Thursday, August 30, 2007

Merdeka?

Ini malam merdeka
Aku tidak ke mana-mana
Sebab aku belum merdeka!
he he he
Sebabnya aku belum dapat memiliki panda dan kucing parsi
Tidak seperti Syamsul
yang kemas bergaya
dengan kucing parsi beli (bukan curi)
Bulan lepas kucing parsi imigran datang ke rumahnya
Dia jaga dan bela macam kucing sendiri
Setelah sebulan dia membelanya dengan penuh kasih sayang
Kucing itu diambil jiran sebelah
"ini kucing kami!",itu kata jirannya
Syamsul amat sedih dan merana
Air mata bercucuran macam hujan
Aku kata," Siapa suruh kucing itu datang ke rumah kamu?"
Dua minggu dia fikir-fikir macam Rausyanfikir
Akhirnya minggu lepas dia beli kucing baru
Kucing Parsi!Diulangi !Kucing parsi!
Kenapa Parsi?
Kucing syiah kah?
Bukan kucing arab ?
atau kucing Asia?
atau kucing kurap?
kena tinggal tepi jalan?
Hidup Kucing Parsi!
Selamatkan kucing-kucing di tepi jalan dan berhampiran rumah anda!

Mega Fam Pelancongan Malaysia

"Macam mimpi aku dapat jumpa Joey semula,"Syamsul menyuarakan isi hatinya ketika makan. Ketika itu kami baru sahaja selesai mengadakan persembahan sempena Promosi Mega Fam yang dikendalikan Pelancongan Malaysia di Hotel Crowne Plaza Mutiara, Jalan Sultan Ismail. Program ini dihadiri Menteri Pelancongan dan delegasi dari 46 buah negara luar.
" Aku ingat sudah tidak ada peluang berjumpa lagi,"sambung Syamsul lagi.
Oh ya!Joey adalah pengurus Restoran Gingko di Chengdu,China yang bertanggungjawab menguruskan kumpulan kami ketika di Chengdu April lepas dan dia ke sini di atas undangan pihak Pelancongan. Jangan salah sangka dengan Syamsul kerana dia hanya terkejut dengan kehadiran bekas pengurus kami. Tiada hubungan sulit di antara mereka.
Persembahan berjalan lancar selama satu jam untuk acara makan tengahari. Kami hanya bermain secara instrumental sahaja kerana Mohsen mempunyai urusan di Pantai Timur menguruskan sebuah kapal selam mewah yang dibeli oleh pihak kumpulan. Bosan juga sebenarnya bermain instrumental sahaja. Kalau selama 15 minit tiada masalah.Ini kerana tiada orang yang akan berceloteh dan bercakap-cakap dengan para hadirin.
MOHSEN! Kami perlukan anda! Pulanglah setelah urusan pembelian selesai!Pulanglah..........

Monday, August 27, 2007

Belayar ke Pulau Jauh

‘Belayar ke Pulau Jauh’

