Monday, December 17, 2007

Psikologi banjir

Keluarga pengantin lelaki sudah bersiap sedia hendak berangkat dengan beberapa buah kereta yang akan membawa mereka ke negeri jelapang padi,Kedah Darul Aman. Hujan sudah beberapa hari turun tidak berhenti.Tiada tanda-tanda akan reda. Tetapi janji mesti dikotakan. Majlis yang sudah dirancang sejak beberapa bulan lalu tidak boleh ditangguh lagi.
Masa dan tarikh sudah ditetapkan. Negeri Kedah menjadi destinasi. Beberapa ratus kilometer mesti diredahi untuk tiba. Bukankah mereka berjanji ‘ lautan api sama direnangi’. Pastinya ini hanya satu cabaran biasa.
Sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa. Semua jalan-jalan yang ingin mereka lalui supaya dapat keluar daripada negeri miskin yang kaya dengan hasil minyak ini ditutup kepada kenderaan kerana air telah melimpah ke jalan raya. Tiada jalan alternatif lagi yang dapat dilalui.
Keluarga pengantin buntu.
Akhirnya satu pelan diambil. Pengantin lelaki dan bapa pengantin akan menaiki kapal terbang untuk ke sana. Sudah tentu rombongan yang lain tidak dapat turut serta kerana tambang kapal terbang bukannya seperti bas ekspress atau perkhidmatan LRT. Mereka juga tidak memohon bantuan daripada kerajaan negeri kerana apa gila ada peruntukan sebegini daripada negeri yang kaya hasil minyak ini.
Setibanya di sana majlis berlangsung seperti dijadualkan. Cakap-cakap kedengaran tentang ketidakhadiran kaum kelurga pengantin lelaki yang lain. Pada fikiran mereka perkara ini adalah tidak logik dan mendatangkan kemusykilan kenapa mereka tidak dapat hadir. Logik akal mereka tidak dapat menerima dengan alasan munasabah pengantin iaitu mereka ini terperangkap dengan banjir.
Beberapa bulan selepas itu,dengan izin Allah SWT, banjir yang amat hebat telah melanda Kedah dan Perlis. Satu banjir berskala besar yang tidak pernah difikirkan oleh mereka dan mungkin sebilangan besarnya tidak pernah berhadapan dengan musibah sebegini seumur hidup mereka.
Mungkin hanya selepas itu, keluarga pengantin perempuan dapat menerima hakikat apa yang berlangsung beberapa bulan sebelum itu.
Mungkin juga mereka dapat memahami psikologi masyarakat yang sudah sejak zaman berzaman menghadapi musim tengkujuh sehinggakan kita sudah menganjurkan Piala Monsun yang pastinya bukan untuk rakyat tempatan.
(Untuk memahami keadaan musim tengkujuh- hujan turun tidak berhenti-henti selama beberapa hari. Seminggu atau hampir sebulan. Ada ketikanya panas seketika dan ibu-ibu bergegas menghantar kain ke jemuran hanya menyaksikan hujan turun semula sepuluh minit kemudian. Di samping itu,atap bocor-bocor dan keadaan rumah dipenuhi air. Makan,berehat dan tidur dipenuhi air.Bagi petani,penoreh getah dan yang seangkatan dengannya tidak dapat melakukan pekerjaan dan mengurangkan punca pendapatan mereka.Itu belum lagi jika dikehendaki berpindah akibat banjir)

1 comment:

Anonymous said...

Musim Tengkujuh, hari tu ketika aku berada di rumah mentua di Oya Sarawak, barulah aku merasa bagaimana hari-hari berlalu dengan hujan lebat yang tidak berhenti-henti. Inilah pengalaman aku berada di tempat yang mengalami tengkujuh. Memang banyak air...padanlah Begawan Solo pun boleh melimpah