Thursday, May 11, 2006

Berita Harian 11 Mei 2006

Belasungkawa: Perginya Raja Gambus Malaysia
Fadzil Ahmad (1941 hingga 2006)
CINTANYA terhadap muzik ghazal cukup menebal. Muzik ghazal adalah jiwanya. Buktinya, serangan penyakit parkison yang dihidapinya sejak dua tahun lalu langsung tidak menghalang usahanya untuk terus menabur ilmu kepada pelajar Akademi Seni Kebangsaan (ASK).
Fadzil Ahmad yang dilahirkan di Parit Bakar, Muar, Johor juga dikenali sebagai Raja Gambus. Malah beliau pernah melahirkan album sekitar 1996 dengan judul Fadzil Ahmad - Malaysia King Of Gambus.
Tapi, kini perjuangan muzik ghazal yang terkenal di Johor terutama di Muar, Batu Pahat dan Johor Bahru terasa suram dengan pemergian seorang pejuang kuat irama muzik itu. Allahyarham Fadzil Ahmad kembali ke Rahmatullah kira-kira jam 3 pagi semalam.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) setelah mengalami cirit birit. Dia dimasukkan ke hospital itu, kelmarin kira-kira jam 3 petang dan doktor melaporkan cirit birit itu berpunca daripada keracunan makanan.Selepas dimasukkan ke hospital, keadaannya menjadi semakin teruk dan memerlukan bantuan oksigen untuk bernafas. Bagaimanapun, ketika menghembuskan nafas terakhir keluarganya tiada di sisi - hanya seorang bekas pelajarnya berada di situ untuk menemani arwah serta membantunya mengucap kalimah syahadat.
Keluarga Allahyarham baru saja pulang ke rumah kira-kira jam 2 pagi untuk berehat dan diberitahu mengenai pemergiannya sejam selepas itu. Namun, keluarga Allahyarham Fadzil sendiri tidak mengetahui nama pelajar terbabit kerana dia tidak hadir pada hari pengebumiannya.
Allahyarham meninggalkan balu Zaliah Mohamad, 55, serta lima anak lelaki - Mohamad Farid, 35, Mohamad Hafiz, 32, Mohamad Radzi, 31, Mohamad Fadzlee, 23 dan Mohamad Firdaus, 20, selain tiga cucu.
Ghazal dan gambus seakan cukup sebati dengan dirinya. Allahyarham Fadzil mula jatuh cinta dengan gambus pada usia 17 tahun. Pada 1958, dia menubuhkan kumpulan ghazal kecil di kampungnya yang dinamakan kumpulan SHR Maharani Ghazal.Fadzil dan gambus bagai tidak boleh dipisahkan.
Oleh kerana terlalu cintakan gambus, Fadzil sanggup meletakkan kepuasan di tangga pertama sedangkan wang ringgit baginya hanya sekadar tempat kedua.Wakil Hip yang kali terakhir bertemu beliau pada Ramadan lalu sempat menemu bual beliau. Beliau mengatakan dirinya tetap bersemangat untuk menurunkan ilmu ghazal kepada generasi baru untuk memastikan seni muzik ini tidak mati dan diminati sama seperti muzik sekarang.
Cuma, Allahyarham secara berseloroh pernah berkata, dia agak hairan kerana tidak seorang pun anaknya berminat dengan ghazal dan gambus. Namun, hanya seorang cucu saja dilihat cenderung mengikut jejak langkahnya. Sebab itulah, beliau sanggup menjadi salah seorang tenaga pengajar di ASK biarpun menghadapi kesukaran untuk bergerak kerana menghidap parkinson.
“Selagi boleh bergerak saya boleh memenuhi undangan mengadakan persembahan ghazal. Cuma syaratnya saya tidak boleh berdiri... saya tidak boleh berdiri lama kerana sakit ini (parkinson),” katanya.Dalam keadaan kesihatan yang kurang memuaskan, beliau masih terus mengabdikan dirinya pada gambus.
Pada zaman kegemilangannya, Fadzil aktif bermain gambus dengan kumpulan ghazal terkenal di sekitar Johor seperti Endau, Muar, Mersing dan Batu Pahat.Antara kumpulan ghazal terkemuka waktu itu ialah Ungku Ahmad Mohd Khalid atau dikenali sebagai Ungku Chik, Ungku Mohamad Khalid, Ungku Sulaiman Daud, Ungku Azizi Abdul Majid dan Ungku Mohd Zaman Takir (Encik Dapat) selain Haji Musa Yusof atau lebih popular dengan gelaran Pak Lomak.
Allahyarham juga pernah menganggotai kumpulan ghazal popular iaitu kumpulan Ghazal Penampang, ketika itu namanya dan seorang rakan iaitu Hamid Wapang menjadi perhatian. Kumpulan Ghazal Penampang kemudian menerima kehadiran ahli baru, Rosiah Chik. Penyertaan Rosiah bersama kumpulan itu memberi sinar baru apabila mereka mendapat banyak undangan selain diberi peluang merakam lagu dalam bentuk EP dan LP. Antara lagu yang dirakam ialah Sri Mahligai.Menjelang era 70-an, Kumpulan Ghazal Penambang diganti pula kepada nama Kumpulan Ghazal Maharani. Bagaimanapun, segalanya berakhir apabila Rosiah membawa haluan ke Kuala Lumpur pada pertengahan 70-an. Lagu popular bersama kumpulan itu ialah Dia Datang, Pak Ngah Balik, Alah Mak Kawinkan Aku, Makan Siring, Seri Ledang dan Seri Mersing.
PROFIL
Nama Sebenar: Fadzil Ahmad
Lahir: 12 Jun 1941
Asal: Parit Bakar, Muar, Johor
Profesion:Penyanyi, Pemuzik kumpulan Ghazal dan pengajar di Akademi Seni Kebangsaan (ASK)
Album: 14 piring hitam (EP) dan 11 CD
Penghargaan: Pingat Pangkuan Negara (1987) dan Kesatria Setia Diraja (KSD), 1998
Antara album: Nasib Panjang, Riang Gembira, Joget Gendang dan Lagu, Pesta Ria, Penyanyi Pujaan, Dinda & Kanda, Terkenang Si Dia, Empat Dara, Ku Kan Pulang, Bertepuk Sebelah Tangan dan Fadzil Ahmad-Malaysia King Of Gambus.

No comments: