Thursday, May 11, 2006

mstar.com.my

Nota: Mstar adalah antara website yang paling awal menyiarkan berita ini semalam dengan berita ringkas!

'Raja Gambus' Fadzil Ahmad meninggal dunia
10-05-2006 07:28:49 PM
KUALA LUMPUR: Pemain gambus terkenal tanah air Fadzil Ahmad meninggal dunia awal pagi ini di Hospital Kuala Lumpur akibat sakit jantung. Beliau berusia 64 tahun.
Menantu Allahyarham, Nurul Fatin Anne Abdullah berkata Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 4.30 pagi tadi setelah dimasukkan ke hospital pada pukul 3.30 petang semalam.
"Allahyarham meninggal dunia dengan tenang dan kami sekeluarga termasuk ibu mertua (Zaliah Muhamad) berada di samping Allhayarham," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata Allahyarham pengsan di rumahnya di Keramat pagi semalam akibat serangan jantung selepas mengalami sakit perut dan muntah-muntah.
Jenayah Allahyarham dituntut oleh keluarganya pukul 6.30 pagi tadi dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Datuk Keramat selepas Zohor.
Allahyarham meninggalkan Zaliah ,58, lima orang anak lelaki, tiga menantu dan empat orang cucu.Bekas "Adi Guru" atau pensyarah muzik ghazal Akademi Seni Kebangsaan (ASK) itu sejak tiga tahun lepas juga menderita sakit Parkinson.
Anak kelahiran Parit Ahmad, Muar, Johor itu mula bermain gambus sejak berumur 17 tahun dan cukup terkenal bersama kumpulan muzik Sri Maharani, Muar yang ditubuhkannya pada tahun 1961.
Menurut Ketua Jabatan Muzik ASK Ramlan Imam yang sedang menyiapkan biografi mengenai Fadzil berkata pemergian Allahyarham merupakan kehilangan khazanah negara yang tidak ternilai.
"Saya anggap Allahyarham sebagai kamus muzik Melayu tradisional yang sering dijadikan rujukan oleh pusatpusat pengajian tinggi," katanya ketika dihubungi.
Ramlan berkata Allahyarham yang pernah memimpin kumpulan muzik Muzium Negara, Petronas, Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam, Tentera Darat dan Universiti Kebangsaan Malaysia, selain ASK, telah mempelajari bermain ghazal dan gambus dengan lima orang guru dari Johor, Singapura dan Mesir.
Fadzil dan kumpulan Sri Maharani mula merakamkan lagu di Radio Malaya pada tahun 1960 dan seterusnya merakamkan lagu dalam bentuk EP dengan lagu yang cukup popular sehingga hari ini iaitu "Si Dia Datang" pada tahun 1968 di Singapura.
Pada tahun berikutnya, Allahyarham yang pernah menjadi duta kecil negara semasa mengadakan persembahan muzik di luar negara telah merakamkan 13 EP dan pada tahun 1970 Allahyarham merakamkan LP pertama yang bertajuk "Terkenang Si Dia."Pada tahun 1993, Fadzil telah merakamkan lagu-lagu ghazal instrumental untuk tarian bertajuk "Joget Cik Siti", dan sehingga kini sebanyak 10 album instrumental telah dirakamkan oleh Allahyarham.
Bekas ketua muzik Kompleks Budaya itu turut mencipta kira-kira 52 buah lagu antara yang popular ialah Si Dia Datang, Joget Empat Dara, Joget Secawan Kopi, Joget Memikat Janda, Terkenang Si Dia dan Si Cantik Manis. BERNAMA

No comments: