 11:59malam(23:59). Kena bayar semula tiket.Nasib baik hanya penalti RM300 lebih.
Baru sahaja di entri semalam kami mengingatkan beliau supaya jangan tertinggal kapal. Irwan yang berada di Pulau Mutiara menghantar sms yang berbunyi 'masih belum berubah!' ,yakni merujuk kepada tatacara Syamsulfaiz.
Lebih memburukkan keadaan,dia telah menghadapi masalah di pemeriksaan Imigresen kerana passportnya akan tamat lima bulan lagi.Jadi,pagi ini dia telah pergi memperbaharui passport beliau.
Memang seperti lagu Tertinggal Kapal Angkasa, watak Pak Abdul akhirnya secara mutlak milik Syamsulfaiz! ha ha ha
Baca catatan beliau di sini
Nota: Sesiapa yang mempunyai idea karikatur Pak Abdul di dalam lagu tersebut,boleh lah menghantarnya kepada kami di sini. Karikatur ini akan diletakkan di CD akan datang dan juga t shirt.

Thursday, October 09, 2008

Selamat terbang dengan selamat!


Lagu-lagu raya baru dan lama kedengaran semakin memualkan.
Tambah membosankan bila anggota kami yang juga badut kumpulan, Syamsulfaiz akan terbang ke Dubai pada malam ini untuk bekerja di sana (sekurang-kurangnya selama dua tahun).Tempoh dua tahun mungkin tidak lama. Dengan kecanggihan teknologi ,perhubungan akan menjadi lebih cepat. Kita ada blog,facebook dsbnya.
Tetapi jenaka dan lawaknya tidak akan dapat dinikmati lagi di depan mata.Bagi aku yang telah 14 tahun bersama dengan dia adalah amat menyedihkan untuk tidak lagi mempunyai sesi minum teh sambil mengusap-usap kucing parsi Smokey milik beliau.
Mungkin juga dia akan terus menetap terus di Dubai. Dengan gaji yang amat lumayan,tidak mustahil dia akan menetap lebih lama dan membina empayar di sana. Tambahan beliau boleh berbahasa Arab dengan baik.
Sementara itu, Selera Makan Benjamin telah diserahkan pemilikan (sementara) kepada Wah Yun Kua. Kereta Vios pula khabarnya akan jadi harta (sementara) kumpulan. Kumpulan juga lega kerana terdapat elaun bulanan yang diberikan sebagai duit kopi ( bahasa teknikalnya rasuah) supaya beliau terus diberikan tempat sebagai pemain bass selepas pulang dari Dubai nanti. Itu pun kalau dia pulang...
Jadi, kepada pembaca blog dan penggemar Dewangga Sakti,marilah kita bersama-sama mendoakan saudara Syamsul yang kami kasihi dipermudahkan perjalanan dan tiba di Dubai dengan selamat. Mari kita telefon dan sms 019 358 63 58 kerana selepas hari ini nombor ini tidak lagi beroperasi. Mari kita semua!
Kita kasi dia menangis!!!

Ahli-ahli kumpulan mengucapkan selamat terbang (Jangan tertinggal kapal pula!) dan jangan memanggil penari gelek ke studio apartmen anda nanti! :)

Nota gambar : bersama Syamsul (berbaju hijau ) di Chengdu,China setahun sebelum gempa bumi