Friday, October 10, 2008

Betul-betul tertinggal kapal!


Berita gempar!
Syamsulfaiz telah tertinggal kapal terbang ke Dubai pada malam tadi. Dia menyangka 23:59 adalah jam 12:59 tengah malam.Walhal penerbangan pada jam 11:59malam(23:59). Kena bayar semula tiket.Nasib baik hanya penalti RM300 lebih.
Baru sahaja di entri semalam kami mengingatkan beliau supaya jangan tertinggal kapal. Irwan yang berada di Pulau Mutiara menghantar sms yang berbunyi 'masih belum berubah!' ,yakni merujuk kepada tatacara Syamsulfaiz.
Lebih memburukkan keadaan,dia telah menghadapi masalah di pemeriksaan Imigresen kerana passportnya akan tamat lima bulan lagi.Jadi,pagi ini dia telah pergi memperbaharui passport beliau.
Memang seperti lagu Tertinggal Kapal Angkasa, watak Pak Abdul akhirnya secara mutlak milik Syamsulfaiz! ha ha ha
Baca catatan beliau di sini
Nota: Sesiapa yang mempunyai idea karikatur Pak Abdul di dalam lagu tersebut,boleh lah menghantarnya kepada kami di sini. Karikatur ini akan diletakkan di CD akan datang dan juga t shirt.

Thursday, October 09, 2008

Selamat terbang dengan selamat!


Lagu-lagu raya baru dan lama kedengaran semakin memualkan.
Tambah membosankan bila anggota kami yang juga badut kumpulan, Syamsulfaiz akan terbang ke Dubai pada malam ini untuk bekerja di sana (sekurang-kurangnya selama dua tahun).Tempoh dua tahun mungkin tidak lama. Dengan kecanggihan teknologi ,perhubungan akan menjadi lebih cepat. Kita ada blog,facebook dsbnya.
Tetapi jenaka dan lawaknya tidak akan dapat dinikmati lagi di depan mata.Bagi aku yang telah 14 tahun bersama dengan dia adalah amat menyedihkan untuk tidak lagi mempunyai sesi minum teh sambil mengusap-usap kucing parsi Smokey milik beliau.
Mungkin juga dia akan terus menetap terus di Dubai. Dengan gaji yang amat lumayan,tidak mustahil dia akan menetap lebih lama dan membina empayar di sana. Tambahan beliau boleh berbahasa Arab dengan baik.
Sementara itu, Selera Makan Benjamin telah diserahkan pemilikan (sementara) kepada Wah Yun Kua. Kereta Vios pula khabarnya akan jadi harta (sementara) kumpulan. Kumpulan juga lega kerana terdapat elaun bulanan yang diberikan sebagai duit kopi ( bahasa teknikalnya rasuah) supaya beliau terus diberikan tempat sebagai pemain bass selepas pulang dari Dubai nanti. Itu pun kalau dia pulang...
Jadi, kepada pembaca blog dan penggemar Dewangga Sakti,marilah kita bersama-sama mendoakan saudara Syamsul yang kami kasihi dipermudahkan perjalanan dan tiba di Dubai dengan selamat. Mari kita telefon dan sms 019 358 63 58 kerana selepas hari ini nombor ini tidak lagi beroperasi. Mari kita semua!
Kita kasi dia menangis!!!

Ahli-ahli kumpulan mengucapkan selamat terbang (Jangan tertinggal kapal pula!) dan jangan memanggil penari gelek ke studio apartmen anda nanti! :)

Nota gambar : bersama Syamsul (berbaju hijau ) di Chengdu,China setahun sebelum gempa bumi

Monday, September 29, 2008

Salam Aidil Fitri

Dewangga Sakti mengucapkan selamat menyambut hari raya Aidil Fitri kepada semua umat Islam.Pandu cermat,jiwa selamat!
Juga kepada semua yang menyokong dan memberikan dorongan untuk kami terus maju.
Jika anda mendengar lagu raya bertajuk Sama-sama Raikan di corong-corong radio yang dinyanyikan oleh sepuluh orang artis seperti Dina (Malaysian Idol),Farah,Izwan Pilus,Altimet,Lah (VE) dll ,perhatikan bahagian awal dan akhir lagu tersebut. Itulah bahagian ronggeng yang telah dimusnahkan oleh ahli PAPAN ~~dimain & dinyanyikan oleh Dewangga Sakti secara live di studio PurpleHouz,PJ.
Kepada Sinaganaga yang telah membuat akaun Dewangga Sakti Fun Fun Fan Club di Facebook,jutaan terima kasih kami ucapkan.

Tuesday, September 23, 2008

Oh Casa Gemilang Yang Gagal!

Aku tiba lewat. Hanya tinggal beberapa orang sahaja termasuklah penggerak utama,En Jaafar yang bersemangat memberikan penerangan tentang projek yang terbengkalai sejak 2006.
YB Azmin Ali dan ahli Majlis Perbandaran Selayang(MPS) juga hadir. Sayangnya, pemaju tidak datang!
Pemaju diberikan arahan pemberhentian kerja oleh MPS kerana tidak mematuhi arahan keselamatan kawasan cerun bukit. Surat khabar KOSMO menyiarkan tentang perkara ini semalam.
Nama perumahan ini Casa Gemilang yang namanya amat mempesonakan!
Malangnya GAGAL!
Kesemua pembeli telah membayar faedah kepada bank sejak 2006 dan ada yang mencecah RM700.00 sebulan!Jumlah pembeli melebihi tiga ratus orang.
Kembalikan HAK KAMI! Jadilah umat Islam yang bertanggungjawab!
(Perumahan ini di Sungai Pusu,Gombak dan berdekatan dengan UIA)

Gambus baru

'Oud
Buatan 'Ajib Nasif (Kaherah,Mesir)

Tasmim (Certification) oleh Naseer Shamma
Kayu Rosewood hitam

Gambus ini telah dibawa oleh Husamwaksa yang banyak membekalkan gambus (oud) dan perkusi (darbuka) di Malaysia. Gambus ini sudah lama di Malaysia melebihi empat tahun dan tiada pembeli. Sejarah telah mencatatkan bahawa gambus ini telah digunakan di Royal Albert Hall Of London untuk konsert Siti Nurhaliza yang dimainkan oleh Abg Norehan (Istana Budaya).
Sekarang sudah menjadi milikku. Alhamdulillah!
Bagaimana dengan bunyinya? Amat gemersik ! Mungkin lebih lama dimainkan lebih baik kerana gambus ini sudah lama tidak dimainkan dan dibiarkan kerana tiada pembeli.Sekarang sudah bertemu. Nantikan kami beradu dan memintal nada bunyi.
Jika anda berminat untuk membeli gambus,sila berurusan dengan Husamwaksa.



Monday, September 22, 2008

Amcorp Blues

Syamsulfaiz membuat penampilan terakhir bersama Dewangga Sakti di Amcorp Mall minggu lepas. Selepas ini kemungkinan beliau akan menyertai kumpulan tarian gelek di Dubai setelah berpindah ke sana selepas AidiFitri ini.
Sesi pertama semua ahli hadir. Di sesi kedua,aku terpaksa pulang kerana mempunyai urusan dengan pemaju perumahan yang korap dan menipu rakyat.
(Ya Allah,semoga Kau menyenangkan urusan kami di dalam pertarungan ini dan mengurniakan Malaysia yang aman daripada penipu dan perosak masyarakat!)
Berbalik kepada persembahan di Amcorp Mall,kami amat berbesar hati persembahan kami disaksikan bekas Timbalan Dekan kami suatu waktu dahulu, En Khair Ngadiron yang kini menjawat jawatan CEO di ITNMB. Beliau juga membeli CD kami.
Ahli-ahli yang lain berbuka puasa di Amcorp Mall bersama keluarga masing-masing. Ahli termuda pula membawa calon orang rumah untuk diperkenalkan kepada anggota kumpulan.

Tuesday, September 16, 2008

Showcase Dewangga Sakti

Setelah tamat program Fete de la musique di Alliance Francaise KL bulan Jun lalu, kami telah menerima jemputan untuk mengadakan konsert mini /showcase -persembahan Dewangga Sakti di tempat yang sama. Setelah melihat beberapa tarikh yang sesuai dan mengambil kira kedudukan angka dan bulan, maka dengan ini diumumkan bahawa Dewangga Sakti akan mengadakan persembahan secara ekslusif di Alliance Francaise KL yang bertempat di Lorong Gurney, Off Jalan Semarak,KL tanggal 13 Disember 2008,hari Sabtu jam 8:30malam.
Alliance Francaise adalah pusat bahasa dan budaya Perancis yang saban tahun menganjurkan Fete de la Musique dan pelbagai acara lain.
Kami akan membuat persembahan selama hampir dua jam di sana. Atau mungkin sejam setengah. Bergantung kepada perbincangan dengan institut tersebut dan juga tenaga ahli kumpulan.:)
Sudah pasti lagu-lagu daripada CD Mabok Kepayang akan dimainkan dan juga previu lagu-lagu untuk album akan datang. Tidak dilupakan lagu-lagu tradisional malar segar.
Persembahan ini bertiket (kadar yang munasabah) dan kami akan menjual CD dan tshirt ekslusif Dewangga Sakti.
Tajuk persembahan belum dibincangkan lagi. Di dalam perancangan juga untuk merakamkan persembahan ini ke dalam video dan (jika menarik) akan diterbitkan.
Oh ya!Jika lapang sabtu ini(20 Sept),boleh datang ke Amcorp Mall,PJ jam 1 dan 4 petang kerana kami ada persembahan di sana. Persembahan ini akan menjadi persembahan terakhir pemain bass kami, Syamsulfaiz kerana beliau akan berpindah ke Dubai selepas Aidil Fitri.
Nota gambar: Syamsul berbaju hitam, di belakangnya Wah Yun Kua sedang membaca sifir-sifir politik

Friday, September 12, 2008

Ulasan Mabok Kepayang di majalah ROTTW


Sebuah ulasan yang menarik.Terima kasih kepada ROTTW.
Pengulas betul-betul menjiwai lagu dan menulisnya dengan baik. Malah membuat rujukan kepada kamus Dewan untuk mencari maksud Dewangga!

Penajaan daripada Husamwaksa juga ditulis.

Temubual di dalam majalah TELL




Temubual di dalam majalah TELL terbaru-bumper issue untuk Ogos - gambar Ida Nerina di depan.
Temubual yang menarik oleh Magdalene.
Beberapa kekeliruan terjadi di dalam rencana tersebut:-
i) Kami sebenarnya tidak mendengar dan menggemari boybands seperti N Sync,Boys to Men dll
ii) Cryptic Malediction adalah sebuah kumpulan death metal.
Yang lainnya adalah terbaik daripada TELL. Terima kasih kepada Magdalene yang mengendalikan temubual tersebut.

Ulasan Mabok Kepayang di Utusan Malaysia

Ulasan CD di Utusan Malaysia pada 1 September iaitu hari pertama berpuasa.
Album tradisional yang futuristik? :) Nantikan kisah selanjutnya di dalam Angkasawan turun ke bumi.

Tuesday, September 09, 2008

Monday, September 08, 2008

Siapa tahu lagu ini?

Joeke,pegawai ASEAN-Japan Centre yang kelakar. Boleh berbahasa Melayu dengan baik.
Ini lagu yang didendangkannya ketika majlis makan malam. ha ha ha

Kami minum oren


"Kamu tidak minum (arak) ? ", lelaki Vietnam bernama Ba Nha bertanyakan kami ketika sesi sembang di bilik Abdul Raof.
"Tidak!", kami memberitahu.
"Tidak pernah?",dia bertanya lagi.
"Tidak pernah!",kami menjawab dengan menerangkan tentang larangan meminum arak kepada penganut Islam.
Beliau terus berkata ianya baik untuk kesihatan (jika tidak meminum arak). Kami perhatikan dia amat kuat meminum beer jenama Kirin ketika majlis makan malam ASEAN Tourism Fair ini.
Ba Nha amat baik dengan kami sepanjang berada di Kokura. Satu-satunya delegasi Vietnam yang mahir berbahasa Inggeris. Beliau juga memberitahu tentang koleksi peribadi instrumen pelbagai jenis yang ada di dalam simpanannya di Hanoi sudah berjumlah melebihi seratus unit .Kebanyakan(atau semua) instrumen ini dapat dimainkan oleh beliau. Multi-instrumentalis!
CD beliau yang diberikan kepada kami juga amat mengagumkan kami. Bila ditanya tentang harga instrumen yang beliau bawa dengan pantas dia memberitahu tiada harga kerana dia tidak akan menjualnya.Sebabnya kebanyakan instrumen itu dibuat oleh ayahnya yang kami pasti seorang pemuzik hebat di Hanoi. (Baru sahaja mahu cuba beli instrumen yang dimainkannya yang bernama tu -sila lihat video di bawah)
Di sesi sembang yang sama juga ,kami jam lagu-lagu Vietnam,Jepun dan Hotel California. Tidak berapa lama kemudian,bahagian reception hotel menghantar wakil memberitahu ada aduan tentang kebisingan yang dihasilkan oleh kami. :)

Thursday, September 04, 2008

Makan lagi



Ini sarapan kami setiap pagi.
Ada beberapa pilihan antaranya sarapan Jepun. Tetapi kami ambil sarapan dengan tajuk American breakfast sebab hotel ini namanya Washington Plaza. Abdul Raof telah merasa sarapan Jepun tetapi terus insaf tidak mahu makan lagi.

Makan bersama Pak Abdul


Abdul Raof telah mahir menggunakan chopstick setelah setiap hari membuat latihan di Kokura.
MasyaAllah, makanannya amat sedap! Dua kali kami ulang ke kedai yang sama.Kali pertama udangnya hanya tiga.Kali kedua,udangnya menjadi empat.Kami pasti makcik yang menjaga kedai itu masih menunggu kami datang ke situ. Malangnya,hari itu adalah hari terakhir kami di situ.

Salam Ramadhan


Kami ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada semua umat Islam. Untuk pengetahuan,kami bertiga telah selamat tiba ke KLIA seminggu yang lalu. Mungkin terlalu penat dan kepala berserabut, blog tidak dapat dikemaskinikan dengan segera.
Namun begitu,terlalu banyak cerita lagi yang ingin kami coretkan tentang pengalaman kami di Fukuoka (atau lebih tepat lagi bandar Kokura) yang menjadi satu pengalaman indah buat kami.
Bagaimanakah dengan segala kempen budi bahasa dan kempen jalan raya,kita masih lagi menjadi rakyat Malaysia yang masih tidak bertimbang rasa? Jika kita merujuk rakyat Jepun di dalam kes ini,kita amat jauh ketinggalan.
Secara berseloroh seorang teman ,Adi dari Brunai menyuarakan perkara ini kepada kami, "jika kita orang Melayu mahu belajar budi bahasa,elok dihantar berkursus ke Jepun."Kami tahu dia serius.
Di hampir setiap tempat,rakyatnya amat menjaga budi bahasa. Kalau di Malaysia,pekedai akan berbudi bahasa (mungkin) kepada orang asing (yang berkulit putih), tetapi di sana semuanya begitu.Tidak kira kepada rakyat Jepun atau pun pelancong.Mereka memberikan khidmat yang sama.
Taraf kebersihan amat cemerlang. Selain itu,kita dapat melihat vending machine di mana-mana dan tiada vandalisme berlaku.
Kalau diberi peluang,kami ingin lagi pergi ke sana.Mungkin dengan seluruh anggota dan membuat persembahan di sana. :)
Arigato gozaimas!
Nota gambar: Akhirnya parti PAPAN mempunyai hotel sendiri -APANDA!

Sunday, August 31, 2008

Wednesday, August 27, 2008

Joget Fukuoka



Hari terakhir persembahan ,kami membuat kolaborasi bersama Brunai. Hari sebelumnya,pegawai ASEAN-Japan Centre ,Joeke sudah bertanyakan perkara tersebut. Dua tahun yang lepas kami juga membuat kolaborasi dengan Brunai. Selepas kolaborasi itu, seorang anggota menjalin hubungan dengan seorang delegasi Brunai apabila pulang ke negara masing-masing. Oh! Itu cerita lain. :)
Kami mempunyai dua jadual yang sama bersama Brunai. Ini memudahkan kami menyusun persembahan. Malam sebelumnya,kami membuat latihan untuk mencari 'kunci' yang sesuai dan lagu yang bakal dimainkan. Lagu Zapin Budi dipilih. Satu lagi lagu iaitu Joget Pahang telah ditukar menjadi Joget Fukuoka dengan beberapa senikata diubah. Kami ingin memaksa Abdul Raof menyanyi tetapi akhirnya tidak jadi. Nyanyian latar sahaja.
Di set pertama di pentas bawah, dua lagu ini dimainkan dan penari Brunai menjemput penonton untuk menari bersama. Satu kejadian tidak diingini berlaku bila seorang penonton terjatuh di depan pentas. Abdul Raof ingin ketawa tetapi berjaya menahan dirinya memandangkan ramai gadis sedang memerhatikannya.
Di pentas tingkat atas,kami hanya memainkan Zapin Budi sahaja kerana sudah kepenatan.

Monday, August 25, 2008

Tiga Sekawan menjala ikan di Fukuoka


Bila Abdul Raof naik syeikh ,beliau akan bermain melebihi tempoh permainan. Ini terjadi setelah beliau mengenali dan bergambar bersama ramai gadis pelbagai negara.
Dua hari terakhir persembahan di sini, kami memainkan lagu Ue o muite aruko atau lebih dikenali sebagai Sukiyaki. Memainkan lagu ini di depan khalayak Jepun amat menyeronokkan. Lagu nyanyian asal Kyu Sakamoto ini sungguh berhantu. Ah!Alangkah indahnya jika lagu ini dapat diabadikan ke dalam satu rakaman susunan semula Dewangga Sakti. ho ho ho!
Kami juga amat gembira apabila CD Dewangga Sakti berkumandang di gerai Jom Makan selama hampir lima jam(atau lebih) beberapa hari lepas. Bila kami sampai jam 2 petang, CD itu sudah dipasang.Sejam selepas itu masih lagi dipasang. Jam lima petang,masih lagi dipasang.Menjelang tamat program 7 petang masih lagi dipasang.Agaknya tak ada CD lain? :)
Oh ya! Tukang masak ada dua orang ,seorang dari Pahang yang sudah enam bulan tinggal di Tokyo. Seorang lagi orang Pulau Perhentian yang sudah tinggal di Jepun sejak tiga tahun lepas dan berkahwin dengan orang Jepun.(org kampung tu!)
Ada dua orang pengunjung rakyat Malaysia yang datang. Seorang telah berkahwin dengan rakyat Jepun dan seorang lagi bakal berkahwin dengan orang Jepun. Salah seorangnya sekampung dengan Abdul Raof tetapi tidak pernah berjumpa.:)

Angka Sawan di Kokura





Shinji-san,pemain gitar sebuah kumpulan muzik hardcore terkenal di Kokura,Fukuoka datang melihat kami membuat persembahan dan sempat minum teh tarik dan nasi kari ayam di gerai Jom Makan. Malam sebelumnya,kami singgah di kedai muzik tempat beliau bekerja dan berkenalan dengan beberapa rakan sealirannya.Gitar mereka semuanya hebat-hebat.Maklumlah instrumen muzik buatan Jepun. Dua studio latihan tidak disewa dan beberapa orang sedang mendengar lagu di mixer console studio rakaman. Kami menyerahkan lapan keping promo CD kumpulan Grindcore Malaysia, Negation kepada beliau untuk diagih-agihkan kepada rakan-rakan 'scene' di sini. Seharusnya,kami juga perlu membawa CD Cryptic Malediction untuk diberikan kepada mereka! :)
Selesai persembahan,kami menjelajah ke sekitar bandar dan terjumpa Kokura Fuse yang banyak menganjurkan persembahan live pelbagai kumpulan dan artis. Dengan berpakaian baju Melayu,kami berjalan-jalan dan menjadi tontonan ramai orang. Kami cuba meninjau ke dalam Kokura Fuse yang terletak di tingkat bawah (underground) dan terserempak dengan Shinji di situ. Rasanya ramai yang terkejut melihat kelibat kami dengan pakaian baju Melayu yang lengkap bersampin dan songkok. :)
Terasa bangga memakai baju Melayu di bandar asing ini.Seolah-olah pahlawan datang membantu Ultraman menentang kejahatan raksasa!
Shinji ingin membayar harga tiket untuk kami tetapi kami menolak dengan baik kerana kami mempunyai misi lain iaitu mencari muzik! CD dan piring hitam.
Kami ke Border Line Records yang banyak menjual CD,DVD dan vinyl terpakai dan baru.Jika yang terpakai(second hand) masih dalam keadaan yang amat baik. Mungkin mereka hanya guna sekejap sahaja dan terus menjualnya di sini.
Kami juga amat terkejut bertemu dengan CD Noraniza Idris dan Siti Nurhaliza. CD kumpulan Shinji juga ada dijual di sini.
Maka hantu CD pun terus bersukaria dan berjenaka kerana bertemu salah satu tempat tujuannya.