Thursday, May 22, 2008

Instrumen

Pertama kali aku mengenali instrumen adalah ketika masih berada di kampungku.Sudah pasti instrumen itu adalah gitar yang paling senang ditemui dan biasa dimainkan oleh ramai orang. Bila aku ke sebuah sekolah terkenal di Seremban,aku didedahkan dengan budaya bermuzik yang kuat kerana di sekolahku adanya band sekolah.Ketika di tingkatan satu pada tahun 1988,aku hairan melihat school band bermain muzik dengan lagu-lagu yang hebat dan malar segar. Mereka bermain amat baik dan terlibat dengan persembahan dan pertandingan sekitar pekan koboi Seremban.
Aku tambah gila mahu belajar gitar bila pada satu hujung minggu aku ke Ampangan untuk sebuah BBQ di rumah seorang teman yang amat mahir bermain gitar.Ketika itu,aku masih di tingkatan dua. Lagu yang pertama telah mengetuk pintu hatiku untuk bermain gitar adalah lagu Metallica bertajuk Fade to Black yang pertama kali kudengar pada waktu itu dan sejak saat itu aku terus masuk ke dalam satu dunia baru mendengar pelbagai muzik yang berat seperti thrash,death,black,grind dan bermacam-macam sub-genre metal yang lain.
Aku tidak berpeluang belajar bermain gitar sehinggalah minggu SPM.Pada malam sebelum peperiksaan subjek Biologi (yang membedah katak dan udang),aku telah belajar beberapa chord daripada pemain bass band sekolah yang katilnya ketika minggu SPM bersebelahan denganku.Dialah yang mengajar beberapa perkara asas.
Ketika semua orang lain sibuk dipaksa turun bersukan pada jam 5 petang,band sekolah dan band simpanan akan menjalani latihan di studio belakang Dewan Besar yang menempatkan sebuah piano yang dikatakan berhantu.Selain mereka,orang lain tidak dibenarkan menyentuh peralatan di situ.Haram!jadi,sayup-sayup semasa aku bermain pingpong akan kedengaran mereka memainkan lagu rock atau pop yang popular ketika itu.Ada juga kadang-kadang mereka memainkan lagu heavy metal dan thrash metal yang sebenarnya telah diharamkan oleh pihak sekolah untuk dimainkan.Mereka ini belasah sahaja.Aku pun hairan mereka dapat memainkan lagu dengan betul -gitar solo yang sama seperti kudengar di kaset atau radio.Oh!Tiada lagi CD ketika itu.
Ketika aku di tingkatan lima, satu kumpulan death metal telah ditubuhkan di sekolahku.Aku pun tak tahu namanya tetapi dua anggotanya rakan sekelas dan kedua-duanya orang Dungun yang selalu memakai baju Death dan Morbid Angel.Mereka ini telah menghasilkan beberapa lagu yang ada antaranya telah diciplak daripada lagu Sarcofag0 (Brazil).Salah seorangnya adalah yang paling ganas di sekolah dan selalu melakukan kes buli dan pukul memukul.Kawan-kawan sekelas telah sebulat suara melantiknya menjadi ketua kelas kerana dialah paling samseng! (sebenarnya mahu kenakan dia!)
Mereka ini yang selalu membekalkan kaset dan demo tape terbaru kepada sekolah. Kesemuanya menghisap rokok. Walaupun aku telah mencuba menghisap rokok ketika di sekolah rendah (rokok daun dan Benson),tetapi aku tidak hisap rokok sehingga sekarang kerana aku bukan orang kaya mahu beli rokok yang sangat mahal!(he he)
Dulu-dulu ada mitos mengatakan kalau tak hisap rokok tak boleh join geng geng ni.Tapi sebenarnya mitos tu tak betul.Hanya orang yang lemah sahaja akan terpedaya dengan mitos karut ini.
Aku ke studio jamming yang pertama tanpa mengetahui tentang gitar dan telah melarikan diri ketika dikejar pemilik studio di bandaraya pesisir air yang miskin kerana tali putus.Itu ketika cuti sekolah di tingkatan lima.
Gitar kapok pertama yang aku beli berharga RM50 yang kusimpan ketika bekerja sebagai buruh binaan selepas SPM.
Selepas aku tahu bermain gitar dan memasuki matrikulasi UIA pada tahun 93,aku cuba mencari kaki kaki yang boleh menubuhkan sebuah kumpulan impianku sejak sekolah iaitu kumpulan Death Metal.Aku bertemu Azlan dari Sabah yang amat mahir tahap dewa bermain gitar.Dia mempunyai studio sendiri di rumah di samping multi-track recorder yang digunakan untuk merakam demo.(Orang Sabah dan Sarawak banyak yang handal bermain gitar!)
Rupa-rupanya di UIA ketika itu banyak juga yang gila dan sakit mental. Satu semester kami tidaklah bertegur sapa kerana masih tidak mengenali.Seorang kawan memberitahu bahawa ada seorang budak Perak mempunyai koleksi ratusan kaset muzik berat di biliknya.Dan dia juga banyak zine dan bahan bacaan muzik gila ini.Pada semester kedua ,kami berkenalan dengan pemilik rambut maggi ini.Rambutnya sudah melepasi bahu kerana telah disorokkan ke dalam kopiah yang dipakainya untuk mengaburi pandangan pihak berkuasa.
Ramai menyangka beliau sememangnya alim! Apa gila main badminton pakai kopiah? Sebabnya rambut maggi dia panjang!
Aku juga sudah mula menyimpan rambut ketika itu dan kebanyakan kami menyimpan rambut melepasi bahu dan ada antaranya sehingga ke paras pinggang terutamanya pada ketika tahun 99/2000.Ada yang memakai rambut palsu ke kelas. ada seorang budak Sabah yang memakai kereta sport ke kelas dan amat kaya telah meminjamkan kepada sahabat kami,Syah rambut palsu tersebut.
Berbalik kepada gitar tadi.Aku membeli gitar elektrik pertama model Aria Pro berharga RM400.00(diskaun 20%) di Do Re Mi pada tahun 94 beserta sebuah amplifier. Rupa-rupanya akulah antara individu pertama membawa gitar elektrik ke kampus secara haram (walaupun aku tak terer pun!) dan pembelian ini telah membawaku menjadi terkenal secara mendadak kerana ramai orang tiba-tiba menjadi rapat denganku.Ada yang merajuk bila aku tidak dapat meminjamkan gitar itu kepada mereka. Ada yang tiba-tiba menjadi terlalu kamceng!
Gitar itu juga banyak kali diserbu tetapi tidak berjaya! Ini kerana seorang sahabatku telah meyorokkan gitar itu ke dalam tandas dan dikuncinya dari dalam.Pada satu hari,aku telah lupa mengunci pintu locker dan sekembalinya aku dari bilik air kulihat gitar itu telah tiada. Mahkluk kekasihku itu telah dibawa ke pejabat kolej dan akan disimpan di situ sehingga aku berjanji akan menyimpannya di luar.
Memandangkan ramai peminat gitar itu (yg turut digunakan utk merakamkan demo di Bangsar),maka gitar itu telah dengan rela hati dikembalikan oleh En Ami Nordin (pengetua kolej). Kadang-kadang aku rasa macam penjenayah menyimpan dan bermain gitar di kampus ini yang terlalu orthodoks.Setahu aku ,Dekan bermain gitar. Gitar ini juga menjadi saksi persahabatan yang akrab dengan seorang sahabat yang kini menjadi setiausaha sulit seorang menteri.Dia akan menyanyi lagu tamil di bilik kami.
Gitar ini akhirnya dijual. Pada tahun 97,aku dan teman-teman bekerja di sebuah kilang rokok di PJ. Oh ya! Ketika itu kami di kampus PJ.Ketika cuti semester,kami bekerja di situ.Hasil daripada duit gaji telah digunakan untuk membeli sebuah gitar yang lebih hebat berharga RM1,600.00 iaitu jenama Jackson PS2 -reverse headstock.Kami telah mencari sehingga ke Mahogany di Bukit Raja,Klang tetapi akhirnya pada petang jumaat yang indah,gitar ini selamat dibeli di satu lagi kedai Mahogany di Bangsar dengan disaksikan oleh empat orang ahli kumpulan dan isteri Meor (teman wanitanya ketika itu).Meorlah yang telah memilih gitar ini sebab pada asalnya aku ingin membeli flying V.(Tetapi duitnya aku bayar lah!).Pada ketika itu,En Syam yang memandu kerana dia rakyat Malaysia yang mempunyai lesen memandu kereta. Keretanya kami sewa iaitu sebuah Kancil.
