Wednesday, July 30, 2008

(Hampir)Tertinggal Bas ke Kota Singa

Hari Sabtu 26 Julai.
Jam sudah menunjukkan 7 pagi dan bas sudah dijadualkan untuk bertolak ke Singapura. Namun masih ada dua orang lagi anggota kumpulan yang belum sampai. Pemandu dan konduktor (orkestra) bas sudah bertanya-tanya. Kira-kira jam 7:15 pagi,dua orang yang hampir tertinggal bas tiba dengan iringan nyanyian lagu kebangsaan. Mungkin disebabkan mengejar bas dan tidak tidur pada malam tersebut (salah seorangnya baru sahaja selesai bertugas pada jam 2 pagi),maka mereka telah tersilap haluan setelah berhenti LRT di Masjid Jamek.Mereka awalnya menuju ke Bangunan Sultan Abdul Samad dan bukannya Hentian bas PuduRaya.
Perjalanan berjalan lancar selepas itu. Kami tiba pada jam 1:30tengahari di Beach Road dan dibawa ke Blok 606,Bedok Reservoir untuk membuat persediaan mengadakan persembahan. Setelah menukar pakaian dan makan tengahari,kami membuat persembahan dengan diselang seli oleh DJ yang berceloteh dan sebuah kumpulan nasyid.
Sekejap Dewangga Sakti,sekejap Demangga Sakti nama kami dipanggil. Mungkin terlalu letih berceloteh sejak tengahari,nama kami bertukar-tukar.Majlis akan berjalan sehingga 8:30malam.
Hiasan pelamin menarik sekali, sesuai dengan status pengantin -Norfasarie (pengacara,pelakon,penyanyi Singapura) dan Baihakki (pemain bolasepak skuad Singapura).Majlis ini diadakan di ruang padang blok perumahan ini dan dihias dengan cukup menarik.
Baru sahaja kami ingin memulakan lagu pertama,seorang wanita bertudung ingin menyanyikan lagu bersama kami. Rupa-rupanya ibu kepada pengantin lelaki. Maka, lagu P Ramlee bertajuk Gambus Jodoh dimainkan.Asalnya dia mahu nyanyi lagu Saloma.Kami sudah lama tidak memainkan lagu Saloma tersebut,kali terakhir ketika kami (pernah )mempunyai penyanyi wanita pada tahun 2002.
Makanan di majlis tersebut amat sedap sekali. Masakan rendang,ayam,ikan dan pelbagai jenis kuih sungguh menyelerakan.Ada yang bertambah gemuk kerana makan terlalu banyak.Sementara menantikan slot terakhir jam 8 malam iaitu set penghabisan, kami ke sebuah kedai mamak bernama Niakmat (mungkin dieja huruf 'Arab 'ayn kot!) di depan blok tersebut.
"Siapa mahu bayar ni?",ahli yang sudah bertambah gemuk bertanya.
"Aku tak bawa Sing Dollar!",ahli yang kurus bertambah kurus berkata.
"Ini macam siapa mahu bayar?",ahli termuda baru akil baligh bertanya.
Akhirnya ahli berambut panjang membayar semua minuman kerana hanya dia dan ahli kerja shift UK sahaja membawa Sing Dollar.
Selesai majlis ,kami terus ke stesyen bas di Lavender Street untuk pulang ke Kuala Lumpur. pada jam 10malam.Nah! Perjalanan yang jauh ke Singapura hanya di dalam satu hari.Pastinya hari minggu menjadi lebih indah kerana keletihan dan tidur sehingga tengahari.
---Terima kasih kepada Abg Yan yang menjemput kami.Kpd pengantin,semoga berkekalan sehingga ke akhirat!

Monday, July 28, 2008

Dipetik daripada Berita Harian 28 Julai 2008

Gema muzik Islami

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my


ADA KELAINAN: Dewangga Sakti menampilkan persembahan menarik menerusi permainan muzik tradisional dan moden.

Masmi disulami alunan lagu berunsur nasihat, gabung persembahan muzik tradisional, moden

PADA acara Malam Aspirasi Seni Muzik Islami (Masmi) anjuran Institut Kefahaman Islam (Ikim) sempena sambutan ulang tahun ketujuh stesen radio Ikim FM, bukan saja irama nasyid yang kedengaran. Sebaliknya, Dewan Besar institut terbabit turut bergema dengan alunan lagu berunsur nasihat, permainan muzik bertali, serta saksofon.
Ia seperti menandakan, betapa skop muzik keagamaan di negara ini tidak lagi hanya berpusat kepada kompang atau gendang. Malah, selagi mana alat muzik dan irama yang dimainkan tidak melalaikan, sebaliknya mendorong pendengarnya mengagumi ciptaan serta keagungan Tuhan, maka selagi itulah muzik terbabit ‘dibenarkan’.

Tokoh falsafah Islam, Al-Farabi (lahir 870M) juga pada dasarnya seorang pemuzik yang hebat. Lagu yang dihasilkan tokoh ini meninggalkan kesan mendalam pada pendengarnya. Selain mempunyai keupayaan bermain muzik dengan cukup baik, dia juga mencipta sejenis alat muzik dikenali sebagai gambus.
Mungkin berpandukan kepada keterbukaan tokoh terbabit, maka malam persembahan anjuran Ikim turut tidak mengetepikan elemen muzik lain seperti gitar dan saksofon. Kumpulan Dewangga Sakti, umpamanya, cukup menghiburkan apabila enam anak muda berkenaan tampil di pentas memperdengarkan karya bermutu mereka, Selembar Kasih dan Tertinggal Kapal Angkasa, dengan menggabungkan permainan muzik tradisional seperti gendang, gambus dengan biola serta gitar.
Hasilnya, sebuah persembahan yang dikira amat menarik, apatah lagi apabila vokalis utamanya, Mohsen Amdan, mengalunkan lagu yang berunsur nasihat. Dewangga Sakti sendiri bukanlah kumpulan yang baru, walaupun album pertama yang memuatkan lima lagu, baru saja dilancarkan Jun lalu.
Kumpulan yang berpangkalan di Pulau Pinang dan ditubuhkan sejak 2000 itu nyata tidak salah gelanggang apabila diundang sama menjayakan majlis berkenaan.
Begitu juga kehadiran peniup saksofon, Alif Nasir yang menghiburkan penonton dengan tiga lagu - Badarsila, Nurul Ain dan Jangan Tinggal Daku. Persembahan anak muda itu turut mendapat sambutan hebat hadirin yang memenuhi dewan. Di luar bangunan pula, ratusan lagi penonton yang mengikuti persembahan menerusi layar besar di laman. Namun begitu, Masmi sudah tentunya tidak mengetepikan irama nasyid apabila beberapa nama besar dalam genre muzik berkenaan turut mengambil tempat di pentas utama, menyampaikan lagu terbaik mereka untuk santapan telinga penonton yang ada.
Lalu, berkumandang irama indah Hanzalah dan Mentari Merah Di Ufuk Timur nyanyian Asri Ibrahim bersama rakan Rabbani yang lain, sebagai pembuka tirai acara yang turut disiarkan secara langsung oleh radio terbabit. Persembahan kemudian diteruskan kumpulan Saujana yang mengalunkan lagu Lakaran Minda serta Jalan Sehala.
Bahagian pertama persembahan turut menampilkan kumpulan Far East yang memukau suasana dengan laungan qasidah serta sebuah lagu Arab. Dewangga Sakti muncul kumpulan terakhir mengadakan persembahan pada bahagian berkenaan.
Apabila tirai sekali lagi disingkap, Nazrey Johani yang kini bergerak sendirian memilih lagu Secerah Pawana dan Antara Dua Cinta untuk hiburan penonton serta pendengar Ikim FM, manakala Nowseeheart pula hadir bersama lagu Inspirasi dan Selawat Murah Rezeki. Selepas Alif Nasir turun pentas, akhirnya Akil Hayy yang mendapat tepukan paling gemuruh penonton, tampil bersama dua buah tangan, lagu Berita Kepada Kawan dan Sesungguhnya.


INFO: Ikim FM

  • RADIO Ikim FM dilancarkan pada 6 Julai 2001 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad. Ikim FM ke udara 24 jam sehari menerusi 12 pemancar di seluruh negara. Rancangannya disampaikan dalam tiga bahasa - Melayu, Inggeris dan Arab.

  • IKIM FM yang mempunyai visi menjadi stesen radio terkemuka bagi memenuhi kehendak pendengar, bermatlamat menerbit dan menyiarkan 75 peratus rancangan bercorak pendidikan, 20 peratus rancangan berbentuk hiburan dan lima peratus rancangan yang menyampaikan maklumat.

  • MASMI yang berlangsung pada 13 Julai lalu dirasmikan oleh Pengerusi Ikim, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

  • Daripada Berita Harian 28 Julai 2008
    Beberapa kesilapan fakta rencana ulasan ini
    -Al Farabi tidak mencipta gambus.Beliau mencipta qanoon dan rabab.

    Dewangga Sakti
    -berpengkalan di Kuala Lumpur, bukannya Pulau Pinang.Hanya ahli bersekutu,Irwan yang sekarang menetap di sana atas urusan kerja
    -anggota seramai tujuh(7) orang,bukannya enam orang (sila lihat gambar)
    Apa-apa pun,jutaan terima kasih kepada Berita Harian yang meletakkan gambar kami yang besar di rencana tersebut. :)

    Tuesday, July 22, 2008

    Hijrah

    Seorang anggota kumpulan telah ditawarkan kerja dengan gaji yang masyaAllah! sungguh lumayan di sebuah negara Arab.Beliau telah menerima tawaran tersebut dan akan mula bertugas selepas hari raya nanti.
    Beberapa ahli kumpulan menitiskan air mata selepas mendapat tahu berita tersebut. Al maklumlah beliau diketahui selalu menjadi badut kumpulan.Kehilangan sementara beliau pasti mengurangkan keseronokan kumpulan.Ahli kumpulan tampak lebih bersemangat selepas itu kerana beliau menjanjikan elaun bulanan untuk membuat rakaman kepada kumpulan (ampu supaya tidak terus ditinggalkan) selama mana beliau berada di sana (jangkaan dua tahun).

    Thursday, July 17, 2008

    Pameran lukisan Zakii Anwar

    "Dari mana ni?",Tuanku Raja Nazrin bertanya.
    Kami tergamam dan menjawab ," Kuala Lumpur"
    Jemputan amat ramai pada hari itu sempena perasmian pameran lukisan Zakii Anwar yang dirasmikan YM Raja Nazrin di Galeri Petronas,KLCC. Ini kali kedua kami bermain di binaan canggih (Mari mencipta rekod dunia) ini.
    Lukisan Zakii melebihi seratus karya.Kami amat kagum dengan lukisannya yang betul-betul hidup dan menonjol.Ada yang pernah kami lihat sebelum ini.Banyak pula yang kami belum lihat kerana karyanya yang begitu banyak.
    Jemputan amat ramai.Tugas kami bermain muzik sebelum ketibaan YM Raja Nazrin dan semasa orang semua sedang sibuk makan,kami mainkan lagi beberapa lagu.
    Banyak yang bertanya adakah kami terikat dengan organisasi. Mereka memberikan beberapa nama. Kami jawab tidak! Kami bergerak bersendirian dan tidak terikat dengan mana-mana organisasi yang mereka sebut itu. Cuma kami secara spiritualnya terikat dengan kerajaan (ghaib) Kesultanan Gombak (he he).
    Oh ya!Kami bebas kerana kami gemar begini.
    Lagi satu perkara,bermain di galeri adalah kegemaran kami.Begitu juga baca puisi dan acara-acara skala kecil/sederhana yang lain.
    Selesai acara, kami bergegas ke Seksyen 14,Petaling Jaya untuk satu rakaman lagu hari raya seorang artis wanita yang vokalnya amat bagus(Tunggu pengumumannya nanti).Kami memainkan instrumen kami dan menyanyikan bait lagu di permulaan lagu yang kemudian di'loop' ke dalam lagu yang utama. Di lagu utama pun,kami memasukkan instrumen.juga.Tunggu hasilnya nanti.
    ---
    Kami akan memulakan kelas Sarkis! Mari bersama-sama kami memeriahkan sarkis ini.Skrip sudah ada!Ayuh bersama-sama!Kami perlukan ramai lagi pelakon. Tajuk pementasan Sarkis Segalanya(Tipu daya dunia)!

    Wednesday, July 16, 2008

    Macam dulu-dulu di kampus!









    "Ini kumpulan nasyid baru kah? Tak pernah dengar pun!
    Itulah di antara pertanyaan yang paling mencuit hati ketika kami mengendalikan sesi jamming dan busking di meja jualan yang disediakan ketika mereka melihat CD kami. Asalnya meja ini kosong dan kami mengambil alih setelah diberi kebenaran oleh petugas IKIM.
    Kami dijemput mengadakan persembahan di Institut Kefahaman Islam Malaysia(IKIM) untuk program Malam Apresiasi Seni Muzik Islam yang semuanya dihadiri oleh kumpulan nasyid seperti Rabbani,Nowseeheart,Saujana,Akhil Hayy dll.Hanya kami dan Alif (yang bermain saksofon) bukan memainkan lagu nasyid. Ketika menghantar sms kepada teman-teman tentang perkara ini, ahli bersekutu yang menetap di Pulau Pinang,Irwan membalas sms dengan kata-kata," Jangan salah gelanggang!he he"
    Persembahan lancar tetapi seperti biasa ada kesilapan teknikal bunyi berlaku dan tiada mikrofon untuk rebana /darbuka yang dimainkan oleh Abdul Raof.Nasib baik mikrofon untuk Wah Yun Kua yang juga bermain perkusi berfungsi dengan baik.Kami hanya mempunyai dua minit untuk membuat set up kepada instrumen di atas pentas ketika klip video dimainkan.Kami memainkan dua lagu -Selembar Kaseh dan Tertinggal Kapal Angkasa.
    Selesai persembahan,kami terus membuka meja jualan semula. Bosan dengan suasana,kami membuat sesi jamming di situ.Alhamdulillah, Cd ada terjual. Walaupun tidak banyak tetapi cukup untuk mencari khalayak baru. Kami tidak fikir tersalah gelanggang. Jemputan mesti diterima jika bersesuaian.
    Walaupun begitu,suasana ketika para orthodoks berkuasa di kampus dahulu kami rasai semula. Beberapa penonton di belakang isteri Dato' Mohsen menyuarakan ketidakpuasan hati kerana kami menggunakan instrumen gitar yang didakwanya haram dimainkan. Mereka juga mempersoalkan penggunaan ayat seperti " hadirin dan hadirat" yang didakwanya tidak cukup Islamik.Kemudian,mereka mempersendakan ayat ini seolah-olah ayat ini tidak wajar dituturkan di situ.Mungkin elok benar mereka memahami bahasa yang banyak kita gunakan sehari-hari.
    Ini membawa kami kepada persoalan yang lebih luas -Apakah nasyid yang difahami di dalam konteks kita sebagai rakyat ,lebih khusus lagi Umat Islam? Jika mesej atau nilai di dalam lagu menjadi sandaran,Ramli Sarip juga boleh menjadi artis nasyid.
    Secara peribadi,kami suka dengan lagu-lagu nasyid.Ketika aku dan Syam masih lagi memainkan lagu-lagu berirama berat,Raihan menjadi pilihan untuk kami dengari dan beberapa lagu Nowseeheart.Begitu juga Haddad Alwi.
    Jika kita memandang kepada niat,siapakah kita yang dapat membaca niat tersirat di hati manusia?
    Maka eloklah kita belajar sesuatu dari Kiai Kanjeng (Indonesia) yang amat berhikmah di dalam berdakwah dan turun ke segenap pelusuk kampung dan kota.
    Oh ya! Merujuk kepada tema majlis dan klip yang disediakan,pastinya banyak lagi boleh dilakukan jika kita mahu bercerita tentang muzik di dalam suasana Islami.Misalnya ,apakah kandungan kitab Al Musiqa karangan Al Farabi dan penceritaan asal usul nada ' do re mi' yang berasal dari abjad Arab.Jika kita katakan Al Farabi mencipta qanoon dan rabab,lebih molek diadakan satu pameran di luar dewan ,instrumen muzik ini di samping gambus(oud) yang menjadi tunjang kepada muzik Islam.
    Pastinya lebih hebat lagi jika kita bercerita tentang flamenco yang mengambil skala (maqamat) Arab dan dikembangkan di Andalusia satu ketika dahulu oleh Ziryab. yang mengasaskan sekolah muzik pertama di bumi Eropah.
    Akhir kata,terima kasih tidak terhingga kepada IKIM yang memberikan peluang kepada kami mengadakan persembahan.


    Wednesday, July 09, 2008

    Photoshoot!

    "Ha! abg yang depan tu kepala depan sikit. Yg P Ramlee tu violin ke depan",arah jurukamera.
    "Ha ! Satu lagi.Tabla tu ke depan sikit!"
    Ops! ini bukan adegan penggambaran filem. P Ramlee tidak wujud di sini.Tabla juga tidak dimainkan.
    Ini sebahagian daripada adegan kami menjalani sesi penggambaran (photoshoot) untuk majalah TELL yang akan keluar untuk isu bulan Ogos nanti.Inilah panggilan pertama daripada media setelah beberapa siri promo dihantar kepada media terpilih.Ini juga bukan majalah berbahasa Melayu.TELL sebuah majalah berbahasa Inggeris yang berkualiti tinggi menampilkan isu-isu semasa,politik,sosial,budaya dll.Kupasan isu di dalam majalah ini juga amat menarik.Ini ditambah dengan foto-foto yang menarik.Misalnya di dalam isu bulan lepas menampilkan Raja Zarith Sofia sebagai muka depan dan cerita utama di samping cerita tentang Rainforest World Music Festival dan beberapa isu lain seperti MP lompat parti dll.
    Hampir dua jam kami menjalani photoshoot tersebut malam tadi.Sudah kejang otot-otot muka kami kerana perlu tersenyum dan juga membuat aksi-aksi yang menarik. Beratus-ratus keping gambar diambil. Hasilnya kita akan dapat tengok di dalam isu TELL pada bulan depan. Temubual secara santai juga dilakukan.
    Oh ya! En Syam remaja gemilang Klang Gate yang datang paling awal. Baru sahaja kami ingin memberikan hadiah kerana datang awal dia berkata," Woi! Aku lupa bawa butang baju Melayu da!",Itulah Sudin di dalam cerita ini.Telah kami katakan sebelum ini bahawa En Syam yang banyak menceriakan kumpulan dengan aksi lawak spontan beliau.Situasi telah memerangkap beliau menjadi 'joker' kumpulan.Tidak dapat kami bayangkan jika En Syam tiada di dalam sesi ini.

    Wednesday, July 02, 2008

    Gadis cantek berkebaya biru di tepi tasik tersipu-sipu

    Ada seorang teman lama menghantar sms menanyakan perihal kulit album. Dia bertanya adakah artis sensasi Malaya menjadi cover CD tersebut. Setelah aku berkata bahawa ianya bukan ,dia bertanya lagi siapakah model yang muncul di kulit album tersebut. Kalau bukan model tersebut,mungkin adiknya.
    Eloklah aku rungkaikan misteri kulit album tersebut. Nama model yang disebut itu adalah Nur Suhaila Wagiman.Lulusan sebuah universiti luar negara dan sekarang menjadi model sambilan merangkap peguam di sebuah firma di Jalan Yap Kwan Seng. Berdarah kacukan.Ibu orang Melayu dan ayahnya orang Belanda.
    Sebelum kamu jatuh hati (wahai sahabatku),ketahuilah bahawa gadis itu adalah manipulasi lukisan digital melalui sketch yang dibuat oleh saudara Apogee yang amat cemerlang. Lawati blog beliau di sini
    Jadi dengan penjelasan ini,jangan kaitkan lagi Abg Syam dengan gosip ini. Mungkin benar dia jujur tetapi artis sensasi itu tidak pernah diminatinya. Bukankah dia sudah berkahwin serta punya anak yang comel dan mengusahakan kafe yang semakin menjadi tumpuan?
    Oh! Ada lagi ulasan tentang CD di blog Krenmaut di sini dan blog Anuar di sini
    Nota akhir daripada Penerbitan Lewat Senja: Belilah CD Dewangga Sakti dan warwarkan ke seluruh alam!sila rujuk ke notis di sebelah kiri!

    Iklan PIDM





    Malam tadi aku mendapat mesej dari saudara Fazli yg bekerja dgn syarikat minyak.Isteriku juga menelefon.Ketika itu ,aku di luar menjalankan tugas keamanan dan juga hal-hal parti kami -PAPAN (Parti Panda Nasional).Rupa-rupanya iklan PIDM yang pernah kutulis cerita mengenainya beberapa bulan lepas telah muncul di kaca tv.
    Iklan yang menceritakan tentang sekumpulan pemuzik diketuai oleh seorang pemain gambus. Lokasi penggambaran adalah di sebuah rumah pusaka di Ulu Langat.Abg Bob (yang handal bermain violin) yang melakonkan peranan utama.Dan gambus yang digunakan adalah milikku.he he
    Inilah gambar-gambar yang kuambil ketika penggambaran tersebut.

    Sajak di Selera Makan Benjamin

    Pengkhianat
    Bukan sahaja memunggah kekayaan
    atau harta kita
    Pengkhianat akan buat apa saja
    Untuk memperkosa daya intelektual
    Dan memusnah kemahiran berfikir
    Meneruskan tradisi
    Memandulkan daya juang bangsa

    Siapa pengkhianat di kalangan kita?
    Ibarat api dalam sekam
    Musuh dalam selimut



    Nota:Gambar tiada kena mengena dgn tulisan.