Tuesday, October 27, 2009

Hantu CD

Di dalam kembara ke luar negara menyertai persembahan, kami akan menyenaraikan kedai-kedai CD yang bakal kami lawati untuk tujuan mencari dan membeli CD. Tidak lengkap rasanya jika tidak membeli CD (dan kadang-kadang piring hitam) kerana pilihan CD yang banyak dan terdapat CD second-hand yang murah terutamanya di Jepun. Di satu kedai CD di Kokura (Fukuoka) ,kami terjumpa satu kedai CD yang banyak menjual piring hitam terpakai dan di satu kedai muzik,kami terjumpa CD Noraniza Idris.
Kebiasaannya, Norman orang yang paling banyak membeli CD. Setiap ahli lain juga akan membeli Cd walaupun dalam kadar yang sedikit. Malangnya,perkara ini tidak terjadi ketika kami ke Korea baru-baru ini. Mungkin disebabkan jadual yang amat padat, tidak ada kedai CD utama yang kami temui.
Untuk mengubat hati,Norman membeli CD 'Crying Nut'(gambar atas),sebuah band punk Korea pada hari terakhir(Eh! band punk pun ada akordian). Cukuplah memenuhi syarat sebagai hantu CD Kesultanan.
(Gambar bawah - koleksi CD yang dibeli Norman di Kokura tahun lepas)

Monday, October 19, 2009

PuKAP




Semasa kami masih di Korea,Azman Jan menghantar mesej mengatakan ada persembahan hari raya MDeC di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya(PuKAP). Mula-mula,kami rasa sangsi dengan mesej Azman kerana jadual asalnya bukan pada tarikh tersebut. Akhirnya kami pun setuju. Maka sehari selepas kami tiba di tanahair tiga minggu lepas(tiba tengah malam), paginya kami terus ke Putrajaya pada jam 10.30 pagi.
Azman memecut kereta dengan laju melalui lebuhraya KL-Putrajaya kerana kami telah lewat. Dua ahli yang ada di dalam kereta masih belum bersarapan pagi. Kami berempat ketika itu di dalam kereta. Irwan menunggu di Putrajaya kerana rumahnya hanya 10 minit dari sana. Wahyun pula tidak dapat hadir kerana ada kerja penting di firma.(Maklumlah akan tamat latihan dalam kamar dan bakal bergelar peguam nanti)
Kami tiba tidak lama selepas itu. Kemudian kami lihat PuKAP senyap sunyi seperti tiada acara. Azman melihat semula mesej yang diterimanya.
" Alamak,kita dah salah tempat. Bukan kat sini,tapi di Pusat Konvensyen KL dkt KLCC tu!"
Hah? hahaha Nampaknya kali ini virus Pak Abdul menyerang Azman. Kami pun terus ke KL. Mujurlah mereka baru sahaja siap memasang peralatan untuk semakan bunyi. Majlis hari raya MDeC diserikan dengan penampilan Jayjay,Jaclyn Victor dan ramai lagi.
Set persembahan banyak dan ahli makan dengan berhati-hati kerana tidak mahu terkena virus Abdul Raof yang muntah-muntah sejak menaiki kapal terbang sehari sebelumnya . Pagi sebelum persembahan juga dia muntah buat kali terakhir. Besar kemungkinan diracun ketika makan pagi terakhir di Hyundai Residence,Seoul.
-------------------------------------------------------------------------
Kami akhirnya beraksi di PuKAP setelah memenuhi undangan Kementerian Sains,Teknologi dan Inovasi (KESTI atau MOSTI) di minggu selepas itu. Juga untuk sambutan hari raya. Kali ini semakan bunyi jam 10:30 pagi dan persembahan hanya akan bermula jam 4 petang. Turut membuat persembahan adalah pelajar sekolah CBN. Majlis agak formal dan tamat sekitar jam 5 petang.
Satu kejadian tidak diingini telah berlaku bila Abdul Raof kehilangan dompet yang diletakkan di dalam begnya. Ini disedarinya ketika sampai ke kereta. Muka Abdul kelihatan begitu pucat dan cuba ditenteramkan oleh sparring partner beliau,Wahyun.
"Rileks. Mungkin kau salah letak",itu kata Wahyun cuba mengubat kesedihan Abdul.
Puas beliau mencari dompet tersebut- di belakang pentas, tandas,surau dll.
Dokumen spt MyKad,lesen memandu,kad bank dan wang sebanyak RM300 ada di dalam dompet tersebut.
Akhirnya kami menyarankan supaya beliau melaporkan kehilangan tersebut kepada pihak pengawal.
Ahli-ahli kemudian mengumpulkan duit sebagai derma kepada Abdul.
Kami pasrah. Abdul Raof juga pasrah.
Kami kemudian ke rumah Wahyun untuk jamuan hari raya. Belum lagi sempat kami bergerak, Abdul Raof mendapat panggilan telefon. Muka yang pucat dan merah sebelumnya bertukar menjadi cerah dan berseri-seri.
Kami pun pergi ke rumah Wahyun.
Di dalam kereta,semua memaki hamun Pak Abdul. "Apa lah tuduh orang curi, ada pencuri bla bla bla pelupa bla bla tak cukup tidur bla bla surau haha"
(Abdul Raof mendapat semula dompetnya yang hilang . Dompet dijumpai oleh insan baik hati di tandas dan menghantarnya ke tempat pengawal. Semua dokumen dan wang tidak berusik. Cuma sekeping gambar sahaja hilang)

Wednesday, October 14, 2009

Arirang





Diari kehidupan Kim Irwan

Kim Hyoyoung," Tuan teksi, boleh bawa kami ke Pyongyang?"
Kim Don Moo (pemandu teksi), " Kita tak pergi Pyongyang, Goyang kita pergi"
Kim Irwan ," Susah lah ini teksi. Goyang pun Goyang lah!"

Nota: Goyang satu nama tempat di Korea

Nik Aziz pun dah ada kafe


Kafe Kim Aziz Alattas di Seoul menawarkan makanan berasaskan sup

Produk Malaysia di Seoul


Dongdaemun







Kami dapat merasakan penganjuran acara ini agak padat dan ada ketikanya kelam kabut kerana dijadualkan pada petang selepas acara tamat jam 6 petang akan diadakan majlis makan malam tetapi kemudiannya dibatalkan. Itu juga terjadi kepada 'welcoming dinner' yang dijadualkan ketika awal kedatangan kami. Seawal 10 pagi ketika kami tiba ke Seoul sudah dibawa melawat muzium seni,seramik dan membuat aktiviti di sana. Jam 6:15 petang barulah kami tiba di hotel untuk mendaftar masuk. Aktiviti hari pertama dilakukan dengan muka penuh mengantuk dan keletihan.
Walaupun begitu, kami agak gembira dengan pengurusan pentas dan sistem bunyi di semua tempat kami membuat persembahan. Mereka melakukannya dengan penuh sifat profesional. Ini amat wajar kita contohi.
Di samping itu, pengurus dan penterjemah kami amat menyenangkan kami. Kim Heegon dan Kim Hyoyoung senang mesra dengan kami terutama Irwan kerana di hari pertama sahaja mereka sudah membuat lawak kartun-kartun Amerika. haha
Malam selepas persembahan terakhir,kami dijemput ke rumah En Amirul, Pengarah Tourism Malaysia Seoul untuk jamuan hari raya dengan hidangan yang cukup enak. Nasi hujan panas, lemang,nasi himpit dan pelbagai kuih muih. Jamuan juga dihadiri oleh satu keluarga MATRADE. Suasana sudah seperti di Malaysia.
Kim Hyoyoung atau Kim perempuan kami panggil tidak menyukai makanan yang disediakan. Katanya makanan Nepal lebih sedap (ini merujuk kepada kekasihnya yang berasal dari Nepal dan sama universiti dengannya). Manakala Kim Heegon atau Kim lelaki menyukai makanan yang dihidangkan terutama lemang dan kuih raya di dalam balang. (Berapa ramai nama Kim di Korea ni?haha)

Itaewon








Hari seterusnya, kami berkesempatan ke Itaewon untuk membeli belah kerana jadual persembahan di sebelah petang. Walaupun begitu,kami perlu datang seawal 9 pagi ke tempat acara kerana bas bertolak pada waktu itu. Di Itaewon,banyak kedai yang menjual pelbagai barangan termasuk cenderamata. Ada satu kedai yang pemiliknya boleh berbahasa Melayu (ayat yang mudah seperti apa khabar, harga murah,700won, boleh kurang dll) kerana terlalu ramai pelancong dari Malaysia yang datang ke situ. Terdapat satu susunan kertas nota ditampal di depan kaunter dengan kata-kata ditulis pelancong yang kebanyakannya dari Malaysia. Ada pemuzik dari Istana Budaya, JKR Terengganu dan ramai lagi. Malah ada satu tandatangan bertulis Mawi (kami tidak pasti Mawi yang mana--boleh dilihat di nota catatan tersebut).
Itaewon satu tempat yag tidak wajar dilepaskan jika ke Seoul. Ini juga saranan sahabat kami di KL sebelum datang ke sini. Ini sama juga dengan pasar Namdaemun,satu destinasi wajib singgah. Cenderamata seperti biasa - tshirt, penanda kunci, magnet peti ais dll.
Jadual kami yang terlalu sibuk membuatkan aktiviti biasa kami jika ke luar negara tidak dapat dipenuhi. Aktiviti itu adalah mencari kedai CD dan piring hitam. Jika sebelum ini, ada ahli yang membeli berpuluh-puluh Cd ketika ke luar negara,kali ini kedai CD hampir tidak dijumpai kerana jadual kami yang padat dan tidak sempat meninjau seluruh kawasan. Norman akhirnya membeli satu CD band punk Korea yang sempat ditemuinya untuk mengubat hati. Itulah satu-satunya Cd yang dibeli kali ini.
Berbalik kepada Itaweon tadi, kami kemudiannya singgah makan di sebuah restoran Pakistan yang baru dibuka empat bulan yang lalu. Kami makan nasi beriyani dan kebab yang dibelanja oleh En Syed, Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Seoul. Beliau kemudian membawa kami menziarah Masjid Itaewon yang menjadi pusat komuniti Muslim di Seoul.
Masjid ini dibina pada tahun 1976 dan dibiayai oleh banyak negara Islam termasuk Malaysia. Mengikut statistik terdapat 200,000 umat Islam di Korea pada masa ini. Ini termasuk pekerja asing dari Bangladesh, Pakistan, Arab dsbnya.
Masjid ini terletak di atas bukit dan sepanjang lorong ke sana dipenuhi dengan deretan kedai Muslim yang menjual pakaian, restoran Muslim, kedai-kedai buku Islam dan agensi pelancongan. Secara kesimpulannya,tidak sukar mencari makanan halal di Korea,cuma harga yang ditawarkan agak mahal memandangkan tukaran wang ke matawang mereka yang mahal.


Monday, October 12, 2009

Yongsan






Selesai perasmian,esoknya hari sabtu bermulalah ASEAN Culture & Tourism fair 2009 di Plaza Yongsan. Tempatnya amat sesuai kerana dihubungkan dgn stesyen tren dan dikelilingi oleh pusat komersial dan perdagangan.
Seawal 9 pagi,kami sudah bertolak ke tempat persembahan kerana kami perlu menjalani raptai dan semakan bunyi. Jika semalam Abdul Raof tertinggal samping dan songkok di dalam bas, kali ini sampingnya betul-betul hilang. Entah di mana ditinggalkannya. Mujurlah ada samping lebih dibawa oleh Norman.
Walaupun cuaca 16 darjah ,tetapi di kala tengahari panasnya agak terasa dan jadual persembahan kami pada jam 1:50tengahari. Kali ini slot persembahan kami selama 25 minit. Di saat-saat kami ingin memulakan persembahan ,semua nota dan senikata lagu hilang daripada simpanan Abdul Raof. Aduh! Kami terpaksa menulis semula. Nasib baik tidak banyak lagu dan lagu-lagunya dihafal oleh ahli kumpulan. Jika tidak,nampak gayanya terpaksalah berpantun apa yang ingat.
Persembahan ini juga diserikan oleh penari-penari yang mengiringi kami di Yong-in. Di akhir persembahan mereka mengajak penonton untuk berjoget bersama. Suasana cukup meriah ketika ini dan Abdul Raof hampir sahaja meletakkan rebana dan turun ke bawa pentas. Berpeluh-peluh kami ketika ini kerana cuaca sangat terik.
Selesai persembahan, kami menjamu selera di sebuah restoran di Plaza Yongsan. Apa lagi makan makanan Korealah!
Jam 8 malam kami dijadualkan untuk satu lagi persembahan selama lima minit di ruang atas Plaza Yongsan(juga didirikan pentas) dan kali ini kami hanya memainkan satu lagu diiringi oleh penari jemputan kami.
Hari seterusnya kami dijadual membuat persembahan pada jam 5 petang.

Friday, October 09, 2009

Namdaemun








Hari seterusnya diadakan acara perasmian ASEAN Culture & Tourism Fair 2009 yang diadakan di Hotel Lotte. Untuk pengetahuan,ini adalah julung-julung kalinya program ini dianjurkan oleh Pusat ASEAN-Korea yang baru ditubuhkan kira-kira dua tahun lalu. Di antara objektif pusat ini adalah meningkatkan perdagangan , pelaburan, pertukaran budaya dan pelancongan di antara Korea (di dalam konteks ini Korea Selatan) dan negara-negara Asia Tenggara.
Kebanyakan negara menghantar tarian kecuali Malaysia, Indonesia dan Vietnam yang menghantar pemuzik. Indonesia dengan Arumba iaitu Alunan Rumpun Bambu yang terdiri daripada angklung, angklung bass, gambang buluh ,gendang dan penyanyi. Vietnam pula dengan instrumen tradisional mereka.
Sebelum itu pada pagi Jumaat sebelum perasmian pada malamnya,kami berkesempatan di bawa oleh penterjemah dan pengurus kami,Kim Hyoyoung dan Kim Heegon ke Namdaemun iaitu satu pasar yang agak besar dengan deretan kedai-kedai pakaian, cenderamata, barangan kulit dan lain-lain lagi. Tempat ini juga terkenal dengan keronsang (murah di sini) yang antaranya dieksport ke Malaysia. Kami juga bertemu dengan produk Malaysia seperti kopi AliCafe yang banyak kami temui di sini. Malah kedai RotiBoy juga kami temui (bukan satu tetapi banyak).
Namdaemun bermaksud pintu selatan yang merujuk kepada salah satu pintu di kerajaan lama Korea. Lokasinya boleh dihubungi oleh sistem tren yang efisyen dan antara pasar tertua dan terbesar di Korea. Di kesempatan yang sama,kami dibawa oleh Syed Zulkifli, timbalan pengarah Tourism Malaysia(TM) Seoul ke pejabat TM di sana dan dibawa bertemu Pengarah, En Amirul. Di pejabat ini,hanya dua orang dari Malaysia. Lima lagi adalah warga Korea.
Setelah itu,kami bersiap ke hotel Lotte untuk mengadakan semakan bunyi. Satu kejadian tidak diingini berlaku beberapa jam sebelum perasmian. Abdul Raof tertinggal samping dan songkok di dalam bas. Pemandu bas pula berada jauh dari lokasi kami. Setelah menelefon, pemandu bas akhirnya kembali semula lebih awal ke hotel . Mungkin kami telah mengganggu keseronokan beliau di tempat lain kerana memanggilnya pulang lebih awal ke hotel . :)
Untuk acara perasmian, setiap negara diperuntukkan lima minit sahaja dan kami memainkan satu lagu. Abdul Raof diamanahkan untuk menyanyi kali ini kerana penyanyi tidak dapat hadir ke Seoul (kuota hanya empat pemuzik sahaja). Beliau yang pada asalnya pucat kerana tertinggal samping dan songkok berjaya menyempurnakan nyanyian dengan baik (dan naik syeikh seperti biasa! ;) ) --- (Irwan mencadangkan dipakai kain pelikat diikat ke kepala jika songkok itu betul-betul hilang)
Duta Malaysia ke Korea hadir memberikan ucapan di perasmian tetapi kami tidak sempat berjumpa kerana selepas ucapan,beliau bergegas keluar untuk aturcara yang lain.

Wednesday, October 07, 2009

Yong-in





Sebelum acara bermula di Seoul, kami dibawa mengadakan pra-persembahan di luar Seoul iaitu bertempat di Dewan Orkestra ,Yong-in. Perjalanan kira-kira satu jam daripada hotel kami menginap.
Sebelum itu di atas permintaan pihak Tourism Malaysia(TM) di sini dan dengan kerjasama pihak TM Seoul,kami berkolaborasi bersama penari-penari Malaysia (pelajar Malaysia yang menuntut di sana). Malam setibanya di Seoul, kami membuat sedikit latihan bersama mereka di ruang bumbung (rooftop) hotel kami dengan instrumen masih lagi sedang menyesuaikan diri dengan cuaca yang sejuk sekitar 16 darjah selsius. Kami berlatih dua lagu dengan mereka-sebuah lagu zapin dan sebuah lagi lagu joget.
Berbalik kepada persembahan di Yong-in yang merupakan acara memanaskan badan buat semua delegasi. Lima negara mengadakan persembahan di situ. Lima negara lagi mengadakan persembahan di tempat lain(juga di luar Seoul) di hari sebelumnya.
Sophia Ridza kemudiannya memperkenalkan ahli-ahli kumpulan dan menterjemahkan lagu-lagu tersebut ke dalam Bahasa Korea di permulaan persembahan kami. Beliau yang juga mengikut delegasi Malaysia agak terkenal di sini kerana pernah muncul di rancangan televisyen Korea. Kami mempersembahkan dua lagu di sini iaitu Tertinggal Kapal Angkasa dan Zapin Budi. Lagu kedua diiringi oleh tarian oleh pelajar-pelajar Malaysia yang berlatih bersama-sama kami malam sebelumnya.
Pentas untuk Dewan Orkestra ini terletak di luar dan binaannya amat menarik. Pentasnya juga amat besar. Jika bercerita berkenaan sistem bunyi, mereka melakukannya dengan baik dibantu peralatan terkini dan kru yang sedia mendengar pandangan orang lain.
--Ini adalah catatan tertangguh (kami telah pulang ke Malaysia 28 Sept yang lalu)

Tuesday, October 06, 2009

Auto toilet mode


Ini tandas automatik yang kami temui di Seoul. Bayarannya 100won sahaja- lebih kurang 30sen. Tetapi awas! Tandas ini akan terbuka secara automatik selepas 10minit. Tidak pula kami pasti jika meletakkan 200won akan melanjutkan tempoh. Mungkin diperuntukkan 10 minit sahaja untuk menggunakannya. Berhati-hatilah.haha
(Maaf kerana kami tidak dapat mengemaskini banyak coretan di Seoul. Selepas ini akan dicoretkan lagi)