Gitar itu banyak digunakan untuk latihan,persembahan dan rakaman. Akhirnya gitar itu dijual juga pada tahun 2001 kepada seorang teman kerana aku telah bangkrap tidak mempunyai pekerjaan ketika itu(Gitar itu setelah dijual telah dicuri oleh seorang penagih dadah).Pada ketika itu juga aku telah menghadapi krisis mental yang kuat. Kebanyakan masa aku telah dihabiskan dengan membeli buku dan meminjam buku di Perpustakaan Negara.Kerana tidak bekerja,buku-buku ini menjadi makanan kepada aku.Sebabnya,ada ketika tidak dapat makan tetapi dengan membaca buku dapatlah menghilangkan tekanan tersebut.Kebanyakan buku yang kutelaah ketika itu adalah buku-buku Falsafah,Sufi,Islam,Sejarah dan Puisi. Ketika itu daripada pemerhatian aku Al Farabi bermain gambus atau dalam bahasa Arabnya Oud. Begitu juga Al Kindi dan banyak cendekiawan Islam yang lain.
Pada ketika itu,duniaku sudah berpusing dan aku sudah tidak minat bermain gitar elektrik. Aku mendekati gitar akustik dan setahun kemudian ketika sudah bekerja tetap di sebuah syarikat (yang sama sehingga sekarang) aku membeli sebuah gitar akustik takamine berharga RM950.00 yang masih kekal sehingga sekarang.
Pada tahun 2002 aku melihat secara dekat seorang pemain gambus di sebuah hotel dan pada ketika itu,aku menanamkan tekad untuk mempelajari gambus yang akhirnya tertunai ketika aku dapat belajar dengan Allahyarham Fadzil Ahmad pada tahun 2003. Kebetulan ASK menawarkan kursus separuh masa.Di semester pertama,aku ke Empire Tower setiap sabtu.Aku membeli sebuah gambus(oud) buatan Turki daripada seorang pembekal iaitu Husam dengan harga RM1,650 yang kubayar sebanyak dua kali.Pada asalnya aku mahu beli yang lebih murah tetapi guruku menyuruh membeli gambus ini kerana ini lebih baik.(Oh ya!Gambar dikepilkan bukan model aku punya!)Di semester kedua,aku diarahkan oleh guruku supaya ke rumah.Bermulalah episod yang menarik kerana belajar di rumah lebih santai.
Nampaknya instrumen sekarang ini akan kekal lama di dalam hidupku tetapi aku impikan untuk pergi ke Mesir juga suatu hari nanti untuk belajar di sana. jadi jika Abg Syam mahu menaja aku,bolehlah aku pergi ke sana!
Ada lagi instrumen yang aku rasa mahu belajar iaitu rebab (ada sebuah rebab dari Indonesia di rumahku) .Harapnya nanti ada masa aku mahu belajar sesuatu yang baru.
Oh ya! Aku lupa!Dulu di sekolah rendah aku belajar recorder dan ketika tahun 2003 belajar gamelan Bali di Rimbun Dahan.

7 comments:

cohong gym said...

Aku pun pernah belajar rekoder masa kat sekolah rendah dulu hahaha

Anonymous said...

aiya, akulah satu-satunya ahli sebuah kugiran yg haram tak tau bermain sebarang alat muzik, cuba biasa mengolom microphone sahaja hahahahaah

tamlikha said...

test je

Anonymous said...

recorder...haha...kenangan ketika sekolah berputik mekar!

Ibn Salim said...

Seronok baca cerita kisah-kisah lama ni..hehe.

:-)

tamlikha said...

kat matrix dulu, ami nordin jugaklah yg telah mengarahkan aku potong rambut untuk ambik balik mini compo seorang rakan yg dirampas ketika berada dalam penjagaan aku, hampeh betul, dulu2 kampus kami mmg orthodoxs tp sikalang sula manyak belubah looo....

Anonymous said...

best jugak cite ko ye! Itu Azlan bukan budak Sarawak ke? Aku ingat betul kedai-kedai gitar yg ko sebut tu...aku pun selalu gak gi sana tapi window shopping je lah. Duit tarak, bro!!!