Thursday, November 27, 2008

Selamat hari lahir,Datuk!


Tiga puluh tahun yang lalu pada tarikh ini telah lahir seorang insan yang akhirnya berjaya dianugerahkan gelaran Datuk pada minggu lepas oleh sebuah negeri di atas sumbangan beliau di dalam bidang sosial,sukan dan sahsiah diri.
Aku diperkenalkan kepada insan ini yang namanya banyak digunakan di Iran dan Pakistan (juga sebuah filem yang namanya sama tetapi ejaan berlainan) lebih kurang hampir sepuluh tahun yang lalu oleh seorang sahabat yang di dalam namanya terkandung nama Arab dan Inggeris.
Lapan tahun yang lepas, ketika bulan sedang mengambang penuh di langit kesultanan, kami telah mengadakan perbincangan serius untuk mewujudkan sebuah kumpulan tradisional berpaksikan gamelan. Bulan-bulan awal menyaksikan idea itu hanya berlegar di dalam fikiran dan kertas-kertas A4 serta contengan di dinding.
Kali pertama kami menghasilkan lagu bertajuk Inderapura di bilik gamelan yang tinggi (tiada lif untuk mengangkut instrumen ke bawah),angin kuat telah menyapa pertapaan kami di bilik tersebut ketika Gong agung dipalu. Pekin yang dimainkan segera diberhentikan. Tanpa alamat dan petanda, angin tiba-tiba sahaja menerpa membuatkan kami berhenti sejenak.
Kali ini bila kuingat, tiba-tiba memori tentang pekin,saron,bonang, gambang datang kembali. Sudah lama juga kami tidak bereksperimen membuang 'angin' yang datang dalam diri. Mungkinkah ada sinar kami akan bereksperimen kembali?
Selamat hari lahir, Datuk!
Nota: Kami masih menunggu hadiah dan elaun dari Dubai.

Wednesday, November 26, 2008

Bass lagi

Bercerita tentang pemain bass kami lagi,Tokeyunta yang sudah berhijrah itu. Aku tidak dapat menolak untuk memperkatakan tentang tokeyunta (dan dhab) tersebut. Ini kerana sejak zaman aku di arena muzik berat, beliaulah yang mencorakkan permainan bass untuk kami (bermula tahun 94). Jadi,segala maki hamun dan kata-kata pujian sudah lali di telinga kami berdua.
Di dalam empat kembara muzikal kami ke luar negara, dirasakan trip kami ke Chengdu yang menyimpan banyak nostalgia. Selain bertemu panda dan melawat banyak tempat menarik,kami juga bertemu sebuah kafe buku bernama BookWorm Cafe yang mempunyai lebih 6,000 buah buku.Selain itu, sosok tokeyunta sebagai maskot yang terlibat sama amat menceriakan keadaan.
Di dalam satu insiden ketika membeli belah, Tokeyunta telah menerima panggilan telefon," Aku di China lah!",kata Tokeyunta dengan bangga menjawab telefon tersebut.
Kemudian,tokeyunta ketawa.
Kenapa? Sebabnya jawapan daripada pemanggil seperti ini ," Aku pun dekat China!". ha ha ha
Itu rupa-rupanya panggilan daripada Norman yang berada di dalam jarak tidak sampai 100 meter persegi daripada kami.
Maklumlah,nama tidak keluar di skrin kerana nombornya jadi berlainan. (Tokeyunta baru sahaja mahu membangga diri). ;)

Tuesday, November 25, 2008

Bass

Bila kita biasa bermain dengan pemain bass, kita akan rasa kekurangan bila dentuman bass itu tiada. Walaupun,kita ada tujuh orang yang lain memainkan pelbagai instrumen, kekosongan akan terasa pada awal-awal latihan. Jika kita melihat set-up kumpulan-kumpulan tradisional lama ,mereka langsung tidak mempunyai pemain bass. Biasanya yang ada empat instrumen - akordian, rebana, violin dan mungkin gong. Mereka bermain tiga atau empat orang sahaja.
Hasilnya? Walaupun tidak mempunyai pemain bass, instrumen lain bijak memainkan peranan menutup kekosongan tersebut dengan mempelbagaikan corak dan variasi permainan. menghasilkan bunyi yang hebat. Atau memang tiada kekosongan kerana mereka memang tidak memikirkan langsung tentang bunyi bass tersebut. Di dalam muzik ghazal pula, perkusi seperti tabla yang mempunyai bunyi bass dan treble akan membuatkan bunyi muzik itu menjadi padu. Rebana juga boleh bertindak begitu meski mempunyai tone berbeza.
Di dalam banyak acara-acara di luar negara dan di sini, kami juga agak terbiasa dengan ketiadaan bass kerana kuota dan sebab-sebab lain.
Di dalam situasi kami sekarang, Tokeyunta sudah berhijrah ke Dubai menyebabkan kami tidak mempunyai pemain bass untuk masa sekarang. Jadi, kami perlu lebih kreatif untuk memainkan muzik dengan tidak memikirkan sangat tentang pemain bass (untuk tempoh hijrah tokeyunta selama dua tahun).

Tuesday, November 18, 2008

Cek punya cerita

Sehari sebelum Tokeyunta berhijrah ke Dubai, kami mendapat undangan mengadakan persembahan sempena Aidil Fitri di sebuah hotel di tengah-tengah bandaraya ini. Kami bermain banyak set. Agak-agak dalam lima atau set persembahan dengan penampilan persembahan lain dengan pengacaranya amat popular di tanahair tercinta.Ada juga penyanyi daripada program realiti yang tersilap lagu semasa menyanyi. Minus one lagu lain tidak seperti yang diumumkan oleh pengacara. Maka kucar kacir lah persembahannya. Ditambah lagi dengan suara penyanyi asal di dalam minus one itu yang menenggelamkan suaranya.
(Kami pun sebenarnya tidak kenal siapa yang menyanyi sebab kami tidak mengikuti program realiti tersebut dan namanya pun jarang keluar di dalam suratkhabar gosip)
Rehat di antara set adakalanya amat panjang. Sebelum dua set terakhir kami berhenti rehat selama dua jam lebih. Bila banyak kali berhenti,tumpuan sudah menjadi pudar.Bila orang besar (VVIP) datang,aturcara berubah lagi kerana orang besar ini memerlukan wanita cantik jelita yang menari-nari untuk halwa mata dan telinga.
Kami pun bermain dengan jayanya selepas itu dan menamatkan persembahan dengan rasa penuh kepenatan. Alhamdulillah, bayaran diselesaikan dengan cheque selepas itu.
Seminggu berlalu, Azman Jan menerima satu surat daripada bank. Sangka beliau, satu pemberitahuan bonus atau dividen kerana simpanannya yang cemerlang. Ajaibnya,cheque itu sebenarnya ditendang oleh pihak bank!
Sehingga sekarang masih belum selesai.
Oleh itu,marilah kita sama-sama nyanyikan lagu ini ,"Apa guna berjanji,kalau tak ditepati" (ehsan P Ramlee) . La la la

Tuesday, November 11, 2008

Ronggeng Pak Abdul


Diam-diam ubi,jinak-jinak panda! Pak Abdul atau Tokeyunta yang telah tertinggal kapal terbang dan lari ke Dubai telah mempunyai perniagaan 'cover line' di Bandaraya bersejarah.

Berikut ringkasannya - Pak Abdul akhirnya terbangun daripada tidur yang panjang (sila rujuk lagu tertinggal kapal angkasa). Beliau bertekad tidak mahu lambat lagi dan mengamalkan disiplin dan budaya kerja yang cemerlang. Akhirnya syarikat dan perniagaannya semakin berkembang maju seiring dengan kemajuan seluruh pelusuk bumi. Beliau tidak lagi menghabiskan duit untuk perkara yang tidak berfaedah.

Ronggeng Pak Abdul
Songkoknya jatuh
Seluarnya koyak
Capalnya putus
hey hey hey