Monday, March 31, 2008

Masanya hampir tiba

Ya! Masanya hampir tiba untuk rakaman Dewangga Sakti menerjah pasaran. Semalam dua buah lagu lagi telah siap dikerjakan di studio Purple Sound. Dua buah lagu itu adalah Belayar ke Pulau Jauh (Untuk Mencipta Rekod Dunia) dan Tertinggal Kapal Angkasa.Dua lagu ini akan diadun (mix) di dalam masa terdekat dan bakal dimuatkan di dalam EP (mini album) bersama dua buah lagu terdahulu yang sudah siap dirakam iaitu Selembar Kaseh dan Kembali Menchari.
EP ini akan diterbitkan dahulu sebelum album penuh muncul selepas itu. Target kami untuk mengeluarkan EP ini pada bulan Mei 2008 iaitu dua tahun tertangguh bermula rakaman separa siap pada tahun 2006(di studio yang lain).
Pada saat ini (jika pihak kesultanan tidak mengubah fikiran),EP akan diberi tajuk Mabok Kepayang
---bersambung

Video di youtube


Beberapa video persembahan Dewangga Sakti telah diletakkan di youtube oleh Perwira Jaya Sakti.
Setakat ini ada dua lagu iaitu lagu ciptaan kami iaitu Mabok Kepayang dan lagu kegemaran ramai drpd Allahyarham Fadzil Ahmad -Si Dia Datang.

Tunggu video yang lain.

Sunday, March 30, 2008

Gambus dan darbuka untuk dijual






Beberapa buah gambus dan perkusi seperti darbuka dibuka untuk jualan. Instrumen ini dibawa khas daripada Timur Tengah oleh seorang usahawan muda yang banyak membekalkan instrumen ini di Kuala Lumpur iaitu En Husam.

Kami telah meneliti instrumen yang dibawa dan ternyata ianya berkualiti tinggi. Gambus yang dibawa adalah buatan Syria (http://www.oudsukar.com/). Kayunya adalah rosewood.



TESTIMONI PEMBELI
Hai.saya wahyun dari gombak.saya dah beli sebiji darbuka cap 'alexandria' dari sharikat inche husam ini(melalui perantara inche zoy)ternyata ia sangat berbaloi pada harga yang wajar dengan kualitas nya yang hebat dan berpenampilan yang kacak.sangat lena bila tidur dengannya...saya sudah memilikinya.anda bila lagi?hubungi mereka di talian 1-800-44-tekan2 tak dapat!
Mon Feb 04, 01:26:00 PM MYT

Friday, March 28, 2008

Selera Makan Benjamin kembali

Akhirnya,pemilik Selera Makan Benjamin membuka laman blog sendiri. Setelah diprovok oleh rakan-rakan dan Mr Cohong yang kacak,dia telah berjaya!
Kami tidak mengemaskini cerita tentang kafe tersebut kerana sejak akhir-akhir ini, perkhidmatannya sudah tidak semesra dahulu.Teguran demi teguran telah diajukan kepada Mr Syam. Nampaknya berhasil dan dia telah sepakat memecat pengurus dan tukang masak Selera Makan Benjamin mengakibatkan kafe terpaksa ditutup selama dua bulan bermula sejak hari raya cina.
Harapan kami kafe akan bernafas semula dan ruang kafe akan menjadi lebih luas dan selesa.

Video persembahan

Ini ada satu link drpd laman web dunia vovin berkenaan persembahan Dewangga Sakti di RA Fine Arts beberapa minggu lepas.Terima kasih kepada Mr Nazri M Annuar kerana memasukkan video tersebut.

http://www.dunia-vovin.com/2008/dewangga-sakti.htm

Semoga terhibur...

Thursday, March 27, 2008

Orkes kanak-kanak




Bila kami berehat di antara set persembahan di Laman Santai, kanak-kanak ini mengerumuni kami dan meminta instrumen kami untuk dimainkan. Mereka masih bersekolah di sekolah rendah dan ada yang bersekolah di tahfiz.
Katanya mereka datang dengan ibubapa mereka. Kami membiarkan sahaja mereka melihat,memegang dan seterusnya memainkan instrumen kami itu.Mana tahu suatu hari nanti mereka ini akan berminat belajar dan mengembangkan seni tradisi kita.
Lebih baik mereka bermula awal.Tidak seperti kami yang bermula agak lambat dan masih terkial-kial meneroka muzik ini.
p/s: Kelihatan Irwan memakai baju ala-ala ke kelab dangdut.Jika anda terjumpa beliau di Pulau Pinang,tegur-tegurlah kerana beliau kesunyian!

Ronggeng pilihanraya di Laman Santai




Sekitar persembahan Dewangga Sakti di Laman Santai di depan Istana Budaya pada malam keputusan pilihanraya-8 Mac 2008.





Tuesday, March 18, 2008

Tertinggal Kapal Angkasa

Dua jam sebelum ke majlis anjuran RA Fine Arts -Kata Suara 3, kami dikejutkan dengan ketidakhadiran Abdul Raof yang terpaksa bekerja pada hari tersebut. Ahli bersekutu,Wah Yun Kua segera dipanggil untuk menaburkan khidmat bakti. Pada hari yang sama, peguam bergaya Yap Kwan Seng En Syam terpaksa bergegas kerana mempunyai banyak jemputan lain di Lembah Kelang dan Negeri Sembilan.Tukang karut utama,Moh Sen pula mempunyai kerja di Terengganu. (ini menambahkan kehairanan kami kerana banyak kerja Mohsen sejak setahun kebelakangan ini banyak tertumpu di negeri itu).
Tinggallah kami bertiga iaitu Nor Man -violin, Zul Kif Li-gambus dan Az Man -gitara untuk meneruskan undangan yang diterima.Perkusi -darbuka dipikul sepenuhnya oleh ahli bersekutu (yang mungkin akan diangkat taraf kepada ahli penuh bila dua mangkuk darah diberikan kepada pihak markas) iaitu Wah Yun Kua. Ahli bersekutu yang baru pulang dari Pulau Pinang tidak dapat menaburkan khidmat kerana bergegas menonton persembahan TOTO.
Persembahan mesti diteruskan.
Majlis ini bermula jam 5 petang dan dimulai oleh Dr Siti Zainon,seorang budayawan yang amat kami kagumi. Beliau banyak bercerita tentang kisahnya ketika zaman dahulu -semasa melanjutkan pelajaran Seni rupa di Jogja serta hubungannya dengan seniman senior dan anak muda zaman sekarang.
Kemudian,blogger terhebat Jiwarasa membaca beberapa fragmen daripada novel Shahnon Ahmad.
Kami muncul selepas itu mempersembahkan dua buah lagu ciptaan kami iaitu Belayar ke Pulau Jauh (untuk Mencipta Rekod Dunia) dan Tertinggal Kapal Angkasa. Jika mahu tahu lebih lanjut tentang kedua-dua lagu ini,sila baca entri-entri terdahulu yang memberikan sedikit latar kepada penciptaan lagu-lagu ini. Walaupun tanpa penggunaan microfon,terasa ruang betul-betul bergema memberikan nada akustik yang sesuai dengan instrumen yang kami mainkan.Terasa tidak puas membuat persembahan kerana setiap peserta diberikan tempoh sepuluh minit sahaja.
Selepas itu,wartawan NST Gerald Chuah tampil. Beliau baru sahaja menghasilkan buku berkenaan Sylvester Stallone. Kemudian, Dr Zakaria Ali (USM) muncul dan majlis diakhiri oleh pengarah tersohor,U Wei yang membaca sedutan daripada skrip di dalam pembikinan (work in progress) karya beliau.
Ramai juga blogger yang kami temui antaranya Firdaus Ariff, Pak Adib dll.
Kali ni majlis tamat pada jam 7:30 malam, lebih lama daripada dua majlis terdahulu.
Terima kasih kepada Raja Ahmad dan RA Fine Arts yang memberikan peluang kepada kami membuat persembahan.
***Kredit gambar- Firdaus Ariff (Jangan marah!kami ambil daripada flickr saudara!he he)

Saturday, March 15, 2008

Kata-Suara 3 di RA Fine Arts

Kami akan membuat persembahan di program bulanan anjuran RA Fine Arts .

15 Mac 2008

Jam 5 petang


Senarai peserta


Dr Zakaria Ali

Dr Siti Zainon

Jiwarasa

U-Wei Shaari

Chuah Guat Eng

Dewangga Sakti

Gerald Chuah

Dang Suria

Wednesday, March 12, 2008

Jamming Akbar 3

10 Mac - Di saat rakyat Malaysia masih sedang meneliti keputusan pilihanraya dan terkejut dengan keputusannya, Dr Iqbal dan pelajar-pelajarnya yang berdedikasi (kacak dan comel -spt kata Syamsul) menganjurkan program Jamming Akbar yang sudah memasuki Edisi ketiga.Kali pertama pada April tahun lepas dan kedua di bulan Ogos tahun yang sama.
Kali ini seperti celoteh Dr Iqbal ketika persembahan beliau,program santai ini sudah keluar dari territori mereka di Ahmad Ibrahim Kuliyyah of Laws (AIKOL) kerana program ini dibuat di depan tangga besar UIAM berdekatan pintu masuk.Kebiasaannya dibuat di depan Moot Court dengan suasana yang lebih tertutup.Kali ini di kawasan yang lebih luas dengan pentas besar dan suasana yang meriah.
Program dibuka dengan sekumpulan penyajak/penyair yang berjaya menghangatkan suasana. Diikuti sebuah kumpulan lain yang menambahkan lagi keseronokan. Dr Iqbal dan kumpulannya ke pentas selepas itu dan menyanyikan antara lain lagu Ebiet, M Nasir dsbnya.
Program ini seperti juga di Laman Santai menyaksikan jejaka kacak bergaya, Irwan pulang dari Pulau Pinang dan bermain akordian di samping bermain gitar mengiringi Dr Iqbal.
Kami bermain sebagai kumpulan yang keempat dan membuka persembahan dengan lagu Mabok Kepayang. Diikuti lagu Fadzil Ahmad - Si Dia Datang. Lagu seterusnya adalah Belayar ke Pulau Jauh, Selembar Kaseh, Tertinggal Kapal Angkasa,Terbang ke dada langit dan sebuah lagu yang tidak pernah dipersembahkan secara live iaitu Malaysia Tanahairku yang mempunyai pengaruh dangdut(he he).Semua anggota menghadapi masalah untuk bermain lagu ini dengan betul kerana menahan diri daripada ketawa.
Lagu ini telah diilhamkan di Taipei,Taiwan ketika kami mengikuti rombongan promosi Tourism Malaysia pada tahun 2006. Dek kerana terlalu rindukan makanan Malaysia dan tidak dapat makan ayam, maka lagu ini telah tercipta tanpa sedar. Satu lagu lagi yang dicipta ketika itu adalah Mabok Latte kerana anggota kumpulan ketika di Taipei minum latte dan kapucino dicampur coklat Haagen Dazs setiap hari (terutamanya Mohsen).
Persembahan kami diakhiri dengan lagu joget sukaramai iaitu Joget Johor Sport Club dengan penampilan istimewa ahli bersekutu,Wah Yun Kua. Ketika berceloteh dan menjadi tukang karut,Mohsen juga memperkenalkan maskot kami iaitu panda(lihat di gambar) dan juga pertubuhan yang diilhamkan En Syam iaitu PANDRAF (Panda Right Action Force) dan PAPAN (Parti Panda Nasional).Keseluruhannya kami amat berpuashati dengan program ini.
Terima kasih kepada Dr Iqbal,Izwan dan AJK yang bertanggungjawb di sana. Sebagai bekas pelajar UIAM,kami amat berbangga dengan usaha pihak penganjur yang bertungkus lumus menjayakan program ini.


Kami masih menantikan banyak gambar lagi.Jika anda berada di situ dan mempunyai gambar-gambar yang menarik,sila hantar ke email ini - dewanggasakti@yahoo.com

Tuesday, March 11, 2008

Laman Santai





Kami membuat persembahan di program Laman Santai yang bertempat di luar Istana Budaya dengan perasaan bercampur baur. Waktu di mana rakyat Malaysia sedang menunggu keputusan pilihanraya ke-12 dan kami memulakan persembahan pada jam 8:30 malam.
Satu skrin besar dipasang di tepi pentas yang disediakan pihak IB untuk memudahkan pengunjung melihat keputusan.Laman Santai adalah satu program mingguan (Sabtu malam Ahad) yang diadakan di luar IB(kawasan parking lot) yang dipanggil Laman Beringin dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan,Kesenian dan Warisan (KEKKWA).
Ini adalah penampilan pertama kami di situ.
Seawal jam 5 petang kami sudah tiba di sana untuk melalukan sound check. Walaupun begitu terdapat dua lagi ahli yang tiba lewat kerana pulang mengundi. Alhamdulillah Mohsen dapat mengundi walaupun tercatat di maklumat SPR (yang disemaknya melalui laman web) yang mengatakan jantinanya Perempuan dan alamatnya juga salah. Pada pilihanraya yang lalu(2004) beliau tidak dapat mengundi atas sebab-sebab teknikal.
Kami benar-benar berpuashati dengan sound check yang dilakukan. Juruteknik bunyi amat memahami keperluan muzik seperti kami yang banyak menekankan penggunaan instrument akustik dan memerlukan banyak microfon. Beberapa kali mereka bertanya kepada kami jika kami berpuashati.
Gerai tidak banyak tetapi makanan yang dijual sedap-sedap juga terutamanya roti bakar dan nasi lemak beserta kopi yang menyegarkan. Terdapat juga gerai yang menjual barang kraf dan lukisan. Tempatnya juga sesuai dan menyenangkan untuk keluarga meluangkan masa di malam minggu menyaksikan persembahan.
MC pada malam itu adalah Ifa Raziah.
Kami sangkakan pengunjung tidak ramai kerana faktor pilihanraya.Tetapi ternyata program ini sudah ada pengunjung setia yang terus datang saban minggu. Kami memulakan persembahan dengan lagu ciptaan kami sendiri iaitu Mabok Kepayang diikuti oleh lagu si Dia Datang (Fadzil Ahmad). Keseluruhannya kami bermain 16 lagu termasuk enam lagu gubahan sendiri. Kami juga diminta mengiringi persembahan artis Zehra Zambri untuk lagu klasik Fadzil Ahmad,Empat Dara.Ifa Raziah ada meminta kami mengiringinya untuk dua buah lagu tetapi kami tidak biasa bermain lagu dangdut yang diminta.(ha ha)Mungkin selepas ini kami akan cuba memainkan lagu tersebut.(Bukan senang mahu main dangdut!ha ha)
Artis berbangsa Cina dan India juga tampil di dalam program ini.
Persembahan banyak dihentikan untuk memberi laluan kepada keputusan pilihanraya seperti yang tercatat di dalam kertas program yang diberikan kepada kami.
Kami mengakhiri persembahan dengan sebuah lagu baru ciptaan kami iaitu Pengkhianat!. Lagu –lagu gubahan kami yang lain dimainkan adalah Selembar Kaseh,Belayar ke Pulau Jauh, Tertinggal Kapal Angkasa dan Terbang ke dada Langit.
Inilah pengenalan Mohsen untuk lagu Tertinggal Kapal Angkasa , “ Air Asia dengan tagline Now Everyone can fly .Lagu ini dengan taglinenya Now Everyone can go to space!ha ha”. Cerita lagu ini adalah berkenaan seorang lelaki yang suka tidur dan tertinggal kapal angkasa mengakibatkan dia kerugian wang yang bukan sedikit.
Bila program sudah berakhir, kami terus meneliti laporan dan menerima banyak sms yang mengatakan BN telah tewas di banyak negeri. Banyak keputusan yang memeranjatkan telah berlaku.
Sebagai kesimpulannya, kami dapat rasakan program ini berjaya mencetuskan minat khalayak dan pemuzik untuk terus memartabatkan muzik tradisional dan amat baik lagi jika banyak kumpulan muda diberikan peluang. Marilah kita bersama membina generasi yang membuat gubahan dan ciptaan baru muzik tradisional /etnik tanpa meninggalkan lagu-lagu klasik kerana setiap generasi perlu ada dokumentasi muzik mereka. Kita tidak akan maju ke depan jika kita hanya bernostalgia dengan lagu-lagu klasik dan tidak mahu melakukan pembaharuan di dalam berkarya.Lagu-lagu klasik itu juga satu jawapan kepada zaman mereka. Marilah kita membuat perkara yang sama yang akan menguntungkan generasi akan datang (dipetik daripada ceramah umum parti politik PAPAN).
Terima kasih kepada pihak Istana Budaya yang memberikan peluang kepada kami membuat persembahan.
Jom malam minggu ke sana!
p/s:Gambar-gambar lain akan dimasukkan bila kami mendapat bekalan gambar drpd jurugambar kami,En Abdul Halim yang sedang pulang ke kampung di negeri kedua termiskin untuk majlis perkahwinannya

Info dari BERNAMA tentang Laman Santai dua bulan lalu

Laman Santai Di Bangunan Sultan Abdul Samad Jika Dapat Sambutan


KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Program Laman Santai di Laman Beringin, Istana Budaya di sini yang berkonsepkan santai sambil berhibur akan diadakan di perkarangan Bangunan Sultan Abdul Samad sekiranya mendapat sambutan yang menggalakkan.
Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata program itu yang bermula November lepas memberi peluang kepada masyarakat menjamu selera bersama keluarga dan rakan sambil menikmati pelbagai persembahan kebudayaan."Jika sambutan terhadap Laman Santai di sini meningkat, ia akan dibawa ke Bangunan Sultan Abdul Samad, manakala sajian makanan pula akan dipelbagaikan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program itu di Laman Beringin, Istana Budaya di sini malam ini.
Beliau berkata selain pelbagai persembahan kebudayaan seperti tarian, lagu-lagu rakyat dan dikir barat, pengunjung juga berpeluang membeli lukisan dan kraftangan yang dipamerkan.Katanya Laman Santai yang diadakan setiap Sabtu mulai 6 petang hingga 12 malam akan dipantau oleh pegawai kementerian termasuk beliau sendiri secara bergilir-gilir."Dulu, kita pernah buat Laman Seni yang menampilkan karya seni dan budaya Malaysia. Kali ini (Laman Santai) nak ubah sedikit konsep supaya masyarakat tidak berasa formal," katanya.-- BERNAMA

Monday, March 10, 2008

Jamming Akbar


Jamming Akbar satu inisiatif Dr Iqbal daripada Ahmad Ibrahim Kuliyyah of Laws (AIKOL),UIAM akan diadakan pada 10 Mac 2008,Isnin 9 malam di depan moot court Fakulti Undang-undang.Kami dijemput untuk membuat persembahan yang akan berlangsung di dalam suasana santai di situ.
Jemput datang semua.

Saturday, March 08, 2008

Dewangga Sakti di Laman Santai,Istana Budaya

Kami akan membuat penampilan di program Laman Santai ,Istana Budaya pada jam 8:30 malam,Sabtu bertarikh 8 Mac 2008. Hari pilihanraya!
Kami akan mempersembahkan lagu-lagu yang bakal keluar di dalam mini album(EP) dan juga album penuh.
Kami akan membuat tawaran pilihanraya kepada semua yang baru pulang mengundi.He he
Tunggu di sana!