Tuesday, December 07, 2010

Salam Maal Hijrah

Salam Maal Hijrah buat semua.



------------------------------------------------------------------------------------------------
Hari ini ada ada perhimpunan Seniman dan Penyair di Madrash Tarbiyah,Kampung Bandar Dalam, Gombak -rentetan daripada perhimpunan dua bulan lepas menolak Deraf KL 2020 dibuat DBKL yang akan membinasakan tujuh kampong di sekitar Gombak yang antara kampungnya sudah berusia 150 tahun untuk pelan pembangunan 'Greater KL'.
Adakah habuan pembangunan yang tidak dirancang dengan teratur lebih diutamakan kaum pemodal daripada memelihara warisan tradisi?
Lebih molek dan mulus kampung ini dipelihara dan dimajukan untuk rujukan generasi akan datang.
Adalah sia-sia jika kita tidak pernah belajar daripada sejarah.

Sunday, December 05, 2010

Gua bunyi-bunyian

Gua bunyi telah memanggil kami untuk menyambung rakaman dan seterusnya menyelesaikan proses rakaman yang sudah dimulakan sejak April 2009. Ini adalah salah satu daripada perkara tergendala yang kami akan selesaikan di dalam beberapa bulan mendatang ini. Proses kali ini lebih rumit dengan banyak lagu-lagu baru dirakamkan dan proses rakaman kami juga sebenarnya bukan lah terlalu lama memakan ratusan jam tetapi disebabkan kelapangan masa ahli-ahli yang terikat dengan komitmen lain.
Beberapa teman-teman seperti Sinaganaga dan Zan Zaini sudah menanyakan tentang kelewatan proses rakaman ini. Sepatah kata Sinaganaga ," Kau keluar je dengan EP dulu banyak-banyak. Janji ada rilis setiap tahun".
Idea yang bagus, kata kami. Tetapi ami mempunyai misi lain. Setelah keluar dengan EP pada tahun 2008,kami perlu keluar dgn album penuh yang mengandungi sekurang-kurangnya sepuluh lagu. Sesi rakaman kali ini diharapkan berjaya menepati sasaran dan jika mempunyai cukup modal dan masa,kami ingin membuat lebih daripada itu.
Bentuk dan halatuju muzik? Itu kena dengar dahulu.
Album ini satu bentuk perjalanan yang jauh dengan proses untuk menjadikannya lebih 'groovy' ,moden dan sedikit songsang! (ha!ha!) Asas lagu juga di samping irama tradisional yang menjadi teras akan menyaksikan kami mempelbagaikan rentak.
Album ini juga belum bertajuk!

Saturday, November 27, 2010

Saudagar minyak dhab



Saudagar minyak dhab dari Beirut,Al Faisal Husseini membuat penampilan pertama mengantikan pemain akordion lama, Irwan. Irwan yang telah dibuang ke pulau mengambil keputusan menubuhkan bor-rock di sana setelah kecewa dengan hasrat untuk bertukar ditolak.
Sementara itu, Pak Abdul yang muncul di dalam lagu Tertinggal Kapal Angkasa (EP Mabok Kepayang) akan membuat penampilan di dalam lagu Seratus Tingkat Menara (Buat atau Mati!).
Bor-rock (boria + rock)

Sunday, November 14, 2010

Beyond

Majlis perkahwinan malam tadi istimewa sekali. Pengantin lelaki kacukan Melayu dan Cina, manakala pengantin perempuan berbangsa Cina yang memeluk Islam. Komposisi hadirin juga daripada dua bangsa ini.
Kami menyerikan persembahan majlis perkahwinan ini dengan memainkan pilihan lagu-lagu tradisional Melayu malar segar bermula daripada awal majlis sehingga tamat. Permintaan lagu daripada pihak lelaki juga meminta kami memainkan lagu kumpulan Beyond iaitu Bien Ron Troi Cao yang merupakan lagu signatur kumpulan rock dari Hongkong ini. Ini sesuatu yang tidak dijangka untuk dimainkan di majlis perkahwinan. Jika lagu mandarin yang lain seperti dendangan Theresa Teng sudah menjadi kebiasaaan. Mujurlah jejaka pulau,Irwan selalu memainkan lagu ini ketika di kampus bersama kumpulan rocknya.
Malam tadi juga sistem bunyi untuk kami di majlis perkahwinan adalah di antara yang terbaik. Mikrofon yang mencukupi dan permintaan monitor speaker sebanyak dua sahaja tetapi diberikan sehingga empat monitor speaker.Terima kasih kepada Ratno yang bertuga menjaga keperluan sistem bunyi kami.
Kepada kedua-dua pasangan pengantin,selamat pengantin baru!
Nota akhir: Bermula hujung bulan lepas sehingga bulan ini dan Disember, jadual kami banyak dipenuhi majlis perkahwinan menjadikan tiga bulan ini adalah pilihan ramai pengantin baru. Mungkin tahun depan,ada ahli pula yang akan melangsungkan perkahwinan?
Cuba teka siapa? Pembayang: Adik beradiknya seramai lapan orang

Sunday, November 07, 2010

OLQINU




Kokura,Fukuoka
Ogos 2008

"Eh! Mereka kata ada butik 'U....' di kawasan sebelah sana", NS memberitahu.
"Apa lagi,kita mesti serbu hari ini juga! AR macam mana?,tanya ZR.
AR tiba-tiba muncul. " Aku tengok je lah. Aku mahu simpan duit"
Kami ke tempat di hujung di sana berjalan kaki dengan baju pun masih baju Melayu kerana persembahan baru sahaja tamat di Izutsuya. Cuma NS yang sempat menukar baju.
Setiba di sana ,delegasi Singapura baru sahaja selesai membeli belah di butik yang sama.
Waktu perniagaan sudah hampir ditutup pada hari itu dan kami dengan pantas masuk ke butik dan memilih yang sesuai.
Keseronokan berganda.
ZR pulang dengan 10 helai baju.
AR pulang dengan dua helai baju (kedua-dua utk bapanya)
NS pulang dengan tiga puluh helai baju (diulang...tiga puluh(30) helai baju)
Oktober 2010
Wangsa Maju
"Aku ada tiga baju belum pakai. Sayang nak pakai. ",NS memberitahu.
"Aku pulak kedua-dua yang aku beli tu bapa aku tak pakai!",AR dengan nada yang sedih memberitahu.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
4 November 2010- Butik Uniqlo ,yang pertama dibuka di Fahrenheit 88, Bukit Bintang dan antara ribuan orang yang menyerbu pembukaannya adalah NS. Butik terkenal dari Jepun ini akhirnya membuka cawangannya di Kuala Lumpur dengan sambutan luar biasa.

Friday, October 29, 2010

Sepuluh

Bulan ini (Oktober/10) sepuluh tahun yang lalu, kumpulan Dewangga Sakti telah ditubuhkan di tepi Sg Pusu oleh Mohsen dan Zul. Mereka mengadakan persembahan pertama bersama beberapa orang yang lain dengan iringan kumpulan gamelan UIAM.
Begitulah mereka bermain tanpa hala tuju yang jelas. Hanya semata-mata berekesperimen dan ingin membuat sesuatu yang mereka fikir lain. Mungkin selepas lima tahun barulah jalan menjadi semakin jelas dan muzik yang mereka corakkan menemui titik temu.
Selama hampir dua tahun persembahan yang mereka adakan adalah tanpa bayaran. Malah mereka sebenarnya yang mengeluarkan bayaran terutama ketika menganjurkan sendiri siri-siri persembahan mereka di sekitar kampus pada tahun 2001.
Bayaran pertama mereka adalah daripada pereka logo Dewangga Sakti sendiri iaitu Asri Al Baker pada tahun 2002 ketika majlis perkahwinan beliau di Seremban. Ketika itu ahli seramai sepuluh orang termasuk seorang penyajak yang semakin terkenal sekarang dengan sajak spontan (dan gila!). Ketika zaman awal ,bilangan ahli pernah mencecah 15 orang. Bekas ahli juga sudah mencecah 20 orang sehingga ke saat ini.
Selepas sepuluh tahun, masih banyak rancangan tergendala dan belum dilunaskan.
Mudah-mudahan ,kami terus istiqamah dengan muzik yang kami cuba perluaskan.

Tambuco Percussion Ensemble

Tambuco Percussion Ensemble di Dewan Filharmonik Petronas, 2 Nov 2010,Selasa,8:30malam.
Berminat mendapatkan tiket dengan harga diskaun?
Hubungi Azman di fenrizian@gmail.com dengan kadar segera!

Sunday, October 17, 2010

Festival Seni KLCC -Satu catatan



Festival yang julung kali diadakan dan dianjurkan oleh Dewan Filharmonik Petronas(DFP).
Di dewan Filharmonik , Sasterawan Negara Datuk A Samad Said(Pak Samad) melontarkan sajak-sajak diiringi MPO Seni Ensemble,Taheera pula melagukan sajak Pak Samad dan Zainal Abidin menyanyikan lagu-lagu terkenal beliau dan lagu-lagu folk Melayu sepanjang zaman. Itu di antara tiga nama daripada beberapa nama yang lain yang membuat persembahan.
Di pentas luar pula berdepan dengan taman KLCC ,kami berpeluang mengadakan persembahan Selasa yang lalu(12 Oktober) di sebelah malam. Program berlangsung selama lima hari di pentas luar dan dewan Filharmonik.
Sayangnya dua daripada ahli kami tidak dapat hadir kerana bekerja di luar kawasan dan tidak mendapat cuti. Seorang pemain akordion jemputan, Fendy dipanggil untuk menyertai kami membuat persembahan.
Seperti biasa,lagu-lagu malar segar tradisional dialunkan dan kerana kekurangan ahli hanya satu lagu kami sahaja dimainkan.
Terima kasih kepada Art dan pengurusan DFP di atas jemputan.

Dirgahayu Kampung-kampung tradisi Kesultanan



Program perisytiharan kampung-kampung tradisi Melayu sebagai Kampung Warisan Melayu sempena Dirgahayu Sambutan 150 tahun Kampung Bandar Dalam,Gombak (1860-2010).


2 Zulkaedah 1431H bersamaan 10 Oktober 2010

Terima kasih kepada Dr Siti Zainon dan masyarakat kampung terutama di Madrasah Tarbiyah yang menjemput kami.



Foto oleh Prof Dr Siti Zainon


(Cerita lanjut menyusul nanti)

Tuesday, October 05, 2010

Festival Seni KLCC

Dewangga Sakti akan memeriahkan Festival Seni KLCC yg bermula minggu depan selama seminggu. Kami akan bermain di pentas di luar KLCC (di depan kolam ) pada jam 8:30 malam ,Selasa,12 Oktober selama satu jam.
Jemput hadir kepada mereka yang berkelapangan.

Monday, October 04, 2010

Simfoni Sungai Pusu

" Beep2 di mana lokasi ya? Aku sesat kat Ahmad Ibrahim Kuliyyah of Laws hohahoha",begitu sms yg masuk ke telefon. Setelah menelefon dan memberikan arahan selanjutnya, sms masuk lagi.
" Aku di bangunan Architechture, mana huh? "
Setelah arahan kedua diberi, jejaka jurugambar tersohor akhirnya tiba dengan seorang teman.

bersambung

Tuesday, August 31, 2010

Cintanya Jatuh di Sapporo


"Zul,kau dah tahu dah?"

"Aku.... "

"Ok. Aku dah agak dah! haha"
Itu kisah sekembalinya dia ke tanahair setelah program di Sapporo,wilayah Hokkaido di utara Jepun.
Dianjurkan Pusat ASEAN-Jepun,program tahunan dikenali Pesta Pelancongan ASEAN ini menampilkan sepuluh buah negara Asia Tenggara yang akan menghantar peserta seramai lima orang yang terdiri daripada seorang pegawai ,tiga pemuzik/penari dan seorang demonstrator.
Ini kisah empat tahun lepas di mana ini kali kedua kami berpeluang ke luar negara bersama Pelancongan Malaysia. Kali pertamanya dua minggu sebelum itu ke Taipei,Taiwan. Apa yang menarik adalah di waktu orang sibuk berbuka puasa hari pertama,kami sudah bergegas ke KLIA untuk penerbangan kami ke Jepun.
Di ramadan ini kenangan datang lagi mengingatkan Sapporo yang kami kunjungi empat tahun yang lalu dan juga kiriman emel terbaru daripada penterjemah kami, Kaji Junko yang memberitahu seramai 100 orang warga tua meninggal dunia di Tokyo kerana cuaca yang terlalu panas sekarang. Ketika kami ke sana cuacanya berlegar di antara 12- 18 darjah selsius.
Dan di sini lah cintanya jatuh. Nun jauh di utara Jepun di wilayah Hokkaido bersama hembusan dingin Hotel Sapporo dan suara Kyu Sakamoto mendendangkan Ue Muete Aruko.
(bersambung tahun depan atau bila watak di dalam cerita ini menghubungi kami)

Tuesday, July 27, 2010

Meniti Zaman


Setelah empat bulan,akhirnya kami dapat mengadakan persembahan dengan kesemua ahli hadir. Yang ditunggu dan dirindu,ahli termuda yang dipaksa berhijrah ke Kuantan akhirnya pulang mengadakan persembahan.

Minggu lepas ,kami dijemput mengadakan persembahan sempena pelancaran buku karya Tan Sri Ramli Ngah Talib,bekas MB Perak. Buku tersebut merupakan catatan tentang hidupnya sejak kecil yang ditulis dengan agak terperinci dan menarik. Banyak catatan tentang sejarah Perak dan sudah tentunya Pasir Salak yang menyimpan banyak sejarah tanahair dengan perjuangan Dato' Maharajalela dan Dato' Sagor. Dato' Sagor merupakan moyang daripada sebelah bapa beliau dan sudah tentu catatan sebegini dinanti-nantikan kerana seperti yang kita tahu tidak ramai tokoh Malaysia yang menulis tentang riwayat hidup mereka. Jika ada pun,tulisannya terlalu umum.

Banyak cerita tentang kisah silam masyarakat Melayu ketika zaman Jepun dan Inggeris diceritakan. Cerita-cerita di kampung yang sudah pasti hanya menjadi nostalgia pada masa sekarang.

Buku ini diterbitkan oleh RA Fine Arts dan mengandungi 319 mukasurat dan sudah mula dijual. Ia dilancarkan di Bilik Kuala Lumpur,PDDP.

Tuesday, June 15, 2010

PDDP lagi


Hujung minggu lepas,kami terlibat membuat persembahan di majlis konvokesyen KLMU (Universiti Metropolitan Kuala Lumpur --dahulu dikenali sebagai Kolej Teknologi Cosmopoint) di PDDP. Ini kali kelima kami mengiringi graduan KLMU menerima skrol mereka dan kali ini jumlah graduannya paling banyak seramai 1700 orang. Kali pertama kami terlibat pada tahun 2005 dan terus menerus setiap tahun selepas itu pada tahun 2006,2008,2009 dan kini 2010 (tahun 2007 ditukar tahun 2008).
Masih jelas di ingatan pada tahun 2005 ,majlis ini diadakan di Dewan CAC,UIAM. Tahun selepasnya juga di situ. Selepas itu di Dewan MCA ,Jalan Ampang. Dua tahun terakhir ini diadakan di dewan PDDP.
Kali pertama kami terlibat bergandingan bersama gamelan UIA. Begitu juga di tahun kedua. Tahun seterusnya hanya kami sahaja yang mengiringi keseluruhan graduan. Jika diteliti komposisi ahli,hanya dua orang sahaja yang kekal bermain sejak 2005,menunjukkan perubahan anggota sejak 2005.
Begitu lama masa sudah berlalu.
Untuk edisi kali ini,dua ahli terikat dengan komitmen lain menyebabkan mereka tidak dapat menyertai kami. Maka seorang ahli undangan dipanggil menyertai kami. Zan yang merupakan teman kami dijemput untuk bermain bass untuk majlis ini. Zan yang kebiasaannya bermain di kumpulan-kumpulan batu sekitar KL menyahut cabaran untuk bermain muzik tradisional.
Terima kasih juga kami ucapkan kepada Azrul dan seluruh warga kerja KLMU yang menjemput kami .

* PDDP- Pusat Dagangan Dunia Putra

Monday, May 03, 2010

Mestika Hati

Pelancaran dan perasmian Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor(PADAT) akan berlangsung pada 5 Mei,Rabu,8malam di Stadium Malawati,Shah Alam. Majlis bakal disempurnakan Tuanku Sultan Selangor. Kumpulan lain yg terlibat adalah Dendang Anak,Keroncong Arif Lukisan,kompang,cempuling,Orang Asli Batu 12 Gombak,Gondang 9,Kanak-kanak Bingkas Kebayan,Yayasan Selangor dll.
Semua kumpulan bergabung menghasilkan persembahan Mestika Hati yg skripnya ditulis oleh Dr Siti Zainon dan diarahkan oleh Ladin Nuawi ke dalam bentuk teater.
Lagu tema dihasilkan Adinda Amiro dengan puisi nukilan Ladin Nuawi.
Masuk percuma! Semua dijemput hadir ke Stadium Malawati Rabu ini!

Friday, April 23, 2010

PADAT

Aktiviti kami pada tahun ini baru sahaja menemui titik mula yang aktif. Sunyi daripada persembahan di awal tahun ,kami sudah mula bergerak semula meski tidak lah terlalu aktif seperti kumpulan lain.
Baru-baru ini kami menyerikan persembahan di pameran solo kedua Sasterawan Negara,Datuk Dr A Samad Said di Balai Seni Lukis Negara. Pameran bertajuk 'Kata Luhur' itu memuatkan lakaran dan lukisan Pak Samad yang akan dipamerkan di sana selama sebulan. Turut membuat persembahan yg juga sempena hari lahir Pak Samad itu adalah Meor Yusof Azidin, Taheera,Rahmat Haron,Rahimidin Zahari dan Space Gambus Experiment.
Dua hari lepas, kami terlibat membuat persembahan selingan di pertandingan akhir debat sekolah-sekolah Malaysia yang berlangsung di kampus lama kami di Gombak. Ini kali ketiga kami terlibat untuk acara yang sama.
Rakaman album pula sudah disambung semula beberapa minggu lepas di UK Perdana.
Sementara itu,kami juga terlibat dengan pelancaran dan perasmian Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT) yang akan berlangsung di Stadium Malawati,Shah Alam pada 5 Mei jam 8 malam. Majlis ini akan disempurnakan Tuanku Sultan Selangor dan masuk adalah percuma.
Kami dijemput oleh budayawan ,Dr Siti Zainon yang secara berjenaka memanggil kami dari Kesultanan Gombak. Baca catatan beliau di sini.
Pementasan ini bertajuk 'Mestika Hati' yang disusun di dalam bentuk teater oleh Abg Ladin Nuawi dan memakan masa selama 30-35 minit. Kumpulan lain yang terlibat di dalam Mestika Hati -Dendang Anak, Kanak-kanak Bingkas Kebayan, Kumpulan Keroncong Arif Lukisan,Kertung Orang Asli Batu 12 Gombak, Kumpulan Cempuling, Kompang,Gondang 9 dan lain-lain lagi.
Lagu tema Mestika Hati pula dicipta oleh Adinda Amiro.
Moga-moga tahun ini perjalanan kami makin bersemarak dan terus konsisten.
Salam hormat.
Catatan Jln Gombak: Kami ingin mengucapkan selamat bertugas kpd ahli termuda kami yang memulakan tugas di Kuantan pada bulan ini

Wednesday, April 07, 2010

Musim Bunga di Sapporo



Opps bukan musim bunga di Sapporo sahaja.


Entri ini dedikasi kepada bekas anggota kami iaitu Noor Azmi yang masih teringat kenangan indah di Sapporo.
Dua gambar ini(bunga sakura dan taman bunga) adalah kiriman Kak Jun (Kaji Junko) yang berada di Tokyo. Kak Jun menjadi penterjemah kami ketika kami ke Sapporo dan Fukuoka pada tahun 2006 dan 2008. Beliau amat fasih berbahasa Melayu (percakapan dan juga tulisan).
Perhatikan emel yg dihantar kepada kami di bawah:-


Dear Zul, Khabar baik! Terima kasih hantar e-mail kepada saya.
Sekarang tengah musim bunga di Tokyo. Saya sertakan dua keping gambar yang telah ambil dekat rumah saya.

Kirim salam kepada member2 Dewangga Sakti.

Junko



Wednesday, March 17, 2010

Tuesday, March 09, 2010

Album sepanjang zaman

















Album terbaru Meor Yusof Aziddin (lebih dikenali dgn nama Meor) bertajuk 'Dari Rakyat Untuk Rakyat' merupakan satu riwayat dan rakaman sosial dan politikal Malaysia yang amat berani dan datang tepat pada waktunya. Ya,mungkin sedikit lambat jika mengambil kira suhu politik sejak 1998. Tetapi mengambil kira keadaan semasa dan keupayaan muzikal serta pegangan ideologi pemuzik tempatan, album ini dikira berada di dalam satu tahap tersendiri dan boleh dikelaskan sebagai satu album yg rebellious. Meor yang kukenali sejak 2002 /2003 semasa aku datang membeli CD 'Itu padang,Aku di situ' setelah terpesona dengan album Pesta Jiwa (terbitan Nebiula Production), masih lagi mengekalkan trademark rhythm dan muzik yang sama tetapi dengan nada yang amat politikal sifatnya.
Hanya album pertama diterbitkan label iaitu Nebiula. Album yang lain diterbitkan secara independen dan kebanyakannya hanya CDr kecuali album Yang Terlintas di Fikiran dan terbitan terbaru ini (pro-printed cover). Setakat ini sahaja sudah tujuh album dikeluarkan dalam tempoh waktu lapan tahun termasuk album 'Sakrat' yang menonjolkan sajak-sajak nukilan penyair Ipoh, Amirul Fakir.
Album terbaru diterbitkan hujung tahun lepas oleh CRG Communications. Album ini seperti biasa lagu-lagunya dihasil dan disusun oleh Meor. Cuma senikatanya sahaja yang menampilkan penulis/seniman lain seperti Pyanhabib, Amer Hamzah,Rahmat Haron,Ubilepih,Abdullah Jones,Hishamudin Rais dan Amin Iskandar.
Lagu-lagunya dengan nada yang amat politikal/sosial - I S A (Ikut Suka Aku), Bapakku Seorang YB,Ke Jalan Lagi,Syuhada Memali, Awas Api Perempuan Ini (AAPI) dan lain-lain.
Buat pertama kalinya lagu tentang Memali(Syuhada Memali) dan Shamsiah Fakeh (AAPI) dibuat di dalam bentuk lagu dan penyampaiannya amat mendalam. (AAPI dinyanyikan oleh Me i Chern).
Album ini menyaksikan Meor banyak menggunakan dram , gitar bass serta gitar elektrik. Kebiasaannya album Meor hanya menampilkan kekuatan vokal dan gitar akustik (pengecualian kpd Aku dan Bulan ,Yang Terlintas di Fikiran).
Lagu Bapakku Seorang YB punya nada dan gaya seperti 'Hey Pak Abu' (lagu lama Meor),cuma nadanya lebih politikal berbanding 'Hey Pak Abu' yang mengkritik masalah sosial.
Groove bass di dalam album ini juga membuatkan kita ingin bergoyang.
Bayangkan di depan ribuan manusia demonstran, dipasang sistem bunyi yang hebat dan Meor tampil menyanyikan I S A(Ikut Suka Aku) ,Ke Jalan Lagi dan lagu-lagu lain. Pasti impaknya menjalar ke LelakiBerjaya!

Bapakku Seorang YB Di Negara Demokrasi
Joget dan Zapin dia tahu menari
Hari hari meeting,hari hari outstation sampai pagi
Konon menghargai kesetiaan para pengundi
Yang memilihnya di pilihanraya
(Bapakku Seorang YB)

Monday, February 22, 2010

Hanyut!

Jika ternampak ahli ini yang berjambang dan kelihatan amat hanyut,sila maklumkan kepada balai polis terdekat. Beliau telah hilang selepas pelancaran filem dua minggu lepas.
Menurut Jo Ghazali yang mengambil gambar ini,itulah kali terakhir kelibat ahli ini dilihat. Khabar-khabar angin bertiup kencang mengatakan ahli ini telah lari ke Kuala Lipis dan tidak hadir sesi harian teh tarik di Selera Makan Benjamin. Awas!

---Kemaskini terbaru untuk yang bertanya progres rakaman: Dewangga Sakti akan menyambung rakaman album yang tergendala bulan April. Dijangka( cis !dijangka lagi!) akan siap sepenuhnya bulan Mei/Jun dan akan dipasarkan menjelang genapnya sepuluh tahun usia DS berserta tshirt rasmi album,videoklip,penanda buku,beg,capal rasmi dan tatoo kumpulan










Foto ehsan Jo Ghazali

Thursday, February 11, 2010

Hanyut dan Diselamatkan Almayer

Dua hari lepas kami dijemput membuat persembahan di pelancaran filem Hanyut arahan U-Wei Hj Shaari di Restoran Bora Ombak,Ampang. Ogos tahun lepas kami turut dijemput membuat persembahan. Ketika itu pelancaran awal memperkenalkan penaja dan kami juga diminta mengiringi penyanyi lagu rakyat Pahang yang terkenal ,Roslan Madun yang menyampaikan dua lagu. (Baca catatan persembahan tersebut di sini )
Pelancaran kali ini bertujuan memperkenalkan barisan pelakon filem ini yang akan memulakan penggambaran di Kuala Lipis pada bulan April ini dan dijangka mengambil masa selama dua bulan atau lebih. Lebih menarik,lokasi penggambaran filem ini diadakan di kampung salah seorang anggota DS dan set akan dibina di sana. (Ahli yang mana? Ahli yang penampilannya paling hanyut setakat ini!)
Filem terbaru U-Wei ini diadaptasi daripada novel Joseph Conrad bertajuk Almayer's Folly dan ditulis pada kurun ke-19 berlatarbelakangkan Borneo. Asalnya diberi tajuk Kelemahan Almayer dan akhirnya Hanyut dipilih sebagai tajuk filem (Pilihan tajuk yang amat tepat dengan isi cerita novel).
Ini juga persembahan pembukaan DS pada tahun ini.
Nota: Maaf tiada gambar! Kami menunggu gambar daripada jurufoto hip, Jo Ghazali ! hahaha


Friday, January 22, 2010

Selera Makan Benjamin

Sudah lama berita mengenai Selera Makan Benjamin (SMB) yang mula diceritakan dahulu pada tahun 2007 tidak dikemaskini di sini. Setelah pemiliknya berhijrah ke negara padang pasir, kafe menjadi sunyi ,sesunyi Pak Abdul setelah ketinggalan kapal angkasa.
Ada kemungkinan kafe akan kembali ceria setelah proses pengambilalihan dimuktamadkan oleh peguam syarikat, Wah Yun Kua.
Baca berita lama di sini

Friday, January 15, 2010

Balada cemas Tokeyunta

Syamsulfaiz (atau lebih dikenali sebagai Tokeyunta setelah berhijrah ke Dubai )telah pulang sekejap ke Malaya untuk urusan kemasukan rumah baru dan hal-hal bersangkutan. Kami mengambil kesempatan untuk 'jamming' bersama beliau setelah kali terakhir 15 bulan sebelumnya. Ia dihadiri oleh semua ahli kecuali jejaka Putrajaya dan pegawai kerajaan Pulau. Kedua-duanya terlibat dengan urusan tidak dapat dielakkan.
Tokeyunta kelihatan begitu cemas di hari jamming sehinggakan mukanya terus berubah kemerah-merahan seakan-akan pelakon Bollywood yang terkenal ketika ini (rujuk gambar entri sebelum ini). Kord yang dimainkan juga telah berubah mengikut rentak padang pasir (dan dhab). Kerana terlalu cemas, jamming disambung dua hari berikutnya supaya dua ahli yang tidak hadir dapat juga bersama beliau. Saat-saat cemas beliau dapat disaksikan dengan jelas oleh rakan-rakan yang datang ke studio iaitu DrBubbles,Firdaus dan Robotz.
Meskipun begitu,lagu kegemaran beliau daripada Hail tetap dimainkan.
Tiba hari dinantikan untuk jamming sesi kedua, cemas beliau menjadi-jadi dan latihan terpaksa dibatalkan. Sesi latihan diganti dengan sesi melepak di Kopitiam dan Mamaque di Taman Melati dengan kehadiran semua ahli termasuk pegawai yang baru selesai menjalani misi memburu lanun di Pulau Jerejak.