Wednesday, October 14, 2009

Itaewon








Hari seterusnya, kami berkesempatan ke Itaewon untuk membeli belah kerana jadual persembahan di sebelah petang. Walaupun begitu,kami perlu datang seawal 9 pagi ke tempat acara kerana bas bertolak pada waktu itu. Di Itaewon,banyak kedai yang menjual pelbagai barangan termasuk cenderamata. Ada satu kedai yang pemiliknya boleh berbahasa Melayu (ayat yang mudah seperti apa khabar, harga murah,700won, boleh kurang dll) kerana terlalu ramai pelancong dari Malaysia yang datang ke situ. Terdapat satu susunan kertas nota ditampal di depan kaunter dengan kata-kata ditulis pelancong yang kebanyakannya dari Malaysia. Ada pemuzik dari Istana Budaya, JKR Terengganu dan ramai lagi. Malah ada satu tandatangan bertulis Mawi (kami tidak pasti Mawi yang mana--boleh dilihat di nota catatan tersebut).
Itaewon satu tempat yag tidak wajar dilepaskan jika ke Seoul. Ini juga saranan sahabat kami di KL sebelum datang ke sini. Ini sama juga dengan pasar Namdaemun,satu destinasi wajib singgah. Cenderamata seperti biasa - tshirt, penanda kunci, magnet peti ais dll.
Jadual kami yang terlalu sibuk membuatkan aktiviti biasa kami jika ke luar negara tidak dapat dipenuhi. Aktiviti itu adalah mencari kedai CD dan piring hitam. Jika sebelum ini, ada ahli yang membeli berpuluh-puluh Cd ketika ke luar negara,kali ini kedai CD hampir tidak dijumpai kerana jadual kami yang padat dan tidak sempat meninjau seluruh kawasan. Norman akhirnya membeli satu CD band punk Korea yang sempat ditemuinya untuk mengubat hati. Itulah satu-satunya Cd yang dibeli kali ini.
Berbalik kepada Itaweon tadi, kami kemudiannya singgah makan di sebuah restoran Pakistan yang baru dibuka empat bulan yang lalu. Kami makan nasi beriyani dan kebab yang dibelanja oleh En Syed, Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Seoul. Beliau kemudian membawa kami menziarah Masjid Itaewon yang menjadi pusat komuniti Muslim di Seoul.
Masjid ini dibina pada tahun 1976 dan dibiayai oleh banyak negara Islam termasuk Malaysia. Mengikut statistik terdapat 200,000 umat Islam di Korea pada masa ini. Ini termasuk pekerja asing dari Bangladesh, Pakistan, Arab dsbnya.
Masjid ini terletak di atas bukit dan sepanjang lorong ke sana dipenuhi dengan deretan kedai Muslim yang menjual pakaian, restoran Muslim, kedai-kedai buku Islam dan agensi pelancongan. Secara kesimpulannya,tidak sukar mencari makanan halal di Korea,cuma harga yang ditawarkan agak mahal memandangkan tukaran wang ke matawang mereka yang mahal.


1 comment:

Syamsulfaiz said...

Boleh hijrah ke Korea macam ni. Ada makanan sedap.