Monday, August 24, 2009

Hanyut di Sungai Pahang


"Abg rasa ahli-ahli politik ni berhenti berpolitik sekejap. Suruh mereka main muzik pulak. Anwar ada band, Nik Aziz pun ada band", begitu kata Roslan Madun ketika kami berbual disambut deraian ketawa oleh ahli kumpulan.
Ketika itu,kami baru habis mengadakan latihan bersama beliau untuk sebuah persembahan keesokan harinya. Mungkin sosok tubuhnya kita tak begitu kenali, tetapi lagu-lagu dendangannya banyak menjadi topik perbincangan dan kajian seperti Lemak Manis, Menghilir di Sungai Pahang, Tebang Tebu, Burung kenek-kenek, Wau wau pepeh dan banyak lagi. Banyak lagu-lagu ini hasil gubahannya bersama seorang lagi pengkaji muzik rakyat Pahang , Ariffin Said.
Bermula tiga puluh tahun lalu, beliau hanya suka-suka mengikut Ariffin Said. Daripada suka-suka menambahkan minat yang amat mendalam kepada beliau.
Kami sedang seronok berbual tiba-tiba Abdul Raof bertanya, " Bang, esok pakai baju apa? "
(Cis! potong stim betul lah Pak Abdul ni!)
Soalan tidak dijawab. Kami meneruskan perbualan.
"Lagu-lagu rakyat ni tak boleh terlalu sempurna. Dia mesti ada kotor sikit-sikit " , tambah beliau memberitahu inspirasi dan seterusnya proses pengumpulan lagu-lagu di dalam album beliau. Lagu-lagu rakyat ini diambil di merata tempat di Pahang. Ada juga hasil asli gubahannya sendiri. Pencipta lagu rakyat dahulukala adalah penglipur lara yang mahir pelbagai perkara. Setelah penat bercerita,mereka akan bergurindam,berpantun, menyanyi dan juga perkara-perkara lain.
Beliau juga memberitahu proses mencari lagu juga amat sukar kerana ada lagu-lagu yang tidak diingati lagi oleh orang-orang tua yang beliau temui. Maksudnya ada yang tidak lengkap. Proses dokumentasi tidak ada,hanya melalui tradisi lisan.
Sebelum itu kami sempat berlatih tiga lagu bersama beliau - Lemak Manis, Indung indung dan Menghilir Sungai Pahang. Lemak Manis kami biasa mainkan. Dua lagu lagi itu hanya dimainkan ketika latihan bersama beliau. Ternyata suaranya amat memukau dan alatan muzik menjadi sampingan sahaja.
Keesokan harinya kami memeriahkan acara pelancaran filem terbaru U-Wei Hj Shaari bertajuk Hanyut (berdasarkan novel Joseph Conrad - Almayer's Folly) di sebuah restoran di Jalan Aman, Restoran Basil Leaves. Selesai pelancaran, kami mengiringi Roslan Madun dengan dua buah lagu .Dimulai dengan Indung indung dan diikuti Menghilir di Sungai Pahang yang menyaksikan Duta Poland berdansa bersama-sama beberapa tetamu lain.
Kami meneruskan acara selepas itu memainkan lagu-lagu lain sambil tetamu menjamu selera.
(Dengar lagu Roslan Madun di sini )
Kredit gambar - Kakiempat (Facebook)

Wednesday, August 19, 2009

Instant Cafe

Sabtu lepas, kami hadir memeriahkan acara pembukaan Instant Cafe House of Arts and Ideas (CHAI) di Jalan Templer, PJ. Sudah agak lama tidak ke sana melalui Jalan Gasing ,tempat beberapa ahli pernah jamming di sana belasan tahun lepas (Studio Black Widow).
Tidak sukar mencari lokasi tetapi ahli termuda dengan penuh keyakinan telah tersalah arah ke Seksyen 14 dan tertinggal persembahan (ha ha).
Baca tentang CHAI di blog Sharon Bakar di sini
(Sayangnya,kami gagal membawa kamera!)

Wednesday, August 12, 2009

Konsert Opick di UIA










Opick membuat penampilan pertama di Malaysia dengan mengadakan konsert berskala sederhana di UIA minggu lepas. Walaupun sederhana, sambutannya amat menggalakkan dengan auditorium penuh. Program pada asalnya dijadualkan di dewan lebih besar tetapi ditukar saat-saat akhir kerana PM Najib mempunyai program di UIA.
Kebetulan pula persembahan beliau di malam Nisfu Syaaban ,malam jumaat. Malam penuh barokah.
Inisiatif AIKOL (Ahmad Ibrahim Kuliyyah of Laws,UIAM) amat dialu-alukan dengan memanggil Opick (dari Indonesia) yang amat terkenal dengan lagu-lagu kerohanian (dia menyebutnya sebagai religi) atau boleh sahaja kita gelarkan nasyid tetapi di dalam konteks yang berbeza daripada Malaysia. Di saat nasyid di Malaysia sudah memasukkan pelabagai elemen yang sukar membezakan lagu nasyid dengan rentak R n B atau pop, lagu-lagu Opick amat bersahaja dan kedengaran cukup ikhlas. Vokalnya amat baik dan jika sahaja muzik tiada, vokalnya sahaja sudah amat kuat menarik khalayak.
Lagu-lagu sepertti Assalamualaikum (boleh tonton di sini ), Sedekah (di sini) atau Ketika Cinta Memanggil (yang menjadi lagu tema filem Perempuan Berkalong Sorba -juga dinyanyikan semula oleh Siti Nurhaliza) menjadi amat menyentuh perasaan. Opick juga bijak berkomunikasi dengan penonton dengan mengajak mereka berselawat dan menyanyi bersama.
Di majlis yang sama, kami juga diundang untuk memeriahkan malam tersebut dengan persembahan pembukaan . Majlis juga diserikan dengan Poetry Club,UIAM dan kumpulan Devotees.
(Terima kasih kepada seluruh AJK, Dr Iqbal dan AIKOL yang mengundang kami)

Wednesday, August 05, 2009

Opick

Opick (dari Indonesia) akan mengadakan persembahan esklusif di auditorium, UIA pada hari Khamis , 6 Ogos 2009, 9 malam. ( Dengar lagu Opick di sini )
Dewangga Sakti akan membuat persembahan pembukaan . Selain itu ,pemantun UIA Azree Ariffin juga akan membuat persembahan.
Tiket masuk RM15.
Maklumat lanjut ,sila berhubung dengan pejabat Kuliyyah Undang-Undang UIA (AIKOL) 03-6196 4282.

Monday, July 27, 2009

Frinjan 4.0

Frinjan 4.0 telah berlangsung dengan meriahnya di Dataran Shah Alam . (Lawati laman web Frinjan di sini)
Kami memeriahkan acara dengan empat buah lagu sebelum Jayzuan dan kemudian Mysticus menutup acara ini dengan penuh bergaya. Ketika kami selesai memulakan intro,jam sudah menunjukkan tepat jam 12 tengah malam.
Rasanya inilah pengunjung paling ramai setakat ini. Semoga program ini terus mendapat sokongan ramai. Tahniah kepada penggerak Frinjan seperti Zulhabri , Alina dan ramai lagi yang bertungkus lumus menjayakan program sebegini .
Kredit gambar: Diambil daripada facebook (Hariz Ruslan)

Thursday, July 23, 2009

Dedikasi untuk Kaji Junko

Bila heboh tentang PPSMI dan segala macam pandangan tentang bahasa terutamanya Bahasa Melayu,kami tiba-tiba teringatkan penterjemah kami ketika menyertai program ASEAN Tourim Fair pada tahun 2006 dan 2008 di Jepun. Kali pertama di Sapporo,Hokkaido dan keduanya di Kokura,Fukuoka.
Untuk kedua-dua acara ini, kami dibekalkan dengan seorang penterjemah Jepun bernama Kaji Junko yang berkhidmat dengan delegasi Malaysia sepanjang kami berada di sana.
Kak Jun (panggilan kami kepada beliau) pernah bertugas di Malaysia selama dua tahun di akhir 80an dan awal 90an di bawah program kelolaan JICA (Japan International Cooperation Agency). Tugas beliau ketika itu melatih guru-guru yang mengajar murid pra-sekolah (tadika) di Sungkai, Perak.
Apa yang kami kagum dengan beliau adalah kemampuannya bertutur BM dengan amat baik. Malah penulisan BMnya juga amat baik dengan tatabahasa dan susunan ayat yang baik. Telo pertuturannya juga adalah BM Malaysia dan bukannya Indonesia.
Beliau hanya tinggal selama dua tahun di Malaysia dan kemudian kembali ke Jepun tetapi pertuturannya seperti sentiasa tinggal di Malaysia. Malah kami yakin pertuturannya lebih fasih daripada segelintir rakyat di negara ini.
Semasa bersama kami, beliau sentiasa membawa buku catatan dan kamus. Beliau sentiasa mencatat dan cuba belajar sesuatu yang baharu.

Friday, July 03, 2009

Pengarca Mengarca Diarca

Minggu lepas dua hari berturut-turut kami memeriahkan majlis perkahwinan En Multhalib yang merupakan seorang pengarca Malaysia yang hebat. Boleh baca tentang beliau di sini
Selasa lepas ketika diberitahu tentang majlis ini, kami kurang selesa kerana penyanyi tidak dapat hadir kedua-dua majlis. Azman ketika itu masih lagi di Tanah Suci mengerjakan umrah.
Kami jarang bermain secara instrumental sahaja ketika majlis perkahwinan. Mujurlah pengantin baru, Multhalib tidak ada apa-apa masalah dengan muzik sahaja.
Hari pertama berlangsung di Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur. Hari kedua pula di sebuah galeri hartanah di Bangsar. Hari kedua program amat santai dan muzik dimainkan secara unplugged sahaja,sesuai dengan suasana tempat tersebut.
Kedua-dua persembahan tersebut juga tidak dihadiri ahli termuda kami kerana beliau terikat dengan program dan persembahan lain. Dengar cerita, dia berkaraoke di majlis perkahwinan di Ampang .

Wednesday, June 24, 2009

Reverbnation


Akaun Reverbnation Dewangga Sakti diaktifkan. Sila ke laman ini atau cari di side bar blog ini.
Selamat mendengar!

Pak Abdul 1

Intro -tepuk tangan
Pak Abdul telah tertinggal kapal angkasa kerana menghadapi masalah tidur yg agak kronik. Setelah terjaga daripada tidur, anaknya sudah pun tua dan cucunya pula sudah mempunyai anak. Entah berapa tahun dia sudah tertidur sehinggakan cicitnya sudah sebaya dan mungkin lebih tua daripada dia.
Pak Abdul telah mendapatkan pertolongan seorang tabib di hujung sebuah pulau yang jauh untuk mengubati penyakit tidurnya yang kronik itu. Tabib ini dikenali sebagai Tokeyunta kerana banyak memelihara unta di pulau tersebut. Di samping itu, tabib ini juga memelihara panda dan arnab tetapi bilangannya tidak lah sebanyak unta.
Masalah tidur Pak Abdul ini bukan seremeh disangkakan kebanyakan orang. Jikalau dia tidur hari Ahad, kemungkinan besar dia akan bangun pada hari Selasa. Tidurnya seperti orang mati. Hatta bom meletup sekalipun dia tidak akan bangun.
Interlud - bunyi unta dan panda (hasil daripada gesekan violin)

Tuesday, June 23, 2009

Pentas Kita Karya Kita


Satu acara seni yang menarik bakal berlangsung Jumaat ini di Bagan Datoh,Perak. Maklumat lanjut di blog Lantera Jiwa

Monday, June 15, 2009

Shah Alam Shah

Sehari selepas showcase MASKARA, kami memeriahkan acara 'Warna' di Laman Budaya, Shah Alam di atas jemputan Zulfahmee daripada MBSA. Acara bermula jam 5 petang dan tamat dua jam kemudian. Di antara persembahan yang dapat disaksikan adalah kombo Majlis Perbandaran Klang (MPK), Faris (bekas gitaris Melissa) dan beberapa nama yang lain. Kami mengakhiri program tersebut dengan memainkan lima lagu.
Seminggu sebelum itu, kami juga ke Dataran Jam, Shah Alam untuk program Pekan Frinjan yang sudah memasuki edisi kedua.

Monday, June 08, 2009

MASKARA




Sabtu lepas telah berlangsung showcase Dewangga Sakti di program Maskara anjuran Sindiket Soljah di Rumah Pena. Kami akan menulis nanti.
Untuk sementara,baca ulasan para blogger ini dahulu. Terima kasih kepada yang hadir.

Birungu

Alkisahnyalah

Belogbaruaku

1November

Sinaganaga

Budakhijaugilew

psittacula

Lagakepala

Abgpit

Deansham

Kredit Foto: 1 dan 2 - 1November
Foto :3 -Firdaus

Friday, May 29, 2009

Showcase Dewangga Sakti di MASKARA 6 Jun

Tarikh: 6 Jun 2009
Sabtu
8:30malam
Tempat: Rumah Pena, Jalan DBP,KL
Datang beramai-ramai. Masuk percuma!

Sirih Pulang ke Gagang (Telefon)

Jemputan pihak matrikulasi UIA (sekarang dikenali sebagai Centre for Foundation Studies) di Petaling Jaya amat menggembirakan kami. Sejak akhir Februari,kami seperti masih pelajar UIA walaupun ada yang sudah hampir sepuluh tahun meninggalkan kampus. Ini kerana kami banyak kali dijemput untuk membuat persembahan di kampus utama di Gombak.
Petaling Jaya pula banyak menyimpan kenangan kepada kami. Beberapa orang ahli sempat berada di sini ketika tamat matrikulasi . Ketika itu PJ masih kampus utama dan Lembah Pantai menjadi pusat matrikulasinya. Beberapa orang lagi yang muda belia seperti Irwan dan Wahyun menghabiskan masa di kampus PJ yang sudah bertukar menjadi pusat matrikulasi setelah semua fakulti berpindah ke kampus utama Gombak.
Semasa kami tiba di kampus PJ dahulu,bangunan flat PKNS di luar kampus masih lagi digunakan sebagai asrama pelajar lelaki kerana pada masa itu kampus tidak cukup asrama. Sebelum itu, asrama YPM di Bangsar juga digunakan sebagai asrama. Tokeyunta pada asalnya dimasukkan ke asrama di Bangsar tetapi entah macma mana dia telah berjaya masuk ke asrama di PJ.
Semasa kampus berpindah ke Gombak, ramai yang sedih mengenangkan lokasi Gombak yang jauh dari KL terutamanya beberapa orang ahli yang ketika itu sentiasa mengunjungi Pasar Seni untuk kegiatan muzikal mereka. rupa-rupanya perpindahan ke Gombak menjadi lebih bermakna dengan alam sekitar yang menghijau. (Kesultanan Gombak pun didirikan selepas itu)
Kampus PJ benar-benar berada di dalam kota dengan asap pembangunan daripada kilang-kilang berhampiran dan lalulintas yang sibuk di Seksyen 17. Bila mengenang Supermarket Jaya yang runtuh baru-baru ini,ingatan segera mengimbau kenangan lama berjalan kaki ke Seksyen 14 utk ke Metrojaya ,Jaya dan beberapa kedai yang asyik untuk dikunjungi di situ.
Yang tak dapat kami bayangkan adalah kawasan ini telah bertukar dengan adanya Jaya One ,pusat membeli belah berhadapan Blok PKNS tempat asrama sementara pelajar dahulu. Jika tidak silap, tempat itu adalah tempat di mana akhbar STAR beroperasi. Jalannya juga bertambah baik . Keadaan lalulintas tetap sama.
Dahulu bas mini 12 lah yang membawa kami ke KL sebelum diganti dengan Intrakota dan sekarang RapidKL ,di samping Bas Metro.
Di hujung jalan simpang ke Seksyen 2 dan seksyen 14 terdapat Kilang Rokok Rothman (sekarang dikenali sebagai British-American Tobacco) yang mana ramai pelajar menjadi pekerja sementara ketika cuti semester. Begitu juga dengan Metrojaya di Seksyen 14. Filem Gila-gila Remaja jika tidak silap ada menampilkan Seksyen 14 dan kedai motor di Seksyen 17 untuk filem itu.
Di luar berdekatan flat PKNS ,pelajar mengambil bas untuk membuang masa dan menghabiskan duit pinjaman di One Utama. Di situ juga terdapat pasar malam pada hari Selasa. Laluan pelajar perempuan daripada Kolej Khadijah akan melalui laluan gelanggang sepakraga. Menurut Azman ,ketika inilah segala libasan,servis yang bertaraf Olimpik terhasil.
Bila kami sampai ke PJ untuk persembahan ,kami dapati kolej kediaman juga telah bertukar nama. Abu Bakar College(ABC) telah bertukar menjadi Mahallah Khadijah. Fatimah Az zahra telah bertukar menjadi Umar Al Khattab 2(UKC2). Manakala,Umar Al Khattab College(UKC) masih sama. Semua bangunan ini juga telah dicat baru.
kami diberi penginapan di UKC2 dengan bilik yang agak besar. Setelah tiba di situ kami perasan tentang model di dalam kod berpakaian pelajar yang menyerupai salah seorang ahli kami. (ha ha)Pamplet itu ditampalkan di papan notis.
Persembahan kami ini sempena meraikan pelajar baru seramai 3,700 orang yang baru sahaja mendaftar sebagai pelajar matrikulasi UIA. Ini kali pertama kami rasa sistem bunyi menepati citarasa kami setelah diberi tanggungjawab oleh pihak universiti sendiri mencari sistem bunyi yang sesuai. Di dalam persembahan selama satu jam setengah, kami juga menjemput Dr Iqbal daripada Ahmad Ibrahim Kuliyyah of Laws(AIKOL) untuk menyanyi beberapa lagu.
Celoteh Azman juga menghiburkan setelah beberapa bulan menggalas tugas sebagai penyanyi utama.
Persembahan ini diadakan di padang bola berdepan kolej-kolej tersebut.
Kami dengan ini ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak CFS (matriks) PJ terutama En Hisyam, En Hidayat, Madam Humaiyah, Madam Saodah dan semua warga kerja pada hari tersebut.











Friday, May 22, 2009

Dewangga Sakti di dalam novel Armada Azur


Babak 1 – Istana al-Fateh

Selesai dengan nazam, bentara istana mengumumkan persembahan yang berikutnya. “Dipersilakan kumpulan muzik yang mengembara jauh dari Kota Jugra, Dewangga Sakti!”

Enam orang pemain muzik tampil dan mengambil tempat di bulatan kusyen yang disediakan. Dua gitar, darbuka, violin, gambus dan rebana menjadi peralatan pilihan mereka.

Si pemain violin membuka persembahan dengan gesekan merdunya. Dua pemain gitar kumpulan itu pula mencurahkan serbuk kristal di sekeliling mereka berenam. Serbuk kristal itu dicurah dalam satu garis melengkung sehingga membentuk satu bulatan.

Sebaik-baik sahaja bulatan serbuk kristal itu terbentuk, kerlipan mula memancar dengan ritma seiring gesekan biola. Para hadirin yang hadir bertepuk tangan melihat gabungan rentak bunyi dan cahaya.

Babak 2 – Istana al-Fateh, musuh datang menyerang

Dalam masa yang sama, kumpulan muzik Dewangga Sakti juga mengambil langkah menyelamatkan diri. Ketua kumpulan tersebut yang bernama Zul mengambil sarung tangan kristal dari dalam bagasinya dan menyarungkan pada tangan kanannya.

“Raof, Wahyun. Cepat, bawa seberapa ramai dalam lingkungan kita ini!”

Wahyun dan Raof segera menarik beberapa orang dayang istana ke dalam lingkungan mereka. Seorang bentara juga melompat masuk dalam lingkungan mereka tanpa diajak.

Wahyun menggesa, “Cepat, musuh sudah hampir!”

Zul mengangkat tangan kanannya tinggi-tinggi sebelum menghentakkannya ke atas lantai. Lingkaran kristal di sekeliling mereka menyala dan menghasilkan dinding cahaya yang menyilaukan pandangan. Apabila dinding cahaya itu berlalu, mereka semua sudah lenyap dari pandangan.

(Novel tulisan Firdaus Ariff -tajuk Armada Azur)

Space Gambus Experiment- Homegrown 23 Mei

Space Gambus Experiment akan membuat penampilan pertama di program Homegrown di Wisma Bentley,Mutiara Damansara (berdekatan The Curve,IKEA) esok (Sabtu) jam 3 petang.
Mereka akan mengeluarkan album pertama beberapa bulan lagi.
Masuk adalah percuma.
Masuk laman web Homegrown di sini

Wednesday, May 20, 2009

Ambil SPM lagi


Empat ahli sahaja hadir kerana dua orang mempunyai hal tidak dapat dielakkan. Seorang terpaksa menghadiri kuliah di Majlis Peguam. Seorang lagi menjejak lanun di Pulau Jerjak bersama pimpinan negeri.
Di program Selamat Pagi Malaysia di RTM kami memainkan dua lagu iaitu Aladom dan lagu ciptaan kami berjudul Terbang ke dada langit.
Kelihatan muka Abdul Raof paling menyerlah setelah dimekap menjadikan beliau sebagai ikon kumpulan selepas ini.


Monday, May 11, 2009

Putus tali di pelancaran Kacip

Persembahan berjalan lancar seperti dijadualkan. Asalnya hanya lima org sahaja kerana seorang ahli dijadual ke Eropah atas urusan kerja. Terima kasih kepada selsema babi, perjalanannnya ke Eropah dibatalkan dan beliau dapat bermain bersama kami.
Pipiyapong melancarkan sendiri buku beliau bertajuk 'Kacip' hasil koleksi tulisan beliau di dalam blognya.
Kami dijemput oleh Sindiket Soljah yang khabarnya punya kapal selam mahal untuk bersama-sama memeriahkan pelancaran tersebut. (Oit!Jgn lupa beli buku 'Kacip' kerana cetakan terhad dan tidak diulang cetak!)
Sepuluh minit sebelum persembahan, tali atas bass akustik sudah putus. Atas sifat penafian, Azman cuba menyambung kembali tetapi gagal. Kami yang sudah mendengar bunyi aneh tersebut sudah merasakan tali sudah putus. Begitu juga Sinaganaga. Mereka cuba mencari tali bass selepas itu dan kami ke pentas Annexe untuk membuat sedikit soundcheck.
"Mana yang lain?"tanya Jerome.
"Mereka sedang 'tune' instrumen!",begitu jawab En Lan .
Azman dan Norman tiba tanpa tali bass baru dan bass tali tiga yang putus tali atasnya dimainkan.
Begitulah ceritanya kenapa bass itu talinya putus. Itupun jika ada yang menontonnya perasan. Mana tahu mereka ingat Azman saja-saja memutuskan talinya untuk kelihatan 'trendy'. ha ha


Thursday, April 30, 2009

Pelancaran buku Kacip Pipiyapong di Annexe,CM ,9 Mei


Jumpa kami di The Annexe @ Central Market
9 Mei 2009
Sabtu
6 petang
Masuk Percuma (kalau nak bayar,bayar kepada Sinaganaga )

Rakam merakam rakaman terkam



Malam tadi kami berkesempatan membuat persembahan di malam kebudayaan Kem Remaja Muslim Antarabangsa yang diadakan di UIA di samping beberapa persembahan lain yang tidak kurang hebatnya.
Kami bermain dua lagu. Hanya empat ahli yang hadir kerana tiga lagi telah tertinggal pengangkutan masing-masing.
Sehari sebelumnya pula, kami ke studio lagi untuk proses rakaman seterusnya. Kali ini, Azman Jan memasukkan track gitar dan bass (ya! bass akustik yang baru dibeli) untuk lagu kedua. Azman juga menggalas tugas sebagai vokalis sekarang setelah vokalis asal menarik diri beberapa bulan lepas. Untuk persembahan live pula, beliau akan menyanyi sambil bermain bass.
Untuk mengambil feel ronggeng pada malam tersebut,beliau datang dengan memakai baju melayu dan songkok. Asalnya hanya mahu memakai kain pelikat tetapi tidak dipersetujui Tokeyunta yang menghantar pesanan melalui sms.