Wednesday, December 31, 2008

Kami bukan kumpulan ghazal!

Lagu pertama dikategorikan sebagai lagu Ghazal Melayu dicipta oleh seorang ahli Wayang Bangsawan Datuk Bentara Luar di Johor pada tahun 1886. Tajuk lagunya Tinggi-Tinggi Si Matahari.
(dipetik drpd kertas kerja Drs Ungku Mohd Zaman Tahir bertajuk Perkembangan Lagu-lagu Ghazal Melayu Johor terbitan Yayasan Warisan Johor -Jurnal Warisan Johor Jilid II 1998)

Tuesday, December 30, 2008

Show time

Fakta-fakta showcase di Alliance Francaise:-
1) Dibahagikan kepada dua segmen
2) Tujuh (7) lagu satu segmen -Jumlah kedua-dua segmen 14 lagu
3) Segmen pertama memakai pakaian santai
4) Segmen kedua menukar pakaian kepada kostum rasmi kumpulan
5) Ada bab interaktif dengan penonton ; empat penonton dijemput ke pentas (dua org Melayu,dua org Perancis) untuk memainkan kompang yang diajar terus dan dimainkan ke dalam muzik tradisional
6) Tambahan dua lagu setelah tirai ditutup kerana permintaan penonton yang bertepuk tangan dengan gamatnya dan menjerit "We want more!" berkali-kali. Jumlah keseluruhan lagu akhirnya 16 buah
7) Separuh penonton (kira-kiraannya) adalah warga Perancis yang bekerja di KL
8) Jumlah lagu tradisional/cover songs -11 buah
9) Lagu komposisi Dewangga Sakti - 5 buah

Sekian.
Nota: Kemerosotan fikiran mengakibatkan catatan ditulis sebegini rupa :)

Wednesday, December 17, 2008

Pra persembahan

Kami hanya sebuah kumpulan kecil dan bila diberitahu Alliance Francaise KL berminat membuat persembahan ekslusif untuk Dewangga Sakti,kami rasa amat gembira. Kegembiraan ini atas beberapa sebab. Pertamanya, inilah kali pertama sebuah persembahan solo kami diadakan sejak kami menubuhkan kumpulan ini lapan tahun lepas. Keduanya, kami dijemput oleh pusat bahasa asing (ini menambahkan kekaguman kami kepada mereka dan membuktikan beberapa teori kami berkenaan apresiasi muzik). Ketiganya persembahan ini berbayar (yang kami awalnya berfikir siapa yang mahu membelanjakan wang sebanyak RM15 untuk menonton kami).
Persembahan ini juga tidak lengkap sepenuhnya kerana kami kehilangan pemain bass yang sudah berhijrah ke luar negara dan kami memutuskan untuk tidak mengambil pemain baru buat masa sekarang.
Persediaan kami sebelum mengadakan persembahan ini juga tidak begitu lancar. Dua minggu terakhir menyaksikan latihan tidak dihadiri oleh semua ahli sepenuhnya kerana terikat dengan banyak komitmen lain seperti kerja,keluarga dsbnya. Oleh itu banyak pelan tidak dapat dijalankan dan ada lagu yang terpaksa ditolak. Lagu yang dijadualkan untuk diperdengarkan buat pertama kali iaitu Ronggeng Pak Abdul juga tidak dapat dipersembahkan.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Bila tiba hari dijadualkan kami tidak dapat membuat semakan bunyi lebih awal kerana tempat itu (dewan) mempunyai kelas bahasa Peranchis sehingga jam 5:30 petang. (Aku juga sebenarnya hampir-hampir tidak dapat menyertai persembahan ini atas sebab yang amat mustahak ---baca di sini).
Selepas kelas selesai, satu lagi masalah timbul kerana entah di mana silapnya, soundman yang bertugas tidak dapat turut serta dan hanya menghantar barang yang diperlukan sahaja. Kami terpaksa melakukannya sendiri. Mujurlah kebanyakan ahli sudah biasa dengan perkara sebegini. Bekas ahli kami ,Yaser kemudian datang membantu dengan mengendalikan mixer.
Selepas itu, kami menyedari ada lagi masalah menimpa. Cable tidak cukup untuk disambung kepada satu monitor speaker di depan kami (oleh itu hanya satu yang berbunyi ). House speaker pula tiada masalah.
Kami meminta tujuh (7) mikrofon tetapi hanya empat yang berkualiti untuk persembahan -Dua unit Shure SM58 dan dua unit Shure SM57. Tiga lagi adalah jenama biasa yang sebenarnya tidak berapa sesuai untuk persembahan, mungkin untuk ucapan tidak mengapa.
DI (Direct Interface) ada dua dan hanya satu digunakan iaitu untuk gitar Akustik Ovation yang dipakai oleh Azman (gitar ini hasil ehsan dermawan berlian Munawir). Asalnya dua sebab mana tahu Tokeyunta mahu pulang dari Dubai.
Masa makin suntuk dan tiba-tiba pen aku pun boleh hilang untuk menulis nota ketika itu . :)
Akhirnya dengan kecekapan dan sikap tidak putus asa ahli kumpulan(dan kru Dewangga Sakti) ,semakan bunyi berjaya disempurnakan pada jam 7:45 malam iaitu 45 minit sebelum persembahan bakal berlangsung.
Lega rasanya setelah selesai sesi semakan bunyi. Ahli-ahli kemudian bersolat dan makan (ringan-ringan) di kafe dengan mendapat diskaun makanan sebanyak 50% (hasil pujukan En Munawir).
Oh ya!Sebelum itu,ahli dan kru juga menyusun kerusi untuk penonton.

Kru kumpulan pada hari tersebut:-
Munawir ( jurukamera, jurulampu, pengurus pentas, menjaga booth ketika rehat 15 minit)
Fairuz Sheriza (Jurukamera kedua merangkap calon Wah Yun Kua yang direstui semua ahli ;) )
Yaser (Juruteknik dan penarik langsir)
Isteri Azman (menjaga rakaman video)

We want more!


Sebahagian daripada gambar di persembahan -Dewangga Sakti showcase- minggu lepas di Alliance Francaise de Kuala Lumpur . Ini pakaian di bahagian kedua persembahan setelah berpakaian santai di bahagian pertama. Jumlah lagu sebanyak 16 buah. Ulasan nanti dulu.
Kredit gambar: Fairuz Rusli





Saturday, December 13, 2008

Ronggeng di Alliance Francaise



Dewangga Sakti showcase
Tarikh:13 Disember 2008,Sabtu,8:30malam.
Tempat: Alliance Francaise KL, Lorong Gurney,Off Jalan Semarak,Kuala Lumpur
Tiket: RM15/RM10 (Tiket boleh dibeli di pintu masuk)
Jemput hadir ke sana. CD,tshirt juga akan dijual.
Ini adalah pengumuman kesultanan.Skrol ke bawah untuk entri terkini.

Wednesday, December 10, 2008

Bukit Oh Bukit

Bukit Antarabangsa akhirnya bergegar semula dengan tanah runtuh. Aku tengok laporan di buletin utama TV3 dan terus teringatkan studio tempat kami merakamkan 'Mabok Kepayang' di Studio Purple Sound milik Arif di Apartment Oakleaf, Bukit Antarabangsa. Aku menelefon Arif dan dia ketika itu sudah berada di rumah ibunya di UK Perdana (kawasan berdekatan dan markas latihan kami). Dia memberitahu terpaksa meredah jalan hutan untuk keluar daripada kawasan tempat dia tinggal dan keadaan di sana amat membahayakan. Sudah tentu hakisan tanah akan berlaku lagi.
Bagaimana agaknya warga Bukit Antarabangsa dan kawasan sekitarnya selepas ini? Apa nasib mereka dengan rumah dan harta benda mereka?
Ini bukan masa menuding jari dan menyalahkan semua orang. Sewajarnya kita belajar daripada sejarah dalam memastikan kejadian seperti ini dapat dielakkan. Tanpa sedar, kita menjadi rakus dan tidak menghiraukan alam sekitar di dalam pelan pembangunan kita. Kita hanya mahu maju dan terus mencipta rekod-rekod baru.

Tuesday, December 02, 2008

Latihan kecergasan


Tinggal sepuluh hari lagi kami akan mengadakan showcase di Alliance Francaise de Kuala Lumpur. Latihan kecergasan kumpulan sedang pesat dijalankan dengan penuh semangat. Pilihan lagu juga sedang dinilai supaya bakal membangkitkan elemen semangat dan nostalgia kepada penonton dan juga ahli kumpulan sendiri.
Selain lagu-lagu di dalam CD Mabok Kepayang, kumpulan juga bakal memperdengarkan dua buah lagu baru yang sedang dalam proses pilihan rakaman untuk CD akan datang iaitu Terbang ke dada langit dan Ronggeng Pak Abdul. Kedua-duanya hanya tajuk sementara (working title) dan akan berubah daripada sekarang sehinggalah proses rakaman nanti.
'Terbang... adalah improvisasi kepada muzik berentak Arab. Manakala 'Ronggeng Pak Abdul' adalah sebuah lagu joget yang merupakan sequel atau prequel(belum dimuktamadkan senikata) kepada lagu Tertinggal Kapal Angkasa yang mengisahkan tentang usahawan terkenal Pak Abdul.
Bagi menambahkan rencah kepada persembahan ini, mereka juga bakal memainkan lagu-lagu klasik tradisional dengan pilihan zapin,joget dan sebagainya.
Jumpa di sana!