Kesan bunyi –bunyi ombak dan angin di permulaan lagu

Verse /Chorus
Sauh diangkat tanda nahkoda sudah sedia untuk belayar. Awak-awak kapal seramai tiga puluh orang melihat dengan syahdu tanah daratan yang menyimpan banyak kenangan.Mereka akan memulakan pelayaran ke laut yang penuh misteri. Laut dengan ombak penuh gelora menyimpan semacam misteri kepada para pelayar ini.
Pelayaran bermula. Walaupun resah dan gundah gulana, hati mereka dihiburkan dengan menyanyi dan mencipta pantun,seloka dan bergurindam dengan deruan angin dan bunyian ombak yang mencipta irama tersendiri. Nun di langit, mentari memancarkan sinar yang terang benderang.
Suasana riang dengan gelak ketawa.
Sesungguhnya sedikit pun mereka tidak menyangka langit yang cerah hanya satu petanda.
Interlude -kesan bunyi (guruh)
Tiba-tiba seekor jerung raksasa melibaskan ekornya kepada badan kapal mengakibatkannya terumbang-ambing. Nahkoda mengarahkan awak-awak kapal melawan dengan melancarkan serangan melalui panah yang tersedia. Jerung semakin ganas dan mengangkat kapal hingga hampir tenggelam ke dalam lautan. Mereka tidak berputus asa. Panahan demi panahan dihujani yang mensasarkan mata dan badan jerung itu.
Tindakan mereka tidak meninggalkan kesan kepada jerung itu. Panah tidak mampu membunuh jerung.Melukakannya pun tidak.
Di saat kapal hampir tenggelam ,satu sinar seperti pelangi terbit dari langit dan memancarkan cahaya ke arah kapal. Satu peristiwa ajaib berlaku. Tujuh orang pari-pari terbang dari kayangan dan mengangkat mereka ke suatu tempat di antara langit dan bumi.
“Siapakah tuan puteri jelita?’
“Beta adalah puteri yang bersemayam di suralaya”
“Kenapakah tuan puteri menyelamatkan kami?”
“Untuk mengingatkanmu akan tanggungjawab sebenar yang seharusnya kamu lakukan kepada nusa dan bangsa”
“Ini pengorbanan kami kepada tanahair kami”
“Bukan begini caranya. Apakah tujuanmu belayar?”
“Untuk mencipta rekod dunia!”
“Nah! Kamu ingin mencipta rekod dengan menghabiskan perbendaharaan negerimu tanpa satu tujuan yang jelas. Kembalilah kamu semua ke negerimu sebelum beta sumpah kamu semua menjadi panda!”
Ha ha ha
Kembali ke verse/chorus
Bergembira dan kembali belayar dengan tekad baru.
Ketibaan disambut paluan kompang dan upacara memotong pulut kuning.

Mari mencipta rekod dunia

Alangkah…alahai gembiranya hati
Dapat mencipta rekod dunia
Dipandang tinggi hebat sekali
Kaki tak mencecah bumi

Oh ho ho ho
Ingin ku memetik bintang
Mencapai awan gemawan
Bersantai di planet indah
Berdendang lagu bulan

Alangkah senangnya Pak Dolmat
Melihat anaknya mencipta rekod dunia
Oh dunia

Gerangan apakah datangnya bencana
Ribut apakah yang melanda
Hancur berkecai
Porak poranda alam semesta

Oh ho ho ho
Masihkah bermimpi lagi
Mengejar yang tak pasti

Wednesday, August 22, 2007

Nuriku terhempas di Janda Baik

Dewangga Sakti sudah memulakan proses rakaman untuk EP mereka yang bakal dinamakan 'Mabok Kepayang' dan akan mengandungi empat buah lagu.EP ini akan diikuti oleh sebuah album penuh pada tahun hadapan.
Rakaman sudah dimulakan di studio PurpleSound milik saudara Ariff Akhir yang juga aktif sebagai singer/songwriter di dalam sirkit muzik indie sekitar ibu kota. Di antara album yang pernah dirakam di studio beliau adalah album penyanyi folk teman baik kami,Meor (Yang terlintas di fikiran), Sohaimi Mior Hassan (album baru -comeback!akan keluar bulan ini) dan banyak lagi lagu artis lain yang tidak popular di arus perdana tetapi mempunyai stail dan citarasa tinggi melebihi ketinggian KLCC.
Lagu yang telah dirakamkan setakat ini adalah Selembar Kaseh dan Belayar ke Pulau Jauh. Lagu ini hanya di peringkat asas dan banyak aspek lagi perlu diambil kira sebelum melalui adunan akhir untuk melepasi kriteria yang ditetapkan pihak kesultanan. Lagu Mabok Kepayang tidak akan dimasukkan ke dalam EP ini.Sebab musababnya akan diberitahu di dalam entri menjelang Merdeka nanti. Hanya semangatnya akan mewarnai keseluruhan penerbitan EP ini.
Dengan ini,semua rakaman pada tahun lepas dilupuskan penerbitannya dan diisytiharkan sebagai unreleased materials (demo).Antara lagu yang dirakam pada tahun lepas adalah Mabok Kepayang, Selembar Kaseh,Kembali Mencari dan lagu klasik Zapin Yaladan. Selain itu terdapat versi demo lagu Malaysia Tanahairku, Sungai Pusu (Suara dari hutan).Mungkin akan dikeluarkan sebagai edisi terhad untuk teman-teman terdekat.
Terkini: EP ini kemungkinan besar akan bertukar kepada LP! Album penuh--kerana kami sudah bosan menunggu! he he

Mari makan Cornflakes!

Dewangga Sakti telah membuat persembahan sempena pelancaran rancangan Riang Ria Raya Nestle yang diterbitkan oleh syarikat PepperMedia di Dewan Serbaguna,Sri Pentas TV3.Rancangan yang sudah masuk musim keenam ini akan ditayangkan mulai 2 September ini di TV3 jam 11.30 pagi. Sudah tentu rancangan ini bakal menyerikan suasana menjelang hari raya dengan resepi kegemaran daripada Cornflakes.
Lagu yang dimainkan adalah lagu tema rancangan tersebut dan lagu raya sukaramai 80an iaitu Suasana Hari Raya (Anuar dan Elina).
Terima kasih kepada Kak Iswati dan warga kerja PepperMedia yang memberikan peluang kepada kami dan atas kerjasama yang diberikan. Juga kepada pihak Nestle yang sentiasa mengeluarkan produk bermutu untuk rakyat Malaysia.
Di akhir program,setiap orang mendapat satu hamper Nestle yang mengandungi banyak produk Nestle yang sedap-sedap!Nyam nyam!
Mari makan Cornflakes dan minum susu Nestle!
Anggota terlibat adalah Zul-gambus, Norman-violin,Irwan-gitar,Raof-rebana dan Mohsen -bass(menggantikan Syamsul yang sedang mengail ikan di Miri,Sarawak). Azman (gitar) tidak dapat turut serta atas urusan keluarga.

Monday, August 20, 2007

Minda kelas ketiga

Sejak awal kami tidak menaruh harapan yang tinggi kepada program ini. Sekadar membuat persembahan dan mencari khalayak baru (mungkin...).
Kami tiba ke tempat kejadian lebih kurang jam 10 pagi(ada yang lebih awal seperti Mohsen yang memasang sistem bunyi). Persembahan yang pada awalnya dijadualkan pada jam 12-12.15 tengahari diubah ke jam 11 pagi. Rupa-rupanya jam 12 tengahari juga barulah persembahan kami bermula. Ia bermula dengan satu bencana...
Nun di pentas utama berdentum bunyi pembesar suara membuat ujian bunyi.Kemudian mereka membuat raptai persembahan dengan berlatarbelakangkan lagu Krakatao,sebuah kumpulan jazz Indonesia yang menggabungkan permainan gamelan ke dalam muzik mereka. (Adakah lagu ini menerangkan tentang persembahan mereka?tanyalah panda!)
Di masa yang sama di tepi khemah(canopy) tempat kami akan mengadakan persembahan terdapat beberapa lagi sistem bunyi yang beroperasi di khemah-khemah yang lain yang berdekatan tidak melebihi 20 kaki atau lebih dekat.
Cuba bayangkan begini.Anda masuk ke satu tempat dan mendengar lagu tradisional,hip hop, moden,dangdut dsbnya di dalam satu masa yang sama daripada pelbagai sumber bunyi yang berbeza.
Kesudahannya kami cuba juga bermain dengan gangguan bunyi daripada segenap segi yang membingitkan terutamanya daripada pentas utama.Selepas tiga atau empat lagu,kami berhenti dengan penuh kesedihan sebagai rakyat Malaysia berdaulat.
Sepatutnya persembahan dibuat susunan yang teratur supaya tidak kucar kacir.Katakan jam 11-11.30 pagi di khemah nombor satu,semua sistem bunyi yang lain hendaklah ditutup untuk mengelakkan percanggahan bunyi.Jadi,khalayak boleh lah menyaksikan persembahan yang diadakan contohnya seni beladiri,tarian,dll.
Program ini adalah program Karnival Rakan Muda peringkat Wilayah Persekutuan.
Apakah ini yang dapat diberikan oleh pihak berwajib untuk mengangkat martabat golongan muda supaya lebih berwawasan?
Nota: Oh ya! Pemain rebana kami tidak dapat bersama untuk program ini. Kami amat berbesar hati diserikan oleh permainan perkusi daripada teman kami dari UIAM, Wahyun!

Tuesday, August 07, 2007

Joget Sungai Pusu -Jamming Akbar 2

Kami kembali bermain di UIA atas undangan Dr Iqbal untuk penutup AIKOL Book Fair 2007. Sebenarnya kami pun tidak tahu ada pameran buku pada minggu lepas. Undangan daripada Dr Iqbal memang dinantikan kerana keseronokan membuat persembahan di tempat terbuka dan di dalam keadaan santai. Lagipun tempat jatuh lagi dikenang,inikan pula tempat menimba ilmu.
Kami sebenarnya tiba lewat kerana terikat dengan komitmen lain di studio rakaman dan juga hal-hal lain. Kehadiran penonton kali ini lebih ramai daripada yang lepas.Mungkin promosinya lebih meluas.
Kali ini Azman,teman lama kami di kampus dahulu turut menyertai kami yang telah kehilangan gitaris iaitu Irwan yang telah berpindah ke Pulau Pinang untuk kehidupan yang lebih baik dengan menyertai perkhidmatan awam. Beliau baru sahaja bertugas Isnin lepas dan pulang ke Kuala Lumpur untuk persembahan ini dan juga merakamkan track gitar untuk rakaman dan aktiviti kepandaan yang lain.
Mulanya kami tidak mahu bermain Si Dia Datang tetapi atas permintaan Dr Iqbal,lagu itu dimainkan. Lagu-lagu yang telah dimainkan adalah lagu ciptaan kami iaitu Mabok Kepayang, Selembar Kaseh dan Belayar ke Pulau Jauh. Selain itu lagu joget dan Jikalau Berkasih daripada Ramli Sarip yang dinyanyikan oleh anggota baru,Azman.
“Eh! Kau punya gitar kecil tidak berbunyi! Cuba check microphone!”,kata Dr Iqbal kepada Azman.
Oh ya! Azman memainkan ukulele yang baru dibeli Mohsen dengan eksperimen yang masih ‘raw’. Dia akan bermain gitar selepas ini dan mungkin setelah melalui kuliah permainan ukulele daripada Master Along ,barulah dia akan bermain ukulele pula. Satu lagi ,dia pun baru sehari membeli kamera digital SLR berharga lebih RM3,000.(mahal tu! Mana duit dia dapat hah?)
Kelihatan Raja Ahmad yang lebih mesra kami panggil Pak Engku di kerusi penonton bersama anak-anaknya. Juga teman baru kami,Colin aka Khalid yang rancak berbual tentang muzik selepas selesai acara. Oh ya!Amuzzy yang selalu hantar mesej di chatbox juga datang.(Terima kasih di atas sokongan!)
Selepas persembahan,kami ke Restoran Al Makan di Jln Gombak,berdekatan Ong Tai Kim. Restoran ini telah menjadi restoran rasmi kumpulan sejak mendapat tahu perkhidmatannya memuaskan. Mereka juga bakal menaja sarapan pagi bassist,En Syamsul selama sebulan kerana mempopularkan tempat ini kepada pengunjung luar kawasan Gombak. Lebih kurang jam 2 pagi, pemain perkusi kami Raof tiba setelah pulang daripada kerja. Kali ini dia tidak dapat bermain bersama kerana urusan kerja,hanya Azmi yang bermain perkusi.

Entri ini ditulis dengan perasaan sedih kerana kami kehilangan gitaris yang berbakat besar.
Blog tidak akan dikemaskini selama seminggu sebagai menghormati beliau yang memulakan tugas sebagai pegawai kerajaan yang berhemah tinggi, berbudi pekerti mulia dan tidak sesekali mendekatkan diri kepada racun masyarakat iaitu rasuah! Hidup Malaysia! he he