Thursday, May 11, 2006

Harian Metro 11 Mei 2006

RAJA GAMBUS tiada pengganti
Oleh Nor Akmar Samudin
KEMBALINYA Raja Gambus Malaysia, Fadzil Ahmad, 64, ke Rahmahtullah jam 4 pagi semalam tiada pengganti. Malah, tiada seorang pun daripada lima anaknya mewarisi kemahirannya memetik gambus.
Alahyarham yang hampir seluruh hidupnya mengabadikan diri kepada instrumen tradisional itu, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana disyaki keracunan makanan.Menurut anak bongsunya, Mohd Firdaus, 20, kematian bapanya mengejutkan seluruh keluarga.
“Selepas makan sate lebih kurang jam 2 petang semalam, abah cirit-birit. Melihatkan keadaannya semakin teruk, saya dan abang, Mohd Farid membawanya ke HKL.“Abah tidak berkurang sehingga terpaksa diberi bantuan pernafasan menerusi tabung oksigen.
Kami sekeluarga berada di hospital sehingga jam 2 pagi tetapi doktor tidak benarkan kami menunggu abah.“Lebih kurang jam 4 pagi, kami menerima berita abah sudah meninggal dunia. Masa itu seorang bekas anak murid abah di Akademi Seni Kebangsaan (ASK), ada bersama abah. “Hanya dia yang sempat menatap wajah abah buat kali terakhir. Itupun selepas dia minta izin dengan pihak HKL untuk melawat bekas gurunya,” katanya.
Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kediamannya di Datuk Keramat untuk dimandi dan dikafankan. Jenazah kemudiannya dibawa ke Masjid Datuk Keramat untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat, selepas zuhur, semalam.
Allahyarham yang berasal dari Parit Amat, Muar, Johor, meninggalkan isteri, Zalia Mohd, 55, lima anak, Mohd Farid, 35, Mohd Hafiz, 32, Mohd Radzi, 31, Mohd Fadzlee, 23 dan Mohd Firdaus, 20, serta tiga cucu.
Antara rakan artis yang menziarahi jenazah Allahyarham ialah Presiden Papita, M Daud, Datuk A Rahman Hassan, Datin Azizah Mohamed, Datin Orkid Abdullah, Marlia Musa dan Jaafar Onn. Hadir sama, Pengarah Klasik fm, Chuari Selamat dan rakan baiknya, Ismail Mohd Lassim.
Menurut Jaafar, dia mengenali Fadzil sejak zaman remajanya lagi ketika menyertai kumpulan Maharani Ghazal yang ditubuhkan Fadzil. “Beliau mengajar saya menari tarian tradisional termasuk zapin. Saya juga belajar menyanyi lagu tradisional dengannya. Lagu pertama yang diajar ialah Penawar Rindu. Boleh dikatakan saya menyimpan semua rekod lama lagu-lagunya. “Pemergian Fadzil satu kehilangan besar kepada industri seni tanah air. Kalau di luar negara terutama di Timur Tengah ramai pemain gambus tetapi di negara ini hanya beliau yang mahir bermain gambus sehingga digelar Raja Gambus Malaysia.“Beliau juga boleh menyanyi. Antara lagunya yang paling popular, Dia Datang.
“Saya agak terkilan kerana ketika hayatnya Fadzil tidak pernah menerima sebarang anugerah. Beliau selayaknya mendapat anugerah Datuk. Biarpun sudah terlambat, saya berharap ada pihak menghargai bakat dan perjuangannya dalam dunia seni tanah air,” katanya.
Rakan seperjuangan Allahyarham, Ismail Mohd Lassim, 75, berkata ketika Fadzil berkhidmat dengan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan (KKKP) dia sudah membuat persembahan hampir di seluruh pelosok dunia.
“Kami sama-sama memperjuangkan irama tradisional lebih 50 tahun. Beliau bermain gambus, saya pula bermain akordian dan harmonian,” katanya.
Chuari Selamat pula berkata, pada Ramadan lalu, Sahabat Klasik fm dan deejay radio itu melawat artis veteran termasuk Fadzil. “Beliau terkejut dengan kehadiran kami kerana dia menyangka orang sudah melupakannya. Beliau amat terharu dengan kedatangan kami.
“Klasik fm turut menyediakan satu segmen Ghazal dan Gambus yang ke udara selama setengah jam, dari 6.30 hingga 7 malam. Di mana lagu-lagu beliau menjadi lagu yang wajib disiarkan.“Bagaimanapun, demi menghormati pemergiannya itu, selama 40 hari mulai hari ini (semalam) kami berhentikan dulu penyiaran lagunya,” katanya.

No comments: