"Nama saya Along",begitulah tegur seorang remaja lelaki berkulit hitam manis ketika aku sedang bersantai di Kedai Rugged Shop ,Kompleks Campbell. Aku ketika itu sedang menunggu kemasukan tahun dua matrikulasi di UIA.Cuti semester Jun 1994.
Di dalam hatiku mengatakan apa bangang nama budak ni Along! Along bin apa? (Selepas itu baru aku tahu namanya Syamsulfaiz). Mesra kami berbual diperhatikan adiknya yang masih bersekolah. Daripada perbualan,barulah kutahu rupa-rupanya Syamsul ini diterima memasuki pusat matrikulasi UIA untuk program Undang-undang.
Kedai itu merupakan tempat pertemuan penggemar irama berat (thrash,death,black,grindcore dll) dan tiba-tiba terpacul budak ini daripada Tanjong Malim memakai baju Rotting Christ (kalau tidak silap). Fuh! Gila juga budak ini!
"Di UIA ada band?",soal budak ini lagi memecahkan kebuntuan.Aku tahu maksudnya kumpulan metal berat -bukan metal ala XPDC. Metal dengan acuan senikata spiritual,alam ghaib,kematian dan kemusnahan.
Aku tidak pasti apa yang kukatakan tetapi enam bulan selepas itu setelah melalui proses ujibakat dan ritual yang tidak bertentangan akidah(dan juga persetujuan seorang lagi komando iaitu Tamlikha-yg kini menjadi pegawai kerajaan di Johor), beliau diterima untuk menganggotai kumpulan muzik Death Metal pertama di UIA iaitu Cryptic Malediction.Inilah bentuk muzik berat dengan suara gergasi,bunyi gitar bingit dan paduan dram double pedal yang menggigit.Kumpulan ini telah mengeluarkan demo pada tahun 1995, EP pada tahun 1998 dan sebuah album penuh pada tahun 2003. Bersama-sama Chronic Mass (senior) dan Indamnation (yang lahir selepas itu),mereka menjadi pelopor irama berat dan membina jaringan muzikal yang kuat di kalangan peminat kampus dan juga serata Malaysia.
Sepanjang penubuhan sehingga tahun 2000(tahun terakhir aktif),mereka telah bermain di KL, Pulau Pinang, Johor Baharu,Seremban dan Melaka. Mereka juga pernah dijemput ke Bandung pada tahun 2000 tetapi terpaksa membatalkannya kerana masalah kewangan (tetapi di internet kononnya kerajaan Malaysia melarang kerana masalah reformasi!ha ha).Satu lagi fakta yang tidak diketahui ramai adalah sejurus merakamkan satu lagu tentang Pasir Salak di Studio Tricastle (milik King Shah MetalAsia) ,mereka telah dijemput untuk mengadakan persembahan di sebuah 'funfair' (sekali lagi- funfair!ha ha) di Senawang untuk menjadi kumpulan pembuka untuk MetalAsia.
Satu kejadian menarik di surau berdekatan tapak funfair di mana Syamsul yang amat jujur dan lurus telah ditanya oleh seorang pakcik . Beginilah perbualannya.
"Datang dari mana?"
"UIA"
"Buat apa kat sini?"
"Ada program di funfair"
"Apa lagi? Pergi lah azan!"
Funfair dibuat pada hari Rabu.Hanya dua puluh orang menonton! Lebih sedikit daripada filem 'Rock'.
Aku tahu Syamsul memang terdidik dgn penuh keagamaan.Tambahan pula boleh berbahasa Arab dengan baik,tetapi bila disuruh oleh pakcik tersebut,mukanya merah menahan malu kerana puncanya pakcik tersebut mendengar nama UIA.Sahbulah(gitaris) yang sekarang menjadi wartawan yang baik di Utusan Malaysia menahan diri daripada ketawa. (ha ha ha )
Itulah Syamsul!Berkenalan dengan beliau mesti ada lawak-lawak yang tidak terduga. Sebenarnya beliau tidak lah lawak secara peribadi tetapi situasi telah memerangkap beliau menjadi lawak.
Hari ini Syamsul menyambut hari lahir ke 32!Setelah 14 tahun,kami masih berkawan dan telah melalui transformasi secara peribadi dan muzikal. Kami rasakan bahawa kami telah melalui proses transformasi muzikal yang tidak dapat kami terangkan dengan betul kerana daripada muzik berat death metal telah beralih arah ke muzik tradisional seperti berputar 360 darjah.
Persahabatan kami adalah tulus dan ikhlas. Asalnya muzik terus berkembang kepada perkara-perkara yang lain yang menyebabkan kami amat akrab meski pun adakalanya bertekak dan tidak berkongsi pandangan yang sama. Mungkin tidak seperti teman-teman rapat kami yang sudah berada di alam politik (bersama Menteri dsbnya) dan hanya menelefon untuk bertanyakan nombor telefon teman-teman yang lain(yg mereka tidak simpan dan menelefon untuk minta bantuan teman-teman tersebut untuk urusan yang menguntungkan!). Bila panggilan dibuat mengatakan sibuk dan banyak urusan. Hasilnya jadi mereka manusia politik yang menggunakan kawan-kawan untuk kepentingan diri sendiri.
Selamat Hari Lahir,Syamsul! Kami semua sayangkan kamu! ha ha ha
Baca entri beliau di
siniNota : gambar pada tahun 2000 ketika kami masih di alam muzikal berat.