Wednesday, December 05, 2007

Jiwa terbang bersama koto

Aku mendengar bunyi piano, gitar, violin dan cello di konsert itu. Tetapi semua instrumen ini tidak muncul di atas pentas.Bunyi ini muncul daripada instrumen koto yang dimainkan dengan pelbagai teknik.
Pemuzik koto ini didatangkan khas dari Jepun oleh Japan Foundation Kuala Lumpur. Pemuzik terbaik daripada Sawai Sokyoku-in(Sawai Koto Academy of Music) yang membentuk Sawai Koto Orchestra. Akademi ini ditubuhkan pada tahun 1965 oleh Tadao Sawai dan isterinya Kazue Sawai.Kini ia diketuai oleh anak mereka Hikaru Sawai.
Akademi ini merupakan di antara sekolah muzik koto terbaik dari Jepun dan banyak membuat eksperimen kepada instrumen ini di samping mengekalkan keaslian dan keunikannya. Sekolah ini terbuka kepada jenis muzik baru, teknik permainan yang inovatif dan kepelbagaian bunyi yang dapat disaksikan pada malam tersebut.
Koto merupakan instrumen tradisional Jepun yang asalnya dibawa daripada China 1500 tahun yang lalu.Koto akhirnya dipopularkan oleh komposer/guru Yatsuhashi Kengyo yang merubah permainan koto yang asalnya di istana dan menjadi instrumen rakyat jelata.(instrumen yang mempunyai persamaan dengan koto seperti guzheng-China,gayagem-Korea dan dan tranh-Vietnam).
Koto mempunyai 13 tali dan pada malam itu mereka juga membawa koto 17 tali.Ia dimainkan dengan cara memetik menggunakan ibu jari,jari telunjuk dan jari tengah.Pemetik yang dilekatkan di tangan asalnya menggunakan gading gajah dan sekarang banyak menggunakan plastik yang lebih senang didapati.Panjang koto lebih kurang 180 sentimeter.
Lagu pertama yang mereka persembahkan dan hanya dimainkan secara solo oleh Sawai Kazue adalah lagu klasik koto yang dicipta oleh insan yang bertanggungjawab merevolusikan instrumen ini iaitu Yatsuhashi Kengyo (1614-1685) . Beliau adalah pemain shamisen buta yang mempelajarinya daripada pemuzik istana,Hosui dan menyalahi peraturan melarang koto diajar kepada orang buta (dan wanita). Dengan pengalaman ini,beliau membuat inovasi supaya koto lebih mudah dipelajari secara lebih meluas oleh rakyat kebanyakan. Tajuk lagu pertama ini 'Rokudan' yang bermaksud enam langkah -dibahagikan kepada enam seksyen.Tahun insan genius ini meninggal adalah pada tahun yang sama Johann Sebastian Bach dan George Friedrich Handel dilahirkan.
Lagu kedua 'Genka' menampakkan eksperimen yang dilakukan mereka. Genka bermaksud bermain koto dan menyanyi pada masa yang sama, tetapi lagu ini tiada vokal (seperti juga lagu-lagu lain) dan bahagian nyanyiannya dilakukan oleh koto 17 tali.Pada kali ini,kita akan dapat melihat kepelbagaian bunyi yang dihasilkan oleh koto.Adakalanya berbunyi seperti piano,gitar,violin dsbnya.
Lagu ketiga menampilkan shakuhachi dimainkan oleh Motonaga Hiromu iaitu seruling buluh Jepun yang dimainkan seperti recorder. Saiznya adalah 1.8kaki (lebih kurang 55 sentimeter). Shakuhachi bermaksud 1.8kaki--juga merujuk kepada saiznya.Memang jatuh cinta mendengar alunan shakuhachi ini kerana duetnya bersama Sawai Hikaru (koto 17 tali) sungguh membuai perasaan. 'Dosei' -lagu ketiga ini membawa maksud dua suara berbeza yang datang dari bumi iaitu koto( kayu) dan shakuhachi (buluh). Disebabkan kedua-dua datang daripada latar belakang yang pelbagai (kedua-duanya pernah dan masih bermain dengan kumpulan rock),maka eksperimennya menampakkan kecenderungan mereka yang cuba memecah tembok kreativiti dan terbang bebas bereksperimen. Aku dapat rasakan aura rock n roll di dalam lagu ini.
Selepas berhenti rehat selama 15 minit,mereka kembali dengan lagu keempat. Masih lagi duet koto dan shakuhachi.Koto kali ini dimainkan oleh Sawai Kazue dan shakuhachi masih lagi dimainkan Motonaga.Jogen no Kyoku mengimbau kenangan silam masyarakat Jepun yang terpesona dengan misteri bulan dan bersembahyang ke arahnya.
Bila tiba lagu kelima,aku sudah rasa mahu terbang ke gunung Fuji kerana tiupan shakuhachinya amat menyentuh perasaan.Kali ini shakuhachi diiringi oleh empat orang pemain koto( daripada 10 orang) dan lagu yang dimainkan adalah lagu P Ramlee iaitu Dimanakan kucari ganti serta Getaran Jiwa.Ahh! Terasa melayang-layang terbang ke suralaya.Pening kepala terasa sembuh.Kulihat Norman di sebelahku ternganga mulutnya dan dimasuki roti(bukan lalat).Sungguh hebat.
Dan lagu terakhir 'Futatsu no Gun no Tameni' adalah sebenar-benar eksperimen yang menakjubkan.Mereka mempelbagaikan teknik dan menghasilkan lagu yang unik.Tidak tahu apa lagi mahu kukatakan!
Sepuluh jari tangan untuk mereka!
Setelah selesai,MC mempersilakan penonton untuk ke pentas merasai sendiri cara bermain koto.Kami tidak melepaskan peluang dan bertemu Motonaga dan Sawai Hikaru. Motonaga juga memberikan penerangan tentang shakuhachi dan cara-cara bermainnya.Mereka betul-betul pemuzik yang merendah diri dan gemar berkongsi ilmu.
Kerana tidak tahan dengan persembahan ini,kami datang semula keesokan harinya.Kali ini aku membawa isteri dan anakku yang menyambut ulangtahun kelahiran yang pertama (sebagai hadiah 'birthday'.Moga selepas ini dia akan bermain piano).
Satu lagi fakta - persembahan ini PERCUMA!

2 comments:

Iskandar Syah Ismail aka DR Bubbles said...

hehehe...kalaulah ada hari ke-3, silap-silap ada orang itu dah tukar citizenship jadi orang jepun!

Ultra man main koto pun satu idea menarik jadi skrip!

Dewangga Sakti said...

Kalaulah ada hari ketiga!
Dan orang itu tidak membeli katil...
he he