Friday, April 23, 2010

PADAT

Aktiviti kami pada tahun ini baru sahaja menemui titik mula yang aktif. Sunyi daripada persembahan di awal tahun ,kami sudah mula bergerak semula meski tidak lah terlalu aktif seperti kumpulan lain.
Baru-baru ini kami menyerikan persembahan di pameran solo kedua Sasterawan Negara,Datuk Dr A Samad Said di Balai Seni Lukis Negara. Pameran bertajuk 'Kata Luhur' itu memuatkan lakaran dan lukisan Pak Samad yang akan dipamerkan di sana selama sebulan. Turut membuat persembahan yg juga sempena hari lahir Pak Samad itu adalah Meor Yusof Azidin, Taheera,Rahmat Haron,Rahimidin Zahari dan Space Gambus Experiment.
Dua hari lepas, kami terlibat membuat persembahan selingan di pertandingan akhir debat sekolah-sekolah Malaysia yang berlangsung di kampus lama kami di Gombak. Ini kali ketiga kami terlibat untuk acara yang sama.
Rakaman album pula sudah disambung semula beberapa minggu lepas di UK Perdana.
Sementara itu,kami juga terlibat dengan pelancaran dan perasmian Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT) yang akan berlangsung di Stadium Malawati,Shah Alam pada 5 Mei jam 8 malam. Majlis ini akan disempurnakan Tuanku Sultan Selangor dan masuk adalah percuma.
Kami dijemput oleh budayawan ,Dr Siti Zainon yang secara berjenaka memanggil kami dari Kesultanan Gombak. Baca catatan beliau di sini.
Pementasan ini bertajuk 'Mestika Hati' yang disusun di dalam bentuk teater oleh Abg Ladin Nuawi dan memakan masa selama 30-35 minit. Kumpulan lain yang terlibat di dalam Mestika Hati -Dendang Anak, Kanak-kanak Bingkas Kebayan, Kumpulan Keroncong Arif Lukisan,Kertung Orang Asli Batu 12 Gombak, Kumpulan Cempuling, Kompang,Gondang 9 dan lain-lain lagi.
Lagu tema Mestika Hati pula dicipta oleh Adinda Amiro.
Moga-moga tahun ini perjalanan kami makin bersemarak dan terus konsisten.
Salam hormat.
Catatan Jln Gombak: Kami ingin mengucapkan selamat bertugas kpd ahli termuda kami yang memulakan tugas di Kuantan pada bulan ini

Wednesday, April 07, 2010

Musim Bunga di Sapporo



Opps bukan musim bunga di Sapporo sahaja.


Entri ini dedikasi kepada bekas anggota kami iaitu Noor Azmi yang masih teringat kenangan indah di Sapporo.
Dua gambar ini(bunga sakura dan taman bunga) adalah kiriman Kak Jun (Kaji Junko) yang berada di Tokyo. Kak Jun menjadi penterjemah kami ketika kami ke Sapporo dan Fukuoka pada tahun 2006 dan 2008. Beliau amat fasih berbahasa Melayu (percakapan dan juga tulisan).
Perhatikan emel yg dihantar kepada kami di bawah:-


Dear Zul, Khabar baik! Terima kasih hantar e-mail kepada saya.
Sekarang tengah musim bunga di Tokyo. Saya sertakan dua keping gambar yang telah ambil dekat rumah saya.

Kirim salam kepada member2 Dewangga Sakti.

Junko



Wednesday, March 17, 2010

Tuesday, March 09, 2010

Album sepanjang zaman

















Album terbaru Meor Yusof Aziddin (lebih dikenali dgn nama Meor) bertajuk 'Dari Rakyat Untuk Rakyat' merupakan satu riwayat dan rakaman sosial dan politikal Malaysia yang amat berani dan datang tepat pada waktunya. Ya,mungkin sedikit lambat jika mengambil kira suhu politik sejak 1998. Tetapi mengambil kira keadaan semasa dan keupayaan muzikal serta pegangan ideologi pemuzik tempatan, album ini dikira berada di dalam satu tahap tersendiri dan boleh dikelaskan sebagai satu album yg rebellious. Meor yang kukenali sejak 2002 /2003 semasa aku datang membeli CD 'Itu padang,Aku di situ' setelah terpesona dengan album Pesta Jiwa (terbitan Nebiula Production), masih lagi mengekalkan trademark rhythm dan muzik yang sama tetapi dengan nada yang amat politikal sifatnya.
Hanya album pertama diterbitkan label iaitu Nebiula. Album yang lain diterbitkan secara independen dan kebanyakannya hanya CDr kecuali album Yang Terlintas di Fikiran dan terbitan terbaru ini (pro-printed cover). Setakat ini sahaja sudah tujuh album dikeluarkan dalam tempoh waktu lapan tahun termasuk album 'Sakrat' yang menonjolkan sajak-sajak nukilan penyair Ipoh, Amirul Fakir.
Album terbaru diterbitkan hujung tahun lepas oleh CRG Communications. Album ini seperti biasa lagu-lagunya dihasil dan disusun oleh Meor. Cuma senikatanya sahaja yang menampilkan penulis/seniman lain seperti Pyanhabib, Amer Hamzah,Rahmat Haron,Ubilepih,Abdullah Jones,Hishamudin Rais dan Amin Iskandar.
Lagu-lagunya dengan nada yang amat politikal/sosial - I S A (Ikut Suka Aku), Bapakku Seorang YB,Ke Jalan Lagi,Syuhada Memali, Awas Api Perempuan Ini (AAPI) dan lain-lain.
Buat pertama kalinya lagu tentang Memali(Syuhada Memali) dan Shamsiah Fakeh (AAPI) dibuat di dalam bentuk lagu dan penyampaiannya amat mendalam. (AAPI dinyanyikan oleh Me i Chern).
Album ini menyaksikan Meor banyak menggunakan dram , gitar bass serta gitar elektrik. Kebiasaannya album Meor hanya menampilkan kekuatan vokal dan gitar akustik (pengecualian kpd Aku dan Bulan ,Yang Terlintas di Fikiran).
Lagu Bapakku Seorang YB punya nada dan gaya seperti 'Hey Pak Abu' (lagu lama Meor),cuma nadanya lebih politikal berbanding 'Hey Pak Abu' yang mengkritik masalah sosial.
Groove bass di dalam album ini juga membuatkan kita ingin bergoyang.
Bayangkan di depan ribuan manusia demonstran, dipasang sistem bunyi yang hebat dan Meor tampil menyanyikan I S A(Ikut Suka Aku) ,Ke Jalan Lagi dan lagu-lagu lain. Pasti impaknya menjalar ke LelakiBerjaya!

Bapakku Seorang YB Di Negara Demokrasi
Joget dan Zapin dia tahu menari
Hari hari meeting,hari hari outstation sampai pagi
Konon menghargai kesetiaan para pengundi
Yang memilihnya di pilihanraya
(Bapakku Seorang YB)

Monday, February 22, 2010

Hanyut!

Jika ternampak ahli ini yang berjambang dan kelihatan amat hanyut,sila maklumkan kepada balai polis terdekat. Beliau telah hilang selepas pelancaran filem dua minggu lepas.
Menurut Jo Ghazali yang mengambil gambar ini,itulah kali terakhir kelibat ahli ini dilihat. Khabar-khabar angin bertiup kencang mengatakan ahli ini telah lari ke Kuala Lipis dan tidak hadir sesi harian teh tarik di Selera Makan Benjamin. Awas!

---Kemaskini terbaru untuk yang bertanya progres rakaman: Dewangga Sakti akan menyambung rakaman album yang tergendala bulan April. Dijangka( cis !dijangka lagi!) akan siap sepenuhnya bulan Mei/Jun dan akan dipasarkan menjelang genapnya sepuluh tahun usia DS berserta tshirt rasmi album,videoklip,penanda buku,beg,capal rasmi dan tatoo kumpulan










Foto ehsan Jo Ghazali

Thursday, February 11, 2010

Hanyut dan Diselamatkan Almayer

Dua hari lepas kami dijemput membuat persembahan di pelancaran filem Hanyut arahan U-Wei Hj Shaari di Restoran Bora Ombak,Ampang. Ogos tahun lepas kami turut dijemput membuat persembahan. Ketika itu pelancaran awal memperkenalkan penaja dan kami juga diminta mengiringi penyanyi lagu rakyat Pahang yang terkenal ,Roslan Madun yang menyampaikan dua lagu. (Baca catatan persembahan tersebut di sini )
Pelancaran kali ini bertujuan memperkenalkan barisan pelakon filem ini yang akan memulakan penggambaran di Kuala Lipis pada bulan April ini dan dijangka mengambil masa selama dua bulan atau lebih. Lebih menarik,lokasi penggambaran filem ini diadakan di kampung salah seorang anggota DS dan set akan dibina di sana. (Ahli yang mana? Ahli yang penampilannya paling hanyut setakat ini!)
Filem terbaru U-Wei ini diadaptasi daripada novel Joseph Conrad bertajuk Almayer's Folly dan ditulis pada kurun ke-19 berlatarbelakangkan Borneo. Asalnya diberi tajuk Kelemahan Almayer dan akhirnya Hanyut dipilih sebagai tajuk filem (Pilihan tajuk yang amat tepat dengan isi cerita novel).
Ini juga persembahan pembukaan DS pada tahun ini.
Nota: Maaf tiada gambar! Kami menunggu gambar daripada jurufoto hip, Jo Ghazali ! hahaha


Friday, January 22, 2010

Selera Makan Benjamin

Sudah lama berita mengenai Selera Makan Benjamin (SMB) yang mula diceritakan dahulu pada tahun 2007 tidak dikemaskini di sini. Setelah pemiliknya berhijrah ke negara padang pasir, kafe menjadi sunyi ,sesunyi Pak Abdul setelah ketinggalan kapal angkasa.
Ada kemungkinan kafe akan kembali ceria setelah proses pengambilalihan dimuktamadkan oleh peguam syarikat, Wah Yun Kua.
Baca berita lama di sini

Friday, January 15, 2010

Balada cemas Tokeyunta

Syamsulfaiz (atau lebih dikenali sebagai Tokeyunta setelah berhijrah ke Dubai )telah pulang sekejap ke Malaya untuk urusan kemasukan rumah baru dan hal-hal bersangkutan. Kami mengambil kesempatan untuk 'jamming' bersama beliau setelah kali terakhir 15 bulan sebelumnya. Ia dihadiri oleh semua ahli kecuali jejaka Putrajaya dan pegawai kerajaan Pulau. Kedua-duanya terlibat dengan urusan tidak dapat dielakkan.
Tokeyunta kelihatan begitu cemas di hari jamming sehinggakan mukanya terus berubah kemerah-merahan seakan-akan pelakon Bollywood yang terkenal ketika ini (rujuk gambar entri sebelum ini). Kord yang dimainkan juga telah berubah mengikut rentak padang pasir (dan dhab). Kerana terlalu cemas, jamming disambung dua hari berikutnya supaya dua ahli yang tidak hadir dapat juga bersama beliau. Saat-saat cemas beliau dapat disaksikan dengan jelas oleh rakan-rakan yang datang ke studio iaitu DrBubbles,Firdaus dan Robotz.
Meskipun begitu,lagu kegemaran beliau daripada Hail tetap dimainkan.
Tiba hari dinantikan untuk jamming sesi kedua, cemas beliau menjadi-jadi dan latihan terpaksa dibatalkan. Sesi latihan diganti dengan sesi melepak di Kopitiam dan Mamaque di Taman Melati dengan kehadiran semua ahli termasuk pegawai yang baru selesai menjalani misi memburu lanun di Pulau Jerejak.

Thursday, December 31, 2009

Space Gambus Experiment CD



Album Space Gambus Experiment sudah dilancarkan secara rasmi Ahad lepas,27 Dis (10 Muharram) di RA Fine Arts Kuala Lumpur oleh YM Raja Ahmad Aminullah. Album ini adalah sebuah projek bersama Kamal Sabran (elektro-akustik) dan Zulkifli Ramli (oud/gambus) dan diterbitkan oleh Teratak Nuromar & Xperimental Lab.
Ia memuatkan 10 buah lagu (kesemuanya instrumental) dengan kolaborasi bersama sound artists daripada 12 negara seperti UK,Amerika,Itali,Norway,Finland dll yang menghantar track bunyian/samples mereka secara atas talian.
Baca lebih lanjut di sini atau sini dan dengar lagu-lagu di sini
Untuk pesanan CD yang berharga RM20 (termasuk belanja pos),sila hubungi kamalsabran@gmail.com

Thursday, December 24, 2009

Sepang GoldCoast







Baru-baru ini kami ke Sepang GoldCoast untuk menghadiri pelancaran logo Selangor Shines anjuran Tourism Selangor untuk promosi pelancongan di negeri Selangor. Majlis dirasmikan oleh YB Elizabeth Wong. Persembahan selepas perasmian ketika tetamu semua menikmati juadah tengahari.
Resort ini (Eh boleh panggil resort kah?) terletak di Bagan Lalang di dalam daerah Sepang. Pertama kali juga kami mendengar nama ini. Sepang Goldcoast amat menarik,(masih di dalam pembinaan)cuma pantainya berselut dan sukar mahu dipastikan adakah ia sesuai untuk mandi-manda. Kebetulan tengahari itu, air surut dan setelah selesai persembahan dan menikmati steambot hidangan tengahari, kami ke pantai di dalam keadaan cuaca yang amat terik. Seorang ahli hampir terjatuh ke dalam lumpur ketika kami ingin mengambil gambar (perhatikan kesan tapak kaki di dalam lumpur).
Kehadiran hanya tiga orang dengan seorang pemain akordion jemputan, Lan. Pagi-pagi lagi kami sudah bertolak dengan jarak perjalanan yang amat jauh. Perjalanan seperti ingin ke KLIA dan kami termasuk jalan-jalan kampung yang mengelirukan.
Setelah selesai semuanya ,di dalam perjalanan pulang kami sempat singgah minum petang di sebuah kawasan baru di sebuah kampung yang kami pun tidak pasti.
Apa-apa pun,ini satu pengalaman baru ke Sepang. Perjalanan yang jauh tetapi menyeronokkan dengan melihat kawasan-kawasan yang masih terpelihara alam sekitarnya di samping melihat papantanda projek perumahan yang murah. (Abdul Raof sudah bercadang membeli rumah di Sepang dan bekerja di KLIA selepas ini)
--Terima kasih kepada Amri di atas jemputan ini

Tuesday, December 22, 2009

XMedia Lab,Kungfu Panda & Pullman






Sekitar persembahan makan malam di konferen animasi antarabangsa anjuran XMedia Lab yang diadakan di Pullman Lakeside Resort,Putrajaya dua minggu lepas. Antara yg hadir adalah John Wayne Stevenson, salah seorang daripada dua orang pengarah filem Kungfu Panda.
(Foto terakhir-bersama John yang berbaju putih)


Thursday, December 10, 2009

All You Need is Love

Baru-baru ini,kami terlibat mengadakan persembahan yang disiarkan secara langsung ke London dan New York. Ia dianjurkan oleh Starbucks & Project (RED) Love Project . Projek ini adalah satu usaha besar kebajikan untuk mengutip derma bagi tabung AIDS Afrika. Dijangkakan sebanyak USD3 juta berja ya dikumpulkan.
Lagu yang dimainkan ialah 'All You Need is Love' daripada kumpulan Beatles
Seramai 196 negara mengambil bahagian dan semua negara bermain lagu yang sama pada waktu yang sama di negara masing-masing. Masa yang ditetapkan adalah jam 8:30malam 7 Disember 2009. Pada saat-saat akhir,masa dianjakkan sejam selepas itu. (Info terkini--157 negara termasuk Malaysia berjaya 'live' pada waktu yang ditetapkan)
Kebetulan waktu itu petang sehingga maghrib hujan dan mengganggu set-up yang dibuat di luar Saloma Bistro. Kelam kabut juga pihak penganjur ingin mengalihkan barang-barang yang telah diletakkan di luar. Khemah tiada disediakan. Jam 8 malam ,hujan beransur reda.
Pelan asal juga ditukar. Kami diminta mengiringi koir seramai 25 orang (pada awalnya diberitahu 10 orang dan di situ juga pertama kali kami berlatih bersama)
Seawal jam 4 petang kami sudah tiba ingin membuat semakan bunyi. Dua jam selepas itu barulah kami dapat memulakan semakan bunyi kepada instrumen kami. Banyak keperluan kami tidak dapat dipenuhi,antaranya speaker monitor tidak ada. Mikrofon dan mic stand juga tidak mencukupi. Keprluan kami sebenarnya amat minimal kerana instrumen kami semuanya akustik dan tiada keperluan untuk amplifier atau barang-barang teknikal lain. Cuma instrumen akustik memerlukan ketelitian yang lebih di dalam mencari bunyi yang sesuai dan mantap.
Bunyi amat mengecewakan.
Tepat jam 9:30malam ,persembahan dimulakan. Tamat persembahan,kami memainkan sekali lagi lagu yang sama. Kali ini berlarutan selama 23 minit tanpa henti untuk satu lagu yang sama(di mana ditengah-tengahnya kami telah menukar beat kpd inang cina dan joget johor sport club)!
Nota akhir: Kami berpendapat sesuai sekali jika semua memakai pakaian tradisi untuk majlis seperti ini. Jika kita berpegang kepada konsep multi-etnik, semua yang mengambil bahagian boleh memakai baju tradisi masing-masing. Itulah perkara unik dapat ditonjolkan kepada dunia. Kalau berkenaan nyanyian,semua negara menyanyikan lagu yang sama. Apa lagi yang boleh kita tonjolkan selain daripada budaya kita? (Kami memakai baju Melayu ketika persembahan)

Monday, November 23, 2009

MuKIM

Jumaat lepas, kami memeriahkan sesi minum petang Konferen Kesusasteraan Asia Pasifik yang berlangsung di Muzium Kesenian Islam Malaysia (MuKIM) atau lebih dikenali sebagai Islamic Arts Museum Malaysia(IAMM). Persembahan ringkas selama tiga puluh minit diikuti sesi bacaan puisi daripada peserta antaranya dari Iran, Malaysia dan negara-negara lain.
Wahyun dan Raof juga kemudiannya mengiringi sesi impromptu gerak tari Dr Zulkifli.
Sesi juga dihadiri oleh bekas Rektor UIAM, Prof Kamal Hassan yang turut membaca puisi dipetik daripada terjemahan puisi Iqbal.

*Terima kasih kepada Dr Faridah dan Alumni UIAM kerana menjemput kami membuat persembahan sempena majlis tersebut

Tuesday, October 27, 2009

Hantu CD

Di dalam kembara ke luar negara menyertai persembahan, kami akan menyenaraikan kedai-kedai CD yang bakal kami lawati untuk tujuan mencari dan membeli CD. Tidak lengkap rasanya jika tidak membeli CD (dan kadang-kadang piring hitam) kerana pilihan CD yang banyak dan terdapat CD second-hand yang murah terutamanya di Jepun. Di satu kedai CD di Kokura (Fukuoka) ,kami terjumpa satu kedai CD yang banyak menjual piring hitam terpakai dan di satu kedai muzik,kami terjumpa CD Noraniza Idris.
Kebiasaannya, Norman orang yang paling banyak membeli CD. Setiap ahli lain juga akan membeli Cd walaupun dalam kadar yang sedikit. Malangnya,perkara ini tidak terjadi ketika kami ke Korea baru-baru ini. Mungkin disebabkan jadual yang amat padat, tidak ada kedai CD utama yang kami temui.
Untuk mengubat hati,Norman membeli CD 'Crying Nut'(gambar atas),sebuah band punk Korea pada hari terakhir(Eh! band punk pun ada akordian). Cukuplah memenuhi syarat sebagai hantu CD Kesultanan.
(Gambar bawah - koleksi CD yang dibeli Norman di Kokura tahun lepas)

Monday, October 19, 2009

PuKAP




Semasa kami masih di Korea,Azman Jan menghantar mesej mengatakan ada persembahan hari raya MDeC di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya(PuKAP). Mula-mula,kami rasa sangsi dengan mesej Azman kerana jadual asalnya bukan pada tarikh tersebut. Akhirnya kami pun setuju. Maka sehari selepas kami tiba di tanahair tiga minggu lepas(tiba tengah malam), paginya kami terus ke Putrajaya pada jam 10.30 pagi.
Azman memecut kereta dengan laju melalui lebuhraya KL-Putrajaya kerana kami telah lewat. Dua ahli yang ada di dalam kereta masih belum bersarapan pagi. Kami berempat ketika itu di dalam kereta. Irwan menunggu di Putrajaya kerana rumahnya hanya 10 minit dari sana. Wahyun pula tidak dapat hadir kerana ada kerja penting di firma.(Maklumlah akan tamat latihan dalam kamar dan bakal bergelar peguam nanti)
Kami tiba tidak lama selepas itu. Kemudian kami lihat PuKAP senyap sunyi seperti tiada acara. Azman melihat semula mesej yang diterimanya.
" Alamak,kita dah salah tempat. Bukan kat sini,tapi di Pusat Konvensyen KL dkt KLCC tu!"
Hah? hahaha Nampaknya kali ini virus Pak Abdul menyerang Azman. Kami pun terus ke KL. Mujurlah mereka baru sahaja siap memasang peralatan untuk semakan bunyi. Majlis hari raya MDeC diserikan dengan penampilan Jayjay,Jaclyn Victor dan ramai lagi.
Set persembahan banyak dan ahli makan dengan berhati-hati kerana tidak mahu terkena virus Abdul Raof yang muntah-muntah sejak menaiki kapal terbang sehari sebelumnya . Pagi sebelum persembahan juga dia muntah buat kali terakhir. Besar kemungkinan diracun ketika makan pagi terakhir di Hyundai Residence,Seoul.
-------------------------------------------------------------------------
Kami akhirnya beraksi di PuKAP setelah memenuhi undangan Kementerian Sains,Teknologi dan Inovasi (KESTI atau MOSTI) di minggu selepas itu. Juga untuk sambutan hari raya. Kali ini semakan bunyi jam 10:30 pagi dan persembahan hanya akan bermula jam 4 petang. Turut membuat persembahan adalah pelajar sekolah CBN. Majlis agak formal dan tamat sekitar jam 5 petang.
Satu kejadian tidak diingini telah berlaku bila Abdul Raof kehilangan dompet yang diletakkan di dalam begnya. Ini disedarinya ketika sampai ke kereta. Muka Abdul kelihatan begitu pucat dan cuba ditenteramkan oleh sparring partner beliau,Wahyun.
"Rileks. Mungkin kau salah letak",itu kata Wahyun cuba mengubat kesedihan Abdul.
Puas beliau mencari dompet tersebut- di belakang pentas, tandas,surau dll.
Dokumen spt MyKad,lesen memandu,kad bank dan wang sebanyak RM300 ada di dalam dompet tersebut.
Akhirnya kami menyarankan supaya beliau melaporkan kehilangan tersebut kepada pihak pengawal.
Ahli-ahli kemudian mengumpulkan duit sebagai derma kepada Abdul.
Kami pasrah. Abdul Raof juga pasrah.
Kami kemudian ke rumah Wahyun untuk jamuan hari raya. Belum lagi sempat kami bergerak, Abdul Raof mendapat panggilan telefon. Muka yang pucat dan merah sebelumnya bertukar menjadi cerah dan berseri-seri.
Kami pun pergi ke rumah Wahyun.
Di dalam kereta,semua memaki hamun Pak Abdul. "Apa lah tuduh orang curi, ada pencuri bla bla bla pelupa bla bla tak cukup tidur bla bla surau haha"
(Abdul Raof mendapat semula dompetnya yang hilang . Dompet dijumpai oleh insan baik hati di tandas dan menghantarnya ke tempat pengawal. Semua dokumen dan wang tidak berusik. Cuma sekeping gambar sahaja hilang)

Wednesday, October 14, 2009

Arirang





Diari kehidupan Kim Irwan

Kim Hyoyoung," Tuan teksi, boleh bawa kami ke Pyongyang?"
Kim Don Moo (pemandu teksi), " Kita tak pergi Pyongyang, Goyang kita pergi"
Kim Irwan ," Susah lah ini teksi. Goyang pun Goyang lah!"

Nota: Goyang satu nama tempat di Korea

Nik Aziz pun dah ada kafe


Kafe Kim Aziz Alattas di Seoul menawarkan makanan berasaskan sup

Produk Malaysia di Seoul