Monday, August 24, 2009

Hanyut di Sungai Pahang


"Abg rasa ahli-ahli politik ni berhenti berpolitik sekejap. Suruh mereka main muzik pulak. Anwar ada band, Nik Aziz pun ada band", begitu kata Roslan Madun ketika kami berbual disambut deraian ketawa oleh ahli kumpulan.
Ketika itu,kami baru habis mengadakan latihan bersama beliau untuk sebuah persembahan keesokan harinya. Mungkin sosok tubuhnya kita tak begitu kenali, tetapi lagu-lagu dendangannya banyak menjadi topik perbincangan dan kajian seperti Lemak Manis, Menghilir di Sungai Pahang, Tebang Tebu, Burung kenek-kenek, Wau wau pepeh dan banyak lagi. Banyak lagu-lagu ini hasil gubahannya bersama seorang lagi pengkaji muzik rakyat Pahang , Ariffin Said.
Bermula tiga puluh tahun lalu, beliau hanya suka-suka mengikut Ariffin Said. Daripada suka-suka menambahkan minat yang amat mendalam kepada beliau.
Kami sedang seronok berbual tiba-tiba Abdul Raof bertanya, " Bang, esok pakai baju apa? "
(Cis! potong stim betul lah Pak Abdul ni!)
Soalan tidak dijawab. Kami meneruskan perbualan.
"Lagu-lagu rakyat ni tak boleh terlalu sempurna. Dia mesti ada kotor sikit-sikit " , tambah beliau memberitahu inspirasi dan seterusnya proses pengumpulan lagu-lagu di dalam album beliau. Lagu-lagu rakyat ini diambil di merata tempat di Pahang. Ada juga hasil asli gubahannya sendiri. Pencipta lagu rakyat dahulukala adalah penglipur lara yang mahir pelbagai perkara. Setelah penat bercerita,mereka akan bergurindam,berpantun, menyanyi dan juga perkara-perkara lain.
Beliau juga memberitahu proses mencari lagu juga amat sukar kerana ada lagu-lagu yang tidak diingati lagi oleh orang-orang tua yang beliau temui. Maksudnya ada yang tidak lengkap. Proses dokumentasi tidak ada,hanya melalui tradisi lisan.
Sebelum itu kami sempat berlatih tiga lagu bersama beliau - Lemak Manis, Indung indung dan Menghilir Sungai Pahang. Lemak Manis kami biasa mainkan. Dua lagu lagi itu hanya dimainkan ketika latihan bersama beliau. Ternyata suaranya amat memukau dan alatan muzik menjadi sampingan sahaja.
Keesokan harinya kami memeriahkan acara pelancaran filem terbaru U-Wei Hj Shaari bertajuk Hanyut (berdasarkan novel Joseph Conrad - Almayer's Folly) di sebuah restoran di Jalan Aman, Restoran Basil Leaves. Selesai pelancaran, kami mengiringi Roslan Madun dengan dua buah lagu .Dimulai dengan Indung indung dan diikuti Menghilir di Sungai Pahang yang menyaksikan Duta Poland berdansa bersama-sama beberapa tetamu lain.
Kami meneruskan acara selepas itu memainkan lagu-lagu lain sambil tetamu menjamu selera.
(Dengar lagu Roslan Madun di sini )
Kredit gambar - Kakiempat (Facebook)

Wednesday, August 19, 2009

Instant Cafe

Sabtu lepas, kami hadir memeriahkan acara pembukaan Instant Cafe House of Arts and Ideas (CHAI) di Jalan Templer, PJ. Sudah agak lama tidak ke sana melalui Jalan Gasing ,tempat beberapa ahli pernah jamming di sana belasan tahun lepas (Studio Black Widow).
Tidak sukar mencari lokasi tetapi ahli termuda dengan penuh keyakinan telah tersalah arah ke Seksyen 14 dan tertinggal persembahan (ha ha).
Baca tentang CHAI di blog Sharon Bakar di sini
(Sayangnya,kami gagal membawa kamera!)

Wednesday, August 12, 2009

Konsert Opick di UIA










Opick membuat penampilan pertama di Malaysia dengan mengadakan konsert berskala sederhana di UIA minggu lepas. Walaupun sederhana, sambutannya amat menggalakkan dengan auditorium penuh. Program pada asalnya dijadualkan di dewan lebih besar tetapi ditukar saat-saat akhir kerana PM Najib mempunyai program di UIA.
Kebetulan pula persembahan beliau di malam Nisfu Syaaban ,malam jumaat. Malam penuh barokah.
Inisiatif AIKOL (Ahmad Ibrahim Kuliyyah of Laws,UIAM) amat dialu-alukan dengan memanggil Opick (dari Indonesia) yang amat terkenal dengan lagu-lagu kerohanian (dia menyebutnya sebagai religi) atau boleh sahaja kita gelarkan nasyid tetapi di dalam konteks yang berbeza daripada Malaysia. Di saat nasyid di Malaysia sudah memasukkan pelabagai elemen yang sukar membezakan lagu nasyid dengan rentak R n B atau pop, lagu-lagu Opick amat bersahaja dan kedengaran cukup ikhlas. Vokalnya amat baik dan jika sahaja muzik tiada, vokalnya sahaja sudah amat kuat menarik khalayak.
Lagu-lagu sepertti Assalamualaikum (boleh tonton di sini ), Sedekah (di sini) atau Ketika Cinta Memanggil (yang menjadi lagu tema filem Perempuan Berkalong Sorba -juga dinyanyikan semula oleh Siti Nurhaliza) menjadi amat menyentuh perasaan. Opick juga bijak berkomunikasi dengan penonton dengan mengajak mereka berselawat dan menyanyi bersama.
Di majlis yang sama, kami juga diundang untuk memeriahkan malam tersebut dengan persembahan pembukaan . Majlis juga diserikan dengan Poetry Club,UIAM dan kumpulan Devotees.
(Terima kasih kepada seluruh AJK, Dr Iqbal dan AIKOL yang mengundang kami)

Wednesday, August 05, 2009

Opick

Opick (dari Indonesia) akan mengadakan persembahan esklusif di auditorium, UIA pada hari Khamis , 6 Ogos 2009, 9 malam. ( Dengar lagu Opick di sini )
Dewangga Sakti akan membuat persembahan pembukaan . Selain itu ,pemantun UIA Azree Ariffin juga akan membuat persembahan.
Tiket masuk RM15.
Maklumat lanjut ,sila berhubung dengan pejabat Kuliyyah Undang-Undang UIA (AIKOL) 03-6196 4282.