Wednesday, February 18, 2009

Blog menarik

Sebuah blog baru yang menarik.
Baca di sini tentang GempaMelayu
Moga menjadi satu directory tentang dunia Melayu yang penuh informasi.

Iklan

Acai daripada kumpulan DEP minta iklankan gitar bass untuk dijual.
Baca di sini
Tokeyunta,mahu beli?

Wah Yun Kua Derhaka!

Makmal telah dirasmikan dengan penuh bergaya minggu lepas. Semua ahli hadir kecuali pemain perkusi, Wah Yun Kua yang memberikan alasan demam hari Valentino Rosta. Sultan yang hadir mencemar duli khabarnya murka kerana beliau tidak hadir tetapi akhirnya akur dengan ketidakhadiran beliau atas surat tunjuk sebab yang diberikan.
Sultan juga ada bertanyakan tentang Tokeyunta yang berada di Dubai berkenaan proses rakaman akan datang.
Makmal terbaru di tingkat paling atas sebuah bangunan baru bersebelahan Masjid As Syakirin, Jalan Gombak. Ya! Berdekatan Pasaraya Ong Tai Kim. Di seberang jalan kelihatan Balai Polis Gombak.
Makmal amat besar dan amat sesuai untuk ujikaji muzik kami. Tetapi hari itu cuaca amat panas dan kipas besar Starbak tidak dapat menampung kepanasan tersebut. Bila tingkap dibuka , bunyi kenderaan bertali arus mengganggu keseronokan eksperimen muzikal yang diadakan.
Beberapa ahli bermain muzik tanpa memakai baju.
Makmal baru ini dibuka dengan latihan lagu Tudung Periuk.
Lebih menarik lagi ,makmal mempunyai dumb bell besar seperti di gim dan beberapa punching bag (ehsan abang ipar PapaMan).
Nota :Ahli-ahli masih menunggu PapaMan menghantar gambar-gambar majlis rasmi tersebut.

Sunday, February 15, 2009

Kolaborasi Zulkifli / Kamal Sabran

Penat berbual di facebook, Kamal Sabran meminta Zulkifli menghantar beberapa track gambus untuk beliau masukkan segala bunyi-bunyian daripada synth beliau. Yang menariknya, mereka tidak pernah bersua muka.
Maka terhasil lah kolaborasi ini. Sila baca di sini dan mendengar projek muzik karya mereka di sini
Ada tiga lagu yang telah mereka kerjakan(cari kamal/zul -oud project 1,2 & 3).Mungkin ada lagi yang akan tercipta selepas ini selepas mereka bersua muka dan berbincang?

Wednesday, February 11, 2009

Jumpa teman lama

Semasa di awal penubuhan , kami mempunyai beberapa anggota wanita yang bermain gamelan. Kemudian, seorang penyanyi wanita juga pernah bersama kami pada tahun 2002/2003. Begitu juga pemain violin dan keyboard. Semuanya tidak kekal lama atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Tetapi elok juga tidak ada anggota wanita ini sebab latihan kami selalunya berlangsung sehingga awal pagi dan ketika kami overdose dengan muzik,kami akan berlatih dan berbincang sehingga menjelang Subuh.
Minggu lepas, ketika kami ke majlis MASKARA anjuran Sindiket Soljah di Rumah Pena, kami bertemu anggota lama yang merupakan bekas penyanyi wanita kami pada tahun 2002/2003 dahulu. Ketika itu dia masih di tahun pertama universiti kami dan telah direkrut oleh Mohsen untuk menyertai DS yang melihat susuk seorang psiko yang ada pada gadis tersebut (sekarang sudah berkahwin). Di MASKARA, teman lama kami ini membacakan sajak-sajaknya dan juga menyanyi.
Habis sahaja beliau membuat persembahan dan keluar ,kata-kata hikmat biasa beliau terhambur melihat kami berdua di sana. Raof berkata, "perangai masih seperti dahulu". Tapi mungkin kali ini dia sudah semakin yakin dan matang. Maklumlah,sudah berkahwin! ha ha
Itulah dia Fynn Jamal yang aktif di sekitar Lembah Klang membacakan puisinya yang pelik-pelik.
Nota: Nanti aku cuba cari gambar dia menyanyi dengan kami dahulu.

Thursday, February 05, 2009

Makmal ujikaji

Kami akan berpindah tempat operasi kumpulan. Kali ini betul-betul di dalam Kesultanan yg kami kasihi. Tempatnya berdekatan Balai Polis Gombak. Maka senang lah jika kami menghadapi masalah atau jika perlu laporan polis dibuat ke atas mana-mana pihak yang mengganggu.
Dijangka bulan ini kami akan merasmikan tempat baru yang sebenarnya atas belas ehsan persatuan silat sekitar (juga pujukan dan rayuan Papa baru dalam kumpulan kami).
Kami namakan tempat operasi baru itu sebagai makmal untuk kami membuat ujikaji terpilih. Saintis pertama kami yang sedang bekerja di Dubai berbesar hati mengirimkan sedikit dirham untuk kami melakukan proses yang perlu (masuk ke dalam Maybank ya!).
Tahun ini juga beberapa perkara telah dirancang iaitu rakaman album penuh kumpulan yang akan bermula beberapa bulan daripada sekarang (mungkin juga lebih awal).
Tapi kami masih tak punya pemain bass untuk rakaman tersebut. Tokeyunta,bolehkah tuan pulang sekejap ke Malaysia?

Wednesday, February 04, 2009

Sembilan

Sembilan tahun lepas, aku dan Mohsen memulakan Dewangga Sakti dengan tekad untuk bereksperimen dengan gamelan di kampus kami di Sungai Pusu. Setelah gamelan tidak dapat kami gunakan kerana ahli-ahli yang menamatkan pengajian satu demi satu, eksperimen itu tidak menjadi dan tidak ada langsung di dalam rakaman. Mungkin yang dapat diselamatkan adalah satu gubahan bertajuk Inderapura yang akhirnya dirakamkan ke dalam album Cryptic Malediction, sebuah kumpulan makan besi (dan juga orang) dan dinamakan sebagai 'Palace of Doom' (lagu instrumental dengan gendang dan gamelan).
Setelah aku belajar gambus pada tahun 2003, muzik kami berubah sejajar dengan minat kami yang lain dan juga kehilangan bunyi gamelan tersebut. Setelah penggunaan terakhir gamelan pada tahun 2004, kami telah di'banned' untuk melakukan kolaborasi dengan kumpulan gamelan UIA di atas sebab-sebab yang sukar dimengertikan.
Di masa-masa sukar tersebut, kami banyak berbincang bagaimana ingin menangani masalah yang ada. Bermula 2005 dengan kemasukan pemain perkusi ,Noor Azmi (yang kini menjadi pemuzik sepenuh masa di UKM ) halatuju dan perubahan muzik kami tidak dapat dielakkan lagi.Inilah yang menjadi asas dan tunjang kepada muzik yang ada sekarang.
Bulan lepas, pengasas dan penyanyi Dewangga Sakti, Mohsen Amdan telah meletakkan jawatan sebagai ahli kumpulan untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada bidang perniagaan.
Kami seluruh ahli kumpulan mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau. Budi dan jasa baik beliau akan sentiasa dikenang!

Orang baru

Dua hari lepas, Azman telah mendapat cahayamata pertama (lelaki) yang dinamakan Rizq. Manakala,Zulkifli telah mendapat cahayamata kedua(perempuan) pada bulan lepas yang dinamakan Nur Nadiah Aisyah.
Moga kedua-duanya menjadi insan berguna di masa hadapan.

Wednesday, January 28, 2009

Dr Siti Zainon

i s
Ini di antara blog yang sentiasa dilawati kami .Ditulis oleh budayawan Malaysia yang banyak menulis,melukis,mencatat dan mendokumentasi budaya Melayu -gamelan,songket,pakaian Melayu dan bermacam-macam lagi.
Tandakan di dalam tempah singgah anda di sini !

Nota: Lukisan karya Dr Siti sempena pameran Angin Si Pauh Janggi pada tahun lepas di Soka Gakkai Malaysia

Thursday, January 15, 2009

Sa lo ma





Gambar sekitar persembahan (sebenarnya selepas persembahan)di Saloma Bistro sempena majlis Anugerah Khas Pengurusan dan Khidmat Warga Tourism Malaysia beberapa hari lepas.
Seperti biasa,gambar ketika persembahan diambil oleh jurugambar profesional lain kerana kami tidak punya jurugambar rasmi.
Di belakang pentas,beberapa kejadian badut telah berlaku.
Terima kasih kepada Tourism Malaysia yang memanggil kami membuat persembahan. Kalau tiap-tiap minggu pun tidak mengapa! :)

Wednesday, January 14, 2009

Ghazal(i) bukan kumpulan kami

Ghazal Melayu- satu kajian

Perkataan Ghazal berasal drpd Bahasa Arab yang bermaksud puisi kasih. Puisi ini salah satu jenis puisi paling popular di kalangan umat Arab sejak zaman jahiliyah.

Berdasarkan kajian,ghazal yang dipercayai berasal dari Parsi adalah merupakan sejenis nyanyian di kalangan orang muda di alam percintaan. Biasanya ikatan senikata ghazal terdiri daripada tiga atau empat baris.

Bagaimana ghazal tiba ke Johor?

Perkembangan ghazal yang pesat di Arab berlaku bila kerajaan Umayyah mengambil ramai penyanyi Parsi dan Greece untuk hiburan di istana. Dari Tanah Arab, ia berkembang ke Parsi,Turki,India dan Malaysia (Johor). Di Parsi, ghazal merupakan salah satu pembacaan puisi tanpa diiringi sebarang alat muzik. Sementara di India, ianya lebih berbentuk nyanyian yang popular di istana.

Sejarah kesenian ghazal di Johor berasal dari istana raja-raja Riau-Lingga.Pada akhir abad ke-19,hubungan rapat di antara kerajaan Riau-Lingga telah memperkenalkan para bangsawan kepada seni ini. Mereka ini membawanya ke istana Sultan Johor yang pada ketika itu di Teluk Belanga,Singapura. Bila pusat pentadbiran bertukar ke Tanjung Puteri, seni ini semakin berkembang.

Orang yang bertanggungjawab adalah Allahyarham Datuk Bentara Luar,Mohd Salleh bin Perang. Semasa membuka daerah-daerah baru di Johor,beliau memperkenalkan dan memperluaskan seni ghazal. Selain itu,ramai lagi pembesar istana terlibat menyuburkan tradisi ini seperti Ungku Ahmad b Mohd Khalid(Ungku Chik), Ungku Mohammed bin Mohd Khalid,Ungku Sulaiman bin daud,Ungku Abdul Aziz b Abd Majid dan En. Dapat.

Orang yang lebih mempopularkan seni ghazal ini adalah Allahyarham Hj Musa b Yusof atau lebih dikenali sbg Pak Lomak,juga cucu kpd Datuk bentara Luar. Jasa Pak Lomak ini tidak terkira dan generasi tua di Johor menganggap Pak Lomak adalah ghazal dan ghazal adalah pak Lomak. Beliau banyak mencipta lagu dan menubuhkan kumpulan-kumpulan ghazal di seluruh negeri Johor. Kebanyakan lagu-lagu ghazal melayu termasyhur adalah ciptaan Pak Lomak (contoh Seri Mersing,Seri Banang,Embun Menitik,Puteri Ledang,Gunung Banang, dan banyak lagi).

Instrumen yang sinonim dgn muzik ghazal adalah gambus, harmonium dan tabla (sekadar menyebut tiga nama) . Instrumen ini adalah teras kpd muzik ghazal Melayu yang dikembangkan di Johor.

Lagu pertama dicipta adalah Tinggi Tinggi Si Matahari yang dicipta oleh seorang ahli wayang bangsawan Datuk Bentara Luar pada tahun 1886 (nama tiada). Banyak juga lagu-lagu ghazal yang tidak dpt dikesan penciptanya(sbg contoh-Pak Ngah Balik, Seri Siantan,Makan Sireh,Damak)

Antara lagu-lagu ghazal yang masyhur adalah Jalak Lenteng (dicipta 1893), Seri Mersing (1924),Seri Banang(1935),Puteri Ledang (1943), Anak Raja turun Beradu(1928), Tanjung Balai (1935),Damak (1912), Seri Siantan (1935), Pak Ngah Balik (1915),Nasib Musalmah (1925), Makan Sireh (1925) dan beberapa lagu lagi.

Sejak 1886 sehingga awal 1950an,sebanyak 123 lagu ghazal telah dicipta. Ada yang diketahui penciptanya dan tidak kurang pula lagu yang tidak dpt dikesan penciptanya.

Pencipta generasi selepas 1950an yang banyak mempopularkan ghazal seperti Fadzil Ahmad,Ahmad Jusof yang dapat kita dengar di dalam rakaman-rakaman ghazal spt Kumpulan Ghazal Seri Maharani dll(Kedua-dua ini juga terkenal sebagai pemain gambus yang hebat). Kebanyakan rakaman-rakaman ini dijual secara lumpsum kepada syarikat rakaman (mereka tidak dpt royalti—ini berdasarkan perbualan dgn Allahyarham ketika dia masih hidup). CD dan kaset kumpulan ini sehingga sekarang masih dijual dengan banyaknya tetapi jumlah sebenar tidak dpt dipastikan. Yayasan Warisan Johor (YWJ) juga ada menerbitkan CD muzik ghazal dan rakaman Konsert Ghazal pada tahun 2000 paling bermakna kerana di dalam rakaman tersebut yang dijual CD dan VCDnya menampilkan penyanyi undangan, Fadzil Ahmad (mungkin yang terakhir di konsert besar sebelum beliau uzur) , Noraniza Idris , penyanyi Warisan Johor (pada masa itu Zarina Akademi Fantasia masih bekerja di YWJ dan terlibat dgn konsert ini)) dan ramai veteran ghazal Johor yang bergabung tenaga menghasilkan satu konsert besar dgn iringan orkestra. (walaupun hasil rakamannnya jika diteliti semacam ada kekurangan kerana terlampau banyak instrumen ingin ditonjolkan). Juga sebenarnya lagu Fadzil Ahmad bertajuk Joget Memikat Janda bukanlah daripada kategori lagu-lagu ghazal. Lagu itu berentak sarah atau joget Arab.

Tetapi pemilihan lagunya amat bagus dan memberikan pengenalan yang mendalam kepada peminat muzik ghazal (dan tradisional amnya).

-------------------------------------------------------

Dewangga Sakti bukan kumpulan ghazal

Kami selalu ditanya adakah kami memainkan muzik ghazal. Kadang-kadang daripada penerbit TV dan orang awam yang ingin mengambil kami membuat persembahan.

Kami bukan muzik ghazal di dalam bentuk muzik dan lagu-lagu yang standard di dalam muzik ghazal.Misalnya,bentuk muzik kami sendiri tidak menjurus kpd irama dan bunyi ghazal itu sendiri. Sebagai contoh,lagu-lagu ghazal spt Pak Ngah Balik,Jalak Lenteng,Seri Mersing,Puteri Ledang,Anak Raja Turun Beradu,Tanjung Balai,Damak,dan banyak lagu lagi.
Kami secara peribadi suka mengklasifikasikan muzik kami sbg tradisional/folk Melayu dan tidak menghadkan bentuk lagu-lagu kami.
Lagu-lagu berentak ghazal tidak kami mainkan.Yg selalu kami mainkan adalah muzik berentak joget,inang,zapin,asli dsbnya.
Mungkin penggunaan instrumen gambus telah menyebabkan ramai orang cenderung memanggilnya kumpulan ghazal (juga berlaku kpd apa-apa kumpulan tradisional kerana mungkin terma ghazal itu sendiri bererti muzik tradisional kepada orang ramai).Seperti juga ramai orang memanggil ubat gigi sbg colgate walaupun keluaran Darlie,Safi dsbnya.
Jadi,rentak dan bunyi ghazal itu sendiri perlu difahami sebelum kita mengklasifikasikan sesebuah kumpulan itu.Ini kerana rentak dan irama Melayu hasil banyak pengaruh luar telah membentuk muzik kita yg kaya dan unik.

Tetapi persepsi orang ramai tidak dapat kita elakkan. Sama seperti muzik metal yang mempunyai pelbagai cabang spt thrash, death,black,grindcore,doom dsbnya. Begitu juga muzik tradisional yang punyai pelbagai cabang spt inang,joget,zapin,keroncong, masri, asli, ghazal dan lain-lain lagi. Ghazal hanyalah salah satu drpd cabang tersebut.

Untuk memahami seni muzik ini,kita perlu mendengar dan menonton. Barulah kita akan faham perbezaan di antara ghazal dgn zapin,inang,joget dll. Tidaklah nanti bila bertanya apa maksud lagu ghazal yang difahami menyebut lagu seperti Zapin Budi,Yaladan,Ya Salam yang berirama zapin! :)

Nota: Beberapa perengan atas diceduk dan diubahsuai drpd kertas kerja Drs Ungku Mohd Zaman Tahir di dalam Jurnal Warisan Johor terbitan Yayasan Warisan Johor pada tahun 1998

Tuesday, January 06, 2009

Monday, January 05, 2009

Wednesday, December 31, 2008

Kami bukan kumpulan ghazal!

Lagu pertama dikategorikan sebagai lagu Ghazal Melayu dicipta oleh seorang ahli Wayang Bangsawan Datuk Bentara Luar di Johor pada tahun 1886. Tajuk lagunya Tinggi-Tinggi Si Matahari.
(dipetik drpd kertas kerja Drs Ungku Mohd Zaman Tahir bertajuk Perkembangan Lagu-lagu Ghazal Melayu Johor terbitan Yayasan Warisan Johor -Jurnal Warisan Johor Jilid II 1998)

Tuesday, December 30, 2008

Show time

Fakta-fakta showcase di Alliance Francaise:-
1) Dibahagikan kepada dua segmen
2) Tujuh (7) lagu satu segmen -Jumlah kedua-dua segmen 14 lagu
3) Segmen pertama memakai pakaian santai
4) Segmen kedua menukar pakaian kepada kostum rasmi kumpulan
5) Ada bab interaktif dengan penonton ; empat penonton dijemput ke pentas (dua org Melayu,dua org Perancis) untuk memainkan kompang yang diajar terus dan dimainkan ke dalam muzik tradisional
6) Tambahan dua lagu setelah tirai ditutup kerana permintaan penonton yang bertepuk tangan dengan gamatnya dan menjerit "We want more!" berkali-kali. Jumlah keseluruhan lagu akhirnya 16 buah
7) Separuh penonton (kira-kiraannya) adalah warga Perancis yang bekerja di KL
8) Jumlah lagu tradisional/cover songs -11 buah
9) Lagu komposisi Dewangga Sakti - 5 buah

Sekian.
Nota: Kemerosotan fikiran mengakibatkan catatan ditulis sebegini rupa :)

Wednesday, December 17, 2008

Pra persembahan

Kami hanya sebuah kumpulan kecil dan bila diberitahu Alliance Francaise KL berminat membuat persembahan ekslusif untuk Dewangga Sakti,kami rasa amat gembira. Kegembiraan ini atas beberapa sebab. Pertamanya, inilah kali pertama sebuah persembahan solo kami diadakan sejak kami menubuhkan kumpulan ini lapan tahun lepas. Keduanya, kami dijemput oleh pusat bahasa asing (ini menambahkan kekaguman kami kepada mereka dan membuktikan beberapa teori kami berkenaan apresiasi muzik). Ketiganya persembahan ini berbayar (yang kami awalnya berfikir siapa yang mahu membelanjakan wang sebanyak RM15 untuk menonton kami).
Persembahan ini juga tidak lengkap sepenuhnya kerana kami kehilangan pemain bass yang sudah berhijrah ke luar negara dan kami memutuskan untuk tidak mengambil pemain baru buat masa sekarang.
Persediaan kami sebelum mengadakan persembahan ini juga tidak begitu lancar. Dua minggu terakhir menyaksikan latihan tidak dihadiri oleh semua ahli sepenuhnya kerana terikat dengan banyak komitmen lain seperti kerja,keluarga dsbnya. Oleh itu banyak pelan tidak dapat dijalankan dan ada lagu yang terpaksa ditolak. Lagu yang dijadualkan untuk diperdengarkan buat pertama kali iaitu Ronggeng Pak Abdul juga tidak dapat dipersembahkan.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Bila tiba hari dijadualkan kami tidak dapat membuat semakan bunyi lebih awal kerana tempat itu (dewan) mempunyai kelas bahasa Peranchis sehingga jam 5:30 petang. (Aku juga sebenarnya hampir-hampir tidak dapat menyertai persembahan ini atas sebab yang amat mustahak ---baca di sini).
Selepas kelas selesai, satu lagi masalah timbul kerana entah di mana silapnya, soundman yang bertugas tidak dapat turut serta dan hanya menghantar barang yang diperlukan sahaja. Kami terpaksa melakukannya sendiri. Mujurlah kebanyakan ahli sudah biasa dengan perkara sebegini. Bekas ahli kami ,Yaser kemudian datang membantu dengan mengendalikan mixer.
Selepas itu, kami menyedari ada lagi masalah menimpa. Cable tidak cukup untuk disambung kepada satu monitor speaker di depan kami (oleh itu hanya satu yang berbunyi ). House speaker pula tiada masalah.
Kami meminta tujuh (7) mikrofon tetapi hanya empat yang berkualiti untuk persembahan -Dua unit Shure SM58 dan dua unit Shure SM57. Tiga lagi adalah jenama biasa yang sebenarnya tidak berapa sesuai untuk persembahan, mungkin untuk ucapan tidak mengapa.
DI (Direct Interface) ada dua dan hanya satu digunakan iaitu untuk gitar Akustik Ovation yang dipakai oleh Azman (gitar ini hasil ehsan dermawan berlian Munawir). Asalnya dua sebab mana tahu Tokeyunta mahu pulang dari Dubai.
Masa makin suntuk dan tiba-tiba pen aku pun boleh hilang untuk menulis nota ketika itu . :)
Akhirnya dengan kecekapan dan sikap tidak putus asa ahli kumpulan(dan kru Dewangga Sakti) ,semakan bunyi berjaya disempurnakan pada jam 7:45 malam iaitu 45 minit sebelum persembahan bakal berlangsung.
Lega rasanya setelah selesai sesi semakan bunyi. Ahli-ahli kemudian bersolat dan makan (ringan-ringan) di kafe dengan mendapat diskaun makanan sebanyak 50% (hasil pujukan En Munawir).
Oh ya!Sebelum itu,ahli dan kru juga menyusun kerusi untuk penonton.

Kru kumpulan pada hari tersebut:-
Munawir ( jurukamera, jurulampu, pengurus pentas, menjaga booth ketika rehat 15 minit)
Fairuz Sheriza (Jurukamera kedua merangkap calon Wah Yun Kua yang direstui semua ahli ;) )
Yaser (Juruteknik dan penarik langsir)
Isteri Azman (menjaga rakaman video)

We want more!


Sebahagian daripada gambar di persembahan -Dewangga Sakti showcase- minggu lepas di Alliance Francaise de Kuala Lumpur . Ini pakaian di bahagian kedua persembahan setelah berpakaian santai di bahagian pertama. Jumlah lagu sebanyak 16 buah. Ulasan nanti dulu.
Kredit gambar: Fairuz Rusli





Saturday, December 13, 2008

Ronggeng di Alliance Francaise



Dewangga Sakti showcase
Tarikh:13 Disember 2008,Sabtu,8:30malam.
Tempat: Alliance Francaise KL, Lorong Gurney,Off Jalan Semarak,Kuala Lumpur
Tiket: RM15/RM10 (Tiket boleh dibeli di pintu masuk)
Jemput hadir ke sana. CD,tshirt juga akan dijual.
Ini adalah pengumuman kesultanan.Skrol ke bawah untuk entri terkini.

Wednesday, December 10, 2008

Bukit Oh Bukit

Bukit Antarabangsa akhirnya bergegar semula dengan tanah runtuh. Aku tengok laporan di buletin utama TV3 dan terus teringatkan studio tempat kami merakamkan 'Mabok Kepayang' di Studio Purple Sound milik Arif di Apartment Oakleaf, Bukit Antarabangsa. Aku menelefon Arif dan dia ketika itu sudah berada di rumah ibunya di UK Perdana (kawasan berdekatan dan markas latihan kami). Dia memberitahu terpaksa meredah jalan hutan untuk keluar daripada kawasan tempat dia tinggal dan keadaan di sana amat membahayakan. Sudah tentu hakisan tanah akan berlaku lagi.
Bagaimana agaknya warga Bukit Antarabangsa dan kawasan sekitarnya selepas ini? Apa nasib mereka dengan rumah dan harta benda mereka?
Ini bukan masa menuding jari dan menyalahkan semua orang. Sewajarnya kita belajar daripada sejarah dalam memastikan kejadian seperti ini dapat dielakkan. Tanpa sedar, kita menjadi rakus dan tidak menghiraukan alam sekitar di dalam pelan pembangunan kita. Kita hanya mahu maju dan terus mencipta rekod-rekod baru.

Tuesday, December 02, 2008

Latihan kecergasan


Tinggal sepuluh hari lagi kami akan mengadakan showcase di Alliance Francaise de Kuala Lumpur. Latihan kecergasan kumpulan sedang pesat dijalankan dengan penuh semangat. Pilihan lagu juga sedang dinilai supaya bakal membangkitkan elemen semangat dan nostalgia kepada penonton dan juga ahli kumpulan sendiri.
Selain lagu-lagu di dalam CD Mabok Kepayang, kumpulan juga bakal memperdengarkan dua buah lagu baru yang sedang dalam proses pilihan rakaman untuk CD akan datang iaitu Terbang ke dada langit dan Ronggeng Pak Abdul. Kedua-duanya hanya tajuk sementara (working title) dan akan berubah daripada sekarang sehinggalah proses rakaman nanti.
'Terbang... adalah improvisasi kepada muzik berentak Arab. Manakala 'Ronggeng Pak Abdul' adalah sebuah lagu joget yang merupakan sequel atau prequel(belum dimuktamadkan senikata) kepada lagu Tertinggal Kapal Angkasa yang mengisahkan tentang usahawan terkenal Pak Abdul.
Bagi menambahkan rencah kepada persembahan ini, mereka juga bakal memainkan lagu-lagu klasik tradisional dengan pilihan zapin,joget dan sebagainya.
Jumpa di sana!