Monday, December 31, 2007

Ronggeng di Saloma



Dewangga Sakti mengakhiri kalendar persembahan pada tahun ini di Saloma Bistro. Sebuah majlis perkahwinan paling artistik pernah kami hadiri dan terlibat menjayakan persembahan. Bila pertama kali Datuk Syed Ahmad Jamal dan isterinya bertanyakan jadual kami untuk persembahan, tanpa berlengah lagi kami mengatakan setuju. Tambahan pula anak kedua beliau adalah teman kami ketika di universiti dahulu.
Majlis ini adalah untuk anak sulung beliau(daripada dua beradik) ,Syed Nabil yang bertemu jodoh dengan gadis Inggeris. Syed Nabil ketika ini menetap dan bekerja di UK. Bertepatan dengan status Datuk Syed Ahmad Jamal sebagai Seniman Negara, rekacorak dan hiasan di majlis ini amat artistik. Konsep pentas pelamin yang anggun menerbitkan sinar pelangi yang terhasil daripada gabungan pelbagai warna. Menurut Datuk , corak dan hiasan majlis ini adalah ilhamnya yang berdasarkan keindahan Gunung Ledang,imej yang banyak tampil dalam karya-karya lukisannya yang boleh mencecah ratusan ribu ringgit harganya.
Seminggu sebelum persembahan ,vokalis utama iaitu Mohsen tidak dapat turut serta atas urusan pertahanan negara di Tasik Pedu. Buntu fikiran kami memikirkannya kerana majlis perkahwinan tanpa penyanyi ibarat makanan tidak cukup rasa.
Tanpa berlengah lagi,aku menelefon seorang sahabat baik sejak zaman kampus. Walaupun biasa menyanyi sejak zaman persekolahan dan banyak membuat rakaman album serta pertunjukan tetapi beliau tidak pernah menyanyikan lagu-lagu tradisional kerana genre nyanyian beliau yang berbeza. Tetapi aku yakin dengan latihan dan bakat yang ada, semua boleh beres. Lagipun,kami mempunyai tukang sebat algojo jika buat kesilapan ketika latihan ( Mr Syamsul). Satu kesilapan bermakna satu sebatan!
Ternyata hanya dengan tiga kali sahaja latihan ,beliau dapat mengikuti rentak orang gila Kesultanan Gombak.
Soundcheck berjalan lancar.Tidak seperti kali pertama kami bermain di sini pada tahun lepas ketika perkahwinan seorang selebriti popular. Pada masa itu soundman tidak memahami dan banyak gangguan teknikal berlaku ketika persembahan.Ketika menyanyi microfon tidak berbunyi. Banyak microfon lain juga ketika itu bermasalah. (Soundman agaknya sibuk memerhatikan selebriti majalah yang datang memperagakan fesyen terbaru ketika majlis tersebut)
Kali ini semuanya lancar. Soundcheck kami lakukan daripada jam 4:30 petang sehingga 6:15petang. Alhamdulillah,Soundman memahami keperluan kami. Selepas solat asar, kami menjamu selera dengan hidangan enak yang disediakan pada jam 6:30 petang. Syamsul makan dengan agak banyak. Norman menjaga perut supaya violinnya berbunyi gemersik (teori baru hubungan perut dan violin). Yang lain-lain makan dengan kadar sederhana supaya tidak mengantuk ketika persembahan.
Jam 8:10 malam kami mula mengadakan persembahan ketika tetamu datang memenuhi dewan. Lagu-lagu instrumental didendangkan.
Ketibaan kedua mempelai disambut meriah dengan cak lempong. Setibanya di pintu masuk dewan, kami mengalunkan selawat yang dimulai oleh petikan gambus.
Ketika makan adalah bahagian paling menggembirakan kerana keseronokan sudah mula terasa. Ya Salam,Dia Datang,Yaladan,zapin Budi dimainkan. Begitu juga lagu wajib ciptaan sendiri Belayar Ke Pulau Jauh. Tidak ketinggalan lagu Aladom. MC kali ini adalah sahabat kami iaitu Fazli Ibrahim yang membaca sajak di dalam bahasa Minang dengan penuh bergaya.
Selepas ucapan daripada bapa pengantin yang agak mencuit hati, kami memainkan lagu Allahyarham Fadzil Ahmad yang pernah digam radio suatu ketika dahulu iaitu Malam Pengantin. Kali ini buat pertama kali,Abdul Raof menyanyi sambil bermain perkusi(darbuka). Menggigil juga mukanya (ha ha). ternyata nyanyiannya tidak mengecewakan. Kami takut juga beliau naik syeikh menyanyikan lagu ini seperti yang terjadi ketika latihan sehinggakan kami terpaksa merenjis air mawar ke muka beliau.Sepuluh jari tangan tabik untuk beliau dengan senikata lagu yang mengusik para hadirin.
Majlis tamat bila ibubapa pengantin mengiringi Menteri Luar,Dato' Seri Syed Hamid Albar pulang bersama isteri, dimeriahkan dengan sebuah lagu joget sukaramai iaitu,Joget Johor Sport Kelab.
Sementara tetamu keluar, kami bermain beberapa lagu lagi ,antaranya Mabok Kepayang(setelah melihat panda steak) dan sebuah lagu baru ciptaan kami berentak joget dan flamenco(kununnya!) bertajuk Joget Spanco Angkasa (tajuk belum muktamad—lagu mengenai keseronokan dapat ke angkasa tetapi minda masih terjajah!).Kami akhiri persembahan dengan lagu yang mencetuskan polemik beberapa bulan yang lalu iaitu Rasa Sayang Eh yang kami mainkan di dalam beberapa key yang berlainan dan dinyanyikan secara sumbang.
Lega rasanya sudah tamat. Rasa penat betul.Bila melihat pelamin yang cantik kami terus mengambil gambar untuk diabadikan.
Jam sudah hampir 12 tengah malam.
Tiba-tiba MC memberitahu ibubapa pengantin meminta kami memainkan lagu secara unplugged di luar dewan khas untuk keluarga dan rakan-rakan seniman mereka. Kelihatan di situ Raja Ahmad Aminullah, U-Wei, Raja Azhar,Dr Zakaria Ali dan ramai lagi.
Kami terus memainkan lagu Joget johor Sport Kelab, Joget Spanco Angkasa dan Zapin Ya Salam. Mereka tidak dapat tahan lagi terus ke depan.Ibubapa pengantin,beberapa teman mereka terus ke depan berjoget dan berzapin. Pasangan pengantin juga turut sama memeriahkannya.Syamsul ingin berjoget tetapi malu-malu kerana takut kemahirannya berjoget diketahui umum.
Terasa kepuasan di hati kedua-dua ibubapa pengantin kerana majlis telah tamat dengan sempurna.
Kami pun gembira dan meraikannya dengan makan di McD ( Selera Makan Benjamin tutup awal pada hari ini)
Lupa mahu beritahu,penyanyi jemputan kami kali ini adalah Sariman daripada kumpulan nasyid(!) Nowseeheart (Man! Nasihat kan lagi senang?he he)
Semua tetamu yg hadir diberikan skrol. Di dalam skrol tersebut terdapat sebuah lukisan Datuk Syed Ahmad Jamal.(Yeah! Boleh framekan!)
Gambar satu: Bersama pengantin
Gambar dua: Sariman menerangkan tentang projek baru yang ingin dicadangkan kepada Syamsul.Syamsul nampaknya kurang bersetuju.Sementara itu, Irwan dengan selamba menghabiskan makanan mereka yang sibuk berbincang
Malam Pengantin
(Lagu dan lirik oleh Fadzil Ahmad)


Memang seronok pengantin baru
Masuk ke kamar kuncikan pintu
(Ulang dua kali)
Orang lah lain tak boleh lah tahu
Hanyalah dia hai saja yang tahu
(Ulang dua kali)

Interlude

Memang seronok pengantin baru
Malam pertama malu-malu
(Ulang dua kali)
Malam kedua padamkan lampu
Malam ketiga hai tak boleh tahu
(Ulang dua kali)

Interlude

Riwayat bujang berakhir sudah
Malam pertama kenangan indah
(Ulang dua kali)
Walau sekejap tak boleh berpisah
Pagi dan petang hai rambutnya basah
(Ulang dua kali)

Interlude

Memang seronok pengantin baru
Bertentang muka malu-malu
(Ulang dua kali)
Lambat rasanya siang berlalu
Menunggu malam hai masuk beradu
(Ulang dua kali)

Tamat

1 comment:

Unknown said...

salam...
izinkan saya kongsi lirik lagu ni di blog saya...
jika kelapangn,jom la singgah ke blog saya yer....
http://musicakustiqa.blogspot